Popular Posts

Sunday 26 April 2020

Kallang Airport






Kallang Airport (also known as the Kallang Aerodrome, Kallang Airfield and RAF Kallang) was Singapore’s first purpose-built commercial airport. It was opened on 12 June 1937 in the Kallang Basin area. It was designed by Frank Dorrington Ward, then chief architect of the Public Works Department. The announcement to build Kallang Airport was made by Governor Cecil Clementi on 31 August 1931. The decision was made in anticipation of Singapore turning into a major aviation hub.

Construction of the Kallang Airport began in 1931 with 300 acres of mangrove swampland being reclaimed. It resulted in the displacement of a large Malay community consisting of about 5,000 individuals from 5 villages along the Kallang River.  Most of the residents resettled into Kampong Melayu Jalan Eunos.

Boasting an anchorage area for seaplanes along its perimeter, the Kallang Airport was dubed as "the finest airport in the British Empire" at that time. Famous aviator Amelia Earhart once described it as "an aviation miracle of the East". It contains a two-storey terminal building with a large viewing gallery and a circular control tower in the middle, two side blocks with attached hangars, a circular grass landing field, and a slipway for seaplanes. Overall, Kallang Airport took five years to complete at a cost of $9 million.

During World War II, the Kallang Airport was the only operational airfield in Singapore capable of supporting Allied campaigns against the Japanese forces. It was during the Japanese occupation period that the airport's grass landing zone was upgraded into a concrete runway and extended to 5500 feet.

As early as 1950, plans were made to build a new airport at Paya Lebar (the current Paya Lebar Air Base) as the Kallang Airport was unable to cope with the increase in air traffic  and larger planes despite being expanded. The Kallang Airport finally closed in 1955.

Thursday 23 April 2020

Jubli Emas Tambak Johor


Gambar 1: Tambak Johor pada tahun 1924

Hari ini, iaitu 24.4.2020, adalah hari ulangtahun ke-100 Tambak Johor. Ianya direka oleh Coode, Fizmaurice, Wilson & Mitchell, dan dibina oleh Topham, Jones & Railton Ltd.  Batu asas bagi tambak ini telah diletak oleh Sultan Johor iaitu Sultan Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar dan Gabenor Negeri-Negeri Selat dan Pesuruhjaya Tinggi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, Laurence Nunns Guillemard, pada 24.4.1920.

Semasa dalam proses kajian, tambak dipilih sebagai alternatif terbaik kerana ketika itu Selat Tebrau dikatakan mempunyai kedalaman maksima 70 kaki di mana pembinaan sebuah jambatan dihujah British akan memakan belanja dan kos penyelenggaraan yang tinggi.

Pada mulanya, tambak yang berukuran 1,056 meter panjang tersebut adalah untuk kegunaan laluan keretapi sahaja di mana  Kerajaan Johor telah membayar kos infrastruktur sebanyak $12.346 juta (Dolar Selat). Tetapi Kerajaan Johor mahukan penambah-baikan dari segi kemudahan jalan raya dan laluan pejalan kaki.

British bersetuju, tetapi mereka mahukan Kerajaan Johor membayar sepenuhnya kos pembinaan kemudahan jalan raya dan laluan pejalan kaki yang bernilai $4.755 juta. Sultan Johor berpendapat Kerajaan Johor sudah banyak mengeluarkan belanja dan tidak sepatutnya dibebankan dengan kos tambahan tersebut. Lebih-lebih lagi tambak tersebut adalah untuk kesenangan bersama.

Oleh kerana tiada persetujuan, Sultan Johor dan Penasihat Am Johor ketika itu telah ke London untuk merundingkan isu berkenaan. Sebelum berlangsungnya upacara perasmian Tambak Johor pada 24.7.1924, pihak-pihak telah mencapai kata sepakat mengenai isu pembayaran, dengan Kerajaan Johor bersetuju membayar wang tambahan $3.178 juta. British melalui Kerajaan Singapura bersetuju membayar $1.362 juta, manakala Munisipal Singapura membayar sebanyak $214,371.00.

Pada sekitar bulan Mei 1924, pihak British telah menjalankan tinjauan di kawasan ruang udara Singapura dan Johor. Lihat gambar Istana Besar Johor dan Masjid Sultan Abu Bakar di Gambar 2 & 3.

Gambar 2: Istana Besar Johor pada 15.5.1924.

Gambar 3: Masjid Sultan Abu Bakar pada 21.5.1924.

Dipercayai pihak berwajib iaitu Royal Air Force (RAF) telah memohon secara rasmi dan telah mendapat kebenaran bertulis dari Kerajaan Johor bagi kebenaran memasukki ruang udara Johor. Kebenaran tersebut boleh diperbaharui setiap 3 bulan. Salinan surat kebenaran terakhir (No. 3) masih disimpan pihak RAF dengan tempoh kebenaran terbang dari 8.8.1924 hingga 31.10.1924 (Gambar 4). Ini juga bukti bahawa Kerajaan Johor ketika itu mempunyai sistem pentadbiran yang efisyen walaupun ketika itu permohonan yang melibatkan laluan ruang udara adalah yang julung-julung kali diproses.

Gambar 4: Surat kebenaran ke-3 Kerajaan Johor kepada pihak RAF.

Terdapat 6 buah pesawat udara jenis "floatplane" model Fairey IIID yang dibawa ke Johor oleh kapal HMS Pegasus dari England. Tinjauan yang dibuat ke atas Johor adalah sebahagian dari tugas RAF untuk survei udara dan pemetaan Semenanjung Tanah Melayu, Sarawak & Hong Kong yang dijalankan dari tahun 1924 hingga 1927. Gambar-gambar lain yang dapat dikenalpasti dirakam dalam sempadan Johor adalah di Gambar 5 hingga 13. Ianya telah dirakam sekitar waktu upacara perasmian Tambak Johor iaitu pada 28.6.1924. Ketika itu 3 buah pesawat Fairey IIID ditugaskan untuk merakam gambar, menjadi pengiring udara bagi konvoi kenderaan Raja-Raja Melayu yang melintasi tambak dan kemudian untuk membuat pertunjukan udara.

Gambar 5: Tambak Johor pada tahun 1924.

Gambar 6: Tambak Johor pada tahun 1924.

Gambar 7: Ruang udara sekitar bandar Johor Bahru, 1924.

Gambar 8: Pesawat RAF Fairey IIID di ruang udara sekitar bandar Johor Bahru, 1924.

Gambar 9: Kapal pelawat menghampiri pesawat Fairey IIID.

Gambar 10: Tetamu-tetamu kehormat dibawa menghampiri pesawat.

Gambar 11: Tetamu diberi peluang menaiki pesawat.

Gambar 12: Tunku Temenggong Ahmad Ibni Sultan Ibrahim (1898-1983) yang ketika itu sedang memeriksa pesawat "floatplane" model Fairey IIID di perairan Selat Tebrau.

Gambar 13: Tetamu kehormat diberi peluang menaiki pesawat.


Melalui gambar 1, 5 & 6, kita boleh lihat bahawa struktur asal Tambak Johor sebenarnya mengandungi terusan kapal lengkap dengan kunci air (lock channel) dan juga jambatan angkat (drawbridge) yang dipanggil rolling bridge. Lihat contoh struktur sama yang dibina British di pelabuhan Karachi.



Menurut spesifikasi asal, struktur Tambak Johor juga mempunyai 10 saliran pembentungan berukuran 5 kaki diameter setiap satu bagi mengalirkan air dari kedua-dua bahagian Selat Tebrau.

Dari tahun 1924 hingga 1942, kapal-kapal mempunyai akses untuk memintas di Tambak Johor tanpa perlu melalui bahagian selatan pulau Singapura. Tujuan British dan Kerajaan Johor membina terusan, kunci air dan 10 saliran pembentungan di Tambak Johor juga adalah supaya air di Selat Tebrau tidak bertakung dan tercemar.

Pada tahun 1942, British telah mengebom  jambatan angkat, sistem terusan, dan 4 saliran pembentungan di Tambak Johor untuk menghalang kemaraan tentera Jepun semasa Perang Dunia Ke-2. Lihat rakaman filem sekitar Januari 1942.


Jepun pula telah membina jambatan sementara. Pada tahun 1946, setelah Jepun menyerah kalah, British membina jambatan dan menutup terusan ini atas alasan kekurangan kapal yang ingin menggunakannya. British mengambil jalan mudah untuk tidak perlu membazir; lebih-lebih lagi apabila mereka berhasrat untuk membenarkan pemerintahan sendiri dan kemudian melayan tuntutan kemerdekaan Semenanjung Tanah Melayu.

Terusan kapal di Tambak Johor tersebut kemudian telah dikambus dan diabaikan fungsinya. Pada tahun 2019, setelah membuat pemeriksaan, Kerajaan Johor mendapati hanya satu saliran pembentungan masih berfungsi. Jadi semenjak tahun 1946, Tambak Johor sebenarnya telah digunakan bercanggah dengan piawai dan tujuan asalnya di mana ia telah mengakibatkan pencemaran air dan juga penafian akses laluan maritim antara dua bahagian perairan selat yang telah dipisahkan oleh struktur tambak tersebut.

Sumber:

1. Imperial War Museums, London.

2. https://en.m.wikipedia.org/wiki/Johor%E2%80%93Singapore_Causeway

3. https://ms.m.wikipedia.org/wiki/Tambak_Johor 

4. The Johore Causeway.  - https://eresources.nlb.gov.sg/newspapers/Digitised/Article/malayansatpost19240705-1.2.9




Friday 17 April 2020

Raksasa Laut Nusantara

Gambar 1. Gambar hiasan, kapal jenis ghali (galley) Eropah dalam 'Plan de Plusieurs Batiments de Mer avec leurs Proportions' (ca. 1690) oleh Henri Sbonski de Passebon.

Atlas Lopo Homem-Reineis atau Atlas Miller adalah sebuah atlas yang dilukis oleh pakar kartografi Portugis bernama Lopo Homem, Pedro Reinel, Jorge Reinel, dan António de Holanda. Atlas tahun 1519 ini kini disimpan di Perpustakaan Negara Perancis.

Di dalamnya ada dilakar Kepulauan Melayu Nusantara di mana ketika itu Melaka (dicatat Malaqva) baru sahaja 8 tahun berada di bawah jajahan Portugis.  Gambar 2 menunjukkan menara Farmosa dan kubunya yang digambarkan lebih gah dari keadaan yang wujud dalam lukisan dan kartografi lain. Juga kelihatan kawasan yang ditanda Daqueda (Kedah), Pulpina (Pulau Pinang), Puluoreira (Pulau Berarah / Berhala), Capacia (Kafasi/Kapas/Bukit Jugra/Parcellar Hill), Muar dan Simgapura (Singapura).


Gambar 2. Semenanjung Tanah Melayu dalam Atlas Lopo Homem-Reineis atau Atlas Miller (1519).

Menurut Jim Siebold (2016), Atlas Miller ini adalah atlas pertama yang menggambarkan kewujudan jong Melayu. Walaupun terdapat kesilapan dari segi bentuk layar dan dek hadapan yang tinggi, ciri-ciri jong Melayu tersebut dapat dilihat dari struktur kemudi sisi, dan juga rekaan runcing dibahagian hadapan dan belakang jong.

Sekiranya diteliti dibahagian Lautan Hindi atlas tersebut, kita boleh lihat terdapat lakaran 2 buah kapal yang dikatakan Siebold menggambarkan jong Melayu. Sebuah jong dilukis dari arah belakang mempunyai 6 tiang layar, dan sebuah lagi dari arah sisi yang mempunyai 7 tiang layar (Gambar 3).

Gambar 3. Jong Melayu di Lautan Hindi, Atlas Miller (1519).

Manakala di lautan Cina terdapat 3 buah jong Melayu. Dalam Gambar 4 terdapat jong 3 tiang yang dilakar dari arah belakang, dan sebuah lagi dari arah sisi dengan 6 tiang layar. Dalam Gambar 5 pula, kelihatan sebuah jong Melayu yang mempunyai 5 tiang layar.

Gambar 4. Jong Melayu di Lautan Cina, Atlas Miller (1519).


Gambar 5. Jong Melayu di Lautan Cina, Atlas Miller (1519).

Lukisan berkenaan jong-jong Melayu ini bukanlah rekaan atau hiasan grafik atlas kuno semata-mata. Kewujudannya dicatat se-awal tahun 100M di mana seorang pengkaji bintang Yunani bernama Claudius Ptolemaeus, dalam bukunya 'Geography', merekodkan kapal-kapal besar yang datang dari sebelah Timur India.  Ini disokong oleh cacatan dalam 'Periplus Marae Erythraensis'.  Kedua-dua catatan ini merujuk sejenis kapal gergasi yang dinamakan "kolandiaphonta". Perkataan tersebut dikatakan sebagai transliterasi perkataan Cina 'K'un-lun po'.

Pada abad ke-3, Wan Chen (萬震) dalam 'Strange Things of the South' (南州異物志) mencatat kapal besar yang boleh memuatkan 700 orang dengan muatan sehingga 1000 tan. Beliau mencatat kapal ini datang dari K'un-lun, yang bermaksud negara Selatan atau kepulauan dibawah angin ("Southern country" or "Islands below the wind"). Kapal ini digelar K'un-lun po dan berukuran 50 meter panjang.

Pada tahun 260M, Kang Tai (康泰) mencatat kewujudan jong Melayu yang mempunyai 7 tiang layar dipanggil K'un-lun po (kapal negeri Selatan) yang direkodkan berlayar hingga ke Syria. Perkataan "po" dikatakan berasal dari perkataan Melayu "perahu".

Niccolò da Conti dalam perjalanan ke Asia dari 1419 ke 1444 mencatat jong yang dijumpainya jauh lebih besar dari kapal Eropah dan mempunyai 5 tiang layar.

Berdasarkan pelayaran Ludovico di Varthema ke Melaka dan kepulauan rempah pada 1505, adalah dicatatkan bahawa nakhoda Melayu kapal besar dari Borneo yang ditumpangi Varthema belayar dengan berpandukan carta nautika yang mempunyai garisan rhumb dan dibaca dengan kompas magnet. Nakhoda tersebut juga dikatakan mempamir kemahiran dalam belayar dengan menggunakan buruj bintang. Juga dikatakan carta nautika tersebut merujuk kepada kewujudan pulau paling selatan yang kini diketahui sebagai pantai utara Australia.

Empayar Majapahit (1293-1527) dikatakan menggunakan antara 400 hingga 500 jong yang bersaiz antara 70 hingga 100 meter. Setiap jong dilengkapi meriam dan boleh memuatkan dari 600 hingga 800 bala tentera. Lihat lukisan jong Jawa di Banten yang dilakar dalam Hodeporicon indiae Orientalis (1610) yang menggambarkan saiz yang lebih kecil bagi mematuhi undang-undang Belanda (Gambar 6).

Gambar 6. Jong Jawa di Banten dalam Hodeporicon indiae Orientalis (1610).

Kapal bersaiz besar juga ada dicatatkan wujud di zaman kegemilangan Kesultanan Melaka. Dalam Hikayat Hang Tuah, Sultan Mahmud Syah (1488-1511) dicatat memiliki beberapa buah kapal dari jenis jong dan ghali. Ia dinamakan Sairul Amin, Miratus Safa, Sekepar, Batil Suasa, Rancung Mengkuang dan Mendam Berahi. Kapal-kapal milik Kesultanan Melaka ini dikatakan bersaiz 70 hingga 100 meter panjang dan dilengkapi meriam. Ianya telah direkodkan belayar ke Majapahit dan seterusnya telah menjelajah ke Bentan, Lingga, Palembang, Jayakarta, Aceh, Inderapura, Brunei, Siam, Sri Langka, India, Cina, Mesir, Jeddah dan juga ke Rum (Istanbul).

João de Barros (1496–1570) mencatat tentera pimpinan Alfonso de Albuquerque telah diserang jong dari Pasai semasa armada mereka berada di antara Lumut dan Belawan di mana Portugis mengambil masa 2 hari untuk mengalahkan jong tersebut.  Portugis kagum dengan jong tersebut dan keberkesanan sistem pertahanan yang dipamirkan dan bertindak melepaskan anak kapal jong tersebut dari tahanan. Dicatat Portugis bahawa sistem pertahanan jong yang diberi nama "O Bravo" ("The Brave Junk") tersebut termasuk pelontar (catapult) peluru berapi, penembakan artileri jarak dekat, dan penggunaan 'battering ram' untuk melanggar musuh. Gaspar Correia (1602) dalam Lendas da Índia mungkin menceritakan jong yang sama semasa Alfonso de Albuquerque melalui Selat Melaka di mana mereka mengambil masa 2 hari untuk menewaskan jong tersebut. Jong tersebut dikatakan mempunyai 4 lapisan kulit kapal dan hanya menyerah diri setelah kemudinya tidak berfungsi.

Pada tahun 1512, Duarte Barbosa merekodkan kewujudan kapal besar milik orang Jawa yang mempunyai 4 tiang layar. Ianya mempunyai kulit kapal (hull) yang dilindungi 4 lapisan kayu jati. Fernão Pires de Andrade (1513) mencatat pertempuran Portugis dengan tentera Pati Unus (Patih Yunus) di mana diceritakan bahawa jong-jong Patih Yunus dari Demak mempunyai antara 3 hingga 7 lapisan kulit kapal yang tidak dapat ditembusi peluru meriam. Beliau juga mengatakan bahawa jong Patih Yunus begitu besar sehinggakan Anunciada (kapal perang Portugis) yang berada di sebelah jong Patih Yunus tidak lagi kelihatan seperti sebuah kapal.

Kagum melihat jong-jong ini, Alfonso de Albuquerque telah cuba membawa sebuah jong bersama-sama 60 orang tukang kapal Jawa dari pelabuhan Melaka ke Goa bersama-sama konvoi pulang yang terdiri dari kapal Flor de la Mar, Trindade, dan Enxobregas. Malangnya akibat ribut, Flor de la Mar tenggelam pada Januari 1512. Jong yang dibawa bersama telah dilarikan ke Pasai oleh tukang-tukang kapal tersebut.

Walaupun Portugis mengkritik saiz jong yang dikatakan tidak praktikal untuk pertempuran laut, mereka sebenarnya kagum dan banyak belajar dari ciri-ciri binaan dan pertahanan jong nusantara.  Khususnya, sepucuk surat dari Raja Portugal iaitu John III kepada Conde da Castanheira (Count of Castanheira) bertarikh 22.8.1536 ada menyatakan bahawa sebuah jong nusantara telah dibawa ke Portugal. Dalam surat tersebut John III juga memuji keputusan Count of Castanheira dalam memilih jong tersebut sebagai kapal dalam armada pengawal pesisir Portugal (Coast Guard Fleets / Armadas que devem andat em la da costa) yang berpengkalan di pelabuhan Sacavem, utara Lisbon.

Semasa peristiwa Pengepungan Melaka 1568 pula, kapal jenis ghali telah digunakan oleh tentera Aceh dan digambarkan dalam lakaran yang kini berada di Perpustakaan Negara Brazil. Ghali yang paling besar direkodkan dalam lakaran tersebut mempunyai 3 tiang layar (Gambar 7) dan mungkin sama besar dengan ghali Eropah dalam Gambar 1.

Gambar 7. Ghali Aceh dalam lakaran Pengepungan Melaka 1568 yang disimpan di Biblioteca Nacional do Brasil.

Kapal raksasa Nusantara yang terakhir mungkin telah dibina oleh Kesultanan Aceh sekitar tahun 1620an. Kesemuanya 47 buah kapal ghali telah dibina di mana sebuah darinya telah direkodkan terlibat dalam 'Battle of River Duyon' atau Pertempuran Sungai Duyong pada tahun 1629. Ghali tersebut dinamakan Cakra Donya. Ianya berukuran 100 meter panjang, 17 meter lebar dan boleh memuatkan 700 bala tentera. Ia mempunyai tiga tiang layar, 70 dayung dan dilengkapi lebih dari 100 laras meriam dalam pelbagai saiz.

Semasa pertempuran, armada Aceh terperangkap diserang hendap Portugis di muara Sungai Duyong. Ketika itu sebahagian dari tentera Aceh sedang mengepung kota Melaka. Dicatat bahawa tentera Aceh membuat kesilapan dalam meletakkan keseluruhan 236 buah kapal mereka di muara Sungai Duyong iaitu lebih kurang 3 km dari pelabuhan Melaka, di mana mereka tidak menyangka armada Portugis dari Goa akan datang menyerang mereka disitu.

Akibatnya, 19,400 orang tentera Aceh telah terkorban. Kapal Cakra Donya bersama-sama rampasan perang lain telah dibawa ke pelabuhan Melaka. Kapal tersebut kemudian dibawa ke markas Portugis di Goa, India. Portugis yang amat kagum dengan kapal tersebut telah menggelarnya sebagai "Espanto del Mundo” iaitu bererti 'keajaiban dunia'. Sesetengah pengkaji menterjemahnya sebagai "Terror of the Universe" iaitu 'keganasan alam semesta'.


Rujukan:

1. Badger, GP & Jones, JW. (1863). The Travels of Ludovico Di Varthema. 

2. Correia, Gaspar (1602). Lendas da Índia vol. 2. p. 219.

3. Dick-Read, Robert (2005). The Phantom Voyagers: Evidence of Indonesian Settlement in Africa in Ancient Times. Thurlton.

4. Dion, Mark. "Sumatra through Portuguese Eyes: Excerpts from João de Barros' 'Decadas da Asia',". Indonesia (Volume 9, 1970): 128–162

5. Guy, John (2014). Sanguozhi and Liang shu. New York: Metropolitan Museum of Art.

6. Kassim Ahmad, (1975). Hikayat Hang Tuah, Dewan Bahasa dan Pustaka.

7. Schottenhammer, Angela (2019). Early Global Interconnectivity across the Indian Ocean World, Volume II. Switzerland: Palgrave Macmillan. p. 173

8. Siebold, Jim (2016). The Atlas Miller p.15.




Wednesday 8 April 2020

Pengepungan Melaka 1568


Gambar 1: Lakaran pengepungan Kota Melaka 1568 yang disimpan di Biblioteca Nacional do Brasil.



Di Perpustakaan Negara Brazil atau Biblioteca Nacional do Brasil (BNB) tersimpan sebuah artifak dalam bentuk pelan kartografi era Portugis Melaka. Ianya adalah lakaran "bird's eye view" paling realistik tentang keadaan kota Melaka pada abad ke-16 (Gambar 1).

Pada tahun 1988, Pierre-Yves Manguin  membuat kajian terhadap salinan negatif lakaran tahun 1568 tersebut yang tidak beberapa jelas resolusinya. Kini, lakaran tersebut telah diimbas secara digital oleh BNB dalam fail bersaiz 32.4MB di mana kita berpeluang untuk melihat imejnya yang lebih jelas dan terperinci.

Gambar 2: Penandaan struktur bangunan dalam kota Melaka di zaman Portugis

Dalam Gambar 2, saya senaraikan struktur bangunan kota Melaka yang dikenal-pasti dari imbasan digital lakaran 1568 tersebut:-

1) Bastion São Domingos,
2) Bastion Madre de Deos,
3) Bastion São Tiago (Bastion Onze Mil Virgens terlindung dibelakang Bukit St Paul),
4) Jambatan merentasi Sungai Melaka,
5) Ribeira (waterfront / tempat penurunan kargo, iaitu bekas tapak Pelabuhan Kesultanan Melayu Melaka),
a) Menara Famosa (bekas tapak Masjid Raya dan Balai Mendapa Istana Kesultanan Melaka)
b) Gereja São Domingos dan Konven,
c) Alfândega (Gudang Kastam),
d) Palacio do Bispo (Istana Uskop) (bekas tapak Balai Penanggahan Istana Kesultanan Melaka)
e) Katedral Nossa Senhora da Asumpção,
f) Câmara (Majlis Perbandaran) & Aljube (Penjara),
g) Hospital untuk rakyat miskin,
h) Miserićordia (Gereja & penempatan Confraternity of Mercy),
i) Menara loceng,
j) Gereja Nossa Senhora da Annunciada & Jesuit College (Gereja St Paul),
k) Hospital diRaja.

Juga didapati lebih jelas adalah imbasan digital berkenaan teks deskripsi lakaran 1568 tersebut (Gambar 3).

Gambar 3: Teks deskripsi bagi lakaran berkenaan pengepungan kota Melaka pada tahun 1568.

Saya petik terjemahan yang dibuat oleh Pierre-Yves Manguin (1988) tentang teks tersebut:-

"During King dom Sabastiaõ's Reign, with Vice-Roy Dom Antão de Noronha as the Governor of the Estado da India, Sultan 'Ala ad-Din [Ri'ayat Syah alKahar], King of Aceh and other Kingdoms came to Melaka and laid siege to this city, when Dom Lionis Pereira was her Captain. [The Captain] defended the city with two hundred Portuguese, whilst the enemy brought three hundred sails and fifteen thousand soldiers, amongst whom were many Turks and Renegades and other people of various nations and ten thousand attendants.  And the Captain forced [the Sultan] to abandon the siege, after killing his eldest son the King of Aru, four thousand men and the paramount Captains and soldiers of his army, and taking a few pieces of artillery from him. In the year of 1568."

Lakaran dakwat hitam bersaiz 44 x 81.5 inci tersebut dipercayai dihasilkan seorang pakar kartografi yang menetap di kota Melaka. Beliau dapat menerapkan pengetahuan tempatan tentang mukabumi dan keadaan sekeliling kota Melaka semasa pengepungan kota tersebut pada tahun 1568. Rumah-rumah di Upeh yang dilakar mengandungi bangunan batu 2 tingkat.  Walaupun ada kawasan yang agak tidak realistik keluasannya, dari sudut senibina, lakaran 1568 ini adalah lebih teliti dari lakaran dan catatan Manuel Godinho de Erédia (1613) yang gagal menunjukkan kepelbagaian struktur bangunan di Upeh dan kota Melaka.

Secara amnya, lakaran 1568 ini menggambarkan keberkesanan rangkaian tembok batu yang ketika itu hampir siap dibina mengelilingi kota Melaka. Tembok batu tersebut mula dibina pada tahun 1564. Pengepungan terakhir kota Melaka oleh tentera Johor, Perak dan Jawa pada tahun 1551 banyak memberi pengajaran kepada Portugis di mana mereka telah menambah bilangan meriam dan memperkukuh kota Melaka dengan dinding batu.

Serangan tahun 1568 ini terjadi ekoran kesepakatan yang diatur oleh Empayar Turki Uthmaniyyah yang cuba mengusir Portugis keluar dari Melaka dan juga dari penempatan-penempatan lain di pesisir India. Ketika itu, tindakan pemangsa kapal-kapal Portugis menjadikan perairan Selat Melaka tidak selamat bagi pedagang Islam. Menurut Charles Truxillo (2012), Kesultanan Aceh menghantar 15,000 orang bala tentera. Bercanggah dengan teks lakaran 1568 ini, tentera Portugis sebenarnya berjumlah 1,500 orang. Jumlah 200 darinya adalah berbangsa Portugis, manakala baki 1,300 adalah terdiri dari pekerja dan hamba abdi.

Dikatakan tentera Aceh dibantu oleh 400 orang juru meriam dari Turki Uthmaniyyah yang ditugas untuk mengendalikan 200 laras meriam. Kesemuanya dibawa dari Aceh ke Melaka dengan menggunakan 300 buah kapal jenis ghali.  Menurut catatan Diogo de Cauto (1542-1616), jumlah kapal yang sebenar adalah 346 buah yang terdiri dari 3 ghali besar dari Malabar (Calicut), 3 ghali jenis 'bastardas', 60 ghali kecil jenis 'fustas' dan 'galeotas', 60 perahu Melayu jenis balang, 2 sampan besar Melayu yang memuatkan senjata dan bahan letupan, dan juga lebih dari 200 perahu Melayu jenis lancaran. Menurut Encyclopedia of Islam (1960), Sultan Selim II (1524-1574) dari Turki Uthmaniyyah telah menghantar 2 buah kapal ghali bersama tentera dan peralatan perang yang berkemungkinan besar telah digunakan semasa serangan 1568 tersebut.

Dari lakaran 1568 tersebut saya fokus kepada kawasan pendaratan kapal-kapal ghali iaitu di sebelah selatan kota Melaka. Adalah dicatatkan tentera Aceh tiba di perairan Melaka pada 20.1.1568. (Gambar 4).

Gambar 4: Tempat pendaratan tentera Aceh dan Turki Uthmaniyyah di bahagian selatan kota Melaka pada 20.1.1568.

Juga dilukis adalah kapal ghali yang dihantar bagi mengepung kawasan Upeh (Gambar 5).  Walaubagaimanapun, nisbah tentera dan meriam tidak setinggi di sebelah Hilir.


Gambar 5: Serangan Aceh di sebelah utara.

Kapal jenis ghali digunakan kerana ianya boleh didayung untuk menghampiri daratan walaupun di perairan cetek. Tentera dapat dikerahkan dengan pantas dan berjaya mengepung bahagian selatan hingga timur kota Melaka. Saya rujuk kepada lakaran pengepungan oleh infantri Aceh tersebut (Gambar 6, 7 & 8). Kapal ghali juga memudahkan meriam-meriam bombard diturunkan untuk membedil kota Melaka dari daratan. Dalam Gambar 1 jarak pembedilan meriam dari kubu Aceh di Hilir juga digambarkan iaitu dalam jarak sasaran lebih kurang 3 hingga 4 kilometer.

Gambar 6: Tentera Aceh & Turki Uthmaniyyah menyerang bahagian selatan kota Melaka.

Gambar 7: Tentera Aceh & Turki Uthmaniyyah mengepung bahagian tenggara kota Melaka.

Gambar 8: Tentera Aceh & Turki Uthmaniyyah mengepung bahagian timur kota Melaka.

Sejurus mendarat, pihak Aceh membina 3 buah kubu. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, kubu pertama adalah di Hilir. Kubu kedua berdekatan bastion Madre de Deus. Manakala kubu ketiga di sepanjang sungai Melaka berhampiran bastion São Domingos. Dikatakan pihak Portugis sempat memecahkan struktur rumah di Kampung Hilir untuk mendapatkan kayu bagi perlindungan tambahan kepada struktur kubu kota Melaka. Kampung Hilir kemudian telah dibakar oleh pihak Portugis.  Taktik yang sama telah digunakan Portugis iaitu dengan membakar sebahagian dari kampung Jawa dan meletakkan struktur kayu merentasi sungai Melaka berhampiran bastion São Domingos. Kayu-kayu tersebut kemudian dibakar bagi menghalang kemaraan tentera Aceh dari arah hulu sungai Melaka. Turut terbakar adalah penempatan di Bukit Cina yang dikenali sebagai São Francisco. Akan tetapi, tidak dapat dipastikan samada ia dibakar oleh pihak Portugis ataupun Aceh.

Sultan Aceh iaitu Sultan Alauddin Ri'ayat Syah al-Kahar (r.1537-1571) dikatakan memberi arahan peperangan dari puncak berhampiran São Francisco (Bukit Cina) tersebut. Kubu Aceh di tenggara kota Melaka menunjukkan kewujudan sistem komunikasi secara menggunakan bendera panjang yang dipanggil 'merawal'.  Lukisan ini mungkin merupakan satu-satunya bukti yang dapat mengesahkan penggunaan bendera ketenteraan (battle ensigns) seperti "tunggul", "panji-panji", "merawal", dan "ambul-ambul" yang dicatat dalam Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu).   Serangan darat Aceh bermula pada 15.2.1568 di sekitar pantai berhampiran bastion São Tiago ketika air surut. Malangnya, anakanda Sultan Aceh iaitu Sultan Aru dikatakan telah terbunuh apabila Portugis menyerang kubu Aceh berdekatan bastion Madre de Deus sebelum Aceh sempat memulakan serangan.

Kesan pembedilan meriam digambarkan melalui kebakaran dan kepulan asap yang berlaku di kota Melaka dan Upeh. Walaubagaimanapun, dinding kubu di kota Melaka gagal ditembusi tembakan meriam tersebut. Selain dari faktor tembok batu yang kukuh, pertahanan Melaka yang diketuai oleh Dom Leonis Pereira juga dibuat dengan merobohkan bahagian tengah jambatan Melaka, dan dengan mendirikan tembok merentangi jalan masuk ke bandar Melaka. Juga ketika itu Portugis mendapat bantuan ketenteraan dari Kesultanan Johor. Dari segi persenjataan, meriam-meriam Portugis yang baru diperoleh dari markas mereka di India adalah lebih berkesan.  Manakala jumlah juru meriam yang dihantar Turki Uthmaniyyah pula dikatakan tidak mencukupi disebabkan peperangan yang sedang berlangsung pada masa yang sama di Cyprus dan juga rusuhan yang meletus di Aden.

Jadi akhirnya kota Melaka berjaya dipertahankan oleh Portugis. Tentera Aceh berundur pada 25.2.1568 setelah 3,500 hingga 4,000 dari mereka terkorban. Pengkaji sejarah berpendapat bahawa kematian Sultan Aru telah melemahkan semangat tentera Aceh di mana Sultan Aceh telah mengarahkan pengunduran awal bagi mengurangkan korban dan juga bagi menyelamatkan senjata dari dirampas Portugis. Kemenangan kota Melaka disambut Portugis dan nama Dom Leonis Pereira menjadi sebutan rakyat diseluruh jajahannya sehingga terdapat sebuah sajak yang dikarang penyair Portugis terkemuka, Luís Vaz de Camões, berkenaan kejayaan Dom Leonis Pereira tersebut yang diibaratkan setanding dengan Leonidas semasa melawan tentera Parsi dalam Pertempuran Thermopylae.

Menurut rekod sejarah, Kesultanan Aceh dengan bantuan Empayar Turki Uthmaniyyah telah menyerang kota Melaka sebanyak lebih kurang 14 kali iaitu dari tahun 1537 sehingga 1629.  Serangan-serangan ini, walaupun tidak berhasil, telah melemahkan kota Melaka dan kekuasaan Portugis di Kepulauan Melayu. Akhirnya, gabungan Kesultanan Johor dengan Belanda berjaya mengalahkan Portugis di Melaka pada tahun 1641.

Pada pendapat saya, banyak perkara boleh dipelajari dari lakaran 1568 ini. Kajian lanjut boleh dibuat berkenaan kedudukan dan jenis bangunan pada zaman tersebut. Juga terdapat satu perkara yang masih menimbulkan tanda tanya: Mengapakah mereka perlu memindahkan lakaran 1568 ini dari Portugal ke Brazil?

Jika dikaji, lakaran tahun 1568 ini telah dipindahkan ke Brazil sekitar 1807. Ketika itu, tampok pemerintahan Empayar Portugis terpaksa dipindahkan ke Brazil apabila Portugal ditakluk Perancis dan Sepanyol semasa Perang Napoleon. Dari tahun 1807 hingga 1820, Brazil menjadi pusat pentadbiran bagi Empayar Portugis. Setelah tamat Perang Napoleon, Brazil menerima kemerdekaan dan lakaran 1568 ini menjadi hakmilik Brazil yang merupakan sebuah negara merdeka dan berdaulat.

Jawapannya mungkin dapat dilihat dalam catatan oleh sang pelukis disekitar imej tiang kapal di perairan selatan Pulau Jawa (Gambar 9). Ianya menyatakan bahawa Dom Leonis Pereira telah dengan sengaja menenggelamkan kapal beliau berhampiran pulau tersebut supaya muatannya tidak dapat dirampas pihak lawan. Apa yang sengaja ditenggelamkan di dalam kapal tersebut mungkin sesuatu yang berharga bagi Dom Leonis Pereira yang ketika itu tidak yakin Melaka dapat menangkis serangan Aceh dengan jumlah askar Portugis yang sedikit dan tembok batu kota Melaka yang belum siap dibina.

Gambar 9: Catatan teks disekitar kapal Portugis yang sengaja ditenggelamkan semasa serangan Aceh 1568.

Diterjemah ke dalam Bahasa Inggeris, teks tersebut menyatakan seperti berikut:-

"Dom Leonis Pereira ordered his nao to be sent to the bottom with all its cargo, so that the enemy would not get hold of it"

Ini bercanggah dengan catatan Diogo de Cauto (1542-1616) yang menyatakan muatan kapal tersebut sempat dikeluarkan sebelum ianya ditenggelamkan. Mungkinkah Cauto sengaja berbuat demikian untuk mengalih perhatian tentang muatan dalam kapal tersebut? Saya percaya bahawa adalah mustahil muatan kapal tersebut dikeluarkan semasa peperangan sedang berlaku. Seperti dalam lakaran tersebut, ghali pihak Aceh juga berada disekitar Pulau Jawa. Juga terdapat catatan lain yang menyatakan bahawa pihak Aceh telah meletakkan meriam di pulau tersebut untuk membedil kota Melaka (lihat Kubu Pulau Melaka). Jadi saya percaya kemungkinan besar kapal Portugis tersebut telah karam bersama muatannya seperti yang dicatat dalam teks lakaran 1568 tersebut.

Memandangkan tiada rekod Portugis tentang tindakan salvaj, dan kota Melaka kemudian diserang bertubi-tubi hingga jatuh ke tangan Belanda pada tahun 1641, saya percaya kapal tersebut bersama muatannya masih berada di kawasan sama yang kini telah ditambak dan dikenali sebagai Taman Pulau Melaka. Jadi lakaran 1568 ini adalah amat berharga kepada Raja Portugal, John VI, sehingga dibawa baginda ke Brazil kerana ia adalah satu-satunya peta yang menunjukkan di mana terletaknya harta yang tidak sempat diambil semula selepas pengepungan 1568 tersebut. Juga, untuk menyimpan rahsia koordinat lokasi harta yang sebenar, nama sang pelukis dengan sengaja tidak dicatatkan di atas hasil karyanya.


Rujukan:

1. Manguin, P., 1988, 'Of Fortresses and Galleys the 1568 Acehnese Siege of Melaka, after a Contemporary Bird's-eye View', Modern Asian Studies Journal, Vol. 22, Issue 3, pp 607-628, Cambridge University Press.

2. Truxillo, C.A., 2012, 'Crusaders in the Far East: The Moro Wars in the Philippines in the Context of the Ibero-Islamic World War', Jain Publishing Co., California.

3. Cauto, Da Asia, Década VIII, xxi and xxii.

4. "Eredia's Description of Malacca, Meridional India, and Cathay Translated from the Portuguese, with Notes", by JV Mills, JMBRAS, Vol VIII, 1930.

5. Encyclopedia of Islam (1960), Vol. 1, p. 743.

6. https://en.m.wikipedia.org/wiki/Siege_of_Malacca_(1568)

7. https://en.m.wikipedia.org/wiki/Ottoman_expedition_to_Aceh


Wednesday 1 April 2020

Lawatan Willem Schouten ke Pulau Pinang

Antara pedagang Eropah yang paling awal menemui Pulau Pinang ialah Kapten James Lancaster. Kapal beliau, Edward Bonaventure, adalah di antara tiga kapal yang dihantar oleh Britain dalam misi perdagangan ke Hindia Timur pada tahun 1591. Beliau telah dicatatkan tiba di Pulau Pinang pada bulan Jun 1593.  Catatan Lancaster adalah bukti utama pihak Inggeris yang menyatakan bahawa ketika itu Pulau Pinang tidak berpenghuni.

Terdapat seorang lagi pelayar Eropah bernama Willem Cornelisz Schouten (1567–1625) yang telah tiba di Pulau Pinang pada tahun 1616 (Lihat Gambar 1 & 2).  Schouten adalah pelayar berbangsa Belanda dan telah belayar dengan kapal Syarikat Hindia Timur Belanda ke Nusantara melalui Cape Horn dan lautan Pasifik.


Gambar 1: Lakaran ketibaan Schouten di Pulau Pinang yang direkod sebagai "Schouten at Penang ca.1616 Plague of flies" iaitu sebahagian dari "Journal, oder Beschreibung der wunderbaren Reise W. Schouten auss Hollandt, im Jahr 1615–17"  (1619).

Gambar 2: Willem Cornelisz Schouten (1567-1625)

Schouten telah merekodkan pelayarannya dalam sebuah jurnal yang telah diterbitkan di Amsterdam pada tahun 1618. Selain dari Bahasa Belanda, ianya juga telah dicetak dalam versi Bahasa Inggeris, Perancis, Jerman, dan Latin.  Setelah dikaji, illustrasi dalam versi Belanda, Perancis, Jerman dan Latin mempunyai 9 lakaran tambahan yang tidak wujud dalam versi Bahasa Inggeris jurnal tersebut.  Salah satu dari lakaran tersebut (Gambar 1) menggambarkan ketibaan Schouten di Pulau Pinang. 

Dalam lakaran tersebut, kapal Schouten yang dinamakan Eendraght dan Hoorn berlabuh diperairan Pulau Pinang di mana Pulau Pinang direkodkan mempunyai penghuni. Malah seorang pahlawan yang memegang busur panah digambarkan dalam jurnal beliau (Lihat Gambar 3).

Gambar 3: Penduduk awal Pulau Pinang sekitar tahun 1616 dalam lakaran jurnal Schouten.

Juga terdapat sebuah perahu layar tempatan yang mempunyai lambang ayam pada layarnya (Lihat gambar 4). Perahu tersebut yang dinaiki wanita dan kanak-kanak sedang terbakar mungkin akibat sedang diserang oleh pelayar-pelayar Belanda tersebut. Juga direkodkan kehadiran serangga yang banyak, samada jenis lalat atau agas, yang mengerumuni salah sebuah kapal Belanda tersebut.

Gambar 4: Perahu layar penduduk tempatan sedang terbakar.

Selain dari lakaran, versi Bahasa Jerman jurnal tersebut memberi sedikit deskripsi tentang kejadian tersebut yang mungkin dapat dikaji lebih lanjut (Lihat Gambar 5).

Gambar 5: Teks dari "Journal, oder Beschreibung der wunderbaren Reise W. Schouten auss Hollandt, im Jahr 1615–17"  (1619)

Jurnal Schouten ini adalah mungkin lakaran dan deskripsi terawal tentang kewujudan penduduk dan keadaan mukabumi di Pulau Pinang. Saya berpendapat terdapat usaha pihak Inggeris untuk menutup fakta yang ditemui Schouten tentang penduduk awal Pulau Pinang. Ini adalah kerana di dalam versi Inggeris, pelayaran Schouten hanya dicatat setakat ke kepulauan Jawa sahaja dan tidak pernah sampai ke Selat Melaka dan Pulau Pinang.


Rujukan:

1. Royal Museums Greenwich

2. Journal, oder Beschreibung der wunderbaren Reise W. Schouten auss Hollandt, im Jahr 1615–17 (1619).

3. https://en.m.wikipedia.org/wiki/Willem_Schouten



Ekspedisi Wilkes (1838-1842)

Kapal USS Vincennes, yang memuatkan 190 anak kapal dan merupakan kapal utama Ekspedisi Wilkes. Singapura adalah destinasi terakhir yang dila...