Popular Posts

Showing posts with label Singapura. Show all posts
Showing posts with label Singapura. Show all posts

Friday 30 September 2022

Ekspedisi Wilkes (1838-1842)

Kapal USS Vincennes, yang memuatkan 190 anak kapal dan merupakan kapal utama Ekspedisi Wilkes.


Singapura adalah destinasi terakhir yang dilawati Charles Wilkes (1798-1877) semasa menjalankan ekspedisi dari tahun 1838 sehingga 1842. 'Ekspedisi Wilkes' ini adalah bertujuan komersial dan kajian saintifik; dan juga untuk mengembangkan pengaruh dan kepentingan Amerika ke rantau barat laut Pasifik.  

Charles Wilkes (1798-1877).

Antara lakaran yang dihasilkan semasa di Singapura adalah lakaran bertajuk 'Chinese Temple, Singapore'. Ia diukir-cetak oleh J.A. Rolph berdasarkan lukisan Alfred T. Agate yang dibuat pada 21 Februari 1842. Ia adalah lakaran kuil Thian Hock Keng di Chinatown, Singapura. Kuil di Jalan Teluk Ayer ini adalah kuil Hokkien tertua di Singapura yang dibina pada tahun 1839. 

'Chinese Temple, Singapore' (1842).


Ekspedisi 6 buah kapal ini berjaya meninjau 280 buah pulau di Pasifik, dan menghasilkan 180 carta navigasi. Ini termasuk pemetaan 1,287 km kawasan pantai barat lautan Pasifik, dan 2,414 km kawasan pantai benua Antartika di Kutub Selatan.

Apa yang menarik, ekspedisi ini juga membawa pulang 40 tan koleksi artifak dari negeri-negeri yang dilawati. Ini termasuk penulisan dan manuskrip Melayu dan Bugis yang diperoleh dari Singapura.  Dengan bantuan mubaligh Amerika bernama Alfred North, kuota muatan artifak ini dipenuhi pada saat-saat akhir di Singapura. Selain artifak persenjataan dan replika kapal Melayu, antara yang diperoleh Wilkes adalah 3 pucuk warkah Sultan Terengganu iaitu Sultan Ahmad Muazzam Shah I ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin Shah II kepada William Farquhar.


Warkah Sultan Terengganu iaitu Sultan Ahmad Muazzam Shah I ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin Shah II kepada William Farquhar, 19 Muharram 1234 (18 November 1818).



Selain itu, koleksi warkah yang ditujukan kepada William Farquhar adalah 7 pucuk warkah dari Tun Ali, Raja Bendahara Johor-Pahang (1819–22), 3 pucuk warkah dari Pangeran Dipati Palembang (1819–22), warkah dari Sultanah Siti Fatimah binti Jamaluddin Abdul Rahman dari Pamanah (1822), warkah dari Sultan Hussein Muhammad Shah dari Singapura, warkah dari Yang DiPertuan Kelantan dan Tengku Syed Abdul Rahman bin al-Habib Hussein Aidid (1822), dan warkah Sultan Muhammad Kanzul Alam dari Brunei (1822). Juga terdapat warkah dari Kesultanan, pembesar dan pemerintah dari Siak, Riau, Lingga, Naning, Kampar Pulau Daun, dan juga Kemboja. 

Warkah Raja Bendahara Johor-Pahang kepada William Farquhar, 1 Zulkaedah 1234 (22 Ogos 1819).

Warkah Pangeran Dipati Palembang kepada William Farquhar, 7 Jamadilakhir 1234 (3 April 1819).


Warkah dari Sultanah Siti Fatimah binti Jamaluddin Abdul Rahman dari Pamanah kepada William Farquhar (1822).


Warkah dari Sultan Hussein Muhammad Shah dari Singapura kepada William Farquhar (tarikh tidak dapat dipastikan).


Warkah Yang DiPertuan Kelantan dan Tengku Syed Abdul Rahman bin al-Habib Hussein Aidid kepada William Farquhar, 3 Syaaban 1237 (25 April 1822).


Warkah Sultan Muhammad Kanzul Alam dari Brunei kepada William Farquhar, 6 Syaaban 1237 (28 April 1822).


Antara manuskrip dalam koleksi Wilkes pula adalah Sejarah Melayu oleh Munshi Abdullah (cetakan jawi 1840), Hikayat Abdullah (1843), Hikayat Amir Hamzah (1838), Hikayat Johor (1838), Hikayat Panca Tanderan (1835), Hikayat Patani (1839), Hikayat Syah Mardan (1837), Hikayat Isma Yatim (1837), [4 Hikayat] Singapura (1837), Kitab Adat segala Raja-Raja Melayu dalam segala Negeri (1837), 7 buah Kitab Injil (1820-1831), dan Kitab Tib tulisan tangan Munshi Abdullah (1837).


Sejarah Melayu oleh Munshi Abdullah dalam cetakan Jawi (1840).


Koleksi persuratan dan manuskrip ini dikatakan koleksi manuskrip Nusantara terbesar dan setanding koleksi manuskrip Stamford Raffles yang musnah dalam kebakaran kapal Fame pada tahun 1824. Koleksi ini pada mulanya di simpan di National Institute for the Promotion of Science, USA. Ia kemudian menjadi koleksi pertama Smithsonian Institution, USA apabila dipindahkan ke sana pada tahun 1858. Khazanah Nusantara yang menjadi sebahagian dari "Smithsonian Deposit" ini juga telah melalui proses digitasi dan boleh dimuat turun dari laman sesawang Library of Congress, USA.

Smithsonian Institution c. 1860.


Kontroversi melanda Wilkes setibanya beliau di New York. Atas aduan anak kapalnya, Wilkes telah dibicarakan di Mahkamah Tentera atas insiden kematian 40 orang anak kapal, dan juga 2 buah kapal yang karam semasa ekspedisi tersebut. Walau bagaimanapun, Wilkes hanya didapati bersalah atas pertuduhan ringan iaitu mengenakan tindakan disiplin yang keterlaluan dan hanya diberi amaran atas kesalahan tersebut. Wilkes kemudian meneruskan kerja-kerja merekod dan menyimpan segala artifak yang diperoleh.

Kewujudan persuratan dan manuskrip Nusantara ini hanya dibawa ke perhatian umum pada tahun 1966 oleh Profesor A. Teeuw. Ia juga pernah diketengahkan oleh Dr. Harun Mat Piah pada tahun 1987. Manakala katalog terperinci diperoleh hasil kajian Puan Asma Ahmat dari Perpustakaan Negara Malaysia ketika menjalani latihan amali di Library of Congress dari tahun 1989 hingga 1990.



Selain penulisan tentang Ekspedisi Wilkes ini, tingkah laku obsesif dan sikap berdisiplin yang keterlaluan pada sosok Charles Wilkes diabadikan dalam karekter fiksyen Captain Ahab dalam novel Moby-Dick (1851) hasil karya Herman Melville. Ia juga dikisahkan dalam pelbagai filem termasuk In the Heart of The Sea (2015).


Sumber:

  1. A. Kohar Rony (1991). Malay Manuscripts and Early Printed Books at the Library of Congress. Indonesia. No. 52 (Oct., 1991), pp. 123-134.
  2. A. Teeuw (1967). Korte Mededelingen: Malay Manuscripts in the Library of Congress. Bijdragen tot de taal-, land-, en volkenkunde 123,4 (1967): 517-20.
  3. Asma Ahmat (1993). Katalog Manuskrip Melayu di Library of Congress, USA. Kuala Lumpur: Perpustakaan Negara Melaysia.
  4. Harun Mat Piah (1987). Manuskrip-Manuskrip Melayu dalam Koleksi Library of Congress Amerika Syarikat. Sari 5 (1987).
  5. Narrative of the United States exploring expedition during the years 1838, 1839, 1840, 1841, 1842. Vol. 5, Philadelphia : Lea & Blanchard, 1845.
  6. US Ex Ex: An Expedition for the Ages. 31 July 2019. Biblioasia Jul-Sep 2019. Singapore National Library.




Thursday 7 October 2021

Warkah Sultan Mahmud III

 


Ada beberapa warkah abad ke-18 dari Nusantara yang disimpan di arkib Belanda. Antara yang menarik adalah warkah dari Sultan Mahmud Riayat Syah ibni al-Marhum Sultan Abdul Jalil Syah (Sultan Mahmud III) (1756-1811) yang bertarikh 11 Ramadan 1210H iaitu 20 Mac 1796. Baginda adalah merupakan Sultan yang memerintah jajahan takluk Riau-Lingga (1761-1811), Pahang (1761-1811), dan Johor (1770-1811) (Gambar 1).

Gambar 1: Sultan Mahmud Riayat Syah ibni al-Marhum Sultan Abdul Jalil Syah (Sultan Mahmud III) (1756-1811).
Sumber: Kementerian Pendidikan dan Kebudayaan, Direktorat Jenderal Kebudayaan, Indonesia.

Gambar 2: Bahagian atas dalam warkah Sultan Mahmud III.
Sumber: Leiden University Libraries.


Gambar 3: Cap Mohor Sultan Mahmud III.
Sumber: Leiden University Libraries.


Gambar 4: Kandungan Warkah Sultan Mahmud III.
 Sumber: Leiden University Libraries.


Ketika warkah ini dimaktub, Inggeris yang mentadbir Melaka bagi pihak Belanda semasa Perang Napoleon baru sahaja mengembalikan semula wilayah takluk Sultan Mahmud III kepada baginda (Gambar 2-4).  Warkah ini diutus kepada Gabenor Jeneral Belanda iaitu Pieter Gerardus van Overstraten (1755-1801) (Gambar 5) dan tiba di Betawi (Jakarta) pada 25 April 1796. Secara ringkasnya, ia mengandungi kenyataan Sultan Mahmud III bahawa baginda baru sahaja dimaklumkan oleh pihak Inggeris bahawa baginda dan kerajaan baginda telah diserahkan kepada Belanda; di mana baginda memohon bekalan senjata dan peluru dari Belanda untuk dihantar ke Riau.

Gambar 5: Gabenor Jeneral Belanda, Pieter Gerardus van Overstraten (1755-1801).
Sumber: Wikipedia.


Seperti yang kita maklum Sultan Mahmud III telah membuka Lingga dan menjadikannya pusat pemerintahan Johor-Riau-Lingga-Pahang. Pada 1782 Sultan Mahmud III dan Yang Dipertuan Muda IV Raja Haji Fisabillilah memerangi Belanda di Riau-Lingga. Perang Riau I tersebut berlangsung dari 1782 sehingga 1784. Tentera Riau-Lingga berhasil mengalahkan Belanda di Tanjungpinang dan sekitarnya dalam suatu peperangan yang sangat dahsyat sehingga mengorbankan ramai tentera Belanda. Dalam peperangan tersebut tentera Riau-Lingga berjaya meletupkan kapal-kapal milik Belanda.

Seperti yang dibuktikan dalam warkah ini, dengan campur tangan penjajah dan musuh-musuh politik dalaman maka akhirnya jajahan takluk Sultan Mahmud III mengecil hanya untuk berkuasa di Riau-Lingga sahaja; di mana baginda akhirnya akur di bawah naungan kuasa Belanda. Manakala jajahan Johor-Pahang bernaung pula di bawah kuasa Inggeris. Akibat daripada perpecahan itu juga, pentadbiran kerajaan Sultan Mahmud III dibahagi kepada tiga negeri dan diperintah oleh pemerintah yang berlainan, iaitu Singapura diperintah Bendahara, Riau diperintah Yamtuan Muda dan Lingga diperintah Sultan. 

Kemangkatan Sultan Mahmud III pada 12 Januari 1811 pula mengakibatkan perebutan kuasa antara Tengku Hussein (1776-1835) dengan adinda tirinya, Tengku Abdul Rahman (1780-1832).  Ini memberi peluang kepada Stamford Raffles untuk mengambil kesempatan memihak kepada Tengku Hussein yang ketika itu disokong Temenggong Abdul Rahman (1755-1825). Percaturan ini membolehkan pusat perdagangan Inggeris didirikan di Singapura pada tahun 1819. Ini disusuli dua perjanjian pada tahun 1823 dan 1824, di mana Singapura akhirnya diserahkan secara rasmi kepada Inggeris.

Sumber:

  1. Abdul Hamid, Ahmad Sarji, 2011. The Encyclopedia of Malaysia, 16 - The Rulers of Malaysia. Kuala Lumpur: Editions Didier Millet.
  2. Leiden University Libraries, Amsterdam.
  3. Trcocki, Carl A., 2007. Prince of Pirates: The Temenggongs and the Development of Johor and Singapore. Singapura: NUS Press.



Friday 16 April 2021

Kerajaan Melaka bermula 1160M?

 

Gambar 1: Illustrasi Kota Melaka di bawah jajahan Belanda.
Sumber: 'Oud en Nieuw Oost-Indiën', François Valentijn (1724).

Berdasarkan catatan Belanda dalam 'Oud en Nieuw Oost-Indiën' (Old and New East India) (1724) oleh François Valentijn (1666-1727), penubuhan Melaka sebagai sebuah kerajaan maritim 'thalassocracy' dikatakan bermula pada tahun 1160 dan berpusat di Singapura (Gambar 2). Ini adalah 242 tahun lebih awal dari tarikh penubuhan kerajaan Melaka yang diketahui umum.  Valentijn menyatakan bahawa kerajaan ini kemudian berpindah ke kota Melaka pada tahun 1252, dan kemudian ke Johor bermula tahun 1511 iaitu setelah kota Melaka jatuh ke tangan Portugis. 

Gambar 2: Catatan senarai 22 Raja dan Sultan Melaka dari 1160 sehingga 1708.
Sumber: 'Oud en Nieuw Oost-Indiën', François Valentijn (1724).


Seperti kerajaan-kerajaan maritim sebelumnya, pusat pentadbiran dan ibu negerinya sentiasa berpindah-pindah. Jadi, setakat tahun 1708 iaitu semasa catatan tersebut dibuat, Valentjin (Gambar 3) merumuskan bahawa usia kumulatif kerajaan berdaulat dibawah pemerintahan Raja-Raja Kesultanan Melaka adalah 547 tahun 11 bulan (dan berterusan). 

 

Gambar 3: Lakaran François Valentijn (1666-1727).
Sumber: 'Oud en Nieuw Oost-Indiën', François Valentijn (1724).


Mungkin berdasarkan lojik ini sesetengah negara barat seperti Belanda, Perancis dan Turki menggelar Semenanjung Tanah Melayu sebagai "Melaka" sehingga abad ke-19 (Lihat Peta Semenanjung Tanah Melayu tahun 1803 oleh Turki dalam Gambar 4). Pada mereka, entiti Melaka sebagai sebuah kerajaan berdaulat adalah berterusan selagi ianya diperintah kerajaan yang berkesinambungan pemerintahannya dengan Raja-Raja dari Kesultanan Melaka.

Gambar 4: Cedid Atlas (1803) iaitu Peta Kerajaan Turki Uthmaniyyah dibawah Sultan Selim III, yang dibuat dan diterjemah oleh Mahmud Raif Efendi berasaskan peta William Faden.


Bagi Belanda, walaupun mereka menjajah dan menjarah hasil bumi di Semenanjung Tanah Melayu, serangan awal ke atas kapal Portugis dan penaklukan yang dilakukan terhadap Portugis di kota Melaka adalah di atas justifikasi mengembalikan kota Melaka tersebut kepada waris sebenar Kesultanan Melaka (Lihat Peranan Johor Dalam Membentuk Undang-Undang Antarabangsa Moden). Bagi British pula, walaupun mereka mengurangkan kuasa Raja-Raja Melayu melalui sistem residen, ianya dilakukan atas "persetujuan" yang diberikan oleh Raja-Raja Melayu itu sendiri. Pada kesemua masa yang material, walaupun kuasa dan peranan Raja-Raja Melayu dihadkan, ianya tidak pernah terbatal secara keseluruhan.

Gambar 4: Tajuk bagi catatan berkenaan Melaka.
Sumber: 'Oud en Nieuw Oost-Indiën', François Valentijn (1724).


Sekiranya dikaji, catatan Belanda ini lebih kurang sama dengan tarikh dalam 29 versi Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) yang menyatakan Melaka diasaskan pada 1262. Catatan Belanda ini mempunyai dua fakta tambahan iaitu ianya menyatakan perpindahan dari Singapura ke Melaka berlaku pada 1252, dan Raja-nya memeluk Islam pada 1276.

Walaubagaimanpun, seperti kita maklum rekod Portugis menyatakan tarikh-tarikh yang berbeza. Melaka dikatakan ditubuhkan putera Srivijaya iaitu Parameswara pada tahun 1402. Rekod Portugis ini adalah lebih probatif kerana ianya selari dengan rekod Cina. Melalui rekod hal ehwal Dinasti Ming (Ming Shi-lu), lawatan terakhir Srivijaya (San Fo Qi) ke Cina adalah pada 30.11.1377.  Manakala lawatan terakhir Majapahit (Java) adalah pada 3.10.1402. Terbukti bahawa tiada catatan berkenaan Melaka sebelum itu. 

Rekod berkenaan Melaka di Cina hanya wujud bermula pada 28.10.1403 iaitu rekod tentang Yi Qing yang dihantar sebagai utusan ke Melaka. Apa yang menarik adalah rekod Cina ada mencatat nama-nama Raja dan Sultan Melaka dan juga tarikh lawatan yang dibuat. Secara ringkasnya, rekod Ming Shi-lu tersebut mencatat bahawa terdapat 4 Raja-Raja Melaka berikut telah tiba di Kota Larangan:-

  1. Bai-li-mi-su-la (拜里迷蘇剌) (Parameswara) pada tahun 1405 dan 1411;
  2. Mu-wo Sa-yu-di-er Sha / Mu-gan Sa-yu(gan)-di-er Sha (Megat Iskandar Shah) pada tahun 1414;
  3. Xi-li Ma-ha-la-zhe (西哩麻哈剌者) (Sri Maharaja / Sultan Muhammad Shah) pada tahun 1424, 1433 & 1434; dan
  4. Su-dan Mang-su Sha (蘇丹茫速沙)(Sultan Mansur Shah) pada tahun 1459.

Tarikh-tarikh lawatan Raja-Raja Melaka ke Cina ini selari dengan rekod dan susunan tarikh pemerintahan rasmi Raja-Raja Melaka tersebut yang diketahui umum. Ianya juga ternyata bercanggah dengan tarikh pemerintahan dalam catatan Belanda dan Sejarah Melayu.  Dengan itu, boleh dirumuskan bahawa catatan Belanda tersebut adalah tidak berapa tepat dan mungkin dibuat oleh Valentijn berdasarkan teks-teks awal Sejarah Melayu.


Rujukan: 

  1. 'Oud en Nieuw Oost-Indiën' (Old and New East India), Vol. 5, oleh François Valentijn (1724).
  2. Peranan Johor Dalam Membentuk Undang-Undang Antarabangsa Moden. 10 Mei 2020. History Buff. Diekstrak dari https://yusrinfaidz.blogspot.com/2020/05/peranan-johor-dalam-membentuk-undang.html
  3. Sejarah Melayu versi Raja Bongsu (MS18 Stamford Raffles).
  4. Suma Oriental que trata do Mar Roxo até aos Chins (Summa of the East, from the Red Sea up to the Chinese), Tome Pires, 1512-1515.
  5. The Ming Shi-lu (veritable records of the Ming Dynasty) as a source for Southeast Asian history, 14th to 17th centuries, Geoffrey Wade (1994).



Monday 12 October 2020

Tragedi Letupan Kapal 'Johore' (1865)



Lakaran bertajuk "Blowing-up of the Johore, iron paddle-steamer, off Singapore" oleh John Lawrence Kirby, 1865.
Sumber: Illustrated London News.


Antara tragedi perkapalan terawal yang direkodkan di Singapura adalah tragedi letupan kapal ‘Johore’ yang berlaku pada 15.4.1865. Jika dirujuk sumber dari Britain, terdapat seorang warga Inggeris bernama John Lawrence Kirby yang telah membuat lakaran dan memberikan informasi berkenaan tragedi yang menimpa kapal "gunboat" milik Temenggong Abu Bakar tersebut. Jika dirujuk sumber Singapura pula, kita boleh dapati bahawa John Lawrence Kirby tersebut adalah sebenarnya salah seorang dari 5 juri semasa pendengaran kes Mahkamah Koroner berkenaan penyiasatan punca kematian Captain John Cleghorn dan lain-lain yang terkorban semasa insiden tersebut. 

Pada 10.6.1865, pihak ‘Illustrated London News’ (ILN) telah menerbitkan lakaran dan menyiarkan berita tentang letupan yang berlaku berdasarkan sumber Kirby tersebut. Butiran juga diberikan tentang lokasi kejadian. Pulau Hantu (kini Pulau Keppel) dikatakan di sebelah kanan lukisan yang mempunyai dua buah bangunan di atasnya. Berhampiran Pulau Hantu terdapat sebuah kapal bernama ‘Henriette’ yang dimiliki Singapore Dock Company. Tanah daratan dibahagian kiri lukisan tersebut adalah Pulau Blakang Mati (kini Pulau Sentosa) yang penuh ditanam dengan pokok nenas ketika itu. Kapal di sebelah kiri lukisan adalah kapal 2000-tan dari Perancis bernama ‘Orme’.  Secara amnya, lokasi kejadian adalah kawasan perairan New Harbour (kini Keppel Harbour).



Kawasan New Harbour dalam peta 'The Strangers' Guide to the Environs of Singapore' (1860).
Sumber: libmaps.nus.edu.sg


'Steamer docking at coaling station at New Harbour' berdasarkan lakaran M. Testevuide, 1876.
Sumber: Roots.sg



Kapal perisai jenis 'paddle steamer' tersebut baru sahaja dibeli oleh Temenggong Abu Bakar ibni Almarhum Temenggong Daeng Ibrahim dari West Hartlepool, England. Menurut rekod sejarah, West Hartlepool adalah tempat kapal-kapal perisai "blockade-runners" dibina bagi keperluan Confederate States semasa Perang Saudara Amerika (1861-1865). Mungkin idea untuk membeli kapal perisai tersebut timbul setelah CSS Alabama berlabuh di Singapura sekitar tahun 1863. (Lihat Perang Saudara Amerika Di Selat Melaka).

Temenggong Abu Bakar ketika itu merupakan Temenggong Johor (r. 1862 - 1868). Seperti yang kita maklum, baginda kemudian menggunakan gelaran Maharaja Johor (r. 1868 - 1886) dan kemudian dikenali sebagai Sultan Abu Bakar iaitu Sultan Johor era moden yang Pertama (r. 1886 - 1895).  Jika dikaji, pembelian kapal Johore di England tersebut mungkin menjadi sebab utama mengapa Temenggong Abu Bakar dikatakan telah mula ke Eropah pada tahun 1865 seperti yang direkodkan di dalam 'Syair Al-Marhum Baginda Sultan Abu Bakar Di Negeri Johor' (Na Tian Piet, 1896). Ini bercanggah dengan rekod British yang menyatakan lawatan baginda ke Eropah hanya bermula pada tahun 1866.

Potret Temenggong Abu Bakar yang dilakar sekitar tahun 1866 ketika baginda berusia 33 tahun .
Sumber: Singapore National Archives


Gambar Istana Lama Teluk Blangah yang dirakam pada tahun 1862 oleh Thomas Heritage Photography.
Sumber: Leiden University Libraries, Amsterdam.

Gambar Tyersall House yang dirakam sekitar tahun 1869 oleh August Sachtler dari Sachtler & Co. Setelah membelinya dari William Napier pada 1860, Temenggong Abu Bakar berpindah ke Tyersall House pada tahun 1862.
Sumber: Geoffrey Allan Edwards' Collection, Leiden University Libraries, Amsterdam.


Gambar Tyersall House yang dirakam sekitar tahun 1869 oleh August Sachtler dari Sachtler & Co. Setelah membelinya dari William Napier pada 1860, Temenggong Abu Bakar berpindah ke Tyersall House pada tahun 1862.
Sumber: Geoffrey Allan Edwards' Collection, Leiden University Libraries, Amsterdam.


Kapal Johore tersebut dikatakan berkelajuan tinggi, mempunyai ‘battering ram’ untuk melanggar musuh, dan dilengkapi senjatapi terkini termasuk meriam ‘Blakely’ yang juga jenis meriam yang digunakan oleh Confederate States. Menurut rekod, ianya dibeli bercanggah dengan saranan penasihat British.  Kapal tersebut telah belayar dari West Hartlepool, England, dan tiba di Singapura sekitar April 1865.  Ia dikatakan mengikut jalan jauh (arah barat) dan telah singgah di benua Amerika semasa Perang Saudara Amerika sedang berlaku. Tindakan Temenggong Abu Bakar membayar gaji bulanan kepada anak kapal Johore semasa pelayaran dari England ke Singapura juga dikritik British kerana prosidur normal adalah pembayaran gaji berdasarkan setiap perjalanan (based on each journey).

Menurut Kirby, setibanya di Singapura, Temenggong Abu Bakar telah bercadang untuk membawa orang-orang kenamaan termasuk Gabenor Negeri-Negeri Selat untuk bersiar-siar sekitar perairan selatan Singapura sempena cuti hari Easter, dan juga sebagai meraikan upacara perasmian kapal tersebut. Pada hari Sabtu 15.4.1865, semasa kapal tersebut sedang disiapkan untuk belayar, terdapat kesukaran untuk menghidupkan enjinnya di mana jurutera kapal Johore bernama Miller telah mendapatkan bantuan dari pihak Singapore Dock Company. 

Letupan yang berlaku dikatakan berpunca dari kecuaian Miller. Dijelaskan bahawa semasa mereka memeriksa enjin wap, Miller gagal mengenalpasti kekurangan air dalam dandang wap dan pada masa yang sama beliau gagal mengarahkan anak kapal untuk memberhentikan proses pembakaran bahanapi yang dijalankan selama lebih dari 2 jam sebelum letupan berlaku. Ini dikatakan penyebab dandang wap menjadi terlalu panas dan meledak akibat tekanan apabila air bersuhu rendah disalirkan kedalamnya.

Dari gabungan dua sumber kontemporari, letupan yang berlaku pada pukul 4 petang 15.4.1865 tersebut telah mengorbankan lebih kurang 30 nyawa yang terdiri dari individu berikut: -

  1. Adinda kepada Temenggong Abu Bakar yang dirujuk sebagai “Haroo”;
  2. Hussein bin Abdullah (iaitu anak kepada Abdullah Munshi, tokoh persuratan Melayu);
  3. Captain John Cleghorn, dari Singapore Dock Company;
  4. Captain Abdul Talip, kapten kapal Johore;
  5. Hugh Bain, jurutera Singapore Dock Company;
  6. Henry Sanders, penyedia dandang (boiler maker);
  7. Miller, jurutera kapal Johore;
  8. John Young, jurutembak meriam Blakely kapal Johore; dan
  9. 22 anak kapal yang terdiri dari rakyat tempatan;
Versi Kirby dalam ILN mengandungi rujukan kepada "Haroo" (yang dikatakan adinda Temenggong Abu Bakar), dan tiada rujukan kepada Hussein bin Abdullah.  Manakala versi akhbar Singapura tentang prosiding Mahkamah Koroner yang diadakan di Balai Polis Telok Blangah sekitar April 1865 tidak merekodkan individu bernama "Haroo" tersebut, tetapi ada merujuk nama Hussein bin Abdullah. Pada pandangan saya, versi akhbar Singapura lebih bernilai probatif. 

Gambar kediaman Maharaja Abu Bakar di Singapura sekitar 1880-an 
Sumber: Leiden University Libraries, Amsterdam.


Temenggong Abu Bakar berada di kediaman baginda semasa letupan berlaku. Sebelum itu baginda telah mengarahkan adindanya iaitu Wan Abdul Rahman untuk menjalankan pemeriksaan dan menyelia persiapan kapal Johore tersebut yang dijadualkan belayar pada petang hari yang sama. Dilaporkan bahawa Wan Abdul Rahman terselamat apabila impak letupan hanya mengakibatkan beliau pengsan seketika. Beliau kemudian bangun dan terjun ke dalam laut tanpa mengalami apa-apa kecederaan serius. Wan Abdul Rahman yang pengsan sekali lagi di dalam air telah diselamatkan oleh Charles Whishart iaitu salah seorang dari pekerja Singapore Dock Company yang bergegas dari New Harbour ke arah kapal dengan menggunakan sampan. Dua rakyat Britain dan 6 rakyat tempatan terselamat walaupun mengalami kecederaan yang agak serius. Dicatatkan bahawa serombong kapal dan juga meriam Blakely yang terletak berhampiran dandang wap terpelanting semasa letupan dan tercampak kedalam laut.


Meriam jenis Blakely yang selalunya digunakan askar Confederate States semasa Perang Saudara Amerika (1861-1865). 
Sumber: Juliensjournal.com

Gambar meriam Blakely yang dinaikkan dari tapak kapal karam CSS Alabama di Perancis pada tahun 1994. 
Sumber: Pinterest.com


Juga dicatatkan bahawa peralatan hidangan Istana yang diperbuat dari perak telah turut tercampak ke dalam laut akibat impak letupan. Kemungkinan besar meriam Blakely dan juga peralatan-perlatan perak dari milik Temenggong Abu Bakar tersebut masih berada di dasar perairan New Harbour (Keppel Harbour).

Gambar hiasan set silverware antik tahun 1840-an.


Walaubagaimanapun, letupan yang berlaku tidak menjejaskan struktur kapal dan ianya berjaya ditunda ke pelabuhan sebelum sempat dimasukki air. Setelah diperbaiki, kapal Johore tersebut telah dijual dengan harga $4,000.00.

Hasil dari prosiding inkues, juri Mahkamah Koroner mengeluarkan dapatan bahawa kematian Captain John Cleghorn dan anak kapal Johore diakibatkan “Accidental death” iaitu kematian akibat kemalangan yang disebabkan kecuaian dan kekurangan jurutera.  Ianya juga dikatakan sebahagian dari kesilapan Temenggong Abu Bakar sebagai pemilik yang gagal mempastikan kapal tersebut dikawalselia oleh jurutera dan pekerja yang kompeten dan mahir. Prosiding tersebut telah mengeluarkan pandangan berikut:- 

“The Jury are of the opinion from the evidence laid before them that in all probability the explosion of the Johore might have been avoided, had the ship been manned with the necessary staff of Engineers usual on board ships of the same size, and cannot but consider the owner culpable to a certain extent for this omission”.
Pada pandangan saya, keputusan ini agak simplistik dan terburu-buru. Ini adalah kerana semasa prosiding inkues tersebut tiada apa-apa keterangan direkodkan dari anak kapal yang terselamat. Tiada keterangan lisan mahupun bertulis diperoleh dari Miller dan Bain. Charles Whishart menyatakan Miller dan Bain terselamat; di mana Bain khususnya sempat berbual dengan Whishart semasa dibawa ke dalam bot penyelamat. Berdasarkan rekod akhbar Singapura, mereka meninggal dunia beberapa hari kemudian akibat kecederaan yang dialami.  Juga tiada rekod samada anak kapal ketika itu adalah anak kapal yang sama yang berjaya mengemudi kapal Johore dari England ke Singapura. Keterangan bahawa pembelian kapal tidak disenangi penasihat British juga tidak timbul. Secara ringkasnya terdapat penyembunyian fakta material yang ketara semasa prosiding inkues tersebut.


Sumber:

1. The Illustrated London News, 1865. 

2. 'Coroner's Inquest', Singapore Free Press and Mercantile Advertiser, 20.4.1865, pg. 3.

3. 'Explosion at New Harbour', The Straits Times, 22.4.1865, pg. 1.

4. 'Thirty died when ship exploded', Singapore Free Press, 11.6.1958, pg. 10.

5. National Library Board, Singapore.





Monday 8 June 2020

Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu



Klip Pertama


Apabila bahang perang dunia ke-2 semakin hampir, latihan ketenteraan dipertingkatkan. Latihan lasak di peringkat batalion dan peringkat briged juga kerapkali diadakan. Klip filem pertama ini dirakam pada 25.9.1941 semasa sebuah unit dalam Briged Infantri Pertama Malaya, iaitu Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu (1 Melayu), membuat latihan menggunakan mortar dan meriam penangkis kereta kebal. Dalam masa yang sama satu platun bantuan ditubuhkan dan dilatih untuk menggunakan 10 buah “Universal Carrier” ataupun lebih dikenali sebagai “Bren Gun Carrier” pimpinan Kapten R.R.C. Carter. Platun bantuan ini menjalankan latihan bersama-sama Batalion ke-2 Loyals Regiment (North Lancashire) Tentera British. Platun Mortar 1 Melayu dalam klip rakaman ini telah terlibat dalam pertempuran dengan Tentera Jepun di Singapura pada Februari 1942, di mana 146 dari anggotanya telah terkorban dan 600 menjadi tawanan perang. Antara anggota 1 Melayu yang terkorban dalam pertempuran ini adalah Leftenan Adnan bin Saidi dari Kajang, Selangor. Leftenan Adnan dijulang sebagai wira Singapura dan juga Malaysia atas keberanian beliau yang luar biasa apabila tidak gentar berhadapan dengan musuh walaupun akhirnya beliau dan keseluruhan dari 42 anggota platunnya terkorban. 800 orang Tentera Jepun telah berjaya dibunuh sebelum Leftenan Adnan dan anggota platunnya tumpas.





Klip Kedua



Dalam klip rakaman kedua latihan 1 Melayu ini, saya dapati terdapat seorang anggota yang mirip paras rupa Leftenan Adnan pada detik 1:16 hingga 1:20. Beliau berada pada kedudukan ke lima dari bahagian hadapan pada barisan paling kanan.  Tidak dapat dipastikan secara jelas samada Leftenan Adnan terlibat dalam perbarisan lain-lain pangkat yang dirakam British War Office di Singapura ini. Menurut rekod, ketika berpangkat Staff Sarjan, beliau pernah ditugaskan ke London khusus untuk menyertai Perbarisan Pertabalan King George VI pada 12.5.1937. Klip yang dirakam sekitar September 1941 ini juga menunjukkan latihan yang dijalankan oleh platun mortar dan platun  “Universal Carrier” ataupun lebih dikenali sebagai “Bren Gun Carrier”.

Gambar Adnan bin Saidi (kanan) & Mohamed bin Hj  Yunos (tengah) ketika tiba di Waterloo Station London pada 6.5.1937 untuk menyertai Perbarisan Pertabalan King George VI di London pada 12.5.1937
Sumber: FB Lta Adnan Bin Saidi & Zulkarnaen Md Saan.

Dalam klip rakaman ketiga pula kita dapat melihat latihan 1 Melayu di dalam hutan di Semenanjung Tanah Melayu.

Klip Ketiga

Juga memperkukuh pertahanan Malaya ketika itu adalah tentera dari India dan juga England yang dirakam membuat latihan ketenteraan masing-masing. Menurut rekod sejarah, sekitar bulan April 1941, 1 Melayu telah dihantar ke Jamaluang, Mersing, untuk membantu Briged ke-12 Tentera India yang berpengkalan di daerah pantai timur Johor tersebut. Dipercayai klip ini dirakam sekitar waktu tersebut.

Lagu selingan klip pertama: “Berbuat Jasa” oleh Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja (PPRAMD)

Lagu selingan klip kedua: “Gagah Setia” oleh Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja (PPRAMD)

Sumber:

1. Imperial War Museums, London

2. https://en.wikipedia.org/wiki/Adnan_Saidi

3. https://ms.wikipedia.org/wiki/Briged_Infantri_Pertama_Malaya


Friday 15 May 2020

Penerbangan Penumpang Pertama Di Tanah Melayu



Pada tahun 1911, seorang warga Denmark bernama Gijsbertus Peter Küller (GP Küller) membuat pertunjukan udara di Semenanjung Tanah Melayu dengan pesawat Perancis jenis Antoinette VII monoplane (Gambar 1). Pertunjukan udara tersebut telah diadakan di Pulau Pinang dari 1 hingga 3 Jun 1911, di Kuala Lumpur dari 16 hingga 18 Jun 1911, dan di Ipoh dari 1 hingga 3 Julai 1911. Penerbangan di Kuala Lumpur iaitu di padang lumba kuda Jalan Ampang dicatatkan dalam sejarah sebagai penerbangan pertama di Semenanjung Tanah Melayu. Ia juga dilaporkan sebagai penerbangan paling tinggi di mana pesawat GP Küller berjaya diterbangkan setinggi 1,500 hingga 1,600 kaki. Secara kebetulan, Menara Berkembar Petronas (Menara KLCC) yang mempunyai 88 bilangan tingkat, siap dibina 88 tahun selepas penerbangan GP Küller di lokasi yang sama. Aras tertinggi penerbangan GP Küller pada tahun 1911 pula sama dengan aras ketinggian Menara KLCC yang dirasmikan pada tahun 1999.

Gambar 1: Gijsbertus Peter Küller (1911) (Sumber: Quora.com)

Penerbangan antarabangsa pertama yang mendarat di Tanah Melayu pula adalah pesawat kargo KLM jenis Fokker F.VII pada 21.11.1924 di Kedah (Gambar 2). Ia bertolak dari Amsterdam pada 1.10.1924 dan tiba di Kepala Batas, Alor Setar pada 21.11.1924. (Lihat: Penerbangan Antarabangsa Pertama di Tanah Melayu)

Gambar 2: Pesawat KLM Foker F.VII bersama muatan kargo dan 3 anak kapal yang pernah tiba di Kepala Batas, Alor Setar pada 21.11.1924.

Singapura pula mempunyai rekod penerbangan yang lebih awal iaitu pada 16.3.1911 oleh seorang warga Belgium bernama Josef Christiaens dengan pesawat British iaitu Bristol Boxkite biplane (Gambar 3). Penerbangan antarabangsa yang tiba di Singapura juga direkodkan berlaku lebih awal iaitu melalui pesawat Vickers Vimy yang dipandu Kapten Ross Smith pada 4.12.1919 (Gambar 4).
Gambar 3: Josef Christiaens dengan pesawat British Bristol Boxkite biplane di Farrer Park, Singapura (Sumber: The Straits Times © Singapore Press Holdings Limited)

eToro urges Malaysians to make side income in the digital age


Gambar 4: Pesawat Vickers Vimy yang singgah di Farrer Park, Singapura pada 4.12.1919 dalam perjalanan dari London ke Darwin (Sumber: Roots.sg & National Archives of Singapore )

Walaubagaimanapun, pesawat-pesawat awal ini tidak membawa penumpang berbayar. Jika dikaji, penerbangan penumpang berbayar pertama di Semenanjung Tanah Melayu dan Singapura telah dilakukan pada tahun 1924 iaitu semasa pertunjukan udara yang dibuat oleh Pierre Chanteloup (1890-1976) dengan menggunakan pesawat Perancis jenis Caudron biplane (Gambar 5).
Gambar 5: Pierre Chanteloup dengan pesawat Caudron biplane (Sumber: Wikipedia)

Pertunjukan udara oleh warga Perancis ini dibuat di beberapa buah tempat termasuk di Hindia Timur Belanda, Singapura dan juga Semenanjung Tanah Melayu. Kapal terbang beliau dibawa dari Perancis ke Hindia Timur Belanda dan kemudian ke Singapura melalui kapal laut. Menurut laporan akhbar Singapura, Pierre Chanteloup telah membuat pertunjukan udara pada 24 hingga 26 April 1924 di padang Balestier, Singapura. Ia direkodkan sebagai penerbangan penumpang berbayar pertama di Singapura (Gambar 6 & 7).
Gambar 6: Akhbar The Singapore Free Press and Mercantile Advertiser bertarikh 24.4.1924 (Sumber: National Library of Singapore)

Gambar 7: Akhbar The Singapore Free Press and Mercantile Advertiser bertarikh 25.4.1924 (Sumber: National Library of Singapore)

Menurut informasi dari laman web Artcurial.com pula, terdapat pertunjukan udara pada 3 hingga 5 Mei 1924 yang diadakan di "Malaka, Kuala Lumpur". Dari informasi ini, tidak dapat dipastikan samada ianya di Melaka ataupun di Kuala Lumpur, atau di kedua-dua tempat. Rekod arkib Perancis selalunya didapati mengelirukan kerana menyebut Malaya dan Tanah Melayu sebagai Malaka (Melaka). Ada pula rekod Perancis yang menyatakan Kuala Lumpur sebagai sebuah negara. Laman web Artcurial.com juga turut mempamirkan poster iklan dalam Bahasa Melayu tentang penerbangan 1924 tersebut (Gambar 8). Akan tetapi, lokasi pertunjukan udara oleh Pierre Chanteloup tersebut tidak dinyatakan di dalam iklan tersebut.
Gambar 8: Poster Iklan Penerbangan Pierre Chanteloup (1924) (Sumber: Artcurial.com). Poster 41x21 cm ini dicetak oleh Kie Sheng Press (Singapore) dan dianggar berharga antara RM5,000 hingga RM7,000.

Kekeliruan ini dirungkai dan dijawab oleh Encik Muhammad Zaidee Daut dari Perbadanan Perpustakaan Awam Melaka. Dalam satu temubual, beliau memaklumkan bahawa wujud sekeping gambar yang dapat membuktikan bahawa kapal terbang tersebut telah mendarat di Melaka (Gambar 9). Menurutnya lagi, penerbangan tersebut adalah merupakan penerbangan paling awal di negeri Melaka di mana gambar tersebut menunjukkan Pierre Chanteloup sedang berdiri di hadapan kapal terbangnya bersama beberapa orang penduduk Melaka. Salah seorang darinya adalah paderi Katolik berbangsa Perancis bernama Reverend Father René Edouard Cardon (1877-1948) yang ketika itu bertugas di Gereja St. Francis Xavier Melaka. Father Cardon tersebut adalah pengasas Muzium Melaka yang ditubuhkan pada tahun 1935, dan juga penulis buku bertajuk 'A Tercentenary - The Fall of Portuguese Malacca to the Dutch (1641-1941)'.
Gambar 9: Pierre Chanteloup bersama beberapa orang dari Melaka. Reverend Father René Edouard Cardon di sebelah kiri bahagian hadapan kapal terbang (Sumber: Muhammad Zaidee Daut, Perbadanan Perpustakaan Awam Melaka)

Dirujuk silang dengan poster iklan yang dilelong Artcurial.com (Gambar 8), saya percaya bahawa peristiwa penerbangan di Melaka yang dirumuskan oleh Muhammad Zaidee juga adalah penerbangan penumpang berbayar yang pertama di Semenanjung Tanah Melayu. Ini adalah kerana setiap penerbangan dikenakan caj bayaran sebanyak $25 bagi seorang penumpang, dan $40 bagi 2 orang penumpang. Dirujuk silang akhbar The Singapore Free Press and Mercantile Advertiser bertarikh 25.4.1924 (Gambar 7) pula, kita boleh dapati bahawa semasa pertunjukan udara di Singapura, setiap penerbangan berbayar telah mengelilingi ruang udara kawasan pertunjukan selama 10 minit. Dipercayai modus operandi yang sama terpakai semasa pertunjukan udara di Melaka.

Menurut butiran dalam poster iklan tersebut lagi, selain dari penerbangan bebayar, caj 20 sen dikenakan kepada setiap pelawat yang hadir di pertunjukan udara di Melaka di mana Pierre Chanteloup membuat beberapa aksi penerbangan aerobatik termasuk mematikan enjin di aras 3,000 kaki, dan menangkap 50 belon yang dilepaskan ke udara.  Sebagai tarikan, penerbangan percuma juga diberikan kepada 5 pemegang tiket pertunjukan udara yang bertuah.


Rujukan:

1. Pierre Chanteloup. Dalam Wikipedia. Diekses pada 17 April 2020 dari https://fr.m.wikipedia.org/wiki/Pierre_Chanteloup

2. The Singapore Free Press and Mercantile Advertiser, 24 April 1924, Diakses dari National Library of Singapore.

3. The Singapore Free Press and Mercantile Advertiser, 25 April 1924, Diakses dari National Library of Singapore.

4. Lot 237, Exhibition de Voltige Aérienne de Pierre Canteloup à Malaka, Kuala Lumpur, du 3 au 5 mai 1924. Diakses pada 17 April 2020 dari: https://www.artcurial.com/en/lot-exhibition-de-voltige-aerienne-de-pierre-canteloup-malaka-kuala-lumpur-du-3-au-5-mai-1924-1912

5. Daut, Muhammad Zaidee (2020, April 17-19). Temubual melalui telefon dan whatsapp.



Thursday 23 April 2020

Jubli Emas Tambak Johor


Gambar 1: Tambak Johor pada tahun 1924

Hari ini, iaitu 24.4.2020, adalah hari ulangtahun ke-100 Tambak Johor. Ianya direka oleh Coode, Fizmaurice, Wilson & Mitchell, dan dibina oleh Topham, Jones & Railton Ltd.  Batu asas bagi tambak ini telah diletak oleh Sultan Johor iaitu Sultan Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar dan Gabenor Negeri-Negeri Selat dan Pesuruhjaya Tinggi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, Laurence Nunns Guillemard, pada 24.4.1920.

Semasa dalam proses kajian, tambak dipilih sebagai alternatif terbaik kerana ketika itu Selat Tebrau dikatakan mempunyai kedalaman maksima 70 kaki di mana pembinaan sebuah jambatan dihujah British akan memakan belanja dan kos penyelenggaraan yang tinggi.

Pada mulanya, tambak yang berukuran 1,056 meter panjang tersebut adalah untuk kegunaan laluan keretapi sahaja di mana  Kerajaan Johor telah membayar kos infrastruktur sebanyak $12.346 juta (Dolar Selat). Tetapi Kerajaan Johor mahukan penambah-baikan dari segi kemudahan jalan raya dan laluan pejalan kaki.

British bersetuju, tetapi mereka mahukan Kerajaan Johor membayar sepenuhnya kos pembinaan kemudahan jalan raya dan laluan pejalan kaki yang bernilai $4.755 juta. Sultan Johor berpendapat Kerajaan Johor sudah banyak mengeluarkan belanja dan tidak sepatutnya dibebankan dengan kos tambahan tersebut. Lebih-lebih lagi tambak tersebut adalah untuk kesenangan bersama.

Oleh kerana tiada persetujuan, Sultan Johor dan Penasihat Am Johor ketika itu telah ke London untuk merundingkan isu berkenaan. Sebelum berlangsungnya upacara perasmian Tambak Johor pada 24.7.1924, pihak-pihak telah mencapai kata sepakat mengenai isu pembayaran, dengan Kerajaan Johor bersetuju membayar wang tambahan $3.178 juta. British melalui Kerajaan Singapura bersetuju membayar $1.362 juta, manakala Munisipal Singapura membayar sebanyak $214,371.00.

Pada sekitar bulan Mei 1924, pihak British telah menjalankan tinjauan di kawasan ruang udara Singapura dan Johor. Lihat gambar Istana Besar Johor dan Masjid Sultan Abu Bakar di Gambar 2 & 3.

Gambar 2: Istana Besar Johor pada 15.5.1924.

Gambar 3: Masjid Sultan Abu Bakar pada 21.5.1924.

Dipercayai pihak berwajib iaitu Royal Air Force (RAF) telah memohon secara rasmi dan telah mendapat kebenaran bertulis dari Kerajaan Johor bagi kebenaran memasukki ruang udara Johor. Kebenaran tersebut boleh diperbaharui setiap 3 bulan. Salinan surat kebenaran terakhir (No. 3) masih disimpan pihak RAF dengan tempoh kebenaran terbang dari 8.8.1924 hingga 31.10.1924 (Gambar 4). Ini juga bukti bahawa Kerajaan Johor ketika itu mempunyai sistem pentadbiran yang efisyen walaupun ketika itu permohonan yang melibatkan laluan ruang udara adalah yang julung-julung kali diproses.

Gambar 4: Surat kebenaran ke-3 Kerajaan Johor kepada pihak RAF.

Terdapat 6 buah pesawat udara jenis "floatplane" model Fairey IIID yang dibawa ke Johor oleh kapal HMS Pegasus dari England. Tinjauan yang dibuat ke atas Johor adalah sebahagian dari tugas RAF untuk survei udara dan pemetaan Semenanjung Tanah Melayu, Sarawak & Hong Kong yang dijalankan dari tahun 1924 hingga 1927. Gambar-gambar lain yang dapat dikenalpasti dirakam dalam sempadan Johor adalah di Gambar 5 hingga 13. Ianya telah dirakam sekitar waktu upacara perasmian Tambak Johor iaitu pada 28.6.1924. Ketika itu 3 buah pesawat Fairey IIID ditugaskan untuk merakam gambar, menjadi pengiring udara bagi konvoi kenderaan Raja-Raja Melayu yang melintasi tambak dan kemudian untuk membuat pertunjukan udara.

Gambar 5: Tambak Johor pada tahun 1924.

Gambar 6: Tambak Johor pada tahun 1924.

Gambar 7: Ruang udara sekitar bandar Johor Bahru, 1924.

Gambar 8: Pesawat RAF Fairey IIID di ruang udara sekitar bandar Johor Bahru, 1924.

Gambar 9: Kapal pelawat menghampiri pesawat Fairey IIID.

Gambar 10: Tetamu-tetamu kehormat dibawa menghampiri pesawat.

Gambar 11: Tetamu diberi peluang menaiki pesawat.

Gambar 12: Tunku Temenggong Ahmad Ibni Sultan Ibrahim (1898-1983) yang ketika itu sedang memeriksa pesawat "floatplane" model Fairey IIID di perairan Selat Tebrau.

Gambar 13: Tetamu kehormat diberi peluang menaiki pesawat.


Melalui gambar 1, 5 & 6, kita boleh lihat bahawa struktur asal Tambak Johor sebenarnya mengandungi terusan kapal lengkap dengan kunci air (lock channel) dan juga jambatan angkat (drawbridge) yang dipanggil rolling bridge. Lihat contoh struktur sama yang dibina British di pelabuhan Karachi.



Menurut spesifikasi asal, struktur Tambak Johor juga mempunyai 10 saliran pembentungan berukuran 5 kaki diameter setiap satu bagi mengalirkan air dari kedua-dua bahagian Selat Tebrau.

Dari tahun 1924 hingga 1942, kapal-kapal mempunyai akses untuk memintas di Tambak Johor tanpa perlu melalui bahagian selatan pulau Singapura. Tujuan British dan Kerajaan Johor membina terusan, kunci air dan 10 saliran pembentungan di Tambak Johor juga adalah supaya air di Selat Tebrau tidak bertakung dan tercemar.

Pada tahun 1942, British telah mengebom  jambatan angkat, sistem terusan, dan 4 saliran pembentungan di Tambak Johor untuk menghalang kemaraan tentera Jepun semasa Perang Dunia Ke-2. Lihat rakaman filem sekitar Januari 1942.


Jepun pula telah membina jambatan sementara. Pada tahun 1946, setelah Jepun menyerah kalah, British membina jambatan dan menutup terusan ini atas alasan kekurangan kapal yang ingin menggunakannya. British mengambil jalan mudah untuk tidak perlu membazir; lebih-lebih lagi apabila mereka berhasrat untuk membenarkan pemerintahan sendiri dan kemudian melayan tuntutan kemerdekaan Semenanjung Tanah Melayu.

Terusan kapal di Tambak Johor tersebut kemudian telah dikambus dan diabaikan fungsinya. Pada tahun 2019, setelah membuat pemeriksaan, Kerajaan Johor mendapati hanya satu saliran pembentungan masih berfungsi. Jadi semenjak tahun 1946, Tambak Johor sebenarnya telah digunakan bercanggah dengan piawai dan tujuan asalnya di mana ia telah mengakibatkan pencemaran air dan juga penafian akses laluan maritim antara dua bahagian perairan selat yang telah dipisahkan oleh struktur tambak tersebut.

Sumber:

1. Imperial War Museums, London.

2. https://en.m.wikipedia.org/wiki/Johor%E2%80%93Singapore_Causeway

3. https://ms.m.wikipedia.org/wiki/Tambak_Johor 

4. The Johore Causeway.  - https://eresources.nlb.gov.sg/newspapers/Digitised/Article/malayansatpost19240705-1.2.9




Ekspedisi Wilkes (1838-1842)

Kapal USS Vincennes, yang memuatkan 190 anak kapal dan merupakan kapal utama Ekspedisi Wilkes. Singapura adalah destinasi terakhir yang dila...