Popular Posts

Showing posts with label Turki Uthmaniyyah. Show all posts
Showing posts with label Turki Uthmaniyyah. Show all posts

Wednesday 8 April 2020

Pengepungan Melaka 1568


Gambar 1: Lakaran pengepungan Kota Melaka 1568 yang disimpan di Biblioteca Nacional do Brasil.



Di Perpustakaan Negara Brazil atau Biblioteca Nacional do Brasil (BNB) tersimpan sebuah artifak dalam bentuk pelan kartografi era Portugis Melaka. Ianya adalah lakaran "bird's eye view" paling realistik tentang keadaan kota Melaka pada abad ke-16 (Gambar 1).

Pada tahun 1988, Pierre-Yves Manguin  membuat kajian terhadap salinan negatif lakaran tahun 1568 tersebut yang tidak beberapa jelas resolusinya. Kini, lakaran tersebut telah diimbas secara digital oleh BNB dalam fail bersaiz 32.4MB di mana kita berpeluang untuk melihat imejnya yang lebih jelas dan terperinci.

Gambar 2: Penandaan struktur bangunan dalam kota Melaka di zaman Portugis

Dalam Gambar 2, saya senaraikan struktur bangunan kota Melaka yang dikenal-pasti dari imbasan digital lakaran 1568 tersebut:-

1) Bastion São Domingos,
2) Bastion Madre de Deos,
3) Bastion São Tiago (Bastion Onze Mil Virgens terlindung dibelakang Bukit St Paul),
4) Jambatan merentasi Sungai Melaka,
5) Ribeira (waterfront / tempat penurunan kargo, iaitu bekas tapak Pelabuhan Kesultanan Melayu Melaka),
a) Menara Famosa (bekas tapak Masjid Raya dan Balai Mendapa Istana Kesultanan Melaka)
b) Gereja São Domingos dan Konven,
c) Alfândega (Gudang Kastam),
d) Palacio do Bispo (Istana Uskop) (bekas tapak Balai Penanggahan Istana Kesultanan Melaka)
e) Katedral Nossa Senhora da Asumpção,
f) Câmara (Majlis Perbandaran) & Aljube (Penjara),
g) Hospital untuk rakyat miskin,
h) Miserićordia (Gereja & penempatan Confraternity of Mercy),
i) Menara loceng,
j) Gereja Nossa Senhora da Annunciada & Jesuit College (Gereja St Paul),
k) Hospital diRaja.

Juga didapati lebih jelas adalah imbasan digital berkenaan teks deskripsi lakaran 1568 tersebut (Gambar 3).

Gambar 3: Teks deskripsi bagi lakaran berkenaan pengepungan kota Melaka pada tahun 1568.

Saya petik terjemahan yang dibuat oleh Pierre-Yves Manguin (1988) tentang teks tersebut:-

"During King dom Sabastiaõ's Reign, with Vice-Roy Dom Antão de Noronha as the Governor of the Estado da India, Sultan 'Ala ad-Din [Ri'ayat Syah alKahar], King of Aceh and other Kingdoms came to Melaka and laid siege to this city, when Dom Lionis Pereira was her Captain. [The Captain] defended the city with two hundred Portuguese, whilst the enemy brought three hundred sails and fifteen thousand soldiers, amongst whom were many Turks and Renegades and other people of various nations and ten thousand attendants.  And the Captain forced [the Sultan] to abandon the siege, after killing his eldest son the King of Aru, four thousand men and the paramount Captains and soldiers of his army, and taking a few pieces of artillery from him. In the year of 1568."

Lakaran dakwat hitam bersaiz 44 x 81.5 inci tersebut dipercayai dihasilkan seorang pakar kartografi yang menetap di kota Melaka. Beliau dapat menerapkan pengetahuan tempatan tentang mukabumi dan keadaan sekeliling kota Melaka semasa pengepungan kota tersebut pada tahun 1568. Rumah-rumah di Upeh yang dilakar mengandungi bangunan batu 2 tingkat.  Walaupun ada kawasan yang agak tidak realistik keluasannya, dari sudut senibina, lakaran 1568 ini adalah lebih teliti dari lakaran dan catatan Manuel Godinho de Erédia (1613) yang gagal menunjukkan kepelbagaian struktur bangunan di Upeh dan kota Melaka.

Secara amnya, lakaran 1568 ini menggambarkan keberkesanan rangkaian tembok batu yang ketika itu hampir siap dibina mengelilingi kota Melaka. Tembok batu tersebut mula dibina pada tahun 1564. Pengepungan terakhir kota Melaka oleh tentera Johor, Perak dan Jawa pada tahun 1551 banyak memberi pengajaran kepada Portugis di mana mereka telah menambah bilangan meriam dan memperkukuh kota Melaka dengan dinding batu.

Serangan tahun 1568 ini terjadi ekoran kesepakatan yang diatur oleh Empayar Turki Uthmaniyyah yang cuba mengusir Portugis keluar dari Melaka dan juga dari penempatan-penempatan lain di pesisir India. Ketika itu, tindakan pemangsa kapal-kapal Portugis menjadikan perairan Selat Melaka tidak selamat bagi pedagang Islam. Menurut Charles Truxillo (2012), Kesultanan Aceh menghantar 15,000 orang bala tentera. Bercanggah dengan teks lakaran 1568 ini, tentera Portugis sebenarnya berjumlah 1,500 orang. Jumlah 200 darinya adalah berbangsa Portugis, manakala baki 1,300 adalah terdiri dari pekerja dan hamba abdi.

Dikatakan tentera Aceh dibantu oleh 400 orang juru meriam dari Turki Uthmaniyyah yang ditugas untuk mengendalikan 200 laras meriam. Kesemuanya dibawa dari Aceh ke Melaka dengan menggunakan 300 buah kapal jenis ghali.  Menurut catatan Diogo de Cauto (1542-1616), jumlah kapal yang sebenar adalah 346 buah yang terdiri dari 3 ghali besar dari Malabar (Calicut), 3 ghali jenis 'bastardas', 60 ghali kecil jenis 'fustas' dan 'galeotas', 60 perahu Melayu jenis balang, 2 sampan besar Melayu yang memuatkan senjata dan bahan letupan, dan juga lebih dari 200 perahu Melayu jenis lancaran. Menurut Encyclopedia of Islam (1960), Sultan Selim II (1524-1574) dari Turki Uthmaniyyah telah menghantar 2 buah kapal ghali bersama tentera dan peralatan perang yang berkemungkinan besar telah digunakan semasa serangan 1568 tersebut.

Dari lakaran 1568 tersebut saya fokus kepada kawasan pendaratan kapal-kapal ghali iaitu di sebelah selatan kota Melaka. Adalah dicatatkan tentera Aceh tiba di perairan Melaka pada 20.1.1568. (Gambar 4).

Gambar 4: Tempat pendaratan tentera Aceh dan Turki Uthmaniyyah di bahagian selatan kota Melaka pada 20.1.1568.

Juga dilukis adalah kapal ghali yang dihantar bagi mengepung kawasan Upeh (Gambar 5).  Walaubagaimanapun, nisbah tentera dan meriam tidak setinggi di sebelah Hilir.


Gambar 5: Serangan Aceh di sebelah utara.

Kapal jenis ghali digunakan kerana ianya boleh didayung untuk menghampiri daratan walaupun di perairan cetek. Tentera dapat dikerahkan dengan pantas dan berjaya mengepung bahagian selatan hingga timur kota Melaka. Saya rujuk kepada lakaran pengepungan oleh infantri Aceh tersebut (Gambar 6, 7 & 8). Kapal ghali juga memudahkan meriam-meriam bombard diturunkan untuk membedil kota Melaka dari daratan. Dalam Gambar 1 jarak pembedilan meriam dari kubu Aceh di Hilir juga digambarkan iaitu dalam jarak sasaran lebih kurang 3 hingga 4 kilometer.

Gambar 6: Tentera Aceh & Turki Uthmaniyyah menyerang bahagian selatan kota Melaka.

Gambar 7: Tentera Aceh & Turki Uthmaniyyah mengepung bahagian tenggara kota Melaka.

Gambar 8: Tentera Aceh & Turki Uthmaniyyah mengepung bahagian timur kota Melaka.

Sejurus mendarat, pihak Aceh membina 3 buah kubu. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, kubu pertama adalah di Hilir. Kubu kedua berdekatan bastion Madre de Deus. Manakala kubu ketiga di sepanjang sungai Melaka berhampiran bastion São Domingos. Dikatakan pihak Portugis sempat memecahkan struktur rumah di Kampung Hilir untuk mendapatkan kayu bagi perlindungan tambahan kepada struktur kubu kota Melaka. Kampung Hilir kemudian telah dibakar oleh pihak Portugis.  Taktik yang sama telah digunakan Portugis iaitu dengan membakar sebahagian dari kampung Jawa dan meletakkan struktur kayu merentasi sungai Melaka berhampiran bastion São Domingos. Kayu-kayu tersebut kemudian dibakar bagi menghalang kemaraan tentera Aceh dari arah hulu sungai Melaka. Turut terbakar adalah penempatan di Bukit Cina yang dikenali sebagai São Francisco. Akan tetapi, tidak dapat dipastikan samada ia dibakar oleh pihak Portugis ataupun Aceh.

Sultan Aceh iaitu Sultan Alauddin Ri'ayat Syah al-Kahar (r.1537-1571) dikatakan memberi arahan peperangan dari puncak berhampiran São Francisco (Bukit Cina) tersebut. Kubu Aceh di tenggara kota Melaka menunjukkan kewujudan sistem komunikasi secara menggunakan bendera panjang yang dipanggil 'merawal'.  Lukisan ini mungkin merupakan satu-satunya bukti yang dapat mengesahkan penggunaan bendera ketenteraan (battle ensigns) seperti "tunggul", "panji-panji", "merawal", dan "ambul-ambul" yang dicatat dalam Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu).   Serangan darat Aceh bermula pada 15.2.1568 di sekitar pantai berhampiran bastion São Tiago ketika air surut. Malangnya, anakanda Sultan Aceh iaitu Sultan Aru dikatakan telah terbunuh apabila Portugis menyerang kubu Aceh berdekatan bastion Madre de Deus sebelum Aceh sempat memulakan serangan.

Kesan pembedilan meriam digambarkan melalui kebakaran dan kepulan asap yang berlaku di kota Melaka dan Upeh. Walaubagaimanapun, dinding kubu di kota Melaka gagal ditembusi tembakan meriam tersebut. Selain dari faktor tembok batu yang kukuh, pertahanan Melaka yang diketuai oleh Dom Leonis Pereira juga dibuat dengan merobohkan bahagian tengah jambatan Melaka, dan dengan mendirikan tembok merentangi jalan masuk ke bandar Melaka. Juga ketika itu Portugis mendapat bantuan ketenteraan dari Kesultanan Johor. Dari segi persenjataan, meriam-meriam Portugis yang baru diperoleh dari markas mereka di India adalah lebih berkesan.  Manakala jumlah juru meriam yang dihantar Turki Uthmaniyyah pula dikatakan tidak mencukupi disebabkan peperangan yang sedang berlangsung pada masa yang sama di Cyprus dan juga rusuhan yang meletus di Aden.

Jadi akhirnya kota Melaka berjaya dipertahankan oleh Portugis. Tentera Aceh berundur pada 25.2.1568 setelah 3,500 hingga 4,000 dari mereka terkorban. Pengkaji sejarah berpendapat bahawa kematian Sultan Aru telah melemahkan semangat tentera Aceh di mana Sultan Aceh telah mengarahkan pengunduran awal bagi mengurangkan korban dan juga bagi menyelamatkan senjata dari dirampas Portugis. Kemenangan kota Melaka disambut Portugis dan nama Dom Leonis Pereira menjadi sebutan rakyat diseluruh jajahannya sehingga terdapat sebuah sajak yang dikarang penyair Portugis terkemuka, Luís Vaz de Camões, berkenaan kejayaan Dom Leonis Pereira tersebut yang diibaratkan setanding dengan Leonidas semasa melawan tentera Parsi dalam Pertempuran Thermopylae.

Menurut rekod sejarah, Kesultanan Aceh dengan bantuan Empayar Turki Uthmaniyyah telah menyerang kota Melaka sebanyak lebih kurang 14 kali iaitu dari tahun 1537 sehingga 1629.  Serangan-serangan ini, walaupun tidak berhasil, telah melemahkan kota Melaka dan kekuasaan Portugis di Kepulauan Melayu. Akhirnya, gabungan Kesultanan Johor dengan Belanda berjaya mengalahkan Portugis di Melaka pada tahun 1641.

Pada pendapat saya, banyak perkara boleh dipelajari dari lakaran 1568 ini. Kajian lanjut boleh dibuat berkenaan kedudukan dan jenis bangunan pada zaman tersebut. Juga terdapat satu perkara yang masih menimbulkan tanda tanya: Mengapakah mereka perlu memindahkan lakaran 1568 ini dari Portugal ke Brazil?

Jika dikaji, lakaran tahun 1568 ini telah dipindahkan ke Brazil sekitar 1807. Ketika itu, tampok pemerintahan Empayar Portugis terpaksa dipindahkan ke Brazil apabila Portugal ditakluk Perancis dan Sepanyol semasa Perang Napoleon. Dari tahun 1807 hingga 1820, Brazil menjadi pusat pentadbiran bagi Empayar Portugis. Setelah tamat Perang Napoleon, Brazil menerima kemerdekaan dan lakaran 1568 ini menjadi hakmilik Brazil yang merupakan sebuah negara merdeka dan berdaulat.

Jawapannya mungkin dapat dilihat dalam catatan oleh sang pelukis disekitar imej tiang kapal di perairan selatan Pulau Jawa (Gambar 9). Ianya menyatakan bahawa Dom Leonis Pereira telah dengan sengaja menenggelamkan kapal beliau berhampiran pulau tersebut supaya muatannya tidak dapat dirampas pihak lawan. Apa yang sengaja ditenggelamkan di dalam kapal tersebut mungkin sesuatu yang berharga bagi Dom Leonis Pereira yang ketika itu tidak yakin Melaka dapat menangkis serangan Aceh dengan jumlah askar Portugis yang sedikit dan tembok batu kota Melaka yang belum siap dibina.

Gambar 9: Catatan teks disekitar kapal Portugis yang sengaja ditenggelamkan semasa serangan Aceh 1568.

Diterjemah ke dalam Bahasa Inggeris, teks tersebut menyatakan seperti berikut:-

"Dom Leonis Pereira ordered his nao to be sent to the bottom with all its cargo, so that the enemy would not get hold of it"

Ini bercanggah dengan catatan Diogo de Cauto (1542-1616) yang menyatakan muatan kapal tersebut sempat dikeluarkan sebelum ianya ditenggelamkan. Mungkinkah Cauto sengaja berbuat demikian untuk mengalih perhatian tentang muatan dalam kapal tersebut? Saya percaya bahawa adalah mustahil muatan kapal tersebut dikeluarkan semasa peperangan sedang berlaku. Seperti dalam lakaran tersebut, ghali pihak Aceh juga berada disekitar Pulau Jawa. Juga terdapat catatan lain yang menyatakan bahawa pihak Aceh telah meletakkan meriam di pulau tersebut untuk membedil kota Melaka (lihat Kubu Pulau Melaka). Jadi saya percaya kemungkinan besar kapal Portugis tersebut telah karam bersama muatannya seperti yang dicatat dalam teks lakaran 1568 tersebut.

Memandangkan tiada rekod Portugis tentang tindakan salvaj, dan kota Melaka kemudian diserang bertubi-tubi hingga jatuh ke tangan Belanda pada tahun 1641, saya percaya kapal tersebut bersama muatannya masih berada di kawasan sama yang kini telah ditambak dan dikenali sebagai Taman Pulau Melaka. Jadi lakaran 1568 ini adalah amat berharga kepada Raja Portugal, John VI, sehingga dibawa baginda ke Brazil kerana ia adalah satu-satunya peta yang menunjukkan di mana terletaknya harta yang tidak sempat diambil semula selepas pengepungan 1568 tersebut. Juga, untuk menyimpan rahsia koordinat lokasi harta yang sebenar, nama sang pelukis dengan sengaja tidak dicatatkan di atas hasil karyanya.


Rujukan:

1. Manguin, P., 1988, 'Of Fortresses and Galleys the 1568 Acehnese Siege of Melaka, after a Contemporary Bird's-eye View', Modern Asian Studies Journal, Vol. 22, Issue 3, pp 607-628, Cambridge University Press.

2. Truxillo, C.A., 2012, 'Crusaders in the Far East: The Moro Wars in the Philippines in the Context of the Ibero-Islamic World War', Jain Publishing Co., California.

3. Cauto, Da Asia, Década VIII, xxi and xxii.

4. "Eredia's Description of Malacca, Meridional India, and Cathay Translated from the Portuguese, with Notes", by JV Mills, JMBRAS, Vol VIII, 1930.

5. Encyclopedia of Islam (1960), Vol. 1, p. 743.

6. https://en.m.wikipedia.org/wiki/Siege_of_Malacca_(1568)

7. https://en.m.wikipedia.org/wiki/Ottoman_expedition_to_Aceh


Sunday 20 October 2019

Kisah Hang Tuah Menunaikan Haji

Menurut Hikayat Hang Tuah (HHT), dalam perjalanan membeli bedil dan meriam di Rum, Laksamana Hang Tuah bersama-sama Maharaja Setia, Maharaja Dewa, dan 16 orang pegawai Melaka telah mengambil peluang untuk singgah menunaikan fardhu haji di Mekah. Perkara ini dicatat berlaku pada musim haji 886H (8 hingga 12 Zulhijah) iaitu bersamaan 28.1.1482 hingga 1.2.1482.


Gambar Hiasan - 'Pilgrims Going to Mecca', 1861 (oil on canvas) by Belly, Leon-Auguste-Adolphe (1827-77).


Kapal Hang Tuah, Mendam Berahi, dikatakan diikat dengan kapal Maharaja Setia bernama Sairul'alamin. Pelayaran mereka dari Melaka ke Jeddah diiringi oleh 42 buah kapal yang memuatkan 1,600 bala tentera. Rombongan Melaka belayar selama 2 bulan dan sempat singgah selama 12 hari di Aceh. Setelah sampai di Jeddah, seorang bernama Malek R.s.t.l menyambut kedatangan mereka dan memberikan khidmat pandu arah dan pengangkutan unta untuk ke Mekah dan kemudian ke Madinah.

Gambar Hiasan


Ramai pengkaji menyangkal versi HHT ini kerana HHT dikatakan penuh dengan mitos, dongeng, percanggahan fakta, dan banyak ditokok tambah. Tapi saya berpendapat bahawa cerita asas iaitu peristiwa Hang Tuah ke Mekah untuk menunaikan haji, dan ke Rum untuk membeli senjata api, boleh dibukti dengan merujuk silang garis masa pergerakan Hang Tuah dalam rekod hal ehwal dinasti Ming iaitu Ming Shi-lu (MSL), Rekidai Hōan (RH) dan rujukan-rujukan relevan yang lain. Seperti dikupas sebelum ini, dalam rekod MSL, Laksamana Melaka yang kedua direkodkan berada di negeri Cina dari Ogos hingga September 1481. (Lihat: Laksamana Melaka di Istana Ming)


Gambar pintu Kaabah yang dibina di zaman Sultan Murad IV pada tahun 1630 (1040H). Pintu ini digunakan sehingga tahun 1947. Ianya menggantikan pintu yang dibuat oleh Al-Hajjaj ibn Yusuf sekitar tahun 692 (72H).


Saya berpendapat Laksamana Melaka di Ryukyu pada tahun 1480 & 1481 (RH), di Cina pada tahun 1481 (MSL), dan di Aceh, Jeddah, Madinah, Mekah, Mesir & Rum pada tahun 1482 (HHT) adalah orang yang sama. Ini adalah kerana susunan garis masa perjalanan beliau adalah berkesinambungan. Saya senaraikan kronologinya seperti berikut:-

a) Mac 1480 : beliau dikatakan telah menulis sepucuk surat bagi pihak Sultan Melaka (Sultan Alauddin Riayat Shah yang berumur 6 tahun) kepada Raja Ryukyu pada Mac 1480. (Tahun Cina: 16/2/?)

b) April 1480 : berada di Ryukyu di mana beliau telah menulis surat bagi pihak Sultan Melaka kepada Raja Ryukyu pada 11.4.1480. (Tahun Cina: 16/3/2). Juga ditulis tentang risikan arahan Laksamana Melaka berkenaan sebuah kapal Ryukyu yang terdampar di utara Annam dan kemudian diserang oleh tentera Annam di mana hanya 2 orang sahaja yang terselamat.

c) April 1481 : berada di Ryukyu di mana beliau telah menulis surat bagi pihak Sultan Melaka kepada Raja Ryukyu pada April 1481. (Tahun Cina: 17/3/?)

d) Ogos - September 1481 : berada di Kota Larangan, Cina, untuk menghantar ufti, membuat aduan terhadap Annam dan mendapat perintah kebenaran melengkap & melatih bala tentera dan membalas jika diserang Annam.

e) November 1481 - Januari 1482 :  pelayaran dari Melaka ke Aceh dan kemudian ke Jeddah  (4,600 batu nautika menggunakan angin Monsun Timur Laut).

f) Januari - Februari 1482 : perjalanan darat menggunakan unta dari Jeddah ke Mekah (mengerjakan Haji), Madinah, dan balik ke Jeddah (850 km).

g) Februari - Mac 1482 : dari Jeddah ke Mesir (680 batu nautika), dari Mesir ke Turki (Rum) dan balik semula ke Mesir (2,400 km) untuk membeli 3,000 laras pelbagai bedil dan meriam.

h) Mac - Mei 1482 : pelayaran pulang dari Mesir ke Melaka (5,280 batu nautika menggunakan penghujung angin Monsun Timur Laut untuk ke Selatan dan kemudian permulaan angin Monsun Barat Daya untuk ke Timur).

i) Jun 1482 - Mac 1483 : berpandukan perintah Menteri Perang Kerajaan Ming, beliau mengumpul, melatih & melengkapkan bala tentera Melaka.

j) April - Mei 1483 : menghantar bala tentera Melaka untuk membantu Lanxang (Laos) melawan Annam (darat: 2,600 km / laut: 1,000 batu nautika menggunakan angin Monsun Barat Daya).


Gambar terawal Masjid Sultan Hassan di Mesir yang dirakam oleh Maxime du Camp pada tahun 1849. Masjid ini siap dibina pada tahun 1363. Sumber: National Library of France.


Menurut laporan Mao Qiling, 30,000 tentera Annam yang lengkap dengan istinggar dan rentaka telah dikalahkan oleh tentera Melaka. Dicatat bahawa Annam menggunakan senjata api yang ditiru dari persenjataan Kerajaan Ming. Dari catatan HHT kita tahu bahawa senjata api Melaka baru dibeli dari Kerajaan Turki Uthmaniyyah pada tahun 1482. Manakala melalui catatan Portugis kita tahu bahawa kebanyakan senjata Melaka yang ada pada 1511 adalah setanding senjata buatan Eropah. Ini boleh menjawab persoalan tentang bagaimana tentera Melaka berjaya menewaskan 30,000 tentera Annam semasa pertempuran di Lanxang.

Apa yang menarik, menurut catatan Alfonso de Albuquerque pula, apabila Melaka tewas pada Ogos 1511, sejumlah 3,000 senjata api pelbagai jenis termasuk meriam kecil dan meriam besar telah dirampas. Jumlah ini adalah jumlah yang sama dengan bedil yang dibeli di Kerajaan Turki Uthmaniyyah pada tahun 1482. Albuquerque menyatakan 1,000 darinya diperbuat dari besi, dan 2,000 darinya diperbuat dari gangsa. Ada antaranya juga dikatakan tidak boleh ditandingi senjata api Portugal.

 Lukisan bertajuk "Conquista de Malaca" yang dilukis oleh Ernesto Ferreira Condeixa pada tahun 1903. Sumber: Military Museum, Lisbon.

Menurut Alfonso de Albuquerque lagi, maklumat risikan yang diperoleh beliau dari Ninachatu menunjukkan bahawa sekitar 1511, Melaka mempunyai 8,000 laras senjata api. Dicatatkan juga bahawa tempat pandai besi membuat senjata api di Melaka adalah setanding tempat-tempat pembuatan senjata api di negara German. Dengan itu boleh disimpulkan bahawa Melaka telah berjaya menghasilkan senjata api sendiri berpandukan teknologi dari senjata api yang dibeli dari Kerajaan Turki Uthmaniyyah.

Berbalik isu haji, saya rujuk silang MSL sekali lagi untuk membuktikan adanya wakil Melaka yang membahasakan dirinya sebagai "Tuan Haji" semasa mengadap Maharaja Ming di Kota Larangan. Beliau telah tiba di sana pada 29.12.1508 dan direkodkan sebagai 'Duan Ya-zhi'. Menurut Geoffrey Wade (1994), "Duan Ya-zhi" adalah transliterasi perkataan '端亞智' yang seakan sama dengan bunyi sebutan perkataan "Tuan Haji" dalam Bahasa Melayu. Dengan itu, terdapat rekod primer di Cina bahawa wakil ufti Melaka pada tarikh 29.12.1508 tersebut telah menunaikan fardhu haji. Adalah pendapat peribadi saya bahawa "Tuan Haji" yang menjadi ketua ufti Melaka pada 29.12.1508 adalah orang yang sama iaitu Laksamana Melaka yang tiba di Ryukyu pada 1480 & 1481, Laksamana Melaka yang tiba di Cina pada September 1481, dan juga karekter Laksamana Hang Tuah dalam HHT dan juga dalam Sejarah Melayu (Sulalatus Salatin).

Rujukan:

1. The Ming Shi-lu (veritable records of the Ming Dynasty) as a source for Southeast Asian history, 14th to 17th centuries, Geoffrey Wade (1994).

2. Ryukyuan Relations with Korea and South Seas Countries: An Annotated Translation of Documents in the Rekidai Hōan. Kobata, Atsushi and Mitsugu Matsuda (1969)

3. Sejarah Melayu diusahakan oleh W.G. Shellabear, Fajar Bakti, (1978).

4. Hikayat Hang Tuah, Kassim Ahmad (ed.), Dewan Bahasa dan Pustaka, 1975.

5. Mao Qiling. Mansi hezhi [A Comprehensive Record of the Aboriginal Chieftains]. Taipei: Guangwen Shuju, (1968).

6. Comentários de Afonso de Albuquerque, (1557), t. A Bailo, Combra (1923).



Ekspedisi Wilkes (1838-1842)

Kapal USS Vincennes, yang memuatkan 190 anak kapal dan merupakan kapal utama Ekspedisi Wilkes. Singapura adalah destinasi terakhir yang dila...