Popular Posts

Showing posts with label Istana Kampung Air. Show all posts
Showing posts with label Istana Kampung Air. Show all posts

Saturday, 14 November 2020

Serangan British terhadap Brunei dan Marudu (1845)


"Destruction of the House & Battery of Pangeran Usop" oleh Edward Hodges Cree, 10.8.1845.
Sumber: National Maritime Museum, Greenwich, London.


Lukisan bertajuk 'Destruction of the House & Battery of Pangeran Usop' ini dilukis Edward Hodges Cree pada 10.8.1845. Edward Hodges Cree (1814-1901) adalah seorang pakar bedah tentera laut British yang berkhidmat di atas kapal H.M. Steam-Vessel Vixen. Jurnal beliau bersama lukisan ini menjadi rekod utama berkenaan serangan British terhadap Pengiran Yusuf ibni Sultan Omar Ali Saifuddin I di Brunei dan Syariff Osman di Marudu.

Secara amnya lukisan ini menggambarkan keadaan kediaman dan kubu Bendahara Brunei iaitu Pengiran Yusuf yang dibedil oleh 8 buah kapal British pada 10.8.1845 (sebelah kiri lukisan). Ugutan "gunboat diplomacy" terlebih dahulu dibuat kapal-kapal British yang berlabuh dihadapan Istana Kampong Ayer (di sebelah kanan lukisan) dalam mendesak Sultan Brunei, iaitu Sultan Omar Ali Saifuddin II ibni Sultan Muhammad Jamalul Alam I (1799-1852), supaya memecat Pengiran Yusuf yang juga nenda saudara Sultan.

Ketika itu pihak British, atas fitnah James Brooke, mempercayai bahawa Pengiran Yusuf, terlibat dalam aktiviti perlanunan bersama Syariff Osman, iaitu pemerintah Kerajaan Marudu, dibawah kebenaran Kesultanan Sulu.

Menurut catatan Edward Hughes Cree, Pengiran Yusuf hadir di Istana Sultan Brunei untuk berbincang dengan British tetapi enggan bersetuju dengan terma-terma British. Beliau kemudian pulang ke kediamannya. British memulakan serangan dengan tembakan roket yang menembusi bumbung kediaman Pengiran Yusuf.  Serangan tersebut dibalas dengan tembakan meriam. Rekod menunjukkan bahawa atas desakan ketuanya, Edward Hughes Cree menyatakan bahawa Pengiran Yusuf yang memulakan tembakan terlebih dahulu. Walaupun berjaya melarikan diri, pengaruh Pengiran Yusuf terhadap Sultan Brunei telah berjaya dimusnahkan pakatan British dalam serangan ini.


"Paleis van de sultan van Brunei" (Istana Sultan Brunei) rakaman G.R. Lambert & Co. (c. 1890) iaitu di zaman pemerintahan Sultan Hashim Jalilul Alam Aqamaddin ibni Sultan Omar Ali Saifuddin II (1825-1906).
Sumber: Leiden University Library


Kapal-kapal British tersebut bersama bantuan sekutu James Brooke iaitu Pengiran Muda Hashim ibni Sultan Muhammad Kanzul Alam (1782-1846) dan adindanya Pengiran Badaruddin ibni Sultan Muhammad Kanzul Alam kemudian menyerang kubu Syariff Osman di Marudu pada 17.8.1845.

Kajian menunjukkan bahawa tiada satu pun catatan sejarah yang boleh mengesahkan bahawa Pengiran Yusuf dan Syariff Osman terlibat dalam aktiviti pelanunan.  Kebijaksanaan dan kepimpinan Syariff Osman, yang ketika itu ingin diiktiraf sebagai Sultan Marudu, sebenarnya adalah faktor utama yang telah menimbulkan rasa kemarahan dan perasaan cemburu James Brooke, pihak British dan beberapa pembesar Brunei. Jadi serangan-serangan ini adalah tindakan strategik James Brooke untuk menguatkan pengaruh dan agendanya terhadap Sultan Brunei; dan supaya tiada pesaing boleh mengugat kepentingannya sebagai Raja Putih Sarawak iaitu posisi yang diperolehnya melalui Pengiran Muda Hashim pada tahun 1841.

Selepas pengunduran Pengiran Yusuf, pemusnahan kubu Syariff Osman di Marudu, dan satu lagi serangan British terhadap Brunei pada Julai 1846, sebuah perjanjian telah ditandatangani pada 18.12.1846 yang menyebabkan Pulau Labuan dan pulau-pulau kecil yang berhampiran diserahkan buat selamanya oleh Sultan Brunei kepada pihak British. 

"The Expeditionary Force (Seamen and Marines 500 strong) under the orders of Captain Mundy accompanied by Mr Brooke in march for the Sultan's position at Damuan in the interior of Borneo, July 1846"
Sumber: State Library of New South Wales.


Sebagai habuan, James Brooke telah dilantik British sebagai Gabenor Labuan yang pertama dan Konsul Besar di Borneo. Pada masa yang sama, Sarawak dibawah James Brooke diiktiraf bebas dari apa-apa tuntutan dari Sultan Brunei.

Lakaran markas dan penempatan Inggeris di Labuan dalam The Illustrated London News bertarikh 9.12.1848. 


Tindakan eksesif James Brooke dalam menghapus musuh atas dasar memerangi aktiviti pelanunan tersebut menimbulkan kontroversi di mana satu Suruhanjaya Siasatan telah diadakan di Singapura pada tahun 1854. Walaupun James Brooke didapati tidak bersalah, namun siasatan dan pertuduhan yang dibuat telah menjatuhkan imej, reputasi dan mencemar legasi beliau di mata umum.

Sumber:

1. Gerlich, B.M., (2003), 'Marudu 1845: The Destruction and Reconstruction of a Coastal State in Borneo'. Hamburg, Abera.
2. Irwin, G., 1955, 'Nineteenth-Century Borneo: A Study in Diplomatic Rivalry'. Brill.
3. National Maritime Museum, Greenwich, London.
4. "The Rajahs of Sarawak", The Spectator, 29 January 1910.
5. "The Rise and Fall of a North Bornean Kingdom", Sabah Society Journal Vol. 29, 2012.

Tuesday, 30 June 2020

Lawatan Prince of Wales ke Brunei (1922)

Prince of Wales (Prince Edward) bersama Sultan Muhammad Jamalul Alam II ibni Sultan Hashim Jalilul Alam Aqamaddin, 1922 (Sumber: Imperial War Museums, London)

Pada 19 Mei 1922, Prince of Wales (kemudian King Edward VIII & Duke of Windsor) berkenan melawat Brunei, sebagai lokasi persinggahan dalam siri lawatan baginda ke koloni-koloni British.  Berdasarkan klip filem yang diperoleh dari Imperial War Museums London ini, Sultan Muhammad Jamalul Alam II ibni Sultan Hashim Jalilul Alam Aqamaddin (1889-1924) direkodkan berkenan menyambut kedatangan Prince of Wales dan rombongannya yang tiba dengan kapal perang HMS Renown. Pelbagai sambutan dan persembahan kebudayaan telah diadakan sekitar waktu tersebut.



Pada tahun 1888, Brunei menjadi sebuah negeri di bawah perlindungan kerajaan British dengan mengekalkan kedaulatan dalam negerinya kecuali hal ehwal luar negara yang ditadbir British.

Sultan Muhammad Jamalul Alam II adalah Sultan dan Yang di-Pertuan Brunei Darussalam yang ke-26 yang memerintah dari tahun 1906 hingga 1924. Pada tahun 1906, dibawah pentadbiran baginda, Brunei menerima suatu lagi langkah perluasan kuasa British apabila kuasa eksekutif dipindahkan kepada seorang residen British yang menasihati baginda dalam semua perkara kecuali yang bersangkut-paut dengan adat istiadat tempatan dan agama.

Sultan Muhammad Jamalul Alam II ibni Sultan Hashim Jalilul Alam Aqamaddin (1889-1924) bersama Raja Isteri Pengiran Anak Fatimah


Pada tahun 1906 juga Brunei dibawah baginda mempunyai bendera negara yang menjadi asas kepada warna dan jalurnya yang terkini.

Bendera Brunei dari 1906 hingga 1959

Kanun Tanah berpandukan Sistem Torrens diperkenalkan pada tahun 1907 di mana ianya memperjelaskan sempadan Brunei. Kanun Tanah 1907 juga menjadi pemangkin ekonomi Brunei melalui pengenalan cukai bagi sumber pendapatan dari industri getah dan juga melalui industri minyak & gas. Pada tahun 1911, sistem pendidikan negaranya diperkukuhkan dengan pembinaan sekolah-sekolah Melayu. Baginda juga menubuhkan pasukan Polis Brunei pada tahun 1921. Kemudian pada tahun 1922, rancangan pembangunan mula giat dijalankan. Pada tahun yang sama, baginda juga berpindah dari Istana Kampong Ayer ke Istana Majlis.

"Paleis van de sultan van Brunei" (Istana Sultan Brunei) rakaman G.R. Lambert & Co. (c. 1890) iaitu di zaman pemerintahan Sultan Hashim Jalilul Alam Aqamaddin ibni Sultan Omar Ali Saifuddien II (1825-1906). (Sumber: Leiden University Library)



Pemerintahan baginda agak singkat. Penularan wabak penyakit malaria yang serius pada masa itu telah menyebabkan baginda mangkat pada 11 September 1924, ketika berusia 35 tahun. Walau bagaimanapun, atas permodenan yang dipelopori baginda, Brunei mempunyai mekanisma yang secukupnya bagi mengutip dan mentadbir hasil carigali minyak dan gas yang ditemui pada tahun 1926.

Baginda diganti oleh anakanda kedua baginda, Sultan Ahmad Tajuddin, yang memerintah sebagai Sultan Brunei ke-27 dari 1924 hingga 1950.

Sultan Ahmad Tajuddin ibni Sultan Muhammad Jamalul Alam II (1913-1950) sekitar tahun 1934 (Sumber: Royal Collection Trust, UK)


Sultan Ahmad Tajuddin Akhazul Khairi Waddien ibni Sultan Muhammad Jamalul Alam II (1913-1950) bersama pegawai British memeriksa sebuah pesawat udara jenis "flying boat" model Supermarine Southampton sekitar tahun 1930. Sumber: Imperial War Museums, London.



Setelah kemangkatan Sultan Ahmad Tajuddin, anakanda ke-5 Sultan Muhammad Jamalul Alam II iaitu Sultan Omar Ali Saifuddien III (1914-1986) dilantik sebagai Sultan Brunei yang ke-28 pada 4 Jun 1950. 

Sultan Omar Ali Saifuddien III ibni Sultan Muhammad Jamalul Alam II (1914-1986) dan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Damit (Sumber: Warisanpermaisuri.blogspot.com)

Kesinambungan Kesultanan Brunei yang wujud semenjak abad ke-14 ini diteruskan dengan pemerintahan Sultan Brunei ke-29 iaitu Sultan Hassanal Bolkiah ibni Sultan Omar Ali Saifuddien III yang telah ditabalkan pada 5 Oktober 1967.

Sultan Hassanal Bolkiah bersama ayahandanya Sultan Omar Ali Saifuddien III dan juga Prince of Wales (Prince Charles) semasa Pengisytiharan Kemerdekaan Brunei pada 1 Januari 1984.


Sumber:

1. https://ms.m.wikipedia.org/wiki/Sultan_Muhammad_Jamalul_Alam_II

2. https://ms.m.wikipedia.org/wiki/Brunei

3. Imperial War Museums, London

4. Leiden University Library, Amsterdam



Ekspedisi Wilkes (1838-1842)

Kapal USS Vincennes, yang memuatkan 190 anak kapal dan merupakan kapal utama Ekspedisi Wilkes. Singapura adalah destinasi terakhir yang dila...