Mesyuarat Durbar 1897 adalah merupakan mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu bagi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu yang baru ditubuhkan setahun sebelumnya (1896). Ia adalah mesyuarat yang pertama diadakan di mana perkara-perkara mengenai agama, adat-istiadat dan lain-lain perkara yang berkaitan dengan orang Melayu dibincangkan. (Gambar 1).
Gambar 1: Ahli Mesyuarat Durbar 1897 di perkarangan Istana Negara, Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Perak
Ianya dihadiri Sultan Ahmad (Pahang), Sultan Abdul Samad (Selangor), Sultan Idris (Perak) dan Tuanku Muhammad (Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan. Pihak Inggeris pula diwakili Sir Charles Mitchell (Gabenor Negeri-Negeri Selat & Pesuruhjaya Tinggi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu), Sir Frank Swettenham (Residen Jeneral Negeri-Negeri Melayu Bersekutu), Hugh Clifford (Residen Pahang), JP Rodgers (Residen Selangor), WH Treacher (Residen Perak).
Ianya telah berlangsung selama 4 hari di Istana Negara (juga dipanggil Istana Idris), Bukit Chandan, Kuala Kangsar iaitu dari 14 - 17 Julai 1897 (Gambar 2). Kenyataan tentang lokasi mesyuarat di Istana Iskandariah adalah tidak benar kerana Istana Iskandariah hanya dibina pada tahun 1933.
Gambar 2: Istana Negara, Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Sumber: GR Lambert & Co., sekitar 1890.
Selain dari kehadiran pembesar-pembesar negeri, alat-alat kebesaran negeri juga turut dibawa bersama. Lihat hulubalang Istana yang membawa Keris Taming Sari di Gambar 3.
Gambar 3: Hulubalang Istana (tengah) memegang Keris Taming Sari iaitu salah satu alat kebesaran Kesultanan Perak yang diwarisi dari Kesultanan Melaka.
Secara amnya, mesyuarat Durbar 1897 ini telah meningkatkan perasaan muhibah antara ahli-ahlinya; namun ia tidak memberi kesan dari segi pentadbiran. Walaupun berlangsung selama 4 hari, mesyuarat tersebut hanya bertujuan sebagai majlis penasihat semata-mata. Perkara yang dibincangkan juga terhad dan hanya merupakan salah satu agenda dalam aturcara yang merangkumi penangkapan ikan, sukan air, teater amatur, perkelahan di kawasan air terjun, pertunjukkan bunga api dan juga bentuk hiburan lain.
Sekiranya dilihat dari segi kekerapan, jarak antara mesyuarat Durbar pertama dengan yang kedua adalah enam tahun di mana pada dasarnya Inggeris berpendirian bahawa mesyuarat sebegini tidak wajar diadakan pada setiap tahun.
Lapangan Terbang Alor Setar di Kepala Batas Kedah adalah tempat mendarat kapal terbang Royal Dutch Airlines (KLM) iaitu syarikat penerbangan tertua di dunia semenjak tahun 1924 (Lihat Gambar 1). Pesawat KLM pertama yang tiba di Alor Setar adalah jenis Fokker F.VII yang membawa 3 krew dan beberapa bungkusan kargo mel udara. Ianya berlepas dari Amsterdam pada 1.10.1924 dan tiba di Kepala Batas, Alor Setar pada 21.11.1924.
Gambar 1 : Pesawat KLM Fokker F.VII, 1924.
Dari segi garismasa, ini berlaku 23 tahun sebelum wujudnya perkhidmatan penerbangan Malayan Airways Ltd, 6 tahun sebelum pembinaan Lapangan Terbang Sungai Besi Kuala Lumpur, 5 tahun sebelum pembinaan Lapangan Terbang Taiping Perak, dan 4 tahun sebelum pembinaan Lapangan Terbang Seletar Singapura. Saya tidak pasti mengapa British menyembunyikan fakta ini dan hanya merekodkan Sungai Besi sebagai Lapangan Terbang Antarabangsa pertama Malaysia iaitu apabila pesawat penumpang Imperial Airways mendarat pada tahun 1933.
Sekiranya dikaji, sekitar 1928 KLM melalui operasi agennya KNILM (KLM Hindia Belanda) telah memulakan penerbangan penumpang berjadual seminggu sekali dari Medan ke Alor Setar. Penumpang akan transit di Alor Setar sebelum mengikuti penerbangan KLM antarabangsa yang akan transit di Bangkok, Rangoon, Calcutta, dan lain-lain persinggahan sebelum tiba ke destinasi utamanya iaitu Amsterdam. Lihat ekstrak buku 'Touring The Tropics At Top Speed", KNILM, Batavia 1930 & 1933 (Gambar 2, 3, 4 & 5).
Gambar 2
Gambar 3
Gambar 4: Masjid Zahir di Alor Setar yang dirakam dari pesawat KNILM, 1933.
Gambar 5: Poster KLM sekitar awal 1930an
Dari segi bangunan dan infrastruktur, rekod lama menunjukkan tiada apa-apa struktur bangunan kecuali landasan kapal terbang yang dikelilingi sawah bendang ditepi sebuah jalan utama. Walaubagaimanapun, menurut laporan Foreign Aeronautical News, 1931 (Gambar 6), terdapat "Airport" yang sedang dibina oleh Kerajaan British di kawasan tersebut sekitar awal 1931.
Gambar 6: Foreign Aeronautical News, 24.4.1931
Pernah direkodkan bahawa sekitar tahun 1931, Will Rogers, seorang pelakon filem Hollywood pernah singgah dan bermalam di Alor Setar sementara menunggu pesawat KLM untuk ke Bangkok. Will Rogers gemar menaiki kapal terbang dan telah mendapatkan lesen juruterbang. Lapangan Terbang Oklahoma di USA telah dinamakan sempena nama Will Rogers untuk mengiktiraf sumbangan beliau dalam bidang lakonan dan aviasi. Will Rogers terkorban dalam satu nahas udara di Alaska pada 15.8.1935. (Lihat Gambar 7 & Video).
Gambar 7: Poskad Lapangan Terbang Will Rogers, Oklahoma, USA.
Selain dari penerbangan KLM, Lapangan Terbang Alor Setar juga menjadi hab persinggahan bagi penerbangan British iaitu Imperial Airways dalam perjalanan dari London ke Australia yang bermula pada 29.5.1933. Lihat peta perjalanan udara bagi Imperial Airways bagi tahun 1935 (Gambar 8).
Gambar 8: Peta laluan udara dan tempat persinggahan bagi Imperial Airways, 1935.
Pada Oktober 1934, Lapangan Terbang Alor Setar juga telah dijadikan tempat persinggahan acara perlumbaan pesawat udara dunia 'MacRobertson Air Race' yang bermula dari Croydon, England dan tamat di Melbourne, Australia. Pesawat KLM mengambil masa 3 hari dan 18 jam. Ketika itu pesawat KLM Douglas DC-2 (PH-AJU) "The Uiver" mendapat tempat kedua walaupun membawa penumpang dan kargo dalam destinasi penerbangan biasa (Lihat Gambar 9, 10, 11, 12 & 13).
Gambar 9: Poster Pelumbaan Udara MacRobertson 1934-35
Gambar 10: Carta penerbangan dari London ke Melbourne
Gambar 11: Ketibaan Pesawat KLM Douglas DC-2 (PH-AJU) 'The Uiver' di Surabaya.
Gambar 12: Ketibaan Pesawat KLM Douglas DC-2 (PH-AJU) 'The Uiver' di Melbourne.
Gambar 13: Tiket penerbangan pesawat KLM dari Melbourne ke London, Disember 1934. Tiket sehala ketika itu berharga 2,280 Dutch Guilder bersamaan RM100,639.00 pada nilai semasa.
Jangka hayat kapal terbang era tersebut tidak lama. Pesawat DC-2 (PH-AJU) 'The Uiver' ini dilaporkan terhempas akibat cuaca buruk pada 20.12.1934 di Iraq (Lihat Gambar 14).
Gambar 14: Pesawat KLM Douglas DC-2 (PH-AJU) 'The Uiver' yang terhempas di Iraq.
Terdapat satu lagi gambar yang diambil sekitar tahun 1935 yang menunjukkan pendaratan kapal terbang KLM (PH-AKL) "The Lijster" jenis Douglas DC-2 di Alor Setar. Ketika itu pesawat-pesawat KLM akan transit di Alor Setar dalam perjalanan dari Amsterdam ke Australia. Direkodkan bahawa penerbangan dari Eropah ke Australia memakan masa selama 8 hari. (Lihat Gambar 15).
Gambar 15: Pesawat KLM Douglas DC2 (PH-AKL) di Lapangan Terbang Alor Setar, Kedah.
Fakta ini jelas membuktikan bahawa Lapangan Terbang Alor Setar adalah merupakan lapangan terbang yang menjadi transit bagi penumpang udara antarabangsa yang lebih awal dari Lapangan Terbang Sungai Besi di Kuala Lumpur.
Malangnya, penerbangan KLM (PH-AKL) "The Lijster" ini juga terhempas. Trajedi tersebut berlaku apabila pesawat tersebut baru berlepas dari Lapangan Terbang Croydon, England, pada 9.12.1936. Kejadian tersebut mengorbankan 15 orang penumpang dan anak kapal dan diisytihar nahas udara paling buruk di UK ketika itu (Gambar 16).
Gambar 16: Gambar Nahas Pesawat Douglas DC2 (PH-AJU) 'The Lijster', di Croydon, England, 9.12.1936.
Antara yang terkorban adalah bekas Perdana Menteri Sweden, Arvid Lindman; dan seorang rakyat Sepanyol, Juan de la Cierva, pencipta autogiro iaitu rekaan prototaip bagi helikopter. Seorang penumpang German bernama Walter Schubach dan seorang pramugari Belanda bernama Hilde Bongertmann, terselamat dalam nahas tersebut. Selain dari diiktiraf sebagai pramugari pertama KLM, Hilde Bongertmann juga adalah seorang penulis buku anti-sematik dan ahli SS-Verfügungstruppe iaitu pasukan bersenjata parti Nazi (Lihat Gambar 17).
Gambar 17: Hilde Bongertmann, pramugari pertama KLM yang juga anggota SS & Nazi
Sekitar tahun 1938, KLM dan juga penerbangan antarabangsa lain memilih untuk mendarat di Lapangan terbang Bayan Lepas, Pulau Pinang kerana ianya mempunyai landasan yang lebih luas. Lihat poster yang diiklankan oleh KLM & KNILM sekitar tahun 1938 (Gambar 18).
Gambar 18: Poster Iklan KLM & KNILM, 1938.
Lapangan Terbang Alor Setar kemudian telah diambil alih Tentera Udara DiRaja British (RAF) dan dijadikan sebagai Pangkalan Udara RAF Utara Malaya. Ianya kemudian diambil alih oleh Sekolah Latihan Penerbangan TUDM (kini Kolej Tentera Udara) sekitar tahun 1963. Semenjak tahun 1970an ianya juga digunakan sebagai landasan bagi pesawat komersial dan milik Kerajaan Malaysia.
Pada tahun 2006, Malaysia Airports Berhad mendirikan terminal udara baru dan membesarkan landasan bagi menerima pesawat Airbus 330. Namun kegemilangan Lapangan Terbang Alor Setar sebagai hab penerbangan antarabangsa hanya tinggal kenangan kerana kini ianya hanya digunakan untuk tujuan penerbangan pesawat domestik.
P.S: Artikel ini dirujuk dalam penulisan Aiman Nazirmuddin bertajuk 'Sejarah Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim Yang Digelapkan British?' bertarikh 6.12.2019. Sememangnya rekod-rekod lama ada mencatat landasan (airstrip) dan penerbangan antarabangsa di Alor Setar. Tetapi ianya adalah dari iklan & KLM 'sponsored articles' dalam akhbar tempatan sekitar 1930an. Boleh dirumuskan fokus British ketika itu hanya pada Sungai Besi sebagai lapangan terbang Tanah Melayu pertama yang menerima pesawat komersial. Kesannya kita boleh lihat kini dalam laman wikipedia BM dan Inggeris tentang Lapangan Terbang Alor Setar yang langsung tidak menceritakan sejarahnya. Juga boleh dilihat laman web tidak rasmi KLIA2 yang hanya mengiktiraf pendaratan pesawat British iaitu penerbangan Imperial Airways pada tahun 1933 sebagai pendaratan pesawat komersial pertama di Tanah Melayu. Walhal, Belanda melalui KLM telah mendarat lebih awal di Alor Setar iaitu pada tahun 1924, dan mempunyai penerbangan berjadual ke situ semenjak tahun 1928. Juga menurut sumber USA sudah ada bangunan lapangan terbang dibina di Alor Setar sekitar tahun 1931.
Menurut Eredia (1613), penduduk Portugis Melaka mengalami masalah keselamatan setelah menjajah Melaka. Selain dari serangan balas orang-orang Melayu dan orang asli (dipanggil 'Orang Benua'), penduduk kota Melaka sentiasa diserang harimau. Menurut catatan Portugis "arymos" iaitu harimau tersebut dipercayai harimau jadian.
Dikatakan Eredia bahawa Orang Benua mengamalkan ilmu sihir dan boleh bertukar menjadi harimau, biawak, buaya, burung dan ikan dengan meminum air herba dipanggil "vilca" untuk berhubung dengan "Diabo" (syaitan) atau "Putry Gunoledam" (Puteri Gunung Ledang).
Ancaman harimau jadian terhadap penduduk Portugis Melaka amat serius sehingga uskup Melaka yang pertama iaitu Dom Jorge de Santa Luzia (1558-1578) terpaksa membuat upacara khas di gereja dan mengisytihar pengamal ilmu sihir tersebut sebagai ancaman awam dan dengan itu diharamkan dan ditentang pihak gereja Katolik melalui pengisytiharan yang dipanggil 'excommunication'.
Tidak dicatatkan Eredia apa yang dilakukan kepada pengamal sihir yang ditangkap. Tapi saya percaya ianya sama dengan hukuman terhadap pengamal sihir zaman pertengahan di Eropah iaitu dengan membakar mereka hidup-hidup berpandukan tatacara 'Malleus Maleficarum' (Hammer of Witches) yang ditulis Heinrich Kramer atau Henricus Institoris pada 1487.
'Malleus Maleficarum' (Hammer of Witches) yang ditulis Heinrich Kramer atau Henricus Institoris pada 1487.
Kejayaan penghapusan harimau jadian oleh uskup Dom Jorge de Santa Luzia ini dikatakan oleh Eredia sebagai punca ramai orang Chelia Melaka, yang sebelum itu menyembah berhala, membuat keputusan menganuti Agama Katolik pada tahun 1560.
Sumber:
"Eredia's Description of Malacca, Meridional India, and Cathay Translated from the Portuguese, with Notes", by JV Mills, JMBRAS, Vol VIII, 1930.