Saturday, 14 December 2019

Gajah Dalam Sejarah Alam Melayu

Gajah di zaman dahulu kala digunakan oleh Raja dan pembesar Melayu bagi pengangkutan, melakukan kerja berat, memburu, tujuan istiadat dan sebagai kenaikan semasa peperangan (Gambar 1 & 2).

Gambar 1: Gambar gajah yang digunakan sebagai pengangkutan di Perak.


Gambar 2: Lakaran 'Battle of Zama' oleh Cornelis Cort, 1567.

Menurut E.H. Schafer (1957) terdapat catatan bahawa pada tahun 554, juak-juak Melayu telah ditugaskan Kerajaan Maharaja Fei dari Wei Barat (Cina) untuk mengembala dua ekor gajah perang dari Lingnan (kini Cina Selatan & Vietnam). Gajah-gajah tersebut dikatakan dilengkapi rengga kayu dan pedang gading. Menurut rekod Cina, kerajaan Melayu Langkasuka mempunyai hubungan diplomatik dan telah menghantar ufti ke Cina pada tahun 502-507, 511, 515, 518, 520, 531 dan 568. Taftitah ufti yang diutus termasuk gajah bersama-sama pengembalanya sekali. Lihat video berkenaan kelengkapan gajah perang di benua India yang dikatakan bermula sekitar abad ke-11.



eToro urges Malaysians to make side income in the digital age


Berdasarkan Hikayat Hang Tuah, Laksamana Hang Tuah dikatakan pernah membeli 6 ekor gajah di Siam. Dalam rekod Maharaja Ming (Ming Shi-lu) pula, beberapa ekor gajah telah dibawa rombongan yang diketuai Laksamana Melaka dan telah dihadiahkan kepada Maharaja Ming pada 27.8.1481.   Lihat lukisan rombongan yang tiba di Kota Larangan, Beijing sekitar abad ke-19 (Gambar 3).

Gambar 3: Lakaran dalam buku 'The Garden Arbor' (1853) yang menggambarkan gajah-gajah yang dibawa bersama tetamu Maharaja Ming di Kota Larangan.

Gajah perang khususnya dilatih agar tidak mudah gentar dengan bunyi bising hiruk-pikuk semasa peperangan, kerana gajah perang yang berada di luar kawal amat merbahaya kepada pihak lawan atau pasukan sendiri.  Perkara yang tidak diingini ini pernah terjadi semasa Portugis menyerang Melaka pada 1511 di mana gajah Sultan Mahmud tidak dapat dikawal apabila ditikam tombak panjang infantri Portugis. Gajah Sultan Mahmud telah pusing kebelakang dan melanggar gajah-gajah lain di mana Sultan Mahmud telah terjatuh dari rengga gajah tersebut. Apabila gajah Sultan tidak dapat dikawal, gajah-gajah perang lain juga turut panik melanggar dan mendatangkan huru hara kepada pasukan pertahanan Kesultanan Melaka. (Gambar 4).

Gambar 4: Lakaran imaginasi pelukis Belanda bernama Pieter Van Der Aa (1706) berkenaan serangan Portugis terhadap Melaka pada Ogos 1511. 

Dari segi ilmu kemahiran menjinak gajah, Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) ada menceritakan tentang Seri Wak Raja, Tun Umar dan Maharaja Dewa Sura yang pandai menjinakkan gajah, dan yang terkenal dengan ilmu berkenaan gajah.

Sir Frank Swettenham di dalam bukunya “The Real Malay” menyentuh mengenai orang Melayu di negeri Perak dan menyatakan bahawa orang-orang Melayu pandai menjinak dan membela gajah. Berdasarkan kewujudan manuskrip lama berjudul 'Mantera Gajah' pula, orang Melayu juga dibuktikan telah mahir dengan cara-cara menunduk dan menjinakkan gajah secara turun temurun. Selain dari itu, manuskrip ini juga mengandungi cara-cara menjaga dan mengubati gajah yang sakit. (Lihat Gambar 5).

Gambar 5: Naskhah berjudul  ‘Kitab Perubatan, Petua, Mantera, Azimat dan Isim bagi Gajah’ (Mantera Gajah).

Munshi Abdullah pula berpandangan skeptikal berkenaan khidmat pawang gajah yang pernah dicatatnya dalam Hikayat Abdullah seperti berikut:

"Gajah-gajah itu sentiasa dipukul orang. Enam tujuh hari lamanya gajah itu tidak diberi makan. Apabila pawang melihat gajah-gajah itu hendak merempuhi kandang, diambilnya batang pisang dan dibaca-bacakannya, lalu dicampakkan ke dalam kandang. Gajah-gajah itu berebutan makanan. Orang yang melihat itu berkata, "Pawang ini sungguh pandai, Gajah-gajah itu takutkan dia." Karut belaka. Sebenarnya kerana gajah itu dilaparkan beberapa hari. Kasihan! Apabila mendapat makanan, diamlah dia. Kanak-kanak pun dapat memikirkannya."

Samada kita percaya atau tidak, apa yang tidak dapat dinafikan adalah orang-orang Melayu di zaman dahulu kala pandai memberi arahan lisan yang boleh difahami sang gajah. Ini dapat dibuktikan melalui kajian J. I. Miller (1927), di mana beliau mendapati beberapa perkataan asas yang dipertutur orang-orang Melayu dan difahami gajah-gajah di Kuala Kangsar dan sekitar Hulu Perak. Lihat senarai perkataan yang difahami gajah di Gambar 6.

Gambar 6: Catatan Maxwell, W.G., 1906, tentang Bahasa Gajah yang digunakan di Kuala Kangsar dan Hulu Perak.

Bahasa ini adalah arahan lisan universal yang digunakan oleh pengembala gajah dalam memberi arahan kepada gajah tunggangan mereka. Bahasa gajah ini dikatakan berasal dari perkataan-perkataan yang dipraktikkan pengembala gajah dari Patani.  Ianya juga digunapakai turun temurun oleh pengembala gajah lain di negeri-negeri utara Semenanjung Tanah Melayu yang merupakan kawasan jajahan Langkasuka suatu ketika dahulu. Lihat gambar gajah dan pengembala di Kedah (Gambar 7 & 8)

Gambar 7: Pengembala gajah di Alor Setar, Kedah pada tahun 1890. Foto oleh Jules Claine (1856-1938). Sumber: Perpustakaan Negara Perancis.

Gambar 8: Gajah di Alor Setar, Kedah pada tahun 1890. Foto oleh Jules Claine (1856-1938). Sumber: Perpustakaan Negara Perancis.

Gajah-gajah yang beranak-pinak hasil dari induk utara Semenanjung Tanah Melayu ini juga memahami arahan lisan yang dipertuturkan dan dapat mematuhinya dengan sempurna.

Rujukan:

1.  Hamzah Hamdani, 2007, Hikayat Abdullah.

2. Kassim Ahmad, 1975. Hikayat Hang Tuah, Dewan Bahasa dan Pustaka.

3. Maxwell, W.G., 1906. Mantra Gajah. Journal of the Straits Branch of the Royal Asiatic Society 45: 1-5.

4. Miller, J.I., 1927, Elephant Terms in Perak. Journal of the Malayan Branch of the Royal Asiatic Society, Vol V, 1927, p. 364-365.

5. Schafer, Edward H. "War Elephants in Ancient and Medieval China," Oriens (Volume 10, Number 2, 1957): 289–291.

6. Shellabear, W.G, Fajar Bakti, 1978. Sejarah Melayu diusahakan oleh Fajar Bakti.

7. Swettenham, F.A., 1907. The Real Malay. John Lane, the Bodley Head.

8. Wade, Geoffrey, 1994. The Ming Shi-lu (veritable records of the Ming Dynasty) as a source for Southeast Asian history, 14th to 17th centuries.


Advertisement

Advertisement
Ceramic Elephants Bookend Set
RM341.75


Advertisement

No comments:

Post a comment

Was Hang Tuah a real person?

Our appetite for fantasy is a reflection of our need to reinvent the past. In doing so we bring hope into our present. Moral integrity, loya...

Popular Posts