Popular Posts

Sunday, 20 October 2019

'Silver-Mounted Coco-De-Mer' Milik Sultan Terengganu


Ini adalah gambar perhiasan yang pernah dimiliki Kesultanan Terengganu. Tapaknya diperbuat dari logam perak, manakala bahagian atas adalah tempurung kelapa laut, atau lebih dikenali sebagai pauh janggi, yang dijadikan bekas untuk meletak barangan. Ianya diperbuat sekitar abad ke-19 iaitu di zaman pemerintahan Sultan Omar ibni al-Marhum Sultan Ahmad Muazzam Shah I atau Baginda Omar (1806-1876). Menurut rekod pelelong Sotheby's dari London, ianya telah dilelong pada 7.10.2009 dengan harga GBP16,250 iaitu lebih dari tiga kali ganda harga rizabnya.


Menurut catatan Sotheby's perhiasan tersebut yang berukuran 37.2 cm tinggi dan 28 cm lebar adalah "A Ceremonial Silver-Mounted Coco-De-Mer Made For The Sultan Of Terengganu". Pada bahagian penutup pauh janggi tersebut terdapat label yang mencatatkan seperti berikut: "A double Coco du Mer with native silver-mounted lids on silver stand and tray formerly the property of the Sultan of Tregganu, Malay States".

Maknanya perhiasan dan seni ukiran perak pada hiasan tersebut diperbuat di Terengganu. Juga dicatatkan bahawa bahagian tapak perhiasan adalah bentuk melengkung untuk menampung bentuk semulajadi kelapa laut tersebut. Perhiasan ini bertujuan untuk menyimpan sesuatu kerana isi pauh janggi tersebut dikeluarkan dan yang tinggal hanyalah bahagian tempurung. Ianya juga mempunyai dua pembukaan di bahagian atas yang juga dihiasi logam perak.

Bila dikategorikan sebagai "Ceremonial item" kita boleh rumuskan bahawa ianya mungkin pernah dijadikan alat kebesaran yang merupakan identiti atau imej Kesultanan Terengganu suatu ketika dahulu. Tetapi apakah signifikan pauh janggi ini?

Jika dikaji pelayar Melayu zaman dahulu menceritakan bahawa pauh janggi akan jatuh terbalik dari pokoknya yang wujud didasar laut.  Ini seolah-olah menggambarkan ianya datang dari alam lain di dasar laut. Mungkin boleh kita bayangkan adegan "up is down" dalam filem Pirates of Caribbean 3 (At World's End).



Menurut catatan Antonio Pigafetta (1491-1531) dan juga Georg Eberhard Rumphius (1627-1702), pelayar Melayu percaya bahawa pokok pauh janggi tersebut adalah sarang bagi burung Garuda atau "Rukh" dalam bahasa Arab.  Menurut João de Barros (1496-1570) pauh janggi dipercayai oleh orang-orang "Moors" (gelaran bagi orang Islam di Arab, Afrika, India & Melaka) mempunyai kuasa untuk memulihkan seseorang itu dari penyakit. Penyair Portugis, Luís de Camões (1524-1580) menulis tentang keberkesanan pauh janggi sebagai penawar racun. Dr. Berthold Carl Seemann (1825-1871) pula mencatat bahawa pauh janggi adalah penawar bagi kesemua racun. Terbayang pula adegan burung Garuda membantu Moors dalam filem Maleficent 2 (Mistress of Evil).




Adalah dipercayai oleh pelayar-pelayar zaman dahulu bahawa apabila pauh janggi timbul ke permukaan laut, ini bermakna mereka perlu berhenti untuk melihat dalam keadaan berjaga-jaga untuk menyelamatkan pelayar-pelayar lain yang baru diserang Garuda tersebut. Dikatakan pauh janggi itu timbul ke aras laut apabila Garuda bergerak dari sarangnya yang berada di dasar laut.

Menurut tradisi pelayar-pelayar Lautan Hindi pula (termasuk pelayar Melayu yang ke Ceylon, Seychelles & Maldives), apabila pauh janggi dijumpai, ianya wajib diserah kepada raja, di mana hukuman mati akan dijatuhkan kepada mereka yang menyimpan atau menyembunyikan pauh janggi yang dijumpai.

Sekitar abad ke-16, pauh janggi sukar diperolehi kerana ianya amat mahal akibat tradisi pelaut-pelaut yang wajib memberikannya kepada raja mereka. Pernah direkodkan Maharaja Rudolf II (1552-1612), Raja Empayar Rom, berjaya membeli sebiji pauh janggi dengan harga 4,000 florin emas. Ianya juga pernah direkodkan sebagai hadiah antara kerajaan. Contohnya apabila Sultan Bantam, Sultan Abu al-Mafakhir Mahmud Abdulkadir (Pangeran Ratu) (1596 - 1647) menghadiahkan pauh janggi kepada Panglima Laut Wolfert Hermanssen pada tahun 1602 atas bantuan Belanda dalam menyerang Portugis dan melindungi pelabuhan Bantam dari ancaman luar.

Pauh janggi juga pernah menjadi alat kebesaran dan pusaka bagi Kerajaan Brunei, Sambas dan Sulu semenjak sekian lama.  Pauh janggi tersebut dikatakan telah dikerat menjadi 3 bahagian di zaman pemerintahan Sultan Muhammad Hassan (r. 1582-1598) dan dijadikan lambang tanda hubungan darah 3 Keluarga Diraja iaitu Brunei, Sambas dan Sulu. Bahagian Tengah (Induk) dipercayai telah diberikan kepada Putera Sulong Sultan Hassan (Sultan Jalilul-Akbar (r. 1598-1659)). Sebelah bahagian tepi kiri dipercayai telah diberikan kepada Putera Tengah Sultan Hassan yang dihantar menjadi Sultan di Sarawak (iaitu Sultan Tengah @ Sultan Ibrahim Ali Omar Shah (r. 1598-1641)). Manakala bahagian tepi sebelah kanan, telah diberikan kepada Putera Bongsu Sultan Hassan yang dihantar menjadi Sultan Sulu (iaitu Sultan Mawalil-Wasit-I @ Raja Bongsu-I (r. 1610-1650)).

Dengan itu, berdasarkan sejarah, mitos dan dongeng pelayar Melayu dahulu kala, saya percaya hiasan pauh janggi ini mempunyai signifikannya yang tersendiri kepada Kesultanan Terengganu; dan mungkin pernah diangkat sebagai satu alat kebesaran sekitar abad ke-19.

Rujukan:

1. https://ms.m.wikipedia.org/wiki/Sultan_Omar_ibni_al-Marhum_Sultan_Ahmad_Shah
2. https://ms.m.wikipedia.org/wiki/Sultan_Muhammad_Hasan
3. https://ms.m.wikipedia.org/wiki/Kesultanan_Sulu
4. https://ms.m.wikipedia.org/wiki/Kesultanan_Sambas



2 comments:

  1. kami jua memilikinya

    https://scontent.fszb1-1.fna.fbcdn.net/v/t34.18173-12/fr/cp0/e15/q65/13457792_1360645957283919_1569036385_n.jpg?_nc_cat=102&efg=eyJpIjoidCJ9&_nc_oc=AQlwSOw2MeVDh7pbpgJkkAsa7ncML3xVSzrWl7gOYYNPYUDUTAnXee9I8FgzwG5WUFjzgcap32cVEpae-hKvnBTt&_nc_ht=scontent.fszb1-1.fna&oh=60894793f49da7400e781dbc6b9961b8&oe=5DB451D5

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih Tuan, boleh saya tanya latarbelakang hiasan kelapa laut simpanan tuan?

      Delete

Ekspedisi Wilkes (1838-1842)

Kapal USS Vincennes, yang memuatkan 190 anak kapal dan merupakan kapal utama Ekspedisi Wilkes. Singapura adalah destinasi terakhir yang dila...