Popular Posts

Showing posts with label Emas. Show all posts
Showing posts with label Emas. Show all posts

Thursday 6 January 2022

Utusan Kerajaan Pahang Tua

 

Gambar 1: Sungai Pahang di sekitar Kuala Lipis yang dirakam oleh C.J. Kleingrothe (1864-1925) pada tahun 1910.  Sumber: KITLV 79973, Leiden University Libraries, Amsterdam.

Menurut faktor geografi, daerah Lipis, Raub & Bentong di Pahang terletak dalam jajaran emas yang membuat daerah-daerah ini kaya dengan logam tersebut dan menyaksikan aktiviti perlombongan emas semenjak berkurun lamanya. Jajaran emas ini juga menyebabkan Semenanjung Tanah Melayu dirujuk sebagai Chersonesus Aurea atau Golden Chersonese (Semenanjung Emas) dalam peta Claudius Ptolemy yang dilakar sekitar abad ke-2.

Juga wujud bukti utusan diplomasi dan perdagangan se-awal abad ke-3 berlaku di Pahang. Menurut Munoz (2007), pada tahun 240M kerajaan yang terletak di muara sungai Pahang yang dinamakan Koli / Kiu-li telah menghantar utusan ke Funan. Hadiah yang diberikan pemerintah Koli bernama Raja Murunda kepada pemerintah Funan bernama Raja Fan Chang termasuk 4 ekor kuda yang diperoleh dari Empayar Kushan di utara India. Ini diikuti dengan rekod utusan yang dihantar Raja Pahang bernama She-li-Po-luo-ba-mo ('Sri Bhadravarman') ke Istana Dinasti Liu Song di Cina pada tahun 449-450 dengan menghadiahkan 41 jenis barangan. Ketika itu Pahang dikenali sebagai Pohuang / Panhuang dan dipercayai berada di bawah kedatuan Langkasuka-Kedah (Rajani, 1987). Pada tahun 456-457 terdapat rekod berkenaan satu lagi utusan dihantar Raja Pahang ke Cina yang diketuai seorang senapati (jeneral) (Guy, 2014).

Rekod Ming Shi-lu (MSL) pula mencatat Raja Pahang bernama "Ma-ha-la-re Da-rao" (Maharaja Tajau) mengutus menterinya yang bernama "Dan-wang Ma-du". Beliau mengadap tiba di Istana Dinasti Ming di Cina pada 29.12.1378. Ketika itu Pahang berada di bawah pengaruh Siam. Utusan Pahang tersebut telah direkodkan mengadap bersama dengan utusan yang dihantar "La-ding La-zhe-wang-shi" (Raden Rajawangsa) dari negeri "Bai-hua" yang dikatakan sebagai sebuah kerajaan di muara sungai Paka, Terengganu (Wade, 1997). Antara hadiah yang diberikan Raja Pahang adalah warkah yang ditulis pada daun emas, 6 orang hamba, lada seberat 2,000 jin (1,180 kg), bersama produk aromatik dan ubat-ubatan, termasuk kayu sapan, cendana, kemenyan dan kapur barus seberat 4,000 jin (2,360 kg). Maharaja Hongwu (r. 1368-1398) membalas dengan menghadiahkan pakaian khas, kain sutera halus bercorak, dan kain kasa sutera yang ditenun dengan benang emas.

Gambar 2: "Siamese Envoys Paying Tribute To The Emperor Of China During The Ming Dynasty Presenting Gifts Of Pepper Satin Ambergris Ebony And Ivory" Ken Welsh, 1915, Hutchinson's History Of The Nations.

Rekod MSL bertarikh 5.8.1411 mencatat Raja Pahang bernama "Ba-li-mi-su-la Da-luo Xi-ni" (Parameswara Telok Chini) telah menghantar utusan dan hadiah kepada Maharaja Yongle (r. 1402-1424). Maharaja Yongle membalas dengan menghadiahkan pakaian khas yang merangkumi topi dan tali pinggang, bersama pelbagai jenis sutera berserta wang kertas.

Gambar 3: Wang kertas era dinasti Ming yang dicetak bagi keluaran tahun 1369 hingga 1399.

Pada 28.8.1414, Parameswara Telok Chini telah menghantar utusan yang diketuai "Su-ma-mu-men-di-li" ke Cina. Utusan tersebut dibawa mengadap bersama seorang utusan Parsi dari pulau Hormuz bernama "Ji-ji-ding (Alt: Si-ji-ding)". Utusan Pahang mempersembah produk tempatan dari Pahang; manakala Ji-ji-ding mempersembahkan beberapa ekor kuda. Mereka telah diberi hadiah sutera halus berbrokat, kain kasa sutera, sutera nipis beraneka warna, dan wang kertas. Menurut MSL, utusan terakhir kerajaan Pahang ke Istana Ming adalah pada November 1416. (Wade, 1997).


Gambar 4: Model perahu layar "Lancang Cama" (Lancang Camar) dari Pahang (c. 1883).
 Sumber: RV-351-44, Tropenmuseum, Amsterdam.


Pada tahun 1454, satu ekspedisi untuk menyerang Pahang telah dititahkan oleh Raja Abdullah dari Kesultanan Melaka.  Raja Abdullah tersebut kemudian digelar Sultan Mansur Shah (d. 1477) (r. 1459-1477). Tentera Kesultanan Melaka bersama 200 buah perahu layar yang diketuai Bendahara Tun Perak telah berjaya menakluki Pahang. Raja Pahang di bawah takluk Ligor-Ayutthaya iaitu Maharaja Dewa Sura bersama anakandanya, Putri Wanang Seri, telah ditangkap dan dibawa ke Melaka. Raja Abdullah (Sultan Mansur Shah) telah mengahwini Putri Wanang Seri, di mana Putri Wanang Seri tersebut diberi gelaran Putri Lela Wangsa (Linehan, 1973). Sultan Pahang Pertama dan Kedua iaitu Sultan Muhammad Shah (1455–1475) (r. 1470-1475) dan Sultan Ahmad Shah I (d. 1519) (r. 1475-1495) adalah putera-putera hasil dari perkahwinan Sultan Mansur Shah dengan Puteri Lela Wangsa tersebut.

Tiada utusan dari Pahang dalam rekod MSL selepas pertengahan abad ke-15 kerana Pahang ketika itu berada dibawah Kesultanan Melaka. Dalam mewakili kesemua jajahan takluknya, termasuk Pahang, Kesultanan Melaka telah menghantar utusan ke Kerajaan Ming di Cina pada tahun 1456, 1469, 1481, 1508 dan 1510.

Sumber:

  1. Benjamin, Geoffrey, Issues in the Ethnohistory of Pahang, Lembaga Muzium Negeri Pahang (Museum Authority of Pahang).
  2. Farish A Noor (2011), From Inderapura to Darul Makmur, A Deconstructive History of Pahang, Silverfish Books.
  3. Geoffrey Wade (1994), The Ming Shi-lu (veritable records of the Ming Dynasty) as a source for Southeast Asian history, 14th to 17th centuries. NUS Publications.
  4. Guy, John (2014), Lost Kingdoms: Hindu-Buddhist Sculpture of Early Southeast Asia, Metropolitan Museum of Art.
  5. Linehan, William (1973), History of Pahang, Malaysian Branch Of The Royal Asiatic Society, Kuala Lumpur.
  6. Munoz, Paul Michel (2007), Early Kingdoms of The Indonesian Archipelago and the Malay Peninsula, Didier Millet.
  7. Rajani, Chand Chirayu (1987), Towards a history of Laem Thong and Sri Vijaya (Asian studies monographs), Institute of Asian Studies, Chulalongkorn University.
  8. Zakiah Hanum (1989), Asal-usul negeri-negeri di Malaysia (The Origin of States in Malaysia), Times Books International.

Friday 22 November 2019

Warkah Emas Che Bong Nga kepada Maharaja Hong-wu

Terdapat catatan tentang seorang Raja Champa bernama A-da-a-zhe (阿荅阿者), "Raja di Raja" (JK Whitmore, 2011), dalam rekod Maharaja Ming (Ming Shi-lu) (MSL). Beliau direkodkan menghantar utusan ufti ke Cina dari tahun 1369 hingga 1390.  Adalah dipercayai sosok ini adalah Raja Champa yang dikenali sebagai Che Bong Nga, Po Binasuor atau Sultan Zainal Abidin yang memerintah Kerajaan Melayu Champa dari 1360 hingga beliau mangkat pada 1390.

Gambar 1 - Grafik: Che Bong Nga & Peta Kerajaan Champa dalam Civilization V oleh Janboruta, Leugi & Sukritact.

Sekiranya benar, MSL ada merekodkan kata-kata ucapan beliau yang diabadikan di atas kepingan emas berbentuk daun berukuran 12 x 17 inci. Ianya telah dijadikan sebahagian dari hadiah ufti kepada Maharaja Hong-wu pada lawatan ufti bertarikh 5.9.1371. Kata-kata beliau ditulis dalam askara Cham dan diterjemah ke Bahasa Cina dalam MSL, dan kemudian diterjemah Geoffrey Wade (1994) ke Bahasa Inggeris seperti berikut:

"The great Ming Emperor has ascended the throne and pacified all within the four seas. He is like the Heaven and the Earth which cover and contain all, and like the sun and moon which shed their rays on all. In comparison, A-da-a-zhe is like a piece of grass. The Emperor favoured me by sending an envoy to give me a gold seal and enfeoff me as the king of the country. I am grateful and elated, and will remain so forever. However, at present, Annam is using arms to attack our borders. They have killed and plundered officials and the people. I humbly pray that the Emperor will be compassionate and confer upon me military weapons, musical instruments and musicians. Thus, Annam will know that our Champa is a region to which [China's] culture extends and is a place which provides tribute to China. Thereafter, Annam will not dare to oppress or maltreat us."

Secara ringkasnya, warkah emas ini penuh dengan puji-pujian terhadap Maharaja Ming yang dikatakan ibarat cakerawala, manakala Raja Champa tersebut mengibaratkan dirinya hanya sebagai sehelai rumput. Nilai budaya dan sifat hormat menghormati dan merendah diri terserlah dalam bahasa yang digunakan oleh Che Bong Nga yang mendahului tujuan warkah emas itu iaitu untuk mendapat perlindungan dari serangan Annam.

Gambar 2 - Peninggalan kuil Champa


Hasilnya, Maharaja Hong-wu bersetuju mengeluarkan amaran pada Annam. Walaubagaimanapun, bantuan senjata tidak diberikan. Berkenaan permintaan ahli muzik, Kerajaan Ming hanya bersetuju melatih orang Champa tentang permainan alat muzik Cina. MSL mencatat respon Kerajaan Ming seperti berikut:

The Emperor was impressed by their wishes. When Da-ban Gua-bu-nong was about to leave the Court, the Emperor ordered the Secretariat to send a despatch to the king of the country, saying: "Maintaining good relations with neighbours is truly the avenue for protecting one's territory. Being loyal in one's service of the superior is the way to fulfil one's obligations as minister. Both Champa and Annam serve the Court and both acknowledge the Court's calendar. But now, without authority, arms have been taken up and there has been great loss of life. This shows failure in the duty of serving the Emperor and failure in properly handling relations with neighbours. I have already sent a despatch to the king of Annam ordering the immediate cessation of hostilities. Your countries should also both protect your own borders. As to your request for military weapons, how could I begrudge you this! However, this is a struggle between Champa and Annam and if the Court gives arms only to Champa, this would assist you in attacking them. This would be extremely incompatible with my duty of bringing peace. As to your request for musical instruments and musicians, although in music there is no distinction between China and outsiders, there is a difference between Chinese and yi languages. Thus, there would be difficulties in sending that which you requested. If there are people in your country who are versed in the Chinese language and can be trained in music, you should select several of them and send them to the capital for training." An Imperial command was also sent to the Fu-jian Branch Secretariat, noting that all the goods on the sea-going ships of Champa be exempted from taxes, as an expression of concern and kindness.

Jika dirujuk silang dengan sejarah Champa yang diketahui umum, episod dalam MSL ini berkesinambungan dengan cerita pergolakan antara Annam (Dai Viet) dengan Champa yang dinukil dalam 'Syair Siti Zubaidah Perang Cina' iaitu berkisar tentang pergolakan antara Champa dan Annam yang dipanggil "Cina" dalam syair tersebut.

Jelas dalam MSL, Kerajaan Ming di Cina tidak bermusuhan dengan Champa ketika itu. Malah MSL mencatatkan ufti Champa pada 2.12.1391 telah ditolak di mana Maharaja Hong-Wu tidak mengiktiraf persembahan yang diberikan kerana ketika itu Champa ditadbir oleh pembesar Champa bernama "Ge-sheng" yang telah membunuh Raja Champa yang sebenar.


Rujukan:

1.  Wade, Geoffrey,. 1994. The Ming Shi-lu (veritable records of the Ming Dynasty) as a source for Southeast Asian history, 14th to 17th centuries.

2. Whitmore  J.K., (2011). 'The Last Great King of Classical Southeast Asia: Chê Bông Nga and Fourteenth-Century Champa',



Tuesday 19 November 2019

Khazanah Kapal 'Nanhai I'

Gambar 1 - Nanhai I

"Nanhai I" adalah nama yang diberikan kepada sebuah kapal dagang Cina yang dianggarkan dibina sekitar tahun 1127 hingga 1279 iaitu di penghujung era Dinasti Song (960-1279) (Gambar 1). Kerana tiada rekod, nama asal kapal ini tidak diketahui. 

Ianya berukuran 30 meter panjang dan membawa muatan kargo seberat 100 tan yang terdiri dari porselin, sutera, teh, jongkong perak, periuk belanga besi dan tembaga, peralatan dan paku besi, dan pelbagai barang lain termasuk perhiasan emas. Sebahagian barangan itu dibungkus dan dilabelkan dengan nama kedai yang menjualnya termasuk tempat asal ia diperbuat (Gambar 2).

Gambar 2 - Porselin dari Nanhai I

Nanhai I telah karam di kawasan barat muara sungai Zhu Jiang (Pearl River) di Guangdong iaitu pelabuhan permulaan perjalanan 'Laluan Sutera Maratim'.  Ianya karam sebelum sempat mengharungi Lautan Cina Selatan ke destinasinya iaitu kepulauan Nusantara dan Selat Melaka. Dikatakan jadual destinasi Nanhai I juga termasuk India dan Arab.

Nanhai I ditemui pada tahun 1987 oleh krew penyelam dari Maritime Exploration & Recoveries PLC (MER PLC) semasa sedang mencari kapal bernama Rhynsburg yang tenggelam sekitar Guangdong pada kurun ke-18. MER PLC ketika itu bekerjasama dengan China Salvage Company.

Pada tahun 2007, tapak dan rangka Nanhai I di bawa keluar dari dasar laut dan diletakkan di dalam tempat khas iaitu sebuah akuarium air masin gergasi yang dinamakan "Crystal Palace".  (Gambar 3 & 4).

Gambar 3 - Proses mengekstrak tapak kapal karam

Gambar 4 - Tapak Kapal Karam Nanhai I dilindungi air masin dalam 'Crystal Palace'

Akuarium berisipadu 59,000 m3 ini merupakan sebahagian dari 'Maritime Silk Route Museum' yang dibina khas untuk melindungi, mempamir dan mengkaji kapal tersebut. Operasi pemuliharaan dijalankan Kerajaan Cina tersebut membabitkan kos sekitar AS$20 juta (RM82.6 juta).

Pada tahun 2014, pasir dan selut mula diasingkan dan khazanah Nanhai I yang tenggelam selama 800 tahun mula dikeluarkan secara sistematik. Lihat Video:



Dari kajian yang dibuat,  adalah didapati bahawa barang perhiasan emas dalam kapal tersebut adalah merupakan rekaan negeri-negeri Nusantara dan Timur Tengah.  (Gambar 5, 6, 7 & 8).

Gambar 5

Gambar 6

Gambar 7

Gambar 8

Pengkaji dari Cina membuat kesimpulan bahawa perhiasan emas tersebut diperbuat oleh tukang-tukang emas Cina atas tempahan khas pedagang-pedagang Arab dan juga Nusantara iaitu di era kerajaan Melayu Srivijaya, Dharmasraya, dan Jambi.

Pedagang-pedagang Nusantara dari negeri-negeri Sumatera dan Semenanjung Tanah Melayu disebut dalam sejarah Cina sebagai Ma-La-Yu dan variasi perkataan berikut:-
  1. Bok-la-yu & Mok-la-yu (Bahasa Cina: 木剌由),
  2. Ma-li-yu-er (Bahasa Cina: 麻里予兒),
  3. Oo-lai-yu (Bahasa Cina: 巫来由),
  4. Wu-lai-yu (Bahasa Cina: 無来由).

Seterusnya, berdasarkan 17,000 syiling tembaga (copper coins) yang dijumpai, adalah disimpulkan kapal tersebut juga membawa penumpang yang terdiri dari rombongan ufti yang sedang dalam perjalanan pulang ke negeri masing-masing iaitu di kepulauan Nusantara, India dan Arab. Syiling tembaga selalu dicatatkan sebagai hadiah kepada pembawa ufti yang diberikan oleh Maharaja Cina.

Ketika itu, Guangdong adalah merupakan pelabuhan yang terbesar di dunia dan menjadi pintu selatan bagi Laluan Sutera Maratim untuk negara-negara ufti yang tiba dari kepulauan Nusantara, India dan Arab sebelum meneruskan perjalanan darat ke balairung Maharaja Cina era Dinasti Song yang ketika itu berada di kota Lin'an, Hangzhou.

Rujukan:

1. https://en.m.wikipedia.org/wiki/Nanhai_One

2. https://news.cgtn.com/news/3d3d774d3149444f34457a6333566d54/index.html



Ekspedisi Wilkes (1838-1842)

Kapal USS Vincennes, yang memuatkan 190 anak kapal dan merupakan kapal utama Ekspedisi Wilkes. Singapura adalah destinasi terakhir yang dila...