Semasa zaman Dinasti Ming, Sultan Brunei pertama iaitu Sultan Mohammed Shah (r. 1363-1402) (Awang Alak Betatar) [Catatan Ming Shi-lu (MSL): 馬合謨沙 /Ma-he-mo-sha] telah menghantar utusan melalui Menteri beliau yang bernama Ismail (MSL: 亦思麻逸 / Yi-si-ma-yi) pada 22.9.1371. Ini diikuti dengan satu lagi utusan pada 1394.
Sultan Brunei berikutnya iaitu Sultan Abdul Majid Hasan (MSL: 麻那惹加那乃 / Ma-na-re-jia-na-nai) & (MSL: 麻那惹加那Ma-na-re-jia-na) (r. 1402-1408) telah menghantar utusan melalui Sang Arya (MSL: 生阿烈伯成 / Sheng A-lie Bo-cheng) pada 5.12.1405 dan 6.2.1406.
Sultan Abdul Majid Hasan sendiri telah berangkat ke Cina pada 1408 ketika berumur 28 tahun. Malangnya, baginda telah mangkat di Nanjing pada 19.10.1408. Untuk menghormati baginda, Maharaja Yongle telah mengarahkan majlis mengadap di Istana Ming ditangguh selama 3 hari untuk berkabung dan juga telah mengarahkan pemakaman dibuat menurut istiadat Raja. Maharaja Yongle telah menganugerahkan darjah kehormat gelaran "Gong-shun" (Respectful and According) secara anumerta.
Maharaja Yongle juga memerintahkan Putera Awang (MSL: 遐旺 / Xia-wang) yang ketika itu berumur 4 tahun untuk menggantikan ayahandanya sebagai Sultan Brunei. Putera Awang kemudian telah pulang diiringi bondanya, bapa saudaranya, Shi-li Nan-na-na-nuo (施里難那那喏), dan 150 orang delegasi Brunei.
Rekod MSL berkenaan utusan ufti Brunei ke Cina semasa pemerintahan Putera Awang adalah seperti berikut:
- 13.10.1410 - mengantar bapa saudaranya, Bendahara (MSL: 蔓的里哈盧 / Man-da-li-ha-lu) sebagai ketua utusan ke Cina;
- 16.10.1411 - menghantar Ban Yang-la (板羊覽) sebagai ketua utusan ke Cina;
- 30.10.1412 - Putera Awang telah ke Cina ketika berusia 8 tahun;
- 15.3.1413 - Putera Awang telah ke Cina ketika berusia 9 tahun;
- 31.3.1415 - menghantar Sheng A-lie Wei-nuo-ye-sha-ban ( 生阿烈微喏耶沙扮 ) sebagai ketua utusan ke Cina;
- 6.12.1417 - menghantar nenda saudaranya, Mahmud (MSL: 麻木 / Ma-mu) sebagai ketua utusan ke Cina;
- 11.1.1426 - menghantar bapa saudaranya Sha-na-wan-nuo-ye (沙那萬喏耶) sebagai wakil utusan ke Cina.
Utusan Brunei terputus dalam rekod MSL dengan utusan terakhir yang diwakil Sha-na-wan-nuo-ye pada 1426. Antara hadiah yang diberikan oleh Maharaja Ming iaitu 'Kucing Emas' menjadi alat kebesaran Kesultanan Brunei sehingga kini. (Lihat Gambar 1).
Gambar 1 |
Walaupun Brunei diperintah oleh nenda saudara Putera Awang iaitu Sultan Ahmad (Pateh Berbai) (r. 1408-1425), dan kemudian oleh menantu Sultan Ahmad iaitu Sultan Sharif Ali (r. 1425-1432), Maharaja Ming Yongle, Hongxi dan Xuande hanya mengiktiraf Putera Awang sebagai pemerintah Brunei di mana nama Putera Awang disebut sebagai "Xia-Wang the King of Bo-ni" didalam rekod MSL.
Jika dikaji sumber MSL dan dibanding dengan sejarah Brunei, nama Sultan Abdul Majid Hasan dan juga nama Putera Awang tidak wujud di dalam Salasilah Raja-Raja Brunei yang tercatat di Batu Tarsilah yang diukir oleh Khatib Haji Abdul Latif sekitar 1795-1807. (Lihat Gambar 2)
Gambar 2 |
Pada tahun 1958, dua batu bersurat telah dijumpai di Bukit Shizi, Andemen, Nanjing. Ianya mengandungi catatan bahawa kawasan tersebut adalah adalah Makam Raja Bo-ni bernama Ma-na-re-jia-na iaitu Makam Sultan Abdul Majid Hasan.
Kompleks Makam yang terletak dikawasan seluas 17 hektar tersebut telah dibaikpulih (Lihat gambar 3-5). Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, iaitu kakanda Sultan Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, telah membuat lawatan rasmi ke Makam tersebut pada tahun 2006 & 2008 sebagai tanda pengiktirafan kewujudan penemuan leluhur sebenar yang telah dibuktikan oleh MSL dan catatan pada batu bersurat yang dijumpai.
Gambar 3 |
Gambar 4 |
Gambar 5 |
Rujukan:
1. The Ming Shi-lu (veritable records of the Ming Dynasty) as a source for Southeast Asian history, 14th to 17th centuries, Geoffrey Wade (1994).
2. http://www.adat-istiadat.gov.bn/SitePages/Alat-Alat%20Kebesaran%20Diraja.aspx
3. http://virtual-bruneidarussalam.blogspot.com/2017/08/batu-tarsilah-brunei.html
4. http://bruneiresources.blogspot.com/2016/08/bruneis-sultan-abdul-majid-and-chinese.html
No comments:
Post a Comment