Popular Posts

Showing posts with label Brunei. Show all posts
Showing posts with label Brunei. Show all posts

Saturday 14 November 2020

Serangan British terhadap Brunei dan Marudu (1845)


"Destruction of the House & Battery of Pangeran Usop" oleh Edward Hodges Cree, 10.8.1845.
Sumber: National Maritime Museum, Greenwich, London.


Lukisan bertajuk 'Destruction of the House & Battery of Pangeran Usop' ini dilukis Edward Hodges Cree pada 10.8.1845. Edward Hodges Cree (1814-1901) adalah seorang pakar bedah tentera laut British yang berkhidmat di atas kapal H.M. Steam-Vessel Vixen. Jurnal beliau bersama lukisan ini menjadi rekod utama berkenaan serangan British terhadap Pengiran Yusuf ibni Sultan Omar Ali Saifuddin I di Brunei dan Syariff Osman di Marudu.

Secara amnya lukisan ini menggambarkan keadaan kediaman dan kubu Bendahara Brunei iaitu Pengiran Yusuf yang dibedil oleh 8 buah kapal British pada 10.8.1845 (sebelah kiri lukisan). Ugutan "gunboat diplomacy" terlebih dahulu dibuat kapal-kapal British yang berlabuh dihadapan Istana Kampong Ayer (di sebelah kanan lukisan) dalam mendesak Sultan Brunei, iaitu Sultan Omar Ali Saifuddin II ibni Sultan Muhammad Jamalul Alam I (1799-1852), supaya memecat Pengiran Yusuf yang juga nenda saudara Sultan.

Ketika itu pihak British, atas fitnah James Brooke, mempercayai bahawa Pengiran Yusuf, terlibat dalam aktiviti perlanunan bersama Syariff Osman, iaitu pemerintah Kerajaan Marudu, dibawah kebenaran Kesultanan Sulu.

Menurut catatan Edward Hughes Cree, Pengiran Yusuf hadir di Istana Sultan Brunei untuk berbincang dengan British tetapi enggan bersetuju dengan terma-terma British. Beliau kemudian pulang ke kediamannya. British memulakan serangan dengan tembakan roket yang menembusi bumbung kediaman Pengiran Yusuf.  Serangan tersebut dibalas dengan tembakan meriam. Rekod menunjukkan bahawa atas desakan ketuanya, Edward Hughes Cree menyatakan bahawa Pengiran Yusuf yang memulakan tembakan terlebih dahulu. Walaupun berjaya melarikan diri, pengaruh Pengiran Yusuf terhadap Sultan Brunei telah berjaya dimusnahkan pakatan British dalam serangan ini.


"Paleis van de sultan van Brunei" (Istana Sultan Brunei) rakaman G.R. Lambert & Co. (c. 1890) iaitu di zaman pemerintahan Sultan Hashim Jalilul Alam Aqamaddin ibni Sultan Omar Ali Saifuddin II (1825-1906).
Sumber: Leiden University Library


Kapal-kapal British tersebut bersama bantuan sekutu James Brooke iaitu Pengiran Muda Hashim ibni Sultan Muhammad Kanzul Alam (1782-1846) dan adindanya Pengiran Badaruddin ibni Sultan Muhammad Kanzul Alam kemudian menyerang kubu Syariff Osman di Marudu pada 17.8.1845.

Kajian menunjukkan bahawa tiada satu pun catatan sejarah yang boleh mengesahkan bahawa Pengiran Yusuf dan Syariff Osman terlibat dalam aktiviti pelanunan.  Kebijaksanaan dan kepimpinan Syariff Osman, yang ketika itu ingin diiktiraf sebagai Sultan Marudu, sebenarnya adalah faktor utama yang telah menimbulkan rasa kemarahan dan perasaan cemburu James Brooke, pihak British dan beberapa pembesar Brunei. Jadi serangan-serangan ini adalah tindakan strategik James Brooke untuk menguatkan pengaruh dan agendanya terhadap Sultan Brunei; dan supaya tiada pesaing boleh mengugat kepentingannya sebagai Raja Putih Sarawak iaitu posisi yang diperolehnya melalui Pengiran Muda Hashim pada tahun 1841.

Selepas pengunduran Pengiran Yusuf, pemusnahan kubu Syariff Osman di Marudu, dan satu lagi serangan British terhadap Brunei pada Julai 1846, sebuah perjanjian telah ditandatangani pada 18.12.1846 yang menyebabkan Pulau Labuan dan pulau-pulau kecil yang berhampiran diserahkan buat selamanya oleh Sultan Brunei kepada pihak British. 

"The Expeditionary Force (Seamen and Marines 500 strong) under the orders of Captain Mundy accompanied by Mr Brooke in march for the Sultan's position at Damuan in the interior of Borneo, July 1846"
Sumber: State Library of New South Wales.


Sebagai habuan, James Brooke telah dilantik British sebagai Gabenor Labuan yang pertama dan Konsul Besar di Borneo. Pada masa yang sama, Sarawak dibawah James Brooke diiktiraf bebas dari apa-apa tuntutan dari Sultan Brunei.

Lakaran markas dan penempatan Inggeris di Labuan dalam The Illustrated London News bertarikh 9.12.1848. 


Tindakan eksesif James Brooke dalam menghapus musuh atas dasar memerangi aktiviti pelanunan tersebut menimbulkan kontroversi di mana satu Suruhanjaya Siasatan telah diadakan di Singapura pada tahun 1854. Walaupun James Brooke didapati tidak bersalah, namun siasatan dan pertuduhan yang dibuat telah menjatuhkan imej, reputasi dan mencemar legasi beliau di mata umum.

Sumber:

1. Gerlich, B.M., (2003), 'Marudu 1845: The Destruction and Reconstruction of a Coastal State in Borneo'. Hamburg, Abera.
2. Irwin, G., 1955, 'Nineteenth-Century Borneo: A Study in Diplomatic Rivalry'. Brill.
3. National Maritime Museum, Greenwich, London.
4. "The Rajahs of Sarawak", The Spectator, 29 January 1910.
5. "The Rise and Fall of a North Bornean Kingdom", Sabah Society Journal Vol. 29, 2012.

Tuesday 30 June 2020

Lawatan Prince of Wales ke Brunei (1922)

Prince of Wales (Prince Edward) bersama Sultan Muhammad Jamalul Alam II ibni Sultan Hashim Jalilul Alam Aqamaddin, 1922 (Sumber: Imperial War Museums, London)

Pada 19 Mei 1922, Prince of Wales (kemudian King Edward VIII & Duke of Windsor) berkenan melawat Brunei, sebagai lokasi persinggahan dalam siri lawatan baginda ke koloni-koloni British.  Berdasarkan klip filem yang diperoleh dari Imperial War Museums London ini, Sultan Muhammad Jamalul Alam II ibni Sultan Hashim Jalilul Alam Aqamaddin (1889-1924) direkodkan berkenan menyambut kedatangan Prince of Wales dan rombongannya yang tiba dengan kapal perang HMS Renown. Pelbagai sambutan dan persembahan kebudayaan telah diadakan sekitar waktu tersebut.



Pada tahun 1888, Brunei menjadi sebuah negeri di bawah perlindungan kerajaan British dengan mengekalkan kedaulatan dalam negerinya kecuali hal ehwal luar negara yang ditadbir British.

Sultan Muhammad Jamalul Alam II adalah Sultan dan Yang di-Pertuan Brunei Darussalam yang ke-26 yang memerintah dari tahun 1906 hingga 1924. Pada tahun 1906, dibawah pentadbiran baginda, Brunei menerima suatu lagi langkah perluasan kuasa British apabila kuasa eksekutif dipindahkan kepada seorang residen British yang menasihati baginda dalam semua perkara kecuali yang bersangkut-paut dengan adat istiadat tempatan dan agama.

Sultan Muhammad Jamalul Alam II ibni Sultan Hashim Jalilul Alam Aqamaddin (1889-1924) bersama Raja Isteri Pengiran Anak Fatimah


Pada tahun 1906 juga Brunei dibawah baginda mempunyai bendera negara yang menjadi asas kepada warna dan jalurnya yang terkini.

Bendera Brunei dari 1906 hingga 1959

Kanun Tanah berpandukan Sistem Torrens diperkenalkan pada tahun 1907 di mana ianya memperjelaskan sempadan Brunei. Kanun Tanah 1907 juga menjadi pemangkin ekonomi Brunei melalui pengenalan cukai bagi sumber pendapatan dari industri getah dan juga melalui industri minyak & gas. Pada tahun 1911, sistem pendidikan negaranya diperkukuhkan dengan pembinaan sekolah-sekolah Melayu. Baginda juga menubuhkan pasukan Polis Brunei pada tahun 1921. Kemudian pada tahun 1922, rancangan pembangunan mula giat dijalankan. Pada tahun yang sama, baginda juga berpindah dari Istana Kampong Ayer ke Istana Majlis.

"Paleis van de sultan van Brunei" (Istana Sultan Brunei) rakaman G.R. Lambert & Co. (c. 1890) iaitu di zaman pemerintahan Sultan Hashim Jalilul Alam Aqamaddin ibni Sultan Omar Ali Saifuddien II (1825-1906). (Sumber: Leiden University Library)



Pemerintahan baginda agak singkat. Penularan wabak penyakit malaria yang serius pada masa itu telah menyebabkan baginda mangkat pada 11 September 1924, ketika berusia 35 tahun. Walau bagaimanapun, atas permodenan yang dipelopori baginda, Brunei mempunyai mekanisma yang secukupnya bagi mengutip dan mentadbir hasil carigali minyak dan gas yang ditemui pada tahun 1926.

Baginda diganti oleh anakanda kedua baginda, Sultan Ahmad Tajuddin, yang memerintah sebagai Sultan Brunei ke-27 dari 1924 hingga 1950.

Sultan Ahmad Tajuddin ibni Sultan Muhammad Jamalul Alam II (1913-1950) sekitar tahun 1934 (Sumber: Royal Collection Trust, UK)


Sultan Ahmad Tajuddin Akhazul Khairi Waddien ibni Sultan Muhammad Jamalul Alam II (1913-1950) bersama pegawai British memeriksa sebuah pesawat udara jenis "flying boat" model Supermarine Southampton sekitar tahun 1930. Sumber: Imperial War Museums, London.



Setelah kemangkatan Sultan Ahmad Tajuddin, anakanda ke-5 Sultan Muhammad Jamalul Alam II iaitu Sultan Omar Ali Saifuddien III (1914-1986) dilantik sebagai Sultan Brunei yang ke-28 pada 4 Jun 1950. 

Sultan Omar Ali Saifuddien III ibni Sultan Muhammad Jamalul Alam II (1914-1986) dan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Damit (Sumber: Warisanpermaisuri.blogspot.com)

Kesinambungan Kesultanan Brunei yang wujud semenjak abad ke-14 ini diteruskan dengan pemerintahan Sultan Brunei ke-29 iaitu Sultan Hassanal Bolkiah ibni Sultan Omar Ali Saifuddien III yang telah ditabalkan pada 5 Oktober 1967.

Sultan Hassanal Bolkiah bersama ayahandanya Sultan Omar Ali Saifuddien III dan juga Prince of Wales (Prince Charles) semasa Pengisytiharan Kemerdekaan Brunei pada 1 Januari 1984.


Sumber:

1. https://ms.m.wikipedia.org/wiki/Sultan_Muhammad_Jamalul_Alam_II

2. https://ms.m.wikipedia.org/wiki/Brunei

3. Imperial War Museums, London

4. Leiden University Library, Amsterdam



Thursday 25 June 2020

Pedagang Kepulauan Melayu Di Australia

Gambar 1: Lukisan William Westall bertajuk "View of Malay Road from Pobassoo's Island, February 1803" (Sumber: National Maritime Museum, Greenwich, London)


Lebih kurang 200 tahun sebelum orang Eropah sampai ke perairan Australia, orang-orang dari kepulauan Melayu telah membina perahu-perahu besar bagi mengharungi laut dalam dan belayar hingga ke Australia utara. Mereka terdiri dari pelayar yang berasal dari Makassar dan Brunei. Setiap tahun mereka akan mengembara sehingga kepulauan Aru berdekatan New Guinea dan kemudian ke Australia utara untuk berdagang dengan penduduk Aborigin di sana.

Kawasan yang dilawati oleh pelayar kepulauan Melayu di Australia adalah direkodkan seluas 2,000 km iaitu dari kawasan Kimberley hingga ke teluk Carpentaria. Setiap tahun, pelayar dari kepulauan Melayu ini akan belayar mengikuti angin barat laut dengan menggunakan perahu besar mereka. Mereka akan berlabuh dan menetap di perairan Australia untuk mengumpul dan membeli gamat, mutiara dan sarang burung.  Setelah selesai berurusan, mereka akan belayar pulang pada musim panas.

Secara amnya, semangat mengembara pelayar-pelayar tradisi ini pernah direkod Thomas Forrest di dalam 'A Voyage from Calcutta to the Mergui Archipelago' (1792), yang menulis bahawa:

“The Buggesses in general are a high-spirited people; they will not bear ill usage... They deserve the character given of Malays in general, by Monsieur Poivre, in his Travels of a Philosopher, 'fond of adventures, emigration, and capable of undertaking the most dangerous enterprizes'.”

Antara bukti pelayaran masyarakat kepulauan Melayu ke Australia dirakam dalam sebuah lukisan oleh William Westall bertajuk "View of Malay Road from Pobassoo's Island, February 1803" (Gambar 1). Lukisan ini dihasilkan berdasarkan pertemuan antara Matthew Flinders dengan Nakhoda Pobassoo (Bapapasu) sekitar 17.2.1803 hingga 23.2.1803 di Tanjung Arnhem di sebelah barat Teluk Carpentaria, Australia. Nakhoda Bapapasu iaitu seorang pelayar Bugis dari Makassar menjalankan perniagaan dengan masyarakat Aborigin Yolngu untuk mengumpul dan mengeringkan gamat yang kemudiannya dijual ke negeri Cina melalui Hindia Timur Belanda (kini Indonesia).  Lihat lakaran wajah Bapapasu oleh Westall di Gambar 2.

Gambar 2: Lakaran wajah Nakhoda Pobassoo atau Bapapasu oleh William Westall (1803) (Sumber: Wikipedia)

Flinders mencatat bahawa Nakhoda Bapapasu adalah pelayar yang berpengalaman dan mempunyai lebih dari 6 buah perahu besar. Menurut lukisan Westall tersebut, terdapat 10 buah perahu besar direkodkan sedang berlabuh di Tanjung Arnhem (Gambar 3).

Gambar 3: Perahu-perahu besar dibawah jagaan Nakhoda Bapapsu yang sedang berlabuh di Tanjung Arnhem, Australia Utara.

Menurut kenyataan Nakhoda Bapapasu yang direkod Flinders pula, pada waktu yang sama terdapat 60 lagi perahu besar dengan 1,000 anak kapal dari kepulauan Melayu yang sedang berlabuh di sebelah barat Tanjung Arnhem. Nakhoda Bapapasu menyatakan bahawa kesemua 60 perahu besar tersebut dan juga perahu-perahu dibawah jagaannya adalah milik "Sultan of Boni" yang dikendalikan oleh seorang Ketua Nakhoda bernama "Salloo". Ini terbuka kepada dua interpretasi iaitu samada Kesultanan Brunei yang pernah disebut sebagai Kerajaan Boni di Borneo atau Kerajaan Bone dari Kepulauan Sulawesi.  Berdasarkan lokasi pelayaran dan asal usul Nakhoda Bapapasu itu sendiri, kemungkinan besar perahu-perahu tersebut dimiliki Kesultanan Bone yang berpusat di Makassar, Sulawesi.


Rujukan:

1. Westall, W., 1803, 'Views of Australian Scenery'.

2. Flinders, M., 1814,  ‘A Voyage to Terra Australis'.

3. Thomas, F., 1792, 'A Voyage from Calcutta to the Mergui Archipelago', S.78 ff.

4. 'Pobasso' dalam Wikipedia. Diekstrak dari https://en.m.wikipedia.org/wiki/Pobasso

5. National Maritime Museum, Greenwich, London



Wednesday 8 January 2020

Toponymy of Kuching, the capital city of Sarawak

Picture 1: Kuching Town.
Source: Sarawak Tourism Board.


There are many theories pertaining to the toponymy of Kuching, the capital city of Sarawak. The first theory is that “Kuching” may not actually mean the Malay word for “cat” but more to do with similar-sounding names. This includes:

  1. That it originates from the word 'Cochin' which is a port in India (now Kochi);
  2. That it relates to the old word for Indochina i.e. 'Cochinchina';
  3. That it originates from the Mandarin word "shuîjîng" or "kôujîng" which relates to the description of a well that existed around Kuching area;
  4. From "Ku"(古) - Old and "Ching"(井) - Well or "old well" (古井) in Chinese. The old well is said to be used to supply clean water to combat the outbreak of cholera in 1888.

The second theory is that it relates to things which are named "Kuching" but not exactly a cat. This includes:

  1. A local fruit known as "Mata Kuching" which grew abundantly on a hill known as Bukit Mata Kuching;
  2. Taken from the hill named Bukit Mata Kuching;
  3. Based on an old river which was named ‘Sungai Kuching’ which have since disappeared due to development.

Thirdly, the theory that it relates to the small feline specie itself. This includes:

  1. The Sang Nila Utama-type founder-myth etymology i.e. it came from James Brooke's initial encounter with a cat along Sarawak river in August 1838 which prompted him to name the place in its honour. From the log of James Brook's ship Royalist, "Kuching" was recorded as his transit point on Sept 3 to 24, 1848, and on Nov 6, 1850;
  2. The high population of wild cats around Bukit Mata Kuching;

My take: Politically, Sarawak was under the Sultanate of Brunei for the period of more than 500 years. The first and last Sultan of Sarawak (a Bruneian Prince) established his kingdom in Santubong in 1599. Kuching town itself was previously known as Lidah Tanah / Leda Tannah which was said to be established by Datu Patinggi Ali around 1820. In 1827 Sultan Muhammad Kanzul Alam of Brunei appointed Pengiran Indera Mahkota Mohammad Salleh as Governor of Sarawak wherein Pengiran Mohammed Salleh further develop Lidah Tanah as his capital and renamed it Kuching. James Brooke came, ousted Pengiran Mohammed Salleh, and named the Sarawak capital as "Sarawak Proper" in 1841. It was not until 1872 that Charles Brooke renamed the settlement to "Kuching".

Over the years, Brunei entered a period of decline. See the Palace of the Sultan of Brunei in mid 19th century (Picture 2). The Sultans of Brunei ceded further stretches of territory to Sarawak. In 1877, stretches to the east of the capital were leased (later ceded) to the British North Borneo Chartered Company. Eventually, due to these seizures of territory, which was accepted by the Sultan for annual lease payments, the British occupied the vast majority of the coast of Brunei.

Picture 2: "Paleis van de sultan van Brunei" (Palace of the Sultan of Brunei) by G.R. Lambert & Co. taken in 1890, 4 decades before the discovery of oil and gas by the Royal Dutch Shell. Source: Leiden University Library, Amsterdam. KITLV 91762.

Based on this political control theory, I would agree that the toponym of Kuching is based on the Malay word “Kuching” or “Kucing” which means cat. The word “Kuching” originates from the Western Malayo-Polynesian word "kutíŋ" which is strongly connected with the Ilokano word "kutíŋ", Pangasinan word "kotíŋ", and Toba Batak word "hutiŋ". Hence, it follows that the word Kuching is a locally known word, or perhaps more familiar to the Bruneian overlords than the local populace.

I would further argue that the decision to name the newly developed township "Kuching" is based on the famed golden cats of Brunei i.e. "Kuching Emas" which is part of the Royal Regalia of the Sultanate of Brunei (Picture 3).

Picture 3: Kuching Emas


"Kuching Emas" is also the name given to Bruneian coins / pitis (Picture 4).

Picture 4: Bruneian Pitis 


According to Pehin Orang Kaya Amar DiRaja Dato Sri Utama (Dr) Hj Muhammad Jamil al-Sufri, Head of the Brunei History Centre, a pair of golden cats were presented to the Sultan of Brunei by the Ming Emperor of China in the 14th century (Barret, 1988). See below, the golden cat presently held in Brunei. They are a pair of golden lion-like beast recognizable as Buddhist guardian lions known in Chinese art as 'dogs of fo' and is said to be a replacement of the 14th century pair (Picture 5).

Picture 5: A pair of Golden Cats (Kuching Emas)

This Bruneian Royal Regalia and Bruneian coin popularly known as "Kuching Emas" enforces the argument that the word "Kuching" has been part of the Bruneian Malay vocabulary since the 14th century. It is thus highly probable that the capital of Sarawak was named “Kuching” in honour of the said Royal Regalia which are deemed sacred and symbolic of the supremacy and authority of the Sultanate of Brunei.

Therefore, based on this record, the founder-myth theory as well as the Chinese old well theory are debunked as Kuching town have existed few decades before it was 'founded' by James Brooke and long before the 1888 outbreak of cholera.

Source:

1. http://www.adat-istiadat.gov.bn/SitePages/Alat-Alat%20Kebesaran%20Diraja.aspx

2. https://en.m.wikipedia.org/wiki/History_of_Brunei


Friday 15 November 2019

Di Manakah Hang Tuah Ketika Melaka Diserang Portugis?

Gambar hiasan. (Sumber: Shutterstock.com / Jasmadi bin Hanafi)

Pengkaji sejarah mengemukakan pelbagai faktor penyebab kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka.  Ini termasuk faktor luaran iaitu Portugis yang lebih mahir dalam taktik pertempuran; dan faktor dalaman iaitu kelemahan pentadbiran dan juga perbuatan khianat pedagang terkaya Melaka iaitu Nina Chatu dan Utimutiraja.

Terdapat rekod dalam simpanan Maharaja Ming iaitu Ming Shi-lu (MSL) yang saya ingin kemukakan sebagai sebab utama kekalahan Melaka pada Ogos 1511. Ianya secara langsung menjawab persoalan mengapa Laksamana Melaka yang tangkas dan armada lautnya yang digeruni tidak mempertahankan Melaka dari serangan Portugis.

Gambar hiasan


Seperti yang pernah dirumuskan, Laksamana Melaka sekitar 1470-1481, yang juga dicatat sebagai Laksamana Hang Tuah dalam karya agung Hikayat Hang Tuah (HHT) dan Sulalatus Salatin / Sejarah Melayu (SM), berada di Ryukyu pada April 1481 dan kemudian di Cina dari Ogos hingga Sept 1481. Menurut rekod Rekidai Hoan (RH) dan MSL, agenda diplomasi Melaka ketika itu adalah untuk membuat aduan tentang tindakan agresif Annam yang telah membunuh Laksamana Melaka sebelumnya (MSL: "Duan-ya-ma-la-di-na-da  Wei-zhe-ran-na" / Tuan Laksamana DiRaja Sang Bija Ratna?) bersama-sama ahli rombongannya pada 1469, dan untuk mendapat keizinan Kerajaan Ming dalam melengkapkan bala tentera dengan senjata secukupnya bagi menyerang Annam.

Lihat:

  1. Laksamana Melaka di Istana Ryukyu
  2. Laksamana Melaka di Istana Ming
  3. Peranan 'Hang Tuah' Dalam Kes Pertikaian Melaka - Annam

Berdasarkan HHT, Laksamana Hang Tuah dikatakan membeli 6 ekor gajah di Siam dan sebelum itu telah melawat Brunei. Jika dirujuk silang MSL, beberapa ekor gajah telah dibawa rombongan yang diketuai Laksamana Melaka dan telah dihadiahkan kepada Maharaja Ming pada 27.8.1481.  Berdasarkan HHT, terdapat catatan bahawa Laksamana Hang Tuah telah ke Turki Uthmaniyyah (Rum) sekitar 1482 untuk membeli 3,000 pucuk bedil dan pelbagai senjatapi, di mana beliau sempat menunaikan ibadah Haji pada musim haji 886H (8 hingga 12 Zulhijah) bersamaan 28.1.1482 hingga 1.2.1482. Melalui HHT juga kita maklum bahawa apabila belayar jauh, armada Melaka selalunya belayar dalam kumpulan 40 hingga 50 buah kapal bersama lebih kurang 1,500 hingga 2,000 anak kapal. Sebagai contoh, menurut HHT pelayaran Laksamana Hang Tuah ke Jeddah diiringi 42 buah kapal yang memuatkan 1,600 bala tentera.

Lihat: Kisah Hang Tuah Menunaikan Haji

Menurut catatan Mao Qiling, Melaka mempunyai bala tentera yang kuat. Direkodkan Mao Qiling juga bahawa 30,000 tentera Annam yang lengkap dengan istinggar dan rentaka telah dikalahkan oleh tentera Melaka di Lanxang sekitar tahun 1483.  Dari sudut garis masa, perperangan ini berlaku sejurus Melaka mendapatkan senjatapi dan bedil dari Turki Uthmaniyyah. Jadi, secara logik, semestinya tentera Annam telah diperangi Melaka dengan menggunakan 3,000 bedil dan senjatapi Turki Uthmaniyyah tersebut.

Menurut MSL lawatan ufti Melaka ke Cina yang berikutnya berlaku dari 29.12.1508 hingga 2.1.1509. Akan tetapi, kali ini ketua rombongan ufti Melaka membahasakan dirinya sebagai Tuan Haji (MSL: 'Duan Ya-zhi' (端亞智)). Saya berpendapat berdasarkan cerita Hang Tuah ke Mekah dalam HHT, sosok Tuan Haji ini dan ketua rombongan Melaka yang sebelumnya (April 1481) iaitu Tuan Laksamana DiRaja (MSL: 端亞媽剌的那查 / Duan-ya-ma-la-di-na-zha) adalah orang yang sama.

Juga saya rujuk silang HHT & SM di mana ketika itu jawatan Laksamana telah diserahkan kepada penjawat seterusnya iaitu Laksamana Khoja Hassan dan kemudiannya Laksamana Hang Nadim.  Juga terdapat cacatan dalam SM di mana Laksamana Melaka pada sekitar tahun 1492 (anggaran) adalah Laksamana Hang Nadim dalam kisah beliau membawa lari Tun Teja dan bertempur dengan perahu tentera Sultan Pahang di Pulau Keban (kini Pulau Aceh di Mersing).

Seperti yang kita maklum, kedatangan Portugis pertama pada September 1509 tidak mendatangkan hasil malah 20 laskar Portugis telah ditahan. Dalam kejadian lawatan pertama Portugis itu, HHT ada menyebut kewujudan seorang Laksamana tetapi beliau tidak diberi nama. Ketika itu, jika dibanding rekod MSL, Laksamana Melaka terdahulu yang ketika itu digelar Tuan Haji sedang dalam pelayaran ke Cina. Berpandukan jadual pelayaran berdasarkan angin monsun, beliau dianggar bertolak dari Melaka sekitar Ogos-September 1509 dan tiba di Guangdong pada Oktober-November 1509.

Portugis tidak putus asa dan telah kembali ke Melaka pada 1.7.1511. Ketika itu, Alfonso de Albuquerque mencatat hanya 4,000 tentera Melaka yang bersedia untuk perang (battle ready). Jadi kemana pergi yang lainnya? Juga amat pelik apabila Albuquerque mencatat terdapat jumlah senjata yang melebihi jumlah tentera. Iaitu terdapat antara 3,000 senjatapi pelbagai jenis yang ditinggalkan sejurus Melaka tumpas. Ini tidak termasuk senjata yang dibawa semasa berperang dan berundur ke Johor yang dianggar dalam jumlah 5,000.  Albuquerque juga bersetuju dengan anggaran hasil risikan Nina Chatu dan Rui de Araújo yang menyatakan Kesultanan Melaka mempunyai lebih kurang 8,000 senjatapi.

Berbalik kepada rekod MSL yang ingin saya ketengahkan, terdapat catatan yang dibuat pada 2.3.1510 bahawa "Tuan Haji" iaitu pegawai tertinggi dalam rombongan ufti Kesultanan Melaka telah dibunuh oleh seorang bekas jurubahasa Cina bagi delegasi Melaka. Bekas jurubahasa tersebut bernama Huo-zhe Ya-liu (火者亞劉) (‘Haji Ya-liu' / Haji Melayu?) dan nama asal beliau adalah Xiao Ming-ju (蕭明舉) dari  Jiang-xi, Cina. Beliau dicatat Cina sebagai bekas penjenayah dan pernah berkhidmat sebagai jurubahasa dibawah 'Tuan Haji' dan kemudian dinaikkan pangkat sebagai ketua rombongan ufti Melaka pada sessi ufti 1509. Memandangkan beliau juga bergelar Haji, boleh dirumuskan beliau juga menyertai rombongan Haji dari Melaka pada tahun 1482.

Dicatat bahawa pembesar Melaka seramai 21 orang termasuk Tuan Haji telah dibunuh di "Postal Relay Station" ('yi'  驛  atau  'yizhan'  驛站) di Guangdong oleh Haji Ya-liu dengan bantuan beberapa orang yang diketuai Peng Wan-chun. Perkara ini mungkin berlaku lebih kurang antara Oktober hingga November 1509 kerana rombongan ufti ini belum sempat bergerak melalui jalan darat ke Kota Larangan di Beijing.

Lukisan bertajuk 'Peristiwa Lima Bersaudara Menyelamatkan Bendahara Melaka Dari Amukan Penjahat' oleh Nazli Hamzah. (Sumber: Hang Tuah Centre, Melaka)


Dicatat bahawa Haji Ya-liu, Peng Wan-chun dan kuncu-kuncunya telah ditangkap, dibawa ke ibu negeri di Beijing dan dihukum bunuh oleh Maharaja Zhengde atas kesalahan memberontak, membunuh, mencuri, memberi rasuah, dan menipu Kerajaan Ming untuk mengeluarkan dokumen kapal & mohor palsu dalam percubaan menipu dan mendapat barangan berharga dari Kesultanan Brunei melalui penyamaran sebagai wakil Kerajaan Ming.

Setelah dua kali siasatan dibuat, Haji Ya-liu dikenakan hukuman dihiris hidup-hidup (slow slicing / lingchi), manakala Peng Wan-chun dan beberapa orang yang lain dikenakan hukuman pancung. Kepala mereka telah diletakkan di perkarangan Kota Larangan.

Illustrasi Hukuman Lingchi (Slow Slicing) terhadab mubaligh Perancis c. 1858 (Sumber: Wikipedia / Le Monde Illustré, 1858)

Beberapa pegawai Kerajaan Ming yang terlibat didapati hanya bersubahat dalam memalsukan dokumen dan telah dikenakan hukuman ringan. Mereka terdiri dari:

  1. Senior Interpreter Wang Yong. Setelah siasatan kedua dijalankan, hukuman bunuh beliau telah dikurangkan kepada denda 300 shi (18,000 kg) beras;
  2. Usher Zhang Zi dibuang negeri ke sempadan dan dijadikan askar;
  3. Pegawai 'Ministry of Rites' Hou Yong dibuang negeri ke sempadan dan dijadikan askar;
  4. Battalion Commander Dong Yuan diturunkan 2 kenaikan pangkat;
  5. Director Qiu Rang didenda 300 shi (18,000 kg) beras;
  6. Menteri 'Ministry of Rites' Bai Yue dan lain-lain dihukum penggantungan gaji selama 3 bulan;
  7. Guangdong grand defender, grand coordinator, pegawai dari 3 pejabat utama, dan pegawai-pegawai kawasan yang terlibat didenda 200 shi (12,000 kg) beras setiap seorang;
  8. Pan Zhong pegawai 'Maritime Trade Supervisorate' telah diampunkan,
  9. Pegawai-pegawai dari Jiang-xi (tempat asal Haji Ya-liu) dikatakan tidak berintegriti di mana 50 darinya telah dibuang kerja serta merta; dan catatan dibuat untuk tidak menaikan pangkat walau mereka tidak terlibat, juga catatan supaya calon daerah Jiang-xi tidak diambil bagi posisi kerja di Beijing, dan juga secara amnya mengurangkan calon pekerja dari daerah Jiang-xi tersebut.

Jika dilihat, pembunuhan delegasi Melaka ini dilakukan dengan terancang dan dengan bantuan penuh pegawai-pegawai Kerajaan Ming di Postal Relay Station di Guangdong. Motif pembunuhan adalah dicatat berpunca dari pergaduhan antara Haji Ya-liu dan pembesar-pembesar Melaka, di mana Haji Ya-liu kemudian berkomplot untuk membunuh dan mencuri dari mereka. Saya percaya bahawa pembunuhan tersebut dilakukan dalam keadaan terdesak iaitu dalam motif untuk menutup perbuatan jenayah Haji Ya-liu yang telah didapati bersekongkol dengan pegawai Kerajaan Ming dalam mengeluarkan mohor palsu bagi menipu Kesultanan Brunei.

Memandangkan ketua dan pembesar mereka telah dibunuh, armada Melaka yang berlabuh di Guangdong tidak sempat pulang mengikut jadual pelayaran iaitu pada Disember 1509 hingga Januari 1510. Mereka perlu menguruskan pengkebumian pembesar-pembesar Melaka di Guangdong; dan kemudian mengikuti siasatan dan menunggu keputusan perbicaraan dan hukuman Haji Ya-liu dan lain-lain pesalah sekitar Februari 1510 di Beijing, dan kemudian menerima pesanan dan utusan Maharaja Ming untuk dipersembahkan kepada Sultan Melaka. Direkodkan perjalanan darat dari Guangdong ke Beijing mengambil masa 140 hari pergi dan balik.

Dalam catatan MSL dua pembesar Melaka yang terselamat iaitu "Po-jie-ya-ban" dan "Dun-du-si" (Tengku Sri?) telah diarahkan untuk membawa balik laporan penuh siasatan dan butiran hukuman yang telah dijatuhkan terhadap kes pemberontakan Haji Ya-liu tersebut kepada Sultan Melaka.  Armada Melaka kemudian perlu menunggu pertukaran angin seterusnya untuk belayar pulang. Akan tetapi tiada rekod dalam MSL tentang bila mereka memulakan pelayaran pulang.

Dirujuk silang dalam HHT & SM, adalah jelas bahawa Laksamana Hang Tuah tiada di Melaka semasa serangan Portugis pada Julai hingga Ogos 1511. Catatan Albuquerque pula menyatakan armada Melaka tiba disekitar perairan Melaka tapi tidak bertindak apabila mengetahui Melaka telah ditawan. Berdasarkan rekod MSL ini, adalah jelas kenyataan Albuquerque tentang Laksamana berumur 80 tahun yang dikatakan ingin kembali ke Melaka dan difitnah ingin berkhidmat dengan Raja Portugal adalah bukannya merujuk kepada Laksamana Melaka yang dibunuh di Guangdong (i.e. bukan Laksamana Hang Tuah menurut HHT & SM).

Pada pendapat saya penduduk Melaka yang menjadi asas teks penceritaan HHT dan SM tidak tahu sebab sebenar mengapa Laksamana dan armada Melaka tidak pulang untuk mempertahankan Melaka. Malah sehingga kini tidak diketahui kemanakah armada Melaka tersebut pergi setelah ditugaskan Maharaja Ming untuk memaklumkan kepada Sultan Melaka tentang tragedi yang menimpa 21 orang pembesar dan wakil Melaka di Cina.

Nota: Catatan ini hanyalah sekadar pendapat peribadi saya. Rekod-rekod MSL seharusnya diteliti dan dikaji lebih lanjut oleh ahli akademik dan mereka yang pakar dalam bidang kajian sejarah.

Rujukan:

1. The Ming Shi-lu (veritable records of the Ming Dynasty) as a source for Southeast Asian history, 14th to 17th centuries, Geoffrey Wade (1994).

2. Ryukyuan Relations with Korea and South Seas Countries: An Annotated Translation of Documents in the Rekidai Hōan. Kobata, Atsushi and Mitsugu Matsuda (1969)

3. Sejarah Melayu diusahakan oleh W.G. Shellabear, Fajar Bakti, (1978).

4. Hikayat Hang Tuah, Kassim Ahmad (ed.), Dewan Bahasa dan Pustaka, 1975.

5. Mao Qiling. Mansi hezhi [A Comprehensive Record of the Aboriginal Chieftains]. Taipei: Guangwen Shuju, (1968).

6. Comentários de Afonso de Albuquerque, (1557), t. A Bailo, Combra (1923).

7. The postal stations (yizhan  驛站) in Ming  China, Ralph Kauz in 'Trade and Transfer Across the East Asian "Mediterranean", Angela Schottenhammer (2005).


Wednesday 6 November 2019

Hubungan Diplomatik Awal Brunei - Cina

Seperti kebanyakan kerajaan lama di Nusantara, orang-orang Bo-ni (Brunei) juga telah berdagang dengan Cina semenjak Dinasti Han (206BC-220AD).  Utusan rasmi Bo-ni ke Cina pula direkod wujud semenjak zaman Dinasti Liang (502-557). Catatan utusan terawal adalah pada tahun 517, dan diikuti oleh utusan pada tahun 521 dan 631.

Semasa zaman Dinasti Ming, Sultan Brunei pertama iaitu Sultan Mohammed Shah (r. 1363-1402) (Awang Alak Betatar) [Catatan Ming Shi-lu (MSL): 馬合謨沙 /Ma-he-mo-sha] telah menghantar utusan melalui Menteri beliau yang bernama Ismail (MSL: 亦思麻逸 / Yi-si-ma-yi) pada 22.9.1371. Ini diikuti dengan satu lagi utusan pada 1394.

Sultan Brunei berikutnya iaitu Sultan Abdul Majid Hasan (MSL:  麻那惹加那乃 / Ma-na-re-jia-na-nai) & (MSL: 麻那惹加那Ma-na-re-jia-na) (r. 1402-1408) telah menghantar utusan melalui Sang Arya (MSL:  生阿烈伯成 / Sheng A-lie Bo-cheng) pada 5.12.1405 dan 6.2.1406.

Sultan Abdul Majid Hasan sendiri telah berangkat ke Cina pada 1408 ketika berumur 28 tahun. Malangnya, baginda telah mangkat di Nanjing pada 19.10.1408. Untuk menghormati baginda, Maharaja Yongle telah mengarahkan majlis mengadap di Istana Ming ditangguh selama 3 hari untuk berkabung dan juga telah mengarahkan pemakaman dibuat menurut istiadat Raja. Maharaja Yongle telah menganugerahkan darjah kehormat gelaran "Gong-shun" (Respectful and According) secara anumerta.

Maharaja Yongle juga memerintahkan Putera Awang (MSL: 遐旺 / Xia-wang) yang ketika itu berumur 4 tahun untuk menggantikan ayahandanya sebagai Sultan Brunei. Putera Awang kemudian telah pulang diiringi bondanya, bapa saudaranya, Shi-li Nan-na-na-nuo (施里難那那喏), dan 150 orang delegasi Brunei.

Rekod MSL berkenaan utusan ufti Brunei ke Cina semasa pemerintahan Putera Awang adalah seperti berikut:

  1. 13.10.1410 - mengantar bapa saudaranya, Bendahara (MSL: 蔓的里哈盧 / Man-da-li-ha-lu) sebagai ketua utusan ke Cina;
  2. 16.10.1411 - menghantar Ban Yang-la (板羊覽) sebagai ketua utusan ke Cina;
  3. 30.10.1412 - Putera Awang telah ke Cina ketika berusia 8 tahun;
  4. 15.3.1413 - Putera Awang telah ke Cina ketika berusia 9 tahun;
  5. 31.3.1415 - menghantar Sheng A-lie Wei-nuo-ye-sha-ban ( 生阿烈微喏耶沙扮 ) sebagai ketua utusan ke Cina;
  6. 6.12.1417 - menghantar nenda saudaranya, Mahmud (MSL: 麻木 / Ma-mu) sebagai ketua utusan ke Cina;
  7. 11.1.1426 - menghantar bapa saudaranya Sha-na-wan-nuo-ye (沙那萬喏耶) sebagai wakil utusan ke Cina.

Utusan Brunei terputus dalam rekod MSL dengan utusan terakhir yang diwakil Sha-na-wan-nuo-ye pada 1426. Antara hadiah yang diberikan oleh Maharaja Ming iaitu 'Kucing Emas' menjadi alat kebesaran Kesultanan Brunei sehingga kini. (Lihat Gambar 1).

Gambar 1

Walaupun Brunei diperintah oleh nenda saudara Putera Awang iaitu Sultan Ahmad (Pateh Berbai) (r. 1408-1425), dan kemudian oleh menantu Sultan Ahmad iaitu Sultan Sharif Ali (r. 1425-1432), Maharaja Ming Yongle, Hongxi dan Xuande hanya mengiktiraf Putera Awang sebagai pemerintah Brunei di mana nama Putera Awang disebut sebagai "Xia-Wang the King of Bo-ni" didalam rekod MSL.

Jika dikaji sumber MSL dan dibanding dengan sejarah Brunei, nama Sultan Abdul Majid Hasan dan juga nama Putera Awang tidak wujud di dalam Salasilah Raja-Raja Brunei yang tercatat di Batu Tarsilah yang diukir oleh Khatib Haji Abdul Latif sekitar 1795-1807. (Lihat Gambar 2)

Gambar 2

Pada tahun 1958, dua batu bersurat telah dijumpai di Bukit Shizi, Andemen, Nanjing. Ianya mengandungi catatan bahawa kawasan tersebut adalah adalah Makam Raja Bo-ni bernama Ma-na-re-jia-na iaitu Makam Sultan Abdul Majid Hasan.

Kompleks Makam yang terletak dikawasan seluas 17 hektar tersebut telah dibaikpulih (Lihat gambar 3-5). Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, iaitu kakanda Sultan Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, telah membuat lawatan rasmi ke Makam tersebut pada tahun 2006 & 2008 sebagai tanda pengiktirafan kewujudan penemuan leluhur sebenar yang telah dibuktikan oleh MSL dan catatan pada batu bersurat yang dijumpai.

Gambar 3


Gambar 4

Gambar 5

Rujukan:

1. The Ming Shi-lu (veritable records of the Ming Dynasty) as a source for Southeast Asian history, 14th to 17th centuries, Geoffrey Wade (1994).

2. http://www.adat-istiadat.gov.bn/SitePages/Alat-Alat%20Kebesaran%20Diraja.aspx

3. http://virtual-bruneidarussalam.blogspot.com/2017/08/batu-tarsilah-brunei.html

4. http://bruneiresources.blogspot.com/2016/08/bruneis-sultan-abdul-majid-and-chinese.html



Ekspedisi Wilkes (1838-1842)

Kapal USS Vincennes, yang memuatkan 190 anak kapal dan merupakan kapal utama Ekspedisi Wilkes. Singapura adalah destinasi terakhir yang dila...