Popular Posts

Showing posts with label Annam. Show all posts
Showing posts with label Annam. Show all posts

Sunday, 20 October 2019

Kisah Hang Tuah Menunaikan Haji

Menurut Hikayat Hang Tuah (HHT), dalam perjalanan membeli bedil dan meriam di Rum, Laksamana Hang Tuah bersama-sama Maharaja Setia, Maharaja Dewa, dan 16 orang pegawai Melaka telah mengambil peluang untuk singgah menunaikan fardhu haji di Mekah. Perkara ini dicatat berlaku pada musim haji 886H (8 hingga 12 Zulhijah) iaitu bersamaan 28.1.1482 hingga 1.2.1482.


Gambar Hiasan - 'Pilgrims Going to Mecca', 1861 (oil on canvas) by Belly, Leon-Auguste-Adolphe (1827-77).


Kapal Hang Tuah, Mendam Berahi, dikatakan diikat dengan kapal Maharaja Setia bernama Sairul'alamin. Pelayaran mereka dari Melaka ke Jeddah diiringi oleh 42 buah kapal yang memuatkan 1,600 bala tentera. Rombongan Melaka belayar selama 2 bulan dan sempat singgah selama 12 hari di Aceh. Setelah sampai di Jeddah, seorang bernama Malek R.s.t.l menyambut kedatangan mereka dan memberikan khidmat pandu arah dan pengangkutan unta untuk ke Mekah dan kemudian ke Madinah.

Gambar Hiasan


Ramai pengkaji menyangkal versi HHT ini kerana HHT dikatakan penuh dengan mitos, dongeng, percanggahan fakta, dan banyak ditokok tambah. Tapi saya berpendapat bahawa cerita asas iaitu peristiwa Hang Tuah ke Mekah untuk menunaikan haji, dan ke Rum untuk membeli senjata api, boleh dibukti dengan merujuk silang garis masa pergerakan Hang Tuah dalam rekod hal ehwal dinasti Ming iaitu Ming Shi-lu (MSL), Rekidai Hōan (RH) dan rujukan-rujukan relevan yang lain. Seperti dikupas sebelum ini, dalam rekod MSL, Laksamana Melaka yang kedua direkodkan berada di negeri Cina dari Ogos hingga September 1481. (Lihat: Laksamana Melaka di Istana Ming)


Gambar pintu Kaabah yang dibina di zaman Sultan Murad IV pada tahun 1630 (1040H). Pintu ini digunakan sehingga tahun 1947. Ianya menggantikan pintu yang dibuat oleh Al-Hajjaj ibn Yusuf sekitar tahun 692 (72H).


Saya berpendapat Laksamana Melaka di Ryukyu pada tahun 1480 & 1481 (RH), di Cina pada tahun 1481 (MSL), dan di Aceh, Jeddah, Madinah, Mekah, Mesir & Rum pada tahun 1482 (HHT) adalah orang yang sama. Ini adalah kerana susunan garis masa perjalanan beliau adalah berkesinambungan. Saya senaraikan kronologinya seperti berikut:-

a) Mac 1480 : beliau dikatakan telah menulis sepucuk surat bagi pihak Sultan Melaka (Sultan Alauddin Riayat Shah yang berumur 6 tahun) kepada Raja Ryukyu pada Mac 1480. (Tahun Cina: 16/2/?)

b) April 1480 : berada di Ryukyu di mana beliau telah menulis surat bagi pihak Sultan Melaka kepada Raja Ryukyu pada 11.4.1480. (Tahun Cina: 16/3/2). Juga ditulis tentang risikan arahan Laksamana Melaka berkenaan sebuah kapal Ryukyu yang terdampar di utara Annam dan kemudian diserang oleh tentera Annam di mana hanya 2 orang sahaja yang terselamat.

c) April 1481 : berada di Ryukyu di mana beliau telah menulis surat bagi pihak Sultan Melaka kepada Raja Ryukyu pada April 1481. (Tahun Cina: 17/3/?)

d) Ogos - September 1481 : berada di Kota Larangan, Cina, untuk menghantar ufti, membuat aduan terhadap Annam dan mendapat perintah kebenaran melengkap & melatih bala tentera dan membalas jika diserang Annam.

e) November 1481 - Januari 1482 :  pelayaran dari Melaka ke Aceh dan kemudian ke Jeddah  (4,600 batu nautika menggunakan angin Monsun Timur Laut).

f) Januari - Februari 1482 : perjalanan darat menggunakan unta dari Jeddah ke Mekah (mengerjakan Haji), Madinah, dan balik ke Jeddah (850 km).

g) Februari - Mac 1482 : dari Jeddah ke Mesir (680 batu nautika), dari Mesir ke Turki (Rum) dan balik semula ke Mesir (2,400 km) untuk membeli 3,000 laras pelbagai bedil dan meriam.

h) Mac - Mei 1482 : pelayaran pulang dari Mesir ke Melaka (5,280 batu nautika menggunakan penghujung angin Monsun Timur Laut untuk ke Selatan dan kemudian permulaan angin Monsun Barat Daya untuk ke Timur).

i) Jun 1482 - Mac 1483 : berpandukan perintah Menteri Perang Kerajaan Ming, beliau mengumpul, melatih & melengkapkan bala tentera Melaka.

j) April - Mei 1483 : menghantar bala tentera Melaka untuk membantu Lanxang (Laos) melawan Annam (darat: 2,600 km / laut: 1,000 batu nautika menggunakan angin Monsun Barat Daya).


Gambar terawal Masjid Sultan Hassan di Mesir yang dirakam oleh Maxime du Camp pada tahun 1849. Masjid ini siap dibina pada tahun 1363. Sumber: National Library of France.


Menurut laporan Mao Qiling, 30,000 tentera Annam yang lengkap dengan istinggar dan rentaka telah dikalahkan oleh tentera Melaka. Dicatat bahawa Annam menggunakan senjata api yang ditiru dari persenjataan Kerajaan Ming. Dari catatan HHT kita tahu bahawa senjata api Melaka baru dibeli dari Kerajaan Turki Uthmaniyyah pada tahun 1482. Manakala melalui catatan Portugis kita tahu bahawa kebanyakan senjata Melaka yang ada pada 1511 adalah setanding senjata buatan Eropah. Ini boleh menjawab persoalan tentang bagaimana tentera Melaka berjaya menewaskan 30,000 tentera Annam semasa pertempuran di Lanxang.

Apa yang menarik, menurut catatan Alfonso de Albuquerque pula, apabila Melaka tewas pada Ogos 1511, sejumlah 3,000 senjata api pelbagai jenis termasuk meriam kecil dan meriam besar telah dirampas. Jumlah ini adalah jumlah yang sama dengan bedil yang dibeli di Kerajaan Turki Uthmaniyyah pada tahun 1482. Albuquerque menyatakan 1,000 darinya diperbuat dari besi, dan 2,000 darinya diperbuat dari gangsa. Ada antaranya juga dikatakan tidak boleh ditandingi senjata api Portugal.

 Lukisan bertajuk "Conquista de Malaca" yang dilukis oleh Ernesto Ferreira Condeixa pada tahun 1903. Sumber: Military Museum, Lisbon.

Menurut Alfonso de Albuquerque lagi, maklumat risikan yang diperoleh beliau dari Ninachatu menunjukkan bahawa sekitar 1511, Melaka mempunyai 8,000 laras senjata api. Dicatatkan juga bahawa tempat pandai besi membuat senjata api di Melaka adalah setanding tempat-tempat pembuatan senjata api di negara German. Dengan itu boleh disimpulkan bahawa Melaka telah berjaya menghasilkan senjata api sendiri berpandukan teknologi dari senjata api yang dibeli dari Kerajaan Turki Uthmaniyyah.

Berbalik isu haji, saya rujuk silang MSL sekali lagi untuk membuktikan adanya wakil Melaka yang membahasakan dirinya sebagai "Tuan Haji" semasa mengadap Maharaja Ming di Kota Larangan. Beliau telah tiba di sana pada 29.12.1508 dan direkodkan sebagai 'Duan Ya-zhi'. Menurut Geoffrey Wade (1994), "Duan Ya-zhi" adalah transliterasi perkataan '端亞智' yang seakan sama dengan bunyi sebutan perkataan "Tuan Haji" dalam Bahasa Melayu. Dengan itu, terdapat rekod primer di Cina bahawa wakil ufti Melaka pada tarikh 29.12.1508 tersebut telah menunaikan fardhu haji. Adalah pendapat peribadi saya bahawa "Tuan Haji" yang menjadi ketua ufti Melaka pada 29.12.1508 adalah orang yang sama iaitu Laksamana Melaka yang tiba di Ryukyu pada 1480 & 1481, Laksamana Melaka yang tiba di Cina pada September 1481, dan juga karekter Laksamana Hang Tuah dalam HHT dan juga dalam Sejarah Melayu (Sulalatus Salatin).

Rujukan:

1. The Ming Shi-lu (veritable records of the Ming Dynasty) as a source for Southeast Asian history, 14th to 17th centuries, Geoffrey Wade (1994).

2. Ryukyuan Relations with Korea and South Seas Countries: An Annotated Translation of Documents in the Rekidai Hōan. Kobata, Atsushi and Mitsugu Matsuda (1969)

3. Sejarah Melayu diusahakan oleh W.G. Shellabear, Fajar Bakti, (1978).

4. Hikayat Hang Tuah, Kassim Ahmad (ed.), Dewan Bahasa dan Pustaka, 1975.

5. Mao Qiling. Mansi hezhi [A Comprehensive Record of the Aboriginal Chieftains]. Taipei: Guangwen Shuju, (1968).

6. Comentários de Afonso de Albuquerque, (1557), t. A Bailo, Combra (1923).



Peranan 'Hang Tuah' Dalam Kes Pertikaian Melaka - Annam



Rekod pelayaran Laksamana Cheng Ho dan lawatan oleh negeri ufti dilupus secara sistematik sekitar tahun 1480-an. Ini berlaku apabila Kerajaan Ming mula mengamalkan dasar tutup pintu. Baki rekod yang ada di "Hall of Military Eminence" (Wuyingdian) pula musnah dalam kebakaran bahagian Barat Daya Kota Larangan pada tahun 1869. Antara rekod yang paling rapi dikawal dan diarkibkan adalah rekod hal ehwal dinasti Ming (Ming Shi-lu) (MSL) yang disimpan di "Pavilion of Literary Profundity" (Wenyuange) dan salinannya di "Capital Archives".

Lakaran dalam buku 'The Garden Arbor' (1853) yang menggambarkan gajah-gajah yang dibawa bersama tetamu Maharaja Ming di Kota Larangan. Dibina pada 1406 hingga 1420, struktur Kota Larangan kini mengandungi 980 buah bangunan dan 8,707 buah bilik dan merangkumi kawasan seluas 720,000 meter persegi.



Lukisan pelukis Istana di Kota Larangan sekitar Februari 1485. Ia menggambarkan Maharaja Chenghua (1464-1487) yang sedang menyambut perayaan bersama keluarga di Kota Larangan semasa Festival Tanglung.


Berdasarkan teks terjemahan MSL oleh Geoffrey Wade (1994), terdapat dua orang Laksamana yang pernah diutus Sultan Melaka ke negeri Cina. Laksamana Melaka pertama dicatat sebagai "Duan-ya-ma-la-di-na-da" (端亞媽剌的那大) (pendapat saya: Tuan Laksamana DiRaja) yang bernama 'Wei-zhe-ran-na' (微者然那). Beliau diutus Sultan Mansur Shah (r. 1459-1477) dan tiba di negeri Cina pada 25.4.1469. Setelah mempersembah ufti dan menerima tahfifah balas Maharaja Ming, mereka belayar pulang pada bulan Jun 1469. Akan tetapi kapal mereka dilanda ribut taufan dan terkandas di perairan Annam.

Peristiwa ini hanya diketahui Kerajaan Ming 12 tahun kemudian apabila dimaklum Laksamana Melaka kedua yang tiba di negeri Cina pada 26.8.1481. MSL mencatit Laksamana Melaka kedua tersebut sebagai "Duan-ya-ma-la-di-na-zha" (端亞媽剌的那查) (pendapat saya: Tuan Laksamana DiRaja). Laksamana yang tidak disebut namanya ini diutus Sultan Alauddin Riayat Shah (r.1477-1488). Beliau telah memaklumkan Kerajaan Ming bahawa tatkala berada di perairan Annam, rombongan ufti Melaka terdahulu tersebut telah diserang di mana Laksamana 'Wei-zhe-ran-na' dan 12 pembesar Melaka telah mati dibunuh. Yang lainnya telah dicacah untuk dijadikan hamba. Kanak-kanak lelaki pula dikembiri dan dijadikan sida-sida.

Apa yang terjadi berikutnya boleh disifatkan sebagai suatu persidangan kes di forum keadilan antarabangsa. Untuk mendapat hak merekod aduan, Laksamana Melaka kedua tersebut membawa hadiah pemberian yang baik-baik mutunya termasuk beberapa ekor gajah. Sebagai balasan, Laksamana Melaka kedua tersebut secara spesifik memohon untuk diberikan pakaian khas iaitu topi dan tali pinggang yang selalunya dianugerah kepada Raja-Raja dan pembesar bertaraf Menteri Kerajaan Ming.

Gambar hiasan - titah perkenan Maharaja Ming melantik Menteri Perang Chen Yue bagi mengadili kes Melaka lawan Annam.

Sebulan kemudian, apabila rombongan ufti Annam tiba di Cina, dan dengan adanya persalinan bertaraf Menteri Ming, Laksamana Melaka kedua tersebut menuntut hak keadilan terhadap apa yang berlaku kepada rombongan ufti Laksamana 'Wei-zhe-ran-na'.  Pada 23.9.1481 beliau telah dibenarkan untuk merekodkan aduan terhadap Annam.

Menteri Chen Yue dari Kementerian Perang  dilantik untuk mengadili prosiding tersebut. Selain menceritakan tentang serangan terhadap rombongan ufti Melaka, Laksamana Melaka kedua tersebut turut memaklumkan serangan Annam terhadap Champa dan niat sebenar Annam untuk menaklukki Melaka. Laksamana Melaka kedua tersebut berhujah bahawa Melaka setia mematuhi solidariti sebagai negeri ufti Kerajaan Ming dan tidak membalas tindakan Annam. Saya petik terjemahan hujahan Laksamana Melaka kedua tersebut:-

"In the fifth year of the Cheng-hua reign (1469/70), when our country's envoy Wei-zhe-ran-na was at sea on his journey home after offering tribute [to the Court], he was blown by the wind to the country of Annam. Wei-zhe-ran-na and his attendants were all killed by that country, while the remaining persons were tattooed and made slaves of officials. The younger ones were all made eunuchs. Annam has occupied the cities of Champa and wants to annex Melaka's territory. As we are all ministers of the Emperor, our country has dared not raise troops to engage in war with them."

Setelah mendengar aduan dan hujahan yang dibuat, Menteri Perang Chen Yue menjalankan budibicaranya sebagai Hakim dalam memberikan keputusan dan perintah seperti berikut:-

a) Apa yang berlaku kepada rombongan ufti Tuan Laksamana DiRaja 'Wei-zhe-ran-na' pada 1469 (12 tahun terdahulu) adalah suatu perkara lampau yang tidak harus diperiksa secara terperinci. (Ini sama seperti prinsip undang-undang moden berkenaan hadmasa sesuatu tindakan).

b) Walaubagaimanapun, amaran tegas perlu diberi kepada Annam. Memandangkan rombongan ufti Annam akan pulang, maka mereka diarahkan membawa amaran dan perintah Kerajaan Ming kepada Raja Annam. Perintah amaran tersebut berbunyi seperti berikut:-

"Both your country and Melaka follow the Court's calendar. You should maintain good relations with them and act as a screen for the Court. How can you presume on your own strength to go against the patterns of the state and bring Heaven's calamities upon yourself? The Court does not lightly trust in what the Melakan envoy has memorialized, but you should examine yourself and think about your faults, stand in awe of Heaven, respect the law and guard your own country."

c) Laksamana Melaka kedua tersebut juga berjaya mendapat kebenaran untuk menyerang Annam sekiranya Annam sekali lagi bertindak agresif atau menindas. Perintah Menteri Perang Chen Yue seterusnya berbunyi:-

"Since ancient times, the Sage kings, in exercising control over the yi in the four directions, have not pursued events which occurred in the past. If Annam is again aggressive or oppresses you, you should train soldiers and horses to defend against them."

"Hall of Military Eminence" (Wuyingdian) di bahagian Barat Daya Istana Ming. Ianya merupakan tempat Maharaja Ming bertemu tetamu Istana dan jemaah Menterinya. Pada masa yang sama, ianya juga menjadi tempat bagi Menteri Perang Ming bersidang. Ianya kemudian menjadi pusat pencetakan dan arkib Kerajaan Ming.


Pada pendapat saya, Laksamana Melaka kedua tersebut memahami birokrasi Kerajaan Ming. Beliau bijak dalam mendapatkan hak atau "locus standi" tahap Menteri Kerajaan Ming untuk merekod dan membawa kes tersebut dihadapan pertimbangan dan bidangkuasa Menteri Perang Kerajaan Ming. Beliau juga cekap menggunakan peluang dan ruang yang ada. Secara keseluruhan ini adalah suatu kejayaan yang boleh dibanggakan kerana kes Melaka hanya bermodalkan bukti sekunder atau 'hearsay' tentang satu peristiwa yang berlaku 12 tahun terdahulu.

Saya berpendapat perkara tersebut telah dirancang rapi dengan pengetahuan awal bahawa rombongan ufti Annam akan tiba sekitar tarikh yang sama. Jadi dari segi prinsip keadilan, Annam dikira telah diberi peluang didengari berdasarkan prinsip keadilan semulajadi ('natural justice') walaupun wakil ufti Annam sebenarnya tidak bersedia untuk menjawab aduan Melaka.  Kemudian Laksamana tersebut bijak berhujah dan mengguna taktik 'reverse psychology' dengan mengguna status 'clean hands' bersandarkan fakta bahawa Melaka tidak membalas walau diserang. Dengan itu, keadilan berpihak kepada Melaka sebagai pihak yang beretika menjaga status quo walau ditindas. Dengan itu, Menteri Perang Chen Yue telah dengan seadilnya mengaplikasi prinsip ekuiti dan undang-undang bahawa semua negeri ufti naungan Kerajaan Ming tidak sepatutnya bermusuhan sesama sendiri dan membenarkan Melaka mengumpul dan melatih bala tentera untuk mempertahankan jajahannya sekiranya diserang.

Pada pendapat saya, tujuan sebenar membawa kes tersebut ke muka pengadilan Kerajaan Ming adalah untuk mendapatkan perintah amaran, dan juga lampu hijau untuk menyerang balas Annam tanpa perlu risau tentang tindakbalas Kerajaan Ming. Saya juga percaya kemenangan kes aduan yang diusahakan Laksamana Melaka kedua ini merupakan titik permulaan tindakan Melaka untuk membalas dendam.

Kemenangan dalam prosiding aduan di Cina ini disusuli dengan bantuan bala tentera dan persenjataan dari Melaka bagi menyokong Lanxang (Laos) dalam menewaskan Annam pada tahun 1483. Saya percaya ini dibantu oleh tentera dari negeri-negeri utara Semenanjung Tanah Melayu termasuk Siam yang dimaklumkan tentang perintah Kerajaan Ming ini. Menurut laporan Mao Qiling, seramai 90,000 tentera Annam (salah satu dari 5 ketumbukan tentera) telah bertembung dengan pasukan tentera Melaka di Lanxang. Ketika itu, tentera Annam dikatakan lengkap dengan istinggar dan rentaka yang ditiru dari persenjataan Cina. Dalam pertempuran yang berlaku, tentera Melaka berjaya menewaskan 30,000 tentera Annam. Walaupun tiada bukti, boleh dirumuskan tentera Melaka pada 1483 telah menyerang Annam dengan senjatapi yang setanding atau lebih canggih.

Menurut perbandingan garis masa MSL, kemungkinan besar Laksamana Melaka kedua tersebut dilantik sejurus kematian Laksamana 'Wei-zhe-ran-na' di Annam iaitu sekitar tahun 1469. Ini bermakna beliau telah dilantik di zaman pemerintahan Sultan Mansur Shah.

Dirujuk silang dengan bukti primer Rekidai Hōan pula, Laksamana Melaka dalam garis masa yang sama telah dirujuk sebagai "Lo-Tso-Ma-Na" (Laksamana) dan telah direkodkan berutusan dengan Kerajaan Ryukyu dari tahun 1480 hingga 1481. Dalam garis masa 2 versi Sejarah Melayu (Sulalatus Salatin) pula, termasuk versi Dewan Bahasa & Pustaka, Laksamana Melaka tersebut dikenali sebagai Daeng Mempawah, di mana nama 'Hang Tuah' adalah nama gelaran yang diberikan oleh Sultan Mansur Shah.

Kesimpulannya, rekod MSL ini adalah rekod primer tentang kehebatan Laksamana Melaka kedua yang tiba di negeri Cina pada tahun 1481. Saya percaya, kisah berkenaan kebijaksanaan dan kehebatan Laksamana ini juga telah menjadi asas kepada karekter dan lagenda Laksamana Hang Tuah dalam Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah.  Selain dari mengandungi sebahagian teks hujahan beliau, rekod MSL ini juga menunjukkan bahawa kes 'Melaka vs Annam' dihadapan Menteri Perang Kerajaan Ming ini adalah suatu persidangan Mahkamah keadilan antarabangsa yang terawal di dunia. Malah ianya adalah lebih awal dari sejarah ICJ yang dikatakan bermula dengan kes timbangtara antarabangsa antara England, Perancis dan Amerika Syarikat melalui 'Jay's Treaty' pada tahun 1795.

Rujukan:

1. The Ming Shi-lu (veritable records of the Ming Dynasty) as a source for Southeast Asian history, 14th to 17th centuries, Geoffrey Wade (1994).

2. Ryukyuan Relations with Korea and South Seas Countries: An Annotated Translation of Documents in the Rekidai Hōan. Kobata, Atsushi and Mitsugu Matsuda (1969)

3. Sejarah Melayu diusahakan oleh W.G. Shellabear, Fajar Bakti, (1978).

4. Mao Qiling. Mansi hezhi [A Comprehensive Record of the Aboriginal Chieftains]. Taipei: Guangwen Shuju, (1968).


Ekspedisi Wilkes (1838-1842)

Kapal USS Vincennes, yang memuatkan 190 anak kapal dan merupakan kapal utama Ekspedisi Wilkes. Singapura adalah destinasi terakhir yang dila...