Popular Posts

Monday 25 November 2019

Istana Kesultanan Melayu Melaka

Gambar hiasan: Muzium Istana Kesultanan Melaka (replika Istana Kesultanan Melayu Melaka).

Menurut Sejarah Melayu (Sulalatus Salatin), Sultan Mansur Shah dikatakan pernah bersemayam di tiga buah istana. Istana pertama ditinggalkan akibat tragedi pemberontakan Hang Kasturi. (Dalam Hikayat Hang Tuah, pemberontakan dilakukan Hang Jebat). Istana kedua pula musnah dalam kebakaran. Manakala istana ketiga pula difahami sebagai istana yang wujud sehingga jatuhnya Melaka ke tangan Portugis pada tahun 1511.

Apa yang menarik istana ketiga ini dikatakan dikerah Sultan Mansur Shah untuk disiapkan dalam masa satu bulan. Persoalan samada tempoh satu bulan tersebut adalah sekadar perintah, ataupun benar-benar dilaksanakan tidaklah dapat dibuktikan. Akan tetapi saya percaya suatu tempoh yang singkat bagi jangkamasa siap adalah tidak mustahil berdasarkan tatacara pengurusan projek, pemilihan bahan binaan, konsep susunatur dan teknologi yang digunakan.

Dari segi tatacara pengurusan projek, Sulalatus Salatin mencatatkan istana Melaka didirikan oleh tukang-tukang yang datang dari 15 sub-etnik Melayu dari seluruh pelosok Nusantara. Setiap struktur bangunan dalam kawasan istana Melaka tersebut dibina secara pengkhususan (specialization) di mana setiap sub-etnik Melayu yang terlibat diberi kerja membina struktur bangunan yang berbeza.

Dari segi pengawasan projek, Sulalatus Salatin mencatatkan bahawa tugas perlaksanaan pembinaan diserah kepada Bendahara. Walaupun begitu, semasa pembinaan istana kedua, Sultan Mansur Shah sendiri telah membuat lawatan tapak dan mengarahkan variasi dibuat kepada kawasan Penanggahan (dapur) di mana rasuk (beam) yang kecil telah ditukar kepada saiz yang lebih besar iaitu sehasta lebar dan sejengkal tebalnya. Dengan itu semestinya telah wujud pelan bangunan, pelan susunatur, dan juga perintah-perintah variasi semasa projek dijalankan.

Jadi, secara amnya, masa dapat dijimatkan kerana wujudnya pembahagian tugas, di mana setiap kumpulan tukang dibahagikan mengikut  bidang kemahiran masing-masing. Produktiviti juga meningkat ababila setiap kumpulan bekerja dalam kelompok masing-masing di mana terdapat pesaingan sihat antara setiap kumpulan untuk mencapai tempoh siap yang ditetapkan.

Dari segi bahan binaan, sebahagian besar struktur istana dibina mengunakan bahan binaan ringan dari sumber setempat seperti kayu-kayan, buluh, rotan, mengkuang, daun nipah dan lain-lain. Menurut Sulalatus Salatin, bumbung istana Melaka kedua dan ketiga diperbuat dari kepingan atap timah. Ini juga adalah dari sumber tempatan iaitu dari perusahaan bijih timah di Sungai Ujong, Selangor, dan Klang. Aksesori tambahan seperti cermin, cat & kepingan kertas emas, permaidani, dan peralatan hiasan dalaman diperoleh dari pedagang-pedagang Arab, Turki, Cina dan Ryukyu yang sentiasa berulang alik ke Melaka.

Dari segi teknologi, pembinaan istana Melaka tersebut adalah berasaskan teknologi pembinaan rumah Melayu tradisional yang telah melalui proses transformasi sejak ribuan tahun. Semasa perintah penggantian rasuk Penanggahan dibuat bagi istana kedua, ianya dijalankan dengan serta merta oleh Bendahara. Ini menunjukkan bahan binaan tersebut berada ditapak projek dan dapat dipasang segera. Dengan itu, teknologi pemasangan yang dijalankan boleh dikatakan sebagai suatu konsep ‘Sistem Binaan Berindustri’ (Industrialised Building System) di mana komponen bangunan diperbuat dan/atau dalam keadaan sedia-pasang di tapak projek.

Dari segi perancangan susunatur, Istana Melaka mempamirkan sosio budaya masyarakat Melayu tradisional. Sulalatus Salatin mencatatkan struktur bangunan dalam kawasan istana adalah seperti berikut:-

1) Penanggahan (dapur),
2) Istana Besar,
3) Masjid,
4) Balai Kendi & Pemandian,
5) Balairong,
6) Balai Nobat,
7) Balai Apit Kiri,
8) Balai Apit Kanan,
9) Balai Penghadapan (Mendapa),
10) 3 buah Istana Kecil,
11) Kota Wang (treasury vault).
12) Bangsal gajah,
13) Pagar.

Kedudukan Balai Penghadapan diletakkan di hadapan sekali sebagai ruang umum menyambut tetamu diikuti dengan Balai Apit dan Balairong sebagai ruang utama dan keraian. Manakala Istana Besar berada di bahagian selepas Balairong dan dihubungkan oleh pelantar atau jambatan penghubung. Ini menepati keperluan urusan rasmi dan menyambut tetamu dan dalam masa yang sama menjaga tahap keselamatan keluarga DiRaja yang menetap di perkarangan kompleks bangunan istana tersebut.

Dari segi kedudukan susunatur yang digambarkan oleh Sulalatus Salatin (versi Shellabear), istana Sultan Mansur Shah mempunyai susunatur jenis berkembang (expanded form). Perletakkan selang sebagai jambatan penghubung di antara Istana Besar dengan Penanggahan pula adalah berperanan sebagai pintu masuk bagi tukang masak ketika persiapan santapan dilakukan. Struktur Istana di dalam kawasan kompleks istana dibina dalam keadaan boleh ditambah di mana dicatatkan dalam Sulalatus Salatin bahawa selain dari Istana Besar, terdapat 3 buah istana kecil telah dibina pada waktu yang sama.

Tatacara dan susunatur pembinaan istana Melaka yang digambarkan dalam Sulalatus Salatin menjadi inspirasi kepada pembinaan Muzium Istana Kesultanan Melaka yang kini berada di sebelah timur kaki bukit Melaka (kini Bukit St Paul). Kalau ikut petunjuk kedudukan perigi DiRaja (Catatan Portugis: "Poco") yang wujud di pakir Muzium Sejarah & Etnografi (yang menandakan kawasan Pemandian dan tempat berwuduk Masjid DiRaja), maka kedudukan Istana adalah di lereng barat bukit St Paul dan bukannya di puncak bukit. Lebih-lebih lagi puncak bukit tidak sesuai dibina kediaman menurut kepercayaan orang lama. Juga menurut prinsip Tajul Muluk, kediaman sesuai dibelakangi bukit dan mengadap tanah yang lebih rendah. Spesifik kepada prinsip Tajul Muluk, tanah yang rendah di Barat dan tinggi di Timur dianggap membawa tuah. Kedudukan Istana dilereng bukit menepati ciri-ciri ini iaitu mengadap kawasan rendah di Barat. Juga dipercayai keseluruhan kompleks istana Melaka mengadap ke arah Kiblat.

Dapat disimpulkan dari jangkamasa, tatacara pembinaan dan kesenian istana Melaka ini, kerajinan, kegigihan dan ketekunan Melayu itu terserlah ketika bersatu dibawah kepimpinan Sultannya. Dipecah-perintah, dikuda dan dijajah, sifat-sifat tersebut tidak dizahirkan sepenuhnya sehingga difitnah sebagai pemalas oleh si penjajah dan pewarisnya.

Rujukan:

1.  Sejarah Melayu diusahakan oleh W.G. Shellabear, Fajar Bakti, (1978).

2.  https://www.quora.com/Where-was-the-original-Malacca-Palace-located/answer/Yusrin-Faidz-Yusoff




No comments:

Post a Comment

Ekspedisi Wilkes (1838-1842)

Kapal USS Vincennes, yang memuatkan 190 anak kapal dan merupakan kapal utama Ekspedisi Wilkes. Singapura adalah destinasi terakhir yang dila...