Rekod pelayaran Laksamana Cheng Ho dan lawatan oleh negeri ufti dilupus secara sistematik sekitar tahun 1480-an. Ini berlaku apabila Kerajaan Ming mula mengamalkan dasar tutup pintu. Baki rekod yang ada di "Hall of Military Eminence" (Wuyingdian) pula musnah dalam kebakaran bahagian Barat Daya Kota Larangan pada tahun 1869. Antara rekod yang paling rapi dikawal dan diarkibkan adalah rekod hal ehwal dinasti Ming (Ming Shi-lu) (MSL) yang disimpan di "Pavilion of Literary Profundity" (Wenyuange) dan salinannya di "Capital Archives".
Berdasarkan teks terjemahan MSL oleh Geoffrey Wade (1994), terdapat dua orang Laksamana yang pernah diutus Sultan Melaka ke negeri Cina. Laksamana Melaka pertama dicatat sebagai "Duan-ya-ma-la-di-na-da" (端亞媽剌的那大) (pendapat saya: Tuan Laksamana DiRaja) yang bernama 'Wei-zhe-ran-na' (微者然那). Beliau diutus Sultan Mansur Shah (r. 1459-1477) dan tiba di negeri Cina pada 25.4.1469. Setelah mempersembah ufti dan menerima tahfifah balas Maharaja Ming, mereka belayar pulang pada bulan Jun 1469. Akan tetapi kapal mereka dilanda ribut taufan dan terkandas di perairan Annam.
Peristiwa ini hanya diketahui Kerajaan Ming 12 tahun kemudian apabila dimaklum Laksamana Melaka kedua yang tiba di negeri Cina pada 26.8.1481. MSL mencatit Laksamana Melaka kedua tersebut sebagai "Duan-ya-ma-la-di-na-zha" (端亞媽剌的那查) (pendapat saya: Tuan Laksamana DiRaja). Laksamana yang tidak disebut namanya ini diutus Sultan Alauddin Riayat Shah (r.1477-1488). Beliau telah memaklumkan Kerajaan Ming bahawa tatkala berada di perairan Annam, rombongan ufti Melaka terdahulu tersebut telah diserang di mana Laksamana 'Wei-zhe-ran-na' dan 12 pembesar Melaka telah mati dibunuh. Yang lainnya telah dicacah untuk dijadikan hamba. Kanak-kanak lelaki pula dikembiri dan dijadikan sida-sida.
Apa yang terjadi berikutnya boleh disifatkan sebagai suatu persidangan kes di forum keadilan antarabangsa. Untuk mendapat hak merekod aduan, Laksamana Melaka kedua tersebut membawa hadiah pemberian yang baik-baik mutunya termasuk beberapa ekor gajah. Sebagai balasan, Laksamana Melaka kedua tersebut secara spesifik memohon untuk diberikan pakaian khas iaitu topi dan tali pinggang yang selalunya dianugerah kepada Raja-Raja dan pembesar bertaraf Menteri Kerajaan Ming.
Gambar hiasan - titah perkenan Maharaja Ming melantik Menteri Perang Chen Yue bagi mengadili kes Melaka lawan Annam. |
Sebulan kemudian, apabila rombongan ufti Annam tiba di Cina, dan dengan adanya persalinan bertaraf Menteri Ming, Laksamana Melaka kedua tersebut menuntut hak keadilan terhadap apa yang berlaku kepada rombongan ufti Laksamana 'Wei-zhe-ran-na'. Pada 23.9.1481 beliau telah dibenarkan untuk merekodkan aduan terhadap Annam.
Menteri Chen Yue dari Kementerian Perang dilantik untuk mengadili prosiding tersebut. Selain menceritakan tentang serangan terhadap rombongan ufti Melaka, Laksamana Melaka kedua tersebut turut memaklumkan serangan Annam terhadap Champa dan niat sebenar Annam untuk menaklukki Melaka. Laksamana Melaka kedua tersebut berhujah bahawa Melaka setia mematuhi solidariti sebagai negeri ufti Kerajaan Ming dan tidak membalas tindakan Annam. Saya petik terjemahan hujahan Laksamana Melaka kedua tersebut:-
"In the fifth year of the Cheng-hua reign (1469/70), when our country's envoy Wei-zhe-ran-na was at sea on his journey home after offering tribute [to the Court], he was blown by the wind to the country of Annam. Wei-zhe-ran-na and his attendants were all killed by that country, while the remaining persons were tattooed and made slaves of officials. The younger ones were all made eunuchs. Annam has occupied the cities of Champa and wants to annex Melaka's territory. As we are all ministers of the Emperor, our country has dared not raise troops to engage in war with them."
Setelah mendengar aduan dan hujahan yang dibuat, Menteri Perang Chen Yue menjalankan budibicaranya sebagai Hakim dalam memberikan keputusan dan perintah seperti berikut:-
a) Apa yang berlaku kepada rombongan ufti Tuan Laksamana DiRaja 'Wei-zhe-ran-na' pada 1469 (12 tahun terdahulu) adalah suatu perkara lampau yang tidak harus diperiksa secara terperinci. (Ini sama seperti prinsip undang-undang moden berkenaan hadmasa sesuatu tindakan).
b) Walaubagaimanapun, amaran tegas perlu diberi kepada Annam. Memandangkan rombongan ufti Annam akan pulang, maka mereka diarahkan membawa amaran dan perintah Kerajaan Ming kepada Raja Annam. Perintah amaran tersebut berbunyi seperti berikut:-
"Both your country and Melaka follow the Court's calendar. You should maintain good relations with them and act as a screen for the Court. How can you presume on your own strength to go against the patterns of the state and bring Heaven's calamities upon yourself? The Court does not lightly trust in what the Melakan envoy has memorialized, but you should examine yourself and think about your faults, stand in awe of Heaven, respect the law and guard your own country."
c) Laksamana Melaka kedua tersebut juga berjaya mendapat kebenaran untuk menyerang Annam sekiranya Annam sekali lagi bertindak agresif atau menindas. Perintah Menteri Perang Chen Yue seterusnya berbunyi:-
"Since ancient times, the Sage kings, in exercising control over the yi in the four directions, have not pursued events which occurred in the past. If Annam is again aggressive or oppresses you, you should train soldiers and horses to defend against them."
Pada pendapat saya, Laksamana Melaka kedua tersebut memahami birokrasi Kerajaan Ming. Beliau bijak dalam mendapatkan hak atau "locus standi" tahap Menteri Kerajaan Ming untuk merekod dan membawa kes tersebut dihadapan pertimbangan dan bidangkuasa Menteri Perang Kerajaan Ming. Beliau juga cekap menggunakan peluang dan ruang yang ada. Secara keseluruhan ini adalah suatu kejayaan yang boleh dibanggakan kerana kes Melaka hanya bermodalkan bukti sekunder atau 'hearsay' tentang satu peristiwa yang berlaku 12 tahun terdahulu.
Saya berpendapat perkara tersebut telah dirancang rapi dengan pengetahuan awal bahawa rombongan ufti Annam akan tiba sekitar tarikh yang sama. Jadi dari segi prinsip keadilan, Annam dikira telah diberi peluang didengari berdasarkan prinsip keadilan semulajadi ('natural justice') walaupun wakil ufti Annam sebenarnya tidak bersedia untuk menjawab aduan Melaka. Kemudian Laksamana tersebut bijak berhujah dan mengguna taktik 'reverse psychology' dengan mengguna status 'clean hands' bersandarkan fakta bahawa Melaka tidak membalas walau diserang. Dengan itu, keadilan berpihak kepada Melaka sebagai pihak yang beretika menjaga status quo walau ditindas. Dengan itu, Menteri Perang Chen Yue telah dengan seadilnya mengaplikasi prinsip ekuiti dan undang-undang bahawa semua negeri ufti naungan Kerajaan Ming tidak sepatutnya bermusuhan sesama sendiri dan membenarkan Melaka mengumpul dan melatih bala tentera untuk mempertahankan jajahannya sekiranya diserang.
Pada pendapat saya, tujuan sebenar membawa kes tersebut ke muka pengadilan Kerajaan Ming adalah untuk mendapatkan perintah amaran, dan juga lampu hijau untuk menyerang balas Annam tanpa perlu risau tentang tindakbalas Kerajaan Ming. Saya juga percaya kemenangan kes aduan yang diusahakan Laksamana Melaka kedua ini merupakan titik permulaan tindakan Melaka untuk membalas dendam.
Kemenangan dalam prosiding aduan di Cina ini disusuli dengan bantuan bala tentera dan persenjataan dari Melaka bagi menyokong Lanxang (Laos) dalam menewaskan Annam pada tahun 1483. Saya percaya ini dibantu oleh tentera dari negeri-negeri utara Semenanjung Tanah Melayu termasuk Siam yang dimaklumkan tentang perintah Kerajaan Ming ini. Menurut laporan Mao Qiling, seramai 90,000 tentera Annam (salah satu dari 5 ketumbukan tentera) telah bertembung dengan pasukan tentera Melaka di Lanxang. Ketika itu, tentera Annam dikatakan lengkap dengan istinggar dan rentaka yang ditiru dari persenjataan Cina. Dalam pertempuran yang berlaku, tentera Melaka berjaya menewaskan 30,000 tentera Annam. Walaupun tiada bukti, boleh dirumuskan tentera Melaka pada 1483 telah menyerang Annam dengan senjatapi yang setanding atau lebih canggih.
Menurut perbandingan garis masa MSL, kemungkinan besar Laksamana Melaka kedua tersebut dilantik sejurus kematian Laksamana 'Wei-zhe-ran-na' di Annam iaitu sekitar tahun 1469. Ini bermakna beliau telah dilantik di zaman pemerintahan Sultan Mansur Shah.
Dirujuk silang dengan bukti primer Rekidai Hōan pula, Laksamana Melaka dalam garis masa yang sama telah dirujuk sebagai "Lo-Tso-Ma-Na" (Laksamana) dan telah direkodkan berutusan dengan Kerajaan Ryukyu dari tahun 1480 hingga 1481. Dalam garis masa 2 versi Sejarah Melayu (Sulalatus Salatin) pula, termasuk versi Dewan Bahasa & Pustaka, Laksamana Melaka tersebut dikenali sebagai Daeng Mempawah, di mana nama 'Hang Tuah' adalah nama gelaran yang diberikan oleh Sultan Mansur Shah.
Kesimpulannya, rekod MSL ini adalah rekod primer tentang kehebatan Laksamana Melaka kedua yang tiba di negeri Cina pada tahun 1481. Saya percaya, kisah berkenaan kebijaksanaan dan kehebatan Laksamana ini juga telah menjadi asas kepada karekter dan lagenda Laksamana Hang Tuah dalam Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah. Selain dari mengandungi sebahagian teks hujahan beliau, rekod MSL ini juga menunjukkan bahawa kes 'Melaka vs Annam' dihadapan Menteri Perang Kerajaan Ming ini adalah suatu persidangan Mahkamah keadilan antarabangsa yang terawal di dunia. Malah ianya adalah lebih awal dari sejarah ICJ yang dikatakan bermula dengan kes timbangtara antarabangsa antara England, Perancis dan Amerika Syarikat melalui 'Jay's Treaty' pada tahun 1795.
Rujukan:
1. The Ming Shi-lu (veritable records of the Ming Dynasty) as a source for Southeast Asian history, 14th to 17th centuries, Geoffrey Wade (1994).
2. Ryukyuan Relations with Korea and South Seas Countries: An Annotated Translation of Documents in the Rekidai Hōan. Kobata, Atsushi and Mitsugu Matsuda (1969)
3. Sejarah Melayu diusahakan oleh W.G. Shellabear, Fajar Bakti, (1978).
4. Mao Qiling. Mansi hezhi [A Comprehensive Record of the Aboriginal Chieftains]. Taipei: Guangwen Shuju, (1968).
This comment has been removed by the author.
ReplyDelete9 Jun 1475
ReplyDeleteThe chief envoy Duan Ma-mi, the deputy envoy and others who had been sent by the country of Melaka, presented a gold-leaf memorial as well as elephants, horses, cassowaries, white parrots, gold coins, leopards and other products. A banquet as well as suits of clothing and biao-li of variegated silks were conferred upon them. They were also given variegated silks, silk gauzes and brocades to confer, on their return, upon the king of their country, the king's consort and the king's son, as appropriate.
Further, they were ordered to take Imperial orders of instruction for the king of the country Su-dan Mang-su Sha. The orders read: "Recently, the Court sent a supervising secretary and other officials to Champa, but they were blown by the wind to your country. You, king, sent people to provide them with food and thereby you truly demonstrated your sincere sentiments. Now, as your envoy is returning, I am especially conferring upon you, king, two biao-li of variegated silks as a reward. These are for your receipt."
Selepas peristiwa pembunuhan delegasi ufti Melaka pada 1469, saya percaya pihak Melaka masih tidak mengetahui peristiwa sebenar yang berlaku. Ada kemungkinan mereka mendapat berita tersebut dari pegawai-pegawai China yang mereka selamatkan di laut dan bagi pihak Melaka sendiri, mereka tidak boleh menuduh Annam tanpa bukti, ada kemungkinan pihak Melaka sendiri menghantar perisik-perisik untuk menyiasat perkara tersebut dan membuat tindakkan menyelamat sesiapa yg masih hidup.
Ada kemungkinan,Walaupun tiada bukti, Puteri Li Po dan rombongannya datang ke Melaka pada tahun 1475 mengikut ketua ufti Tuan Ma Mi.. Puteri Li Po dikatakan isteri keempat Sultan Mansur Shah.. melahirkan anak yang bernama Paduka Mimat ( Mamat ). paduka Mimat (Mamat) berumur 6 tahun pada 1480, seperti dalam surat laksmana kepada raja ryukyu.
Wallahualam..