Popular Posts

Showing posts with label Lady Helen Ibrahim. Show all posts
Showing posts with label Lady Helen Ibrahim. Show all posts

Tuesday 10 December 2019

Kisah Lady Helen Ibrahim dalam 'La dame de Malacca'


"La dame de Malacca" (Inggeris: The Lady of Malacca) adalah merupakan sebuah filem Perancis tahun 1937 yang diarahkan oleh Marc Allégret (Gambar 1 & 2). Ianya dibintangi oleh Edwige Feuillère sebagai 'Audrey Greenwood', dan Pierre Richard-Willm sebagai 'Prince Selim'. Ianya adalah diadaptasi dari novel tahun 1937 oleh Francis de Croisset (Gambar 3).

Gambar 1: Filem "La dame de Malacca" (1937)


Gambar 2: Poster Filem "La dame de Malacca" (1937)

Gambar 3: Buku "La dame de Malacca" oleh Francis de Croisset.


Filem ini turut diterbitkan oleh pengarah yang sama dan di set filem yang sama, tetapi dalam bahasa Jerman. Ianya diberi tajuk lain iaitu "Andere Welt" (Inggeris: Another World) dan dibintangi pelakon German Kathe Gold sebagai 'Audrey Greenwood', dan Karl Ludwig sebagai 'Prince Selim' (Gambar 4).

Gambar 4: Poster Filem "Andere Welt" (1937)

Filem genre drama komedi ini mengisahkan seorang wanita Inggeris, Audrey Greenwood, yang telah mengahwini seorang pegawai tentera bernama Major Carter untuk melarikan diri dari kehidupannya yang suram sebagai seorang guru. Audrey telah mengikuti suaminya yang ditugaskan berkhidmat di "Melaka". Beliau kemudiannya merasa tidak bahagia dengan perkahwinannya dan telah jatuh cinta dengan Prince Selim, iaitu Sultan Negeri "Udaimor". Negeri "Udaimor" ini kononnya berada di dalam negara "Melaka". Dalam plot filem ini, Sultan Selim mempunyai rancangan untuk berkerjasama dengan Jepun; dan dengan itu, niat dan perbuatannya ketika itu bercanggah dengan kepentingan Inggeris.

Apabila Sultan Selim menzahirkan rasa cinta kepada Audrey, beliau yang mula-mula jual mahal telah menerima cinta Sultan apabila disindir di khalayak ramai oleh isteri Gabenor "Melaka" iaitu Lady Brandmore. Hubungan Sultan Selim dan Audrey juga menjadi skandal awam di kalangan orang Eropah ketika itu. Audrey kemudian bercerai dengan suaminya dan hidup menyendiri dan kemudian jatuh sakit. Sultan Selim kemudian datang membantu Audrey.

Pada masa yang sama, perbincangan dijalankan oleh pihak-pihak berkepentingan iaitu wakil Jepun dan Inggeris dalam mempengaruhi "Melaka". Sultan Selim yang pintar berdiplomasi akhirnya memilih untuk bekerjasama dengan Inggeris dan dengan itu mengukuhkan pertalian politik Melayu-Inggeris.  Sultan Selim akhirnya berkahwin dengan Audrey sejurus Audrey mendapat perintah perceraian dengan bekas suaminya. Audrey juga berpuas hati apabila golongan elit Inggeris termasuk Lady Brandmore terpaksa menghormatinya sebagai Sultanah Negeri "Udaimor", dan juga ketika itu sebagai "First lady of Malacca".

Dari jalan cerita, saya percaya buku dan juga kedua-dua versi filem "La dame de Malacca" banyak persamaannya dengan kisah hidup Sultan Ibrahim Al-Masyhur Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Al-Khalil Ibrahim Shah (1873-1959) iaitu Sultan Johor Moden Ke-2. Secara khusus, ia menceritakan tentang perkahwinan Sultan Ibrahim dengan isteri ke-lima beliau iaitu Helen Bartholomew (1889-1978) pada tahun 1930. 

Ketika itu, walaupun Sultan Ibrahim seorang yang dikenali sebagai Anglophile, beliau masih memberi kerjasama dengan Jepun dari segi perdagangan. Dicatat bahawa bijih besi dari Johor adalah merupakan 1/3 dari impot bijih besi Jepun sebelum Perang Dunia Kedua. Sebagai mengiktiraf sumbangan Johor sebagai pemangkin revolusi industri di Jepun, sebuah kapal telah diberikan nama "Johore Maru". Kapal ini kemudian dijadikan kapal perang tentera Jepun dan ianya kemudian telah ditenggelamkan oleh kapal selam USA di sekitar Wilayah Papua pada tahun 1943. (Gambar 5 dan Video).

Gambar 5: Kapal Johore Maru



Sultan Ibrahim juga dikatakan pernah bertemu Adolf Hitler pada 1934 dan 1939, dan juga Bernito Mussolini sekitar 1939. Pada masa yang sama, beliau yang digelar sebagai lelaki terkaya di dunia, telah menderma £750,000 kepada Inggeris (£50 juta atau RM274 juta dalam kadar semasa). 

Seperti karekter Audrey, Helen juga sebelum itu pernah mendirikan rumah tangga iaitu dengan seorang doktor tentera. Suami Helen bernama William Brockie Wilson pernah bekerja sebagai doktor peribadi Sultan Ibrahim. Helen dan William telah bercerai pada tahun 1925.

Sultan Ibrahim telah menghantar dua putera baginda iaitu Tunku Ismail dan Tunku Abu Bakar untuk belajar di England, dan telah meminta pertolongan Helen yang berada di England untuk mengawasi kedua-dua putera baginda itu. Sultan Ibrahim kerapkali berangkat ke England untuk bertemu putera baginda dan juga Helen, maka, bermulalah bibit-bibit cinta di antara kedua-duanya.

Helen telah memeluk agama Islam sebelum berkahwin dan menggunakan nama Helen Binti Abdullah.  Beliau telah kemudian ditabalkan sebagai Sultanah Johor Darul Takzim pada 18.11.1931 dengan penuh adat istiadat di Istana Besar Johor Bahru, dan seterusnya menggunakan gelaran Her Royal Highness Sultanah Helen Ibrahim. (Gambar 6).

Gambar 6: Pertabalan Sultanah Helen Ibrahim, 1931. 

Dari arkib perpustakaan Perancis, saya juga mendapati sebuah foto pasangan DiRaja ini yang diambil sekitar musim sejuk 1931 di Saint Moritz, Switzerland. Kemungkinan besar gambar ini diambil semasa percutian selepas upacara pertabalan Sultanah Helen (Gambar 7).

Gambar 7: "Le Sultan et la Sultane de Johore à Saint-Moritz." Sumber: Agence de presse Meurisse, Bibliothèque nationale de France.

Di arkib Belanda pula terdapat gambar Sultanah Helen di dek kapal Belanda MS Baloeran bersama Kapten Dubois yang dirakam sekitar tahun 1935 (Gambar 8). 

Gambar 8: Gambar Sultanah Johor iaitu Sultanah Helen Ibrahim (1899-1977)
bersama Kapten Dubois di dek kapal Belanda MS Baloeran (1929) pada tahun 1935.
Sumber: Willem van de Poll, National Archives of the Netherlands.



Pada tahun 1935, gambar Sultanah Helen bersama Sultan Ibrahim telah diabadikan dalam setem pos sebagai hadiah ulang tahun perkahwinan mereka yang kelima. (Gambar 9).

Gambar 9: Setem Pos Johor 1935

Pasangan DiRaja ini bercerai pada 30.3.1938, dan Helen telah pulang ke Scotland. Selepas bercerai Sultanah Helen bergelar Lady Helen Ibrahim.  Sultan Ibrahim telah mengahwini Marcella Mendl atau Fawzia binti Abdullah pada 6.11.1940. Lihat gambar Sultan Ibrahim bersama Sultanah Fawzia pada 2.6.1958 (Gambar 10).

Gambar 10: Sultan Ibrahim bersama Sultanah Fawzia dan anakanda mereka Tunku Miriam, ketika mereka tiba di Tilbury, England, dengan kapal P&O 'Himalaya' pada 2.6.1958.
Sumber: National Geographic & Getty Images.

Juga lihat video Jubli Intan Sultan Ibrahim dan juga upacara pertabalan Sultanah Fawzia yang diadakan di Johor Bahru pada 17.9.1955.




Walaubagaimanapun, ketika itu Sultan Ibrahim dikatakan masih memberikan Lady Helen Ibrahim hadiah-hadiah batu permata pada harijadi dan ulangtahun perkahwinan mereka. Lady Helen Ibrahim kemudian berpindah ke London dan telah menghembuskan nafas terakhir pada 13.8.1977 ketika berusia 88 tahun di Homelands Nursing Home, Cowfold, Sussex.

Berbalik kepada filem "La dame de Malacca", setelah lama hilang, gulungan (reel) filem versi Perancis dan German dijumpai semula sekitar 1980an. Ianya kemudian telah dipulihkan dan ditayang semula di siaran televisyen Perancis pada tahun 1986. Pengkritik filem pada amnya memuji filem tersebut yang dianggap bersifat terbuka tentang perkahwinan campur walaupun berlaku di zaman kolonial. Akan tetapi sehingga kini tiada yang mengetahui bahawa filem ini sebenarnya adalah berdasarkan kisah benar yang berlaku di Negeri Johor (diberi nama Udaimor) yang ketika itu dibawah British Malaya (diberi nama Melaka).


Rujukan:

1. Europe & Love in Cinema, L. Passerini, J Labanyi & K. Diehl, (2012).

2. https://ms.m.wikipedia.org/wiki/La_Dame_de_Malacca

3. https://ms.m.wikipedia.org/wiki/Andere_Welt

4. https://en.m.wikipedia.org/wiki/Ibrahim_of_Johor

5. https://en.m.wikipedia.org/wiki/Lady_Helen_Ibrahim

6. http://warisanpermaisuri.blogspot.com/2015/04/sultanah-helen-ibrahim.html?m=1



Ekspedisi Wilkes (1838-1842)

Kapal USS Vincennes, yang memuatkan 190 anak kapal dan merupakan kapal utama Ekspedisi Wilkes. Singapura adalah destinasi terakhir yang dila...