Gambar 1 |
Gambar 2 |
Lukisan Zhang Zeduan tersebut menunjukkan keadaan diluar kota Bianjing (kini Kaifeng, Henan) semasa perayaan Qingming (Ceng Beng) iaitu perayaan untuk mengingati nenek moyang. Di dalam lukisan tersebut terdapat jambatan yang digelar "rainbow bridge" yang mempunyai ruang untuk berjual-beli. Jambatan sebenar dalam lukisan asal abad ke-11 (Gambar 3) dikatakan diperbuat dari kayu.
Gambar 3 |
Ianya tidak mempunyai tiang demi memudahkan laluan kapal dari kawasan pelabuhan ke bandar. Jika diteliti, ianya mempunyai struktur sokongan yang sama seperti "self-supporting bridge" yang dikatakan direka Leonardo da Vinci sekitar tahun 1478 hingga 1519 (Gambar 4).
Gambar 4 |
Di kawasan tebing sungai terdapat tembok-tembok kayu dan batu bagi mengasingkan kawasan pelabuhan dan kawasan bandar. Lukisan Zhang Zeduan ini juga menunjukkan bahawa tiang layar kapal zaman Dinasti Song boleh dicabut untuk memudahkannya melepasi had ketinggian jambatan tersebut. Ditunjukkan juga cara bagaimana kapal berlabuh dan memunggah barang dagangan dipelabuhan sungai di kota Bianjing tersebut. Lihat video tentang lukisan asal:
Apa yang menarik adalah lukisan ini hampir sama dengan deskripsi Ma Huan tentang keadaan pelabuhan Melaka sekitar tahun 1430an iaitu di zaman pemerintahan Sultan Muhammad Shah ibni Almarhum Sultan Megat Iskandar Shah. Ma Huan adalah seorang jurubahasa beragama Islam yang bertugas dibawah kepimpinan Laksamana Zheng He (Cheng Ho). Saya petik terjemahan deskripsi Ma Huan dalam bukunya yang bertajuk Ying Yai Sheng Lan 瀛涯勝覽 ("Overall Survey of the Ocean's Shores"):
"There is one large river (the Malacca River) whose waters flow down past the front of the king's residence to enter the sea. Over the river the king has constructed a wooden bridge, on which were built more than twenty bridge pavilions, [and] all trading in every article takes place on this [bridge]"
"Whenever, the treasure ships of the Central Country (China) arrived there, [the Malaccans] at once erected a line of stockading, like a city wall, and set up towers for the watch-drums at four gates. At night they had patrols of police carrying bells; inside again they erected a second stockade, like a small city wall, [within which] they constructed warehouses and granaries; [and] all the money and the provisions were stored in them. The ships, which had gone to various countries returned to this place and assembled; they marshalled the foreign goods and loaded them in the ships; [then] waited till the south wind was perfectly favourable. In the middle of the fifth moon they put to sea and returned home."
Melalui catatan Alfonso de Albuquerque, pada serangan tahun 1511, Portugis mengalami kesukaran dalam menawan jambatan Melaka yang dikatakan diperkukuh kubu ("stockades"), dipertahan oleh pemanah, istinggar dan meriam; dan juga dikatakan agak tinggi kedudukannya dari paras air. Secara amnya, ianya sukar dicerobohi melalui jong yang digunakan untuk menghampiri dan menawan kedudukan strategik jambatan tersebut. Ini membuktikan bahawa jambatan Melaka ketika itu dibina dalam struktur tinggi bagi membolehkan kapal lalu dibawahnya.
Menurut Kung Chen (1434) dalam Hsi Yang Fan Kuo Chih 西洋蕃國誌 ("Records of the Western Barbarian Countries") orang-orang Cina menganggap kawasan pelabuhan Melaka ini sebagai kawasan khusus untuk pedagang asing (foreign prefecture). Kung Chen merekodkan bahawa kapal dari Champa, Ayutthaya dan Majapahit membawa barangan mereka untuk disimpan di gudang-gudang yang didirikan di pelabuhan Melaka. Ianya kemudian dimuatkan ke dalam kapal-kapal lain untuk ke Parsi, India dan Cina.
Kewujudan pelabuhan entrepot atau 'transshipment port' yang sistematik ini boleh dirujuk silang dengan rekod tempatan di mana pelabuhan di zaman Kesultanan Melaka dikatakan dikawal selia oleh 4 orang Syahbandar. Dicatatkan Syahbandar pertama ditugaskan untuk menjaga hal-ehwal dan pengutipan cukai pedagang dari Gujerat; Syahbandar kedua bagi hal-ehwal pedagang dari Cina, Ryukyu, dan Champa; Syahbandar ketiga bagi hal-ehwal pedagang dari Kalingga, Pegu, Benggala, dan Parsi; dan Syahbandar keempat bagi hal-ehwal pedagang dari Pulau Jawa, Banda, Borneo, Filipina, Maluku, Kalimantan, dan Pasai.
Pedagang asing juga digambarkan oleh Tun Seri Lanang dalam Sejarah Melayu (Sulalatus Salatin) sebagai berdamping rapat dengan pentadbiran Kesultanan Melaka. Ramai di antara mereka adalah saudagar-saudagar Kalingga dan Gujerat seperti Nila Sura Dewana, Kitul, dan Aki Manu Nayan. Ada antara mereka yang amat berpengaruh dan telah dilantik oleh Sultan Melaka sebagai Syahbandar seperti Raja Mendaliar dari Kalingga dan Patih Adam dari Surabaya.
Berbalik kepada deskripsi Ma Huan, selain dari mempunyai jambatan yang mengandungi lebih dari 20 tempat untuk berjual-beli, pelabuhan Melaka sekitar tahun 1430an dikatakan dikelilingi tembok kayu dengan 4 pintu masuk. Berdekatan setiap pintu didirikan menara tinjau yang dilengkapi gendang isyarat di mana ianya dikawal rapi siang dan malam. Berdasarkan catatan Ma Huan juga, tembok kayu tersebut akan dibuka semula apabila berakhir musim perdagangan. Kepadatan kawasan pelabuhan dan keperluan institusi Istana untuk berhubung terus dan mentadbir kawasan pelabuhan semasa musim berdagang adalah mungkin sebab utama mengapa tiada tembok kekal atau tembok batu didirikan.
Pada pendapat saya, 4 pintu pagar dalam deskripsi Ma Huan mungkin merujuk kepada pintu-pintu bagi setiap bahagian kumpulan pedagang yang dikawal selia setiap seorang Syahbandar Melaka. Seperti sistem "feitoria" dan sistem Canton yang diperkenalkan di pelabuhan-pelabuhan jajahan Portugis, kawasan pelabuhan Melaka ini adalah kawasan khusus bagi pedagang asing di mana tembok kayu dan menara kawalan didirikan mengikut musim pelayaran. Kemungkinan besar ianya terletak di kawasan tebing sungai berhampiran Balai Mendapa Istana Kesultanan Melayu Melaka (kini kawasan Kubu Middleburg). Secara kesimpulan, pelabuhan Melaka ditadbir secara sistematik dan menjadi pemangkin kepada kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka sekitar pertengahan abad ke-15.
Rujukan:
1. Blanchard, I., Mining, Metallurgy and Minting in the Middle Ages: Vol. 3: Continuing Afro-European Supremacy, 1250-1450 (African Gold Production and the Second and Third European Silver Production Long-cycles) (Stuttgard: Franz Steiner Verlarg, 2005)
2. Groenevelt, W. P., Notes on the Malay Archipelago and Malacca compiled from Chinese Sources (Batavia: Bruining, 1876),
3. Sejarah Melayu diusahakan oleh W.G. Shellabear, Fajar Bakti, (1978).
4. Comentários de Afonso de Albuquerque, (1557), t. A Bailo, Combra (1923).
5. https://en.m.wikipedia.org/wiki/Canton_System
6. https://pt.m.wikipedia.org/wiki/Feitorias_portuguesas
7. "Along the River During the Qingming Festival", Palace Museum, Beijing.
Assalamualaikummm Tuan bolehkah saya berkongsi maklumat artikel yang tuan ada ini untuk bahan bacaan di dalam grup sosial media. Saya akan kreditkantuan. Semoga bermanffat
ReplyDeleteWaalaikumsalam, silakan :)
ReplyDelete