Sejarah Perlembagaan Malaysia boleh dikatakan bermula dengan Perjanjian Pangkor 1874 yang dilaksanakan melalui Majlis Mesyuarat Negeri di Perak pada tahun 1877.
Majlis Mesyuarat Negeri ini dianggotai oleh Sultan sebagai ketua, Residen Inggeris, 12 orang pembesar Melayu, dan dua orang wakil masyarakat Cina. Mesyuarat ini dikendalikan dalam Bahasa Melayu dan dicatat dalam tulisan Jawi. Minit mesyuarat juga diterjemah ke dalam Bahasa Inggeris. Semua usul dan cadangan dibahas dan diundi sebelum dijadikan undang-undang.
Dalam gambar ini dapat dilihat ahli-ahli utama Majlis Mesyuarat Negeri Perak. Duduk dari kiri ke kanan adalah Raja Idris Shah (Raja Bendahara), Raja Yusuf (Pemangku Sultan Perak) sebagai Yang Dipertua Majlis, Orang Kaya Temenggong, dan Hugh Low (Residen Inggeris) (berdiri). Menurut catatan pihak Muzium Belanda, gambar ini dirakam oleh Xavier Brau de Saint Pol Lias sekitar 1880 hingga 1881.
Ketika itu Raja Yusuf masih memegang jawatan Pemangku Sultan dengan memakai gelaran ‘Regent’. Beliau dilantik pada 1877 bagi mengisi kekosongan takhta Kesultanan Perak setelah Sultan Abdullah disingkirkan dan dibuang negeri oleh Inggeris kerana terlibat dalam rancangan pembunuhan J.W.W. Birch pada 2.11.1875.
Pada mulanya Majlis Mesyuarat Negeri memainkan peranan penasihat. Lama-kelamaan fungsinya diperluaskan untuk merangkumi kedua-dua fungsi perundangan dan eksekutif. Ia merupakan satu bentuk sistem pemerintahan Inggeris secara tidak langsung di negeri-negeri Melayu. Residen Inggeris ditugaskan untuk menasihati Sultan dan nasihatnya itu mesti dipatuhi dalam semua perkara, kecuali melibatkan agama Islam dan adat istiadat Melayu.
Tindakan Inggeris amat licik malah sehingga hari ini ada yang membahaskan bahawa Negeri-Negeri Melayu tidak pernah dijajah kerana kuasa Sultan berterusan dan tidak pernah diambil alih Inggeris sepenuhnya. Apa yang jelas adalah Majlis Mesyuarat Negeri tersebut dilaksanakan tanpa garis panduan yang lengkap di mana ia telah dijalankan dengan terlalu bebas sehingga banyak kuasa Sultan terlepas ke tangan Inggeris. Sistem Residen dan Majlis Mesyuarat Negeri ini diperkukuhkan dengan penubuhan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu pada tahun 1896 dan berterusan sehingga tahun 1948 apabila Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan.
Sumber:
1. Xavier Brau de Saint Pol Lias (1840–1914), Nationaal Museum van Wereldculturen.
Pada zaman kolonial, Kapurthala adalah sebuah Kerajaan beraja dan diperintah oleh keturunan Alhuwalia Sandhu. Pada 1877 putera raja bernama Jagatjit Singh Sahib Bahadur (1872-1949) telah dilantik sebagai Raja dan pemerintah Kapurthala di Punjab yang ketika itu adalah sebuah negeri dalam British India.
Maharaja Jagatjit Singh amat gemar mengembara. Beliau juga disifatkan sebagai seorang 'Francophile' di mana sehingga istana yang dibinanya di Kapurthala direka khas supaya menyerupai istana Versailles di Paris. Lihat Istana tersebut di Gambar 1.
Gambar 1. Istana Maharaja Jagatjit Singh, Kapurthala, Punjab.
Pada tahun 1903, dalam pengembaraan beliau ke Jepun, beliau telah singgah ke Singapura dan Johor. Beliau disambut sebagai tetamu Sultan Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar (1873-1959). Semasa lawatan tersebut, gambar potrait Sultan Ibrahim I (Gambar 2) telah diberikan kepada Maharaja Jagatjit Singh (Gambar 3).
Gambar 2. Sultan Ibrahim I.
Gambar 3. Maharaja Jagatjit Singh.
Penulisan Maharaja Jagatjit Singh berkenaan perjumpaan beliau dengan Sultan Ibrahim I pada tahun 1903 diabadikan dalam buku beliau bertajuk "My Travels in China, Japan and Java, 1903". Saya sertakan catatan tentang lawatan ke Johor dalam Gambar 4 hingga 9.
Gambar 4
Gambar 5
Gambar 6
Gambar 7
Gambar 8
Gambar 9
Akhbar Perancis 'La Figaro' bertarikh 12.7.1906 juga ada mencatatkan Sultan Ibrahim dan Maharaja Jagajit Singh kedua-duanya hadir di satu majlis yang di adakan di Hotel Savoy, London sekitar Julai 1906.
Gambar 10: Sultan Ibrahim I, dirakam sekitar 1906.
Maharaja Jagatjit Singh telah berkahwin dengan Anita Delgado iaitu seorang penari berbangsa Sepanyol pada tahun 1908. Dikatakan terdapat watak "Don Pimpón" dalam Sesame Street versi Sepanyol yang suka mengembara ke seluruh dunia dan suka memberikan hadiah. Watak Don Pimpón tersebut dikatakan berkawan dengan Maharaja negeri Kapurthala, dan dengan itu dikaitkan umum dengan kisah perkahwinan Maharaja Jagatjit Singh dengan isteri Sepanyol-nya. Akan tetapi saya berpendapat bahawa watak tersebut adalah berkisar tentang persahabatan Maharaja Jagatjit Singh dengan Sultan Ibrahim I yang juga suka mengembara dan memberi hadiah. Saya juga percaya kisah kehidupan Sultan Ibrahim I dan Maharaja Jagatjit Singh yang sebaya umurnya ini ada banyak persamaannya.
Mungkin bukti yang paling sahih saya boleh kemukakan tentang persamaan antara keduanya adalah bentuk monogram yang digunakan. Apabila diteliti persuratan yang dikeluarkan Maharaja Jagatjit Singh sekitar 1890an, adalah dipercayai bahawa kemungkinan besar monogram biru dan emas huruf "J", "A", "J" & "S" yang dihiasi imej mahkota dan pedang (Gambar 11) telah menjadi inspirasi kepada Sultan Ibrahim I untuk menggunakan monogram peribadi. Sekitar tahun 1920an, Sultan Ibrahim I telah menggunakan huruf "S" & "I", warna biru dan emas, dan juga imej mahkota negeri Johor sebagai monogram peribadi baginda (Gambar 12).
Gambar 11
Gambar 12
Monogram "S" & "I" dalam warna biru dan emas juga dapat dilihat digunakan lebih awal oleh pembesar Eropah iaitu Sigismondo Pandolfo Malatesta (1417-1468) yang memerintah provinsi Rimini di Itali. "S" adalah bagi nama Sigismondo, dan "I" bagi nama isterinya Isotta (1456-1469). (Gambar 13).
Gambar 13
Monogram "S" & "I" tersebut juga masih dipakai sehingga kini oleh kerana Sultan Johor yang berikutnya iaitu Sultan Ismail (1895-1981), Sultan Iskandar (1932-2010) dan Sultan Ibrahim (1958-kini) juga mempunyai singkatan nama yang sama. Waris-waris tahta Kesultanan Johor yang berikutnya iaitu Tunku Ismail & Tunku Iskandar juga akan mempunyai singkatan dan monogram yang sama.
Rujukan:
1. "My Travels in China, Japan and Java, 1903" oleh Maharaja Sir Jagatjit Singh Sahib Bahadur. Penerbit: Hutchinson & Co, 1905.
Gambar 1: "Olifanten te Raub in Pahang" (Gajah di Raub, Pahang) c. 1910. Sumber: C.J. Kleingrothe, Leiden University Libraries, Amsterdam.
Gajah di zaman dahulu kala digunakan oleh Raja dan pembesar Melayu bagi pengangkutan, melakukan kerja berat, memburu, tujuan istiadat dan sebagai kenaikan semasa peperangan (Gambar 1 & 2).
Gambar 2: Gambar gajah yang digunakan sebagai pengangkutan di Perak.
Menurut E.H. Schafer (1957) terdapat catatan bahawa pada tahun 554, juak-juak Melayu telah ditugaskan Kerajaan Maharaja Fei dari Wei Barat (Cina) untuk mengembala dua ekor gajah perang dari Lingnan (kini Cina Selatan & Vietnam). Gajah-gajah tersebut dikatakan dilengkapi rengga kayu dan pedang gading. Menurut rekod Cina, kerajaan Melayu Langkasuka mempunyai hubungan diplomatik dan telah menghantar ufti ke Cina pada tahun 502-507, 511, 515, 518, 520, 531 dan 568. Taftitah ufti yang diutus termasuk gajah bersama-sama pengembalanya sekali. Lihat video berkenaan kelengkapan gajah perang di benua India yang dikatakan bermula sekitar abad ke-11.
Berdasarkan Hikayat Hang Tuah, Laksamana Hang Tuah dikatakan pernah membeli 6 ekor gajah di Siam. Dalam rekod Maharaja Ming (Ming Shi-lu) pula, beberapa ekor gajah telah dibawa rombongan yang diketuai Laksamana Melaka dan telah dihadiahkan kepada Maharaja Ming pada 27.8.1481. Lihat lukisan rombongan yang tiba di Kota Larangan, Beijing sekitar abad ke-19 (Gambar 3).
Gambar 3: Lakaran dalam buku 'The Garden Arbor' (1853) yang menggambarkan gajah-gajah yang dibawa bersama tetamu Maharaja Ming di Kota Larangan.
Gajah perang khususnya dilatih agar tidak mudah gentar dengan bunyi bising hiruk-pikuk semasa peperangan, kerana gajah perang yang berada di luar kawal amat merbahaya kepada pihak lawan atau pasukan sendiri. Perkara yang tidak diingini ini pernah terjadi semasa Portugis menyerang Melaka pada 1511 di mana gajah Sultan Mahmud tidak dapat dikawal apabila ditikam tombak panjang infantri Portugis. Gajah Sultan Mahmud telah pusing kebelakang dan melanggar gajah-gajah lain di mana Sultan Mahmud telah terjatuh dari rengga gajah tersebut. Apabila gajah Sultan tidak dapat dikawal, gajah-gajah perang lain juga turut panik melanggar dan mendatangkan huru hara kepada pasukan pertahanan Kesultanan Melaka. (Gambar 4).
Gambar 4: Lakaran imaginasi pelukis Belanda bernama Pieter Van Der Aa (1706) berkenaan serangan Portugis terhadap Melaka pada Ogos 1511.
Dari segi ilmu kemahiran menjinak gajah, Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) ada menceritakan tentang Seri Wak Raja, Tun Umar dan Maharaja Dewa Sura yang pandai menjinakkan gajah, dan yang terkenal dengan ilmu berkenaan gajah.
Sir Frank Swettenham di dalam bukunya “The Real Malay” menyentuh mengenai orang Melayu di negeri Perak dan menyatakan bahawa orang-orang Melayu pandai menjinak dan membela gajah. Berdasarkan kewujudan manuskrip lama berjudul 'Mantera Gajah' pula, orang Melayu juga dibuktikan telah mahir dengan cara-cara menunduk dan menjinakkan gajah secara turun temurun. Selain dari itu, manuskrip ini juga mengandungi cara-cara menjaga dan mengubati gajah yang sakit. (Lihat Gambar 5).
Gambar 5: Naskhah berjudul ‘Kitab Perubatan, Petua, Mantera, Azimat dan Isim bagi Gajah’ (Mantera Gajah).
Munshi Abdullah pula berpandangan skeptikal berkenaan khidmat pawang gajah yang pernah dicatatnya dalam Hikayat Abdullah seperti berikut:
"Gajah-gajah itu sentiasa dipukul orang. Enam tujuh hari lamanya gajah itu tidak diberi makan. Apabila pawang melihat gajah-gajah itu hendak merempuhi kandang, diambilnya batang pisang dan dibaca-bacakannya, lalu dicampakkan ke dalam kandang. Gajah-gajah itu berebutan makanan. Orang yang melihat itu berkata, "Pawang ini sungguh pandai, Gajah-gajah itu takutkan dia." Karut belaka. Sebenarnya kerana gajah itu dilaparkan beberapa hari. Kasihan! Apabila mendapat makanan, diamlah dia. Kanak-kanak pun dapat memikirkannya."
Samada kita percaya atau tidak, apa yang tidak dapat dinafikan adalah orang-orang Melayu di zaman dahulu kala pandai memberi arahan lisan yang boleh difahami sang gajah. Ini dapat dibuktikan melalui kajian J. I. Miller (1927), di mana beliau mendapati beberapa perkataan asas yang dipertutur orang-orang Melayu dan difahami gajah-gajah di Kuala Kangsar dan sekitar Hulu Perak. Lihat senarai perkataan yang difahami gajah di Gambar 6.
Gambar 6: Catatan Maxwell, W.G., 1906, tentang Bahasa Gajah yang digunakan di Kuala Kangsar dan Hulu Perak.
Bahasa ini adalah arahan lisan universal yang digunakan oleh pengembala gajah dalam memberi arahan kepada gajah tunggangan mereka. Bahasa gajah ini dikatakan berasal dari perkataan-perkataan yang dipraktikkan pengembala gajah dari Patani. Ianya juga digunapakai turun temurun oleh pengembala gajah lain di negeri-negeri utara Semenanjung Tanah Melayu yang merupakan kawasan jajahan Langkasuka suatu ketika dahulu. Lihat gambar gajah dan pengembala di Kedah (Gambar 7 & 8)
Gambar 7: Pengembala gajah di Alor Setar, Kedah pada tahun 1890. Foto oleh Jules Claine (1856-1938). Sumber: Perpustakaan Negara Perancis.
Gambar 8: Gajah di Alor Setar, Kedah pada tahun 1890. Foto oleh Jules Claine (1856-1938). Sumber: Perpustakaan Negara Perancis.
Gajah-gajah yang beranak-pinak hasil dari induk utara Semenanjung Tanah Melayu ini juga memahami arahan lisan yang dipertuturkan dan dapat mematuhinya dengan sempurna.
Rujukan:
1. Hamzah Hamdani, 2007, Hikayat Abdullah. 2. Kassim Ahmad, 1975. Hikayat Hang Tuah, Dewan Bahasa dan Pustaka. 3. Maxwell, W.G., 1906. Mantra Gajah. Journal of the Straits Branch of the Royal Asiatic Society 45: 1-5. 4. Miller, J.I., 1927, Elephant Terms in Perak. Journal of the Malayan Branch of the Royal Asiatic Society, Vol V, 1927, p. 364-365. 5. Schafer, Edward H. "War Elephants in Ancient and Medieval China," Oriens (Volume 10, Number 2, 1957): 289–291. 6. Shellabear, W.G, Fajar Bakti, 1978. Sejarah Melayu diusahakan oleh Fajar Bakti. 7. Swettenham, F.A., 1907. The Real Malay. John Lane, the Bodley Head. 8. Wade, Geoffrey, 1994. The Ming Shi-lu (veritable records of the Ming Dynasty) as a source for Southeast Asian history, 14th to 17th centuries.
Pada tahun 1897, beberapa anggota dari Pasukan Polis Bersenjata Melayu telah dihantar oleh Negeri-Negeri Melayu Bersekutu untuk menyertai perbarisan penuh sempena meraikan Jubli Intan Ratu Victoria di London, England, pada 22.6.1897 (Gambar 1) dan video.
Gambar 1: Pasukan Polis Bersenjata Melayu di Jubli Intan Ratu Victoria, London, England, 1897.
Sumber: Rijks Museum.
Ketika itu Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (FMS) iaitu Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan mempunyai seramai 952 anggota Polis Melayu yang terbahagi kepada pasukan infantri dan artileri. Walaupun dinamakan Polis, tugas yang mereka jalankan adalah pada amnya berbentuk ketenteraan. Lihat gambar pasukan Polis Negeri Selangor di Bluff Road (Bukit Aman) Kuala Lumpur (Gambar 2, 3 & 4).
Gambar 2: Pasukan Polis Selangor, di Kuala Lumpur (c. 1880). Sumber: Leiden University Library.
Gambar 3: Pasukan Polis Selangor, di Kuala Lumpur (c. 1880). Sumber: Leiden University Library
Gambar 4: Pasukan Polis Selangor, di Kuala Lumpur (c. 1880). Sumber: Leiden University Library.
Pencapaian tertinggi di zaman kolonial bagi anggota Polis Melayu ialah apabila Raja Alang lskandar Ibni Sultan Idris Shah I dilantik sebagai Penolong Pesuruhjaya Polis pada 1.8.1905. (Gambar 5).
Gambar 5: Raja Alang lskandar Ibni Sultan Idris Shah I. Sumber: Arkib Negara Malaysia.
37 tahun kemudian, pusat latihan Polis dipindahkan Bluff Road (Bukit Aman) ke PULAPOL di Jalan Henry Gurney (Jalan Semarak / Jalan Sultan Yahya Petra).
Di era moden kita juga dapat melihat pasukan bersenjata Melayu dijemput menyertai perbarisan dan tugas rasmi di England. Ini berlaku apabila Kawalan Kehormatan Utama (KKU) 1 dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dijemput untuk menjaga perkarangan Istana Buckingham, menyertai istiadat pertukaran pengawal (Changing of Guards), membuat persembahan pancaragam, 'Beating Retreats', dan menyaksikan raptai penuh perbarisan hari ulang Tahun Ratu Elizabeth II pada tahun 2008. Lihat video:
Walaubagaimanapun, berdasarkan sejarah, pasukan bersenjata Melayu pertama yang bertugas di England adalah bukannya KKU 1 RAMD pada 2008 seperti yang dilapor akhbar. Akan tetapi, ianya berlaku 111 tahun lebih awal iaitu semasa anggota Pasukan Polis Bersenjata Melayu FMS menjalankan tugasan mereka semasa Jubli Intan Ratu Victoria pada tahun 1897.
"La dame de Malacca" (Inggeris: The Lady of Malacca) adalah merupakan sebuah filem Perancis tahun 1937 yang diarahkan oleh Marc Allégret (Gambar 1 & 2). Ianya dibintangi oleh Edwige Feuillère sebagai 'Audrey Greenwood', dan Pierre Richard-Willm sebagai 'Prince Selim'. Ianya adalah diadaptasi dari novel tahun 1937 oleh Francis de Croisset (Gambar 3).
Gambar 1: Filem "La dame de Malacca" (1937)
Gambar 2: Poster Filem "La dame de Malacca" (1937)
Gambar 3: Buku "La dame de Malacca" oleh Francis de Croisset.
Filem ini turut diterbitkan oleh pengarah yang sama dan di set filem yang sama, tetapi dalam bahasa Jerman. Ianya diberi tajuk lain iaitu "Andere Welt" (Inggeris: Another World) dan dibintangi pelakon German Kathe Gold sebagai 'Audrey Greenwood', dan Karl Ludwig sebagai 'Prince Selim' (Gambar 4).
Gambar 4: Poster Filem "Andere Welt" (1937)
Filem genre drama komedi ini mengisahkan seorang wanita Inggeris, Audrey Greenwood, yang telah mengahwini seorang pegawai tentera bernama Major Carter untuk melarikan diri dari kehidupannya yang suram sebagai seorang guru. Audrey telah mengikuti suaminya yang ditugaskan berkhidmat di "Melaka". Beliau kemudiannya merasa tidak bahagia dengan perkahwinannya dan telah jatuh cinta dengan Prince Selim, iaitu Sultan Negeri "Udaimor". Negeri "Udaimor" ini kononnya berada di dalam negara "Melaka". Dalam plot filem ini, Sultan Selim mempunyai rancangan untuk berkerjasama dengan Jepun; dan dengan itu, niat dan perbuatannya ketika itu bercanggah dengan kepentingan Inggeris.
Apabila Sultan Selim menzahirkan rasa cinta kepada Audrey, beliau yang mula-mula jual mahal telah menerima cinta Sultan apabila disindir di khalayak ramai oleh isteri Gabenor "Melaka" iaitu Lady Brandmore. Hubungan Sultan Selim dan Audrey juga menjadi skandal awam di kalangan orang Eropah ketika itu. Audrey kemudian bercerai dengan suaminya dan hidup menyendiri dan kemudian jatuh sakit. Sultan Selim kemudian datang membantu Audrey.
Pada masa yang sama, perbincangan dijalankan oleh pihak-pihak berkepentingan iaitu wakil Jepun dan Inggeris dalam mempengaruhi "Melaka". Sultan Selim yang pintar berdiplomasi akhirnya memilih untuk bekerjasama dengan Inggeris dan dengan itu mengukuhkan pertalian politik Melayu-Inggeris. Sultan Selim akhirnya berkahwin dengan Audrey sejurus Audrey mendapat perintah perceraian dengan bekas suaminya. Audrey juga berpuas hati apabila golongan elit Inggeris termasuk Lady Brandmore terpaksa menghormatinya sebagai Sultanah Negeri "Udaimor", dan juga ketika itu sebagai "First lady of Malacca".
Dari jalan cerita, saya percaya buku dan juga kedua-dua versi filem "La dame de Malacca" banyak persamaannya dengan kisah hidup Sultan Ibrahim Al-Masyhur Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Al-Khalil Ibrahim Shah (1873-1959) iaitu Sultan Johor Moden Ke-2. Secara khusus, ia menceritakan tentang perkahwinan Sultan Ibrahim dengan isteri ke-lima beliau iaitu Helen Bartholomew (1889-1978) pada tahun 1930.
Ketika itu, walaupun Sultan Ibrahim seorang yang dikenali sebagai Anglophile, beliau masih memberi kerjasama dengan Jepun dari segi perdagangan. Dicatat bahawa bijih besi dari Johor adalah merupakan 1/3 dari impot bijih besi Jepun sebelum Perang Dunia Kedua. Sebagai mengiktiraf sumbangan Johor sebagai pemangkin revolusi industri di Jepun, sebuah kapal telah diberikan nama "Johore Maru". Kapal ini kemudian dijadikan kapal perang tentera Jepun dan ianya kemudian telah ditenggelamkan oleh kapal selam USA di sekitar Wilayah Papua pada tahun 1943. (Gambar 5 dan Video).
Gambar 5: Kapal Johore Maru
Sultan Ibrahim juga dikatakan pernah bertemu Adolf Hitler pada 1934 dan 1939, dan juga Bernito Mussolini sekitar 1939. Pada masa yang sama, beliau yang digelar sebagai lelaki terkaya di dunia, telah menderma £750,000 kepada Inggeris (£50 juta atau RM274 juta dalam kadar semasa).
Seperti karekter Audrey, Helen juga sebelum itu pernah mendirikan rumah tangga iaitu dengan seorang doktor tentera. Suami Helen bernama William Brockie Wilson pernah bekerja sebagai doktor peribadi Sultan Ibrahim. Helen dan William telah bercerai pada tahun 1925.
Sultan Ibrahim telah menghantar dua putera baginda iaitu Tunku Ismail dan Tunku Abu Bakar untuk belajar di England, dan telah meminta pertolongan Helen yang berada di England untuk mengawasi kedua-dua putera baginda itu. Sultan Ibrahim kerapkali berangkat ke England untuk bertemu putera baginda dan juga Helen, maka, bermulalah bibit-bibit cinta di antara kedua-duanya.
Helen telah memeluk agama Islam sebelum berkahwin dan menggunakan nama Helen Binti Abdullah. Beliau telah kemudian ditabalkan sebagai Sultanah Johor Darul Takzim pada 18.11.1931 dengan penuh adat istiadat di Istana Besar Johor Bahru, dan seterusnya menggunakan gelaran Her Royal Highness Sultanah Helen Ibrahim. (Gambar 6).
Gambar 6: Pertabalan Sultanah Helen Ibrahim, 1931.
Dari arkib perpustakaan Perancis, saya juga mendapati sebuah foto pasangan DiRaja ini yang diambil sekitar musim sejuk 1931 di Saint Moritz, Switzerland. Kemungkinan besar gambar ini diambil semasa percutian selepas upacara pertabalan Sultanah Helen (Gambar 7).
Gambar 7: "Le Sultan et la Sultane de Johore à Saint-Moritz." Sumber: Agence de presse Meurisse, Bibliothèque nationale de France.
Di arkib Belanda pula terdapat gambar Sultanah Helen di dek kapal Belanda MS Baloeran bersama Kapten Dubois yang dirakam sekitar tahun 1935 (Gambar 8).
Gambar 8: Gambar Sultanah Johor iaitu Sultanah Helen Ibrahim (1899-1977) bersama Kapten Dubois di dek kapal Belanda MS Baloeran (1929) pada tahun 1935.
Sumber: Willem van de Poll, National Archives of the Netherlands.
Pada tahun 1935, gambar Sultanah Helen bersama Sultan Ibrahim telah diabadikan dalam setem pos sebagai hadiah ulang tahun perkahwinan mereka yang kelima. (Gambar 9).
Gambar 9: Setem Pos Johor 1935
Pasangan DiRaja ini bercerai pada 30.3.1938, dan Helen telah pulang ke Scotland. Selepas bercerai Sultanah Helen bergelar Lady Helen Ibrahim. Sultan Ibrahim telah mengahwini Marcella Mendl atau Fawzia binti Abdullah pada 6.11.1940. Lihat gambar Sultan Ibrahim bersama Sultanah Fawzia pada 2.6.1958 (Gambar 10).
Gambar 10: Sultan Ibrahim bersama Sultanah Fawzia dan anakanda mereka Tunku Miriam, ketika mereka tiba di Tilbury, England, dengan kapal P&O 'Himalaya' pada 2.6.1958.
Sumber: National Geographic & Getty Images.
Juga lihat video Jubli Intan Sultan Ibrahim dan juga upacara pertabalan Sultanah Fawzia yang diadakan di Johor Bahru pada 17.9.1955.
Walaubagaimanapun, ketika itu Sultan Ibrahim dikatakan masih memberikan Lady Helen Ibrahim hadiah-hadiah batu permata pada harijadi dan ulangtahun perkahwinan mereka. Lady Helen Ibrahim kemudian berpindah ke London dan telah menghembuskan nafas terakhir pada 13.8.1977 ketika berusia 88 tahun di Homelands Nursing Home, Cowfold, Sussex.
Berbalik kepada filem "La dame de Malacca", setelah lama hilang, gulungan (reel) filem versi Perancis dan German dijumpai semula sekitar 1980an. Ianya kemudian telah dipulihkan dan ditayang semula di siaran televisyen Perancis pada tahun 1986. Pengkritik filem pada amnya memuji filem tersebut yang dianggap bersifat terbuka tentang perkahwinan campur walaupun berlaku di zaman kolonial. Akan tetapi sehingga kini tiada yang mengetahui bahawa filem ini sebenarnya adalah berdasarkan kisah benar yang berlaku di Negeri Johor (diberi nama Udaimor) yang ketika itu dibawah British Malaya (diberi nama Melaka).
Rujukan:
1. Europe & Love in Cinema, L. Passerini, J Labanyi & K. Diehl, (2012).