Popular Posts

Thursday 5 December 2019

Mesyuarat Durbar 1897

Mesyuarat Durbar 1897 adalah merupakan mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu bagi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu yang baru ditubuhkan setahun sebelumnya (1896). Ia adalah mesyuarat yang pertama diadakan di mana perkara-perkara mengenai agama, adat-istiadat dan lain-lain perkara yang berkaitan dengan orang Melayu dibincangkan. (Gambar 1).

Gambar 1: Ahli Mesyuarat Durbar 1897 di perkarangan Istana Negara, Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Perak

Ianya dihadiri Sultan Ahmad (Pahang), Sultan Abdul Samad (Selangor), Sultan Idris (Perak) dan Tuanku Muhammad (Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.  Pihak Inggeris pula diwakili Sir Charles Mitchell (Gabenor Negeri-Negeri Selat & Pesuruhjaya Tinggi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu), Sir Frank Swettenham (Residen Jeneral Negeri-Negeri Melayu Bersekutu), Hugh Clifford (Residen Pahang), JP Rodgers (Residen Selangor), WH Treacher (Residen Perak).

Ianya telah berlangsung selama 4 hari di Istana Negara (juga dipanggil Istana Idris), Bukit Chandan, Kuala Kangsar iaitu dari 14 - 17 Julai 1897 (Gambar 2). Kenyataan tentang lokasi mesyuarat di Istana Iskandariah adalah tidak benar kerana Istana Iskandariah hanya dibina pada tahun 1933.

Gambar 2: Istana Negara, Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Sumber: GR Lambert & Co., sekitar 1890.

Selain dari kehadiran pembesar-pembesar negeri, alat-alat kebesaran negeri juga turut dibawa bersama. Lihat hulubalang Istana yang membawa Keris Taming Sari di Gambar 3.

Gambar 3: Hulubalang Istana (tengah) memegang Keris Taming Sari iaitu salah satu alat kebesaran Kesultanan Perak yang diwarisi dari Kesultanan Melaka.

Secara amnya, mesyuarat Durbar 1897 ini telah meningkatkan perasaan muhibah antara ahli-ahlinya; namun ia tidak memberi kesan dari segi pentadbiran. Walaupun berlangsung selama 4 hari, mesyuarat tersebut hanya bertujuan sebagai majlis penasihat semata-mata. Perkara yang dibincangkan juga terhad dan hanya merupakan salah satu agenda dalam aturcara yang merangkumi penangkapan ikan, sukan air, teater amatur, perkelahan di kawasan air terjun, pertunjukkan bunga api dan juga bentuk hiburan lain.

Sekiranya dilihat dari segi kekerapan, jarak antara mesyuarat Durbar pertama dengan yang kedua adalah enam tahun di mana pada dasarnya Inggeris berpendirian bahawa mesyuarat sebegini tidak wajar diadakan pada setiap tahun.

Rujukan:

1. http://www.arkib.gov.my/web/guest/mesyuarat-durbar-negeri-negeri-melayu-bersekutu-yang-pertama-kuala-kangsar-julai1897
2. http://www.majlisraja-raja.gov.my/
3. https://ms.m.wikipedia.org/wiki/Majlis_Raja-Raja



No comments:

Post a Comment

Ekspedisi Wilkes (1838-1842)

Kapal USS Vincennes, yang memuatkan 190 anak kapal dan merupakan kapal utama Ekspedisi Wilkes. Singapura adalah destinasi terakhir yang dila...