Popular Posts

Showing posts with label Pelayar Kepulauan Melayu. Show all posts
Showing posts with label Pelayar Kepulauan Melayu. Show all posts

Thursday, 25 June 2020

Pedagang Kepulauan Melayu Di Australia

Gambar 1: Lukisan William Westall bertajuk "View of Malay Road from Pobassoo's Island, February 1803" (Sumber: National Maritime Museum, Greenwich, London)


Lebih kurang 200 tahun sebelum orang Eropah sampai ke perairan Australia, orang-orang dari kepulauan Melayu telah membina perahu-perahu besar bagi mengharungi laut dalam dan belayar hingga ke Australia utara. Mereka terdiri dari pelayar yang berasal dari Makassar dan Brunei. Setiap tahun mereka akan mengembara sehingga kepulauan Aru berdekatan New Guinea dan kemudian ke Australia utara untuk berdagang dengan penduduk Aborigin di sana.

Kawasan yang dilawati oleh pelayar kepulauan Melayu di Australia adalah direkodkan seluas 2,000 km iaitu dari kawasan Kimberley hingga ke teluk Carpentaria. Setiap tahun, pelayar dari kepulauan Melayu ini akan belayar mengikuti angin barat laut dengan menggunakan perahu besar mereka. Mereka akan berlabuh dan menetap di perairan Australia untuk mengumpul dan membeli gamat, mutiara dan sarang burung.  Setelah selesai berurusan, mereka akan belayar pulang pada musim panas.

Secara amnya, semangat mengembara pelayar-pelayar tradisi ini pernah direkod Thomas Forrest di dalam 'A Voyage from Calcutta to the Mergui Archipelago' (1792), yang menulis bahawa:

“The Buggesses in general are a high-spirited people; they will not bear ill usage... They deserve the character given of Malays in general, by Monsieur Poivre, in his Travels of a Philosopher, 'fond of adventures, emigration, and capable of undertaking the most dangerous enterprizes'.”

Antara bukti pelayaran masyarakat kepulauan Melayu ke Australia dirakam dalam sebuah lukisan oleh William Westall bertajuk "View of Malay Road from Pobassoo's Island, February 1803" (Gambar 1). Lukisan ini dihasilkan berdasarkan pertemuan antara Matthew Flinders dengan Nakhoda Pobassoo (Bapapasu) sekitar 17.2.1803 hingga 23.2.1803 di Tanjung Arnhem di sebelah barat Teluk Carpentaria, Australia. Nakhoda Bapapasu iaitu seorang pelayar Bugis dari Makassar menjalankan perniagaan dengan masyarakat Aborigin Yolngu untuk mengumpul dan mengeringkan gamat yang kemudiannya dijual ke negeri Cina melalui Hindia Timur Belanda (kini Indonesia).  Lihat lakaran wajah Bapapasu oleh Westall di Gambar 2.

Gambar 2: Lakaran wajah Nakhoda Pobassoo atau Bapapasu oleh William Westall (1803) (Sumber: Wikipedia)

Flinders mencatat bahawa Nakhoda Bapapasu adalah pelayar yang berpengalaman dan mempunyai lebih dari 6 buah perahu besar. Menurut lukisan Westall tersebut, terdapat 10 buah perahu besar direkodkan sedang berlabuh di Tanjung Arnhem (Gambar 3).

Gambar 3: Perahu-perahu besar dibawah jagaan Nakhoda Bapapsu yang sedang berlabuh di Tanjung Arnhem, Australia Utara.

Menurut kenyataan Nakhoda Bapapasu yang direkod Flinders pula, pada waktu yang sama terdapat 60 lagi perahu besar dengan 1,000 anak kapal dari kepulauan Melayu yang sedang berlabuh di sebelah barat Tanjung Arnhem. Nakhoda Bapapasu menyatakan bahawa kesemua 60 perahu besar tersebut dan juga perahu-perahu dibawah jagaannya adalah milik "Sultan of Boni" yang dikendalikan oleh seorang Ketua Nakhoda bernama "Salloo". Ini terbuka kepada dua interpretasi iaitu samada Kesultanan Brunei yang pernah disebut sebagai Kerajaan Boni di Borneo atau Kerajaan Bone dari Kepulauan Sulawesi.  Berdasarkan lokasi pelayaran dan asal usul Nakhoda Bapapasu itu sendiri, kemungkinan besar perahu-perahu tersebut dimiliki Kesultanan Bone yang berpusat di Makassar, Sulawesi.


Rujukan:

1. Westall, W., 1803, 'Views of Australian Scenery'.

2. Flinders, M., 1814,  ‘A Voyage to Terra Australis'.

3. Thomas, F., 1792, 'A Voyage from Calcutta to the Mergui Archipelago', S.78 ff.

4. 'Pobasso' dalam Wikipedia. Diekstrak dari https://en.m.wikipedia.org/wiki/Pobasso

5. National Maritime Museum, Greenwich, London



Ekspedisi Wilkes (1838-1842)

Kapal USS Vincennes, yang memuatkan 190 anak kapal dan merupakan kapal utama Ekspedisi Wilkes. Singapura adalah destinasi terakhir yang dila...