Popular Posts

Showing posts with label Tentera. Show all posts
Showing posts with label Tentera. Show all posts

Wednesday 11 December 2019

Pasukan Bersenjata Melayu Pertama Di England

Pada tahun 1897, beberapa anggota dari Pasukan Polis Bersenjata Melayu telah dihantar oleh Negeri-Negeri Melayu Bersekutu untuk menyertai perbarisan penuh sempena meraikan Jubli Intan Ratu Victoria di London, England, pada 22.6.1897 (Gambar 1) dan video.

Gambar 1: Pasukan Polis Bersenjata Melayu di Jubli Intan Ratu Victoria, London, England, 1897.
Sumber: Rijks Museum.



Ketika itu Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (FMS) iaitu Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan mempunyai seramai 952 anggota Polis Melayu yang terbahagi kepada pasukan infantri dan artileri. Walaupun dinamakan Polis, tugas yang mereka jalankan adalah pada amnya berbentuk ketenteraan. Lihat gambar pasukan Polis Negeri Selangor di Bluff Road (Bukit Aman) Kuala Lumpur (Gambar 2, 3 & 4).

Gambar 2: Pasukan Polis Selangor, di Kuala Lumpur (c. 1880). Sumber: Leiden University Library.

Gambar 3: Pasukan Polis Selangor, di Kuala Lumpur (c. 1880). Sumber: Leiden University Library

Gambar 4: Pasukan Polis Selangor, di Kuala Lumpur (c. 1880). Sumber: Leiden University Library.

Pencapaian tertinggi di zaman kolonial bagi anggota Polis Melayu ialah apabila Raja Alang lskandar Ibni Sultan Idris Shah I dilantik sebagai Penolong Pesuruhjaya Polis pada 1.8.1905. (Gambar 5).

Gambar 5: Raja Alang lskandar Ibni Sultan Idris Shah I. Sumber: Arkib Negara Malaysia.

37 tahun kemudian, pusat latihan Polis dipindahkan Bluff Road (Bukit Aman) ke PULAPOL di Jalan Henry Gurney (Jalan Semarak / Jalan Sultan Yahya Petra).

Di era moden kita juga dapat melihat pasukan bersenjata Melayu dijemput menyertai perbarisan dan tugas rasmi di England. Ini berlaku apabila Kawalan Kehormatan Utama (KKU) 1 dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dijemput untuk menjaga perkarangan Istana Buckingham, menyertai istiadat pertukaran pengawal (Changing of Guards), membuat persembahan pancaragam, 'Beating Retreats', dan menyaksikan raptai penuh perbarisan hari ulang Tahun Ratu Elizabeth II pada tahun 2008. Lihat video:




Walaubagaimanapun, berdasarkan sejarah, pasukan bersenjata Melayu pertama yang bertugas di England adalah bukannya KKU 1 RAMD pada 2008 seperti yang dilapor akhbar. Akan tetapi, ianya berlaku 111 tahun lebih awal iaitu semasa anggota Pasukan Polis Bersenjata Melayu FMS menjalankan tugasan mereka semasa Jubli Intan Ratu Victoria pada tahun 1897.

Rujukan:

1. https://www.bbc.com/news/uk-17368499

2. https://www.bharian.com.my/node/60585

3. https://www.rmp.gov.my/infor-korporate/polis-diraja-malaysia/sejarah/pasukan-polis-negeri-negeri-melayu-bersekutu

4. https://ms.m.wikipedia.org/wiki/Polis_Diraja_Malaysia



Wednesday 27 November 2019

Tentera Melayu Abad Ke-19

Catatan Inggeris dalam 'The Illustrated London News' keluaran 26.2.1876 ini menunjukkan jenis-jenis senjata yang digunakan oleh orang-orang Melayu yang menentang Inggeris semasa Perang Inggeris-Perak (1875-1876). Apa yang akhbar Inggeris ini ingin sorok dari pembacanya adalah fakta bahawa tentera Melayu ketika itu adalah tentera terlatih yang mempunyai senjatapi seperti rifal dan musket.







Akhbar propaganda Inggeris ini tidak menjelaskan perkara sebenar iaitu tentera Melayu dengan kekuatan 800 orang telah bertempur dengan 2,000 orang tentera Inggeris dari Pulau Pinang, India dan Hong Kong. Malah serangan pertama oleh pihak Inggeris berjaya digagalkan oleh tentera Melayu dan menyebabkan Kapten Innes dan beberapa orang tentera Inggeris dari rejimen ke-10 terbunuh.

Setelah beberapa kali serangan ke atas kubu Pasir Salak gagal akhirnya tentera Inggeris berjaya mengalahkan tentera Melayu yang bertahan di kubu tersebut pada 12.12.1875. Kubu Pasir Salak, masjid dan beberapa kampung sekitar kubu tersebut dibakar oleh tentera Inggeris melalui arahan William Jervois. Datuk Maharaja Lela dan pengikutnya berundur ke Sayong. Lihat video:


Sekiranya kita amati definasi istilah subjektif "tentera moden", ianya merangkumi persenjataan era moden dan juga suatu organisasi ketenteraan yang terlatih (organized modern military). Jadi sekiranya diaplikasikan definasi tersebut saya berpendapat bahawa Negeri-Negeri Tanah Melayu sudah mempunyai "tentera moden" sekitar pertengahan abad ke-19. Malah tentera moden terlatih telah wujud dalam pergolakan yang lebih awal dari Perang Inggeris-Perak iaitu dalam perang saudara Terengganu (1831-1839), perang saudara Kelantan (1835), perang saudara Pahang (1857-1863), dan perang saudara Selangor (1867-1874).

Persenjataan dan kelengkapan tentera Negeri-Negeri Tanah Melayu adalah bukan seperti perubahan drastik era Tokugawa kepada era Meiji di Jepun iaitu dari pedang dan panah terus naiktaraf ke senjata moden. Juga perlu diketengahkan bahawa pertahanan dan ketenteraan moden Negeri-Negeri di Tanah Melayu bukannya bermula dengan penubuhan Johor Military Force (JMF) pada tahun 1885 dengan 60 orang laskar Melayu, atau Pasukan Askar Melayu DiRaja pada tahun 1933 dengan 25 orang laskar Melayu. Kedua-dua pasukan tentera ini mendapat persetujuan dan kebenaran Inggeris dan dengan itu diiktiraf umum sebagai asal usul sejarah ketenteraan moden Tanah Melayu.

Seperti yang kita maklum, selain dari JMF, perkhidmatan ketenteraan dan kelengkapan senjata Negeri-Negeri Tanah Melayu dibawah Sultan-Sultannya telah dibubarkan selepas mereka dipaksa untuk menerima Sistem Residen. Ketika itu elemen penjajahan sebenar dapat dilihat apabila kuasa mutlak Raja-Raja Melayu telah dihadkan kepada isu Agama Islam dan adat istiadat Melayu sahaja.

Dengan itu, sejarah ketenteraan dan persenjataan moden Negeri-Negeri Tanah Melayu tidak seharusnya dilihat dari pengiktirafan dan kacamata Inggeris sahaja. Ianya juga perlu dilihat dari aspek kewujudan barisan pertahanan dan persenjataan yang disediakan oleh Sultan yang memerintah setiap negeri. Apa yang pasti adalah ianya sudah lama wujud iaitu sebelum kedatangan Inggeris lagi.

Rujukan:

1. https://en.m.wikipedia.org/wiki/Perak_War

2. http://www.kaiserscross.com/304501/471964.html

3. 'Weapons used by the Malays of Perak', Illustration for The Illustrated London News, 26 February 1876.


Ekspedisi Wilkes (1838-1842)

Kapal USS Vincennes, yang memuatkan 190 anak kapal dan merupakan kapal utama Ekspedisi Wilkes. Singapura adalah destinasi terakhir yang dila...