Popular Posts

Thursday 26 May 2022

Kuil Buddha Chetawan


Wat Chetawan, Petaling Jaya.
Sumber: Selangor.travel


Kuil Buddha Chetawan (Wat Chetawan) ialah sebuah kuil Thai di Daerah Petaling, Selangor. Ianya terletak di Jalan Pantai, off Jalan Gasing di Seksyen 10, Petaling Jaya. Ia mula dibina pada tahun 1957 melalui sokongan Kedutaan Thailand, dan juga usaha Phra Kru Palat Vieng yang berjaya memohon kawasan seluas 2 ekar dari Kerajaan Negeri Selangor.

Dari segi dana, ianya dibiayai hasil kutipan derma dari penganut agama Buddha tempatan dan luar negara. Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu turut memberi sumbangan yang disampaikan melalui Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah (1903-1990).

Memandangkan struktur yang dirancang adalah untuk mencerminkan seni bina kuil Thai, Jabatan Seni Halus Thailand di Bangkok telah ditugaskan untuk merangka pelan seni bina dan menyelia pembinaan kuil. Dengan gabungan tenaga kerja buruh binaan tempatan dan tukang mahir dari Thailand, kuil utama bersama-sama struktur kuil telah siap pada bulan Jun 1962. Ianya telah dirasmikan oleh Raja Bhumibol Adulyadej (Rama IX) (1927-2016) dengan diiringi oleh Permaisuri Sirikit pada 26.6.1962.  Seperti yang dirakam pihak Reuters, semasa upacara khas tersebut, Raja Bhumibol telah menaikkan elemen bumbung hiasan kuil iaitu chofa




Raja Bhumibol juga telah memberikan perkenan untuk jata diRaja dipasang pada hadapan bangunan kuil tersebut. Secara peribadi Raja Bhumipol mendermakan arca Phra Buddha Thammeen sebagai berhala utama kuil tersebut. Ianya adalah penghormatan yang jarang berlaku dibandingkan dengan kuil-kuil tajaan Raja Bhumipol di luar Thailand.

Antara kerabat diRaja Thailand yang pernah melawat Wat Chetawan adalah kakanda Raja Bhumibol iaitu Puteri Galyani Vadhana, anakanda Raja Bhumibol iaitu Putera Mahkota Vajiralongkorn (kini Rama X), dan Puteri Sirindhorn. 

Pada Jun 2012, sempena ulangtahun ke-2600 agama Buddha, ulangtahun ke-50 Wat Chetawan, ulangtahun ke-85 Raja Bhumipol, dan ulangtahun ke-80 Permaisuri Sirikit, kuil ini juga merupakan satu-satunya kuil yang telah dipilih Raja Bhumibol sebagai penjaga sebahagian dari artifak peninggalan Buddha. Artifak yang dianggap suci tersebut ditemui pada tahun 1898 oleh William Claxton PeppĂ© di sebuah runtuhan kuil Buddha di Kapilavatthu, Piprahwa, Uttar Pradesh di India berhampiran sempadan Nepal. 

Artifak Buddha dari kuil di Piprahwa.
Sumber: Nalanda Buddhist Society Malaysia.


Ketika dijumpai, artifak tersebut berada di dalam sebuah bekas batu pasir yang ditanam 20 kaki dibawah stupa kuil Buddha tersebut. Di dalamnya terdapat pelbagai objek termasuk emas, batu permata, cebisan tulang, dan 5 buah bekas simpanan yang dipercayai mengandungi abu Sidharta Gautama (563 SM - 483 SM) iaitu pengasas agama Buddha yang bermula di India sekitar abad ke-6 SM.

Stupa dan kesan runtuhan kuil Buddha di Piprahwa. 
Sumber: Wikipedia.


Tapak kuil di Piprahwa.
Sumber: Google Maps.


Terjemahan bahasa Inggeris inskripsi pada bahagian dalam bekas batu pasir tersebut adalah seperti berikut:-

“These Relics of the Lord Buddha have been presented by the Supreme Sakya Lord together with his grandchildren, son and wife.”
Kamar simpanan artifak Buddha di Wat Saket (Temple of the Golden Mount), Bangkok.


Artifak dari Piprahwa tersebut dipercayai sebagai salah satu dari lapan bahagian artifak Buddha yang dibahagi-bahagikan oleh Brahmin Dona kepada raja-raja di seluruh India setelah mayat Sidharta Gautama dibakar di Kusinara sekitar 483 SM. Ianya telah dipersembahkan oleh Lord Curzon (Viceroy India) kepada Raja Chulalongkorn (Rama V) dan ditempatkan di Wat Saket (Temple of the Golden Mount), Bangkok semenjak tahun 1899. 

Pembinaan Wat Chetawan dan juga pemberian sebahagaian dari objek yang dianggap suci oleh penganut agama Buddha ini membuktikan kepercayaan dan persahabatan yang erat antara kedua-dua buah negara, khususnya antara masyarakat Thai dan penganut agama Buddha di Malaysia.

Sumber: Reuters, London; & Wikipedia.






Ekspedisi Wilkes (1838-1842)

Kapal USS Vincennes, yang memuatkan 190 anak kapal dan merupakan kapal utama Ekspedisi Wilkes. Singapura adalah destinasi terakhir yang dila...