Popular Posts

Showing posts with label Sultan Idris. Show all posts
Showing posts with label Sultan Idris. Show all posts

Tuesday 31 December 2019

Majlis Mesyuarat Negeri

Sejarah Perlembagaan Malaysia boleh dikatakan bermula dengan Perjanjian Pangkor 1874 yang dilaksanakan melalui Majlis Mesyuarat Negeri di Perak pada tahun 1877.

Majlis Mesyuarat Negeri ini dianggotai oleh Sultan sebagai ketua, Residen Inggeris, 12 orang pembesar Melayu, dan dua orang wakil masyarakat Cina. Mesyuarat ini dikendalikan dalam Bahasa Melayu dan dicatat dalam tulisan Jawi. Minit mesyuarat juga diterjemah ke dalam Bahasa Inggeris. Semua usul dan cadangan dibahas dan diundi sebelum dijadikan undang-undang.

 

Dalam gambar ini dapat dilihat ahli-ahli utama Majlis Mesyuarat Negeri Perak. Duduk dari kiri ke kanan adalah Raja Idris Shah (Raja Bendahara), Raja Yusuf (Pemangku Sultan Perak) sebagai Yang Dipertua Majlis, Orang Kaya Temenggong, dan Hugh Low (Residen Inggeris) (berdiri). Menurut catatan pihak Muzium Belanda, gambar ini dirakam oleh Xavier Brau de Saint Pol Lias  sekitar 1880 hingga 1881.



Ketika itu Raja Yusuf masih memegang jawatan Pemangku Sultan dengan memakai gelaran ‘Regent’. Beliau dilantik pada 1877 bagi  mengisi kekosongan takhta Kesultanan Perak setelah Sultan Abdullah disingkirkan dan dibuang negeri oleh Inggeris kerana terlibat dalam rancangan pembunuhan J.W.W. Birch pada 2.11.1875.

Pada mulanya Majlis Mesyuarat Negeri memainkan peranan penasihat. Lama-kelamaan fungsinya diperluaskan untuk merangkumi kedua-dua fungsi perundangan dan eksekutif. Ia merupakan satu bentuk sistem pemerintahan Inggeris secara tidak langsung di negeri-negeri Melayu. Residen Inggeris ditugaskan untuk menasihati Sultan dan nasihatnya itu mesti dipatuhi dalam semua perkara, kecuali melibatkan agama Islam dan adat istiadat Melayu.

Tindakan Inggeris amat licik malah sehingga hari ini ada yang membahaskan bahawa Negeri-Negeri Melayu tidak pernah dijajah kerana kuasa Sultan berterusan dan tidak pernah diambil alih Inggeris sepenuhnya. Apa yang jelas adalah Majlis Mesyuarat Negeri tersebut dilaksanakan tanpa garis panduan yang lengkap di mana ia telah dijalankan dengan terlalu bebas sehingga banyak kuasa Sultan terlepas ke tangan Inggeris. Sistem Residen dan Majlis Mesyuarat Negeri ini diperkukuhkan dengan penubuhan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu pada tahun 1896 dan berterusan sehingga tahun 1948 apabila Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan.

Sumber:

1. Xavier Brau de Saint Pol Lias  (1840–1914), Nationaal Museum van Wereldculturen.

2. https://en.m.wikipedia.org/wiki/History_of_the_Malaysian_Constitution

3. https://ms.m.wikipedia.org/wiki/Persekutuan_Tanah_Melayu



Thursday 5 December 2019

Mesyuarat Durbar 1897

Mesyuarat Durbar 1897 adalah merupakan mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu bagi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu yang baru ditubuhkan setahun sebelumnya (1896). Ia adalah mesyuarat yang pertama diadakan di mana perkara-perkara mengenai agama, adat-istiadat dan lain-lain perkara yang berkaitan dengan orang Melayu dibincangkan. (Gambar 1).

Gambar 1: Ahli Mesyuarat Durbar 1897 di perkarangan Istana Negara, Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Perak

Ianya dihadiri Sultan Ahmad (Pahang), Sultan Abdul Samad (Selangor), Sultan Idris (Perak) dan Tuanku Muhammad (Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.  Pihak Inggeris pula diwakili Sir Charles Mitchell (Gabenor Negeri-Negeri Selat & Pesuruhjaya Tinggi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu), Sir Frank Swettenham (Residen Jeneral Negeri-Negeri Melayu Bersekutu), Hugh Clifford (Residen Pahang), JP Rodgers (Residen Selangor), WH Treacher (Residen Perak).

Ianya telah berlangsung selama 4 hari di Istana Negara (juga dipanggil Istana Idris), Bukit Chandan, Kuala Kangsar iaitu dari 14 - 17 Julai 1897 (Gambar 2). Kenyataan tentang lokasi mesyuarat di Istana Iskandariah adalah tidak benar kerana Istana Iskandariah hanya dibina pada tahun 1933.

Gambar 2: Istana Negara, Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Sumber: GR Lambert & Co., sekitar 1890.

Selain dari kehadiran pembesar-pembesar negeri, alat-alat kebesaran negeri juga turut dibawa bersama. Lihat hulubalang Istana yang membawa Keris Taming Sari di Gambar 3.

Gambar 3: Hulubalang Istana (tengah) memegang Keris Taming Sari iaitu salah satu alat kebesaran Kesultanan Perak yang diwarisi dari Kesultanan Melaka.

Secara amnya, mesyuarat Durbar 1897 ini telah meningkatkan perasaan muhibah antara ahli-ahlinya; namun ia tidak memberi kesan dari segi pentadbiran. Walaupun berlangsung selama 4 hari, mesyuarat tersebut hanya bertujuan sebagai majlis penasihat semata-mata. Perkara yang dibincangkan juga terhad dan hanya merupakan salah satu agenda dalam aturcara yang merangkumi penangkapan ikan, sukan air, teater amatur, perkelahan di kawasan air terjun, pertunjukkan bunga api dan juga bentuk hiburan lain.

Sekiranya dilihat dari segi kekerapan, jarak antara mesyuarat Durbar pertama dengan yang kedua adalah enam tahun di mana pada dasarnya Inggeris berpendirian bahawa mesyuarat sebegini tidak wajar diadakan pada setiap tahun.

Rujukan:

1. http://www.arkib.gov.my/web/guest/mesyuarat-durbar-negeri-negeri-melayu-bersekutu-yang-pertama-kuala-kangsar-julai1897
2. http://www.majlisraja-raja.gov.my/
3. https://ms.m.wikipedia.org/wiki/Majlis_Raja-Raja



Ekspedisi Wilkes (1838-1842)

Kapal USS Vincennes, yang memuatkan 190 anak kapal dan merupakan kapal utama Ekspedisi Wilkes. Singapura adalah destinasi terakhir yang dila...