Popular Posts

Showing posts with label Alor Setar. Show all posts
Showing posts with label Alor Setar. Show all posts

Sunday, 1 December 2019

Penerbangan Antarabangsa Pertama Ke Tanah Melayu

Lapangan Terbang Alor Setar di Kepala Batas Kedah adalah tempat mendarat kapal terbang Royal Dutch Airlines (KLM) iaitu syarikat penerbangan tertua di dunia semenjak tahun 1924 (Lihat Gambar 1). Pesawat KLM pertama yang tiba di Alor Setar adalah jenis Fokker F.VII yang membawa 3 krew dan beberapa bungkusan kargo mel udara. Ianya berlepas dari Amsterdam pada 1.10.1924 dan tiba di Kepala Batas, Alor Setar pada 21.11.1924.

Gambar 1 : Pesawat KLM Fokker F.VII, 1924.

Dari segi garismasa, ini berlaku 23 tahun sebelum wujudnya perkhidmatan penerbangan Malayan Airways Ltd, 6 tahun sebelum pembinaan Lapangan Terbang Sungai Besi Kuala Lumpur, 5 tahun sebelum pembinaan Lapangan Terbang Taiping Perak, dan 4 tahun sebelum pembinaan Lapangan Terbang Seletar Singapura. Saya tidak pasti mengapa British menyembunyikan fakta ini dan hanya merekodkan Sungai Besi sebagai Lapangan Terbang Antarabangsa pertama Malaysia iaitu apabila pesawat penumpang Imperial Airways mendarat pada tahun 1933.

Sekiranya dikaji, sekitar 1928 KLM melalui operasi agennya KNILM (KLM Hindia Belanda) telah memulakan penerbangan penumpang berjadual seminggu sekali dari Medan ke Alor Setar. Penumpang akan transit di Alor Setar sebelum mengikuti penerbangan KLM antarabangsa yang akan transit di Bangkok, Rangoon, Calcutta, dan lain-lain persinggahan sebelum tiba ke destinasi utamanya iaitu Amsterdam. Lihat ekstrak buku 'Touring The Tropics At Top Speed", KNILM, Batavia 1930 & 1933 (Gambar 2, 3, 4 & 5).

Gambar 2

Gambar 3

Gambar 4: Masjid Zahir di Alor Setar yang dirakam dari pesawat KNILM, 1933.

Gambar 5: Poster KLM sekitar awal 1930an

Dari segi bangunan dan infrastruktur, rekod lama menunjukkan tiada apa-apa struktur bangunan kecuali landasan kapal terbang yang dikelilingi sawah bendang ditepi sebuah jalan utama. Walaubagaimanapun, menurut laporan Foreign Aeronautical News, 1931 (Gambar 6), terdapat "Airport" yang sedang dibina oleh Kerajaan British di kawasan tersebut sekitar awal 1931.

Gambar 6: Foreign Aeronautical News, 24.4.1931


Pernah direkodkan bahawa sekitar tahun 1931, Will Rogers, seorang pelakon filem Hollywood pernah singgah dan bermalam di Alor Setar sementara menunggu pesawat KLM untuk ke Bangkok. Will Rogers gemar menaiki kapal terbang dan telah mendapatkan lesen juruterbang. Lapangan Terbang Oklahoma di USA telah dinamakan sempena nama Will Rogers untuk mengiktiraf sumbangan beliau dalam bidang lakonan dan aviasi. Will Rogers terkorban dalam satu nahas udara di Alaska pada 15.8.1935. (Lihat Gambar 7 & Video).


Gambar 7: Poskad Lapangan Terbang Will Rogers, Oklahoma, USA.




Selain dari penerbangan KLM, Lapangan Terbang Alor Setar juga menjadi hab persinggahan bagi penerbangan British iaitu Imperial Airways dalam perjalanan dari London ke Australia yang bermula pada 29.5.1933. Lihat peta perjalanan udara bagi Imperial Airways bagi tahun 1935 (Gambar 8).

Gambar 8: Peta laluan udara dan tempat persinggahan bagi Imperial Airways, 1935.

Pada Oktober 1934, Lapangan Terbang Alor Setar juga telah dijadikan tempat persinggahan acara perlumbaan pesawat udara dunia 'MacRobertson Air Race' yang bermula dari Croydon, England dan tamat di Melbourne, Australia. Pesawat KLM mengambil masa 3 hari dan 18 jam. Ketika itu pesawat KLM Douglas DC-2 (PH-AJU) "The Uiver" mendapat tempat kedua walaupun membawa penumpang dan kargo dalam destinasi penerbangan biasa (Lihat Gambar 9, 10, 11, 12 & 13).

Gambar 9: Poster Pelumbaan Udara MacRobertson 1934-35

Gambar 10: Carta penerbangan dari London ke Melbourne

Gambar 11: Ketibaan Pesawat KLM Douglas DC-2 (PH-AJU) 'The Uiver' di Surabaya.

Gambar 12: Ketibaan Pesawat KLM Douglas DC-2 (PH-AJU) 'The Uiver' di Melbourne.

Gambar 13: Tiket penerbangan pesawat KLM dari Melbourne ke London, Disember 1934. Tiket sehala ketika itu berharga 2,280 Dutch Guilder bersamaan RM100,639.00 pada nilai semasa.


Jangka hayat kapal terbang era tersebut tidak lama. Pesawat DC-2 (PH-AJU) 'The Uiver' ini dilaporkan terhempas akibat cuaca buruk pada 20.12.1934 di Iraq (Lihat Gambar 14).

Gambar 14: Pesawat KLM Douglas DC-2 (PH-AJU) 'The Uiver' yang terhempas di Iraq.

Terdapat satu lagi gambar yang diambil sekitar tahun 1935 yang menunjukkan pendaratan kapal terbang KLM (PH-AKL) "The Lijster" jenis Douglas DC-2 di Alor Setar.  Ketika itu pesawat-pesawat KLM akan transit di Alor Setar dalam perjalanan dari Amsterdam ke Australia.  Direkodkan bahawa penerbangan dari Eropah ke Australia memakan masa selama 8 hari. (Lihat Gambar 15).

Gambar 15: Pesawat KLM Douglas DC2 (PH-AKL) di Lapangan Terbang Alor Setar, Kedah.

Fakta ini jelas membuktikan bahawa Lapangan Terbang Alor Setar adalah merupakan lapangan terbang yang menjadi transit bagi penumpang udara antarabangsa yang lebih awal dari Lapangan Terbang Sungai Besi di Kuala Lumpur.

Malangnya, penerbangan KLM (PH-AKL) "The Lijster" ini juga terhempas. Trajedi tersebut berlaku apabila pesawat tersebut baru berlepas dari Lapangan Terbang Croydon, England, pada 9.12.1936. Kejadian tersebut mengorbankan 15 orang penumpang dan anak kapal dan diisytihar nahas udara paling buruk di UK ketika itu (Gambar 16).

Gambar 16: Gambar Nahas Pesawat Douglas DC2 (PH-AJU) 'The Lijster', di Croydon, England, 9.12.1936.

Antara yang terkorban adalah bekas Perdana Menteri Sweden, Arvid Lindman; dan seorang rakyat Sepanyol, Juan de la Cierva, pencipta autogiro iaitu rekaan prototaip bagi helikopter. Seorang penumpang German bernama Walter Schubach dan seorang pramugari Belanda bernama Hilde Bongertmann, terselamat dalam nahas tersebut. Selain dari diiktiraf sebagai pramugari pertama KLM, Hilde Bongertmann juga adalah seorang penulis buku anti-sematik dan ahli SS-Verfügungstruppe iaitu pasukan bersenjata parti Nazi (Lihat Gambar 17).

Gambar 17: Hilde Bongertmann, pramugari pertama KLM yang juga anggota SS & Nazi

Sekitar tahun 1938, KLM dan juga penerbangan antarabangsa lain memilih untuk mendarat di Lapangan terbang Bayan Lepas, Pulau Pinang kerana ianya mempunyai landasan yang lebih luas. Lihat poster yang diiklankan oleh KLM & KNILM sekitar tahun 1938 (Gambar 18).

Gambar 18: Poster Iklan KLM & KNILM, 1938.

Lapangan Terbang Alor Setar kemudian telah diambil alih Tentera Udara DiRaja British (RAF) dan dijadikan sebagai Pangkalan Udara RAF Utara Malaya. Ianya kemudian diambil alih oleh Sekolah Latihan Penerbangan TUDM (kini Kolej Tentera Udara) sekitar tahun 1963. Semenjak tahun 1970an ianya juga digunakan sebagai landasan bagi pesawat komersial dan milik Kerajaan Malaysia.

Pada tahun 2006, Malaysia Airports Berhad mendirikan terminal udara baru dan membesarkan landasan bagi menerima pesawat Airbus 330. Namun kegemilangan Lapangan Terbang Alor Setar sebagai hab penerbangan antarabangsa hanya tinggal kenangan kerana kini ianya hanya digunakan untuk tujuan penerbangan pesawat domestik.

Rujukan:

1. 'Touring The Tropics At Top Speed", KNILM, Batavia (1930 & 1933).
2. Foreign Aeronautical News (24.4.1933), Department of Commerce, Bureau of Foreign & Domestic Commerce, Washington.
3. https://en.m.wikipedia.org/wiki/KLM
4.
https://www.klm.com/travel/nl_en/corporate/history.htm
5. https://en.m.wikipedia.org/wiki/1936_KLM_Croydon_accident
6. https://www.uivermemorial.org.au/race.html
7. https://www.scmp.com/magazines/post-magazine/travel/article/3013213/klm-worlds-oldest-airline-has-come-long-way-100
8. http://www.memori-kedah.com/index.php


P.S: Artikel ini dirujuk dalam penulisan Aiman Nazirmuddin bertajuk 'Sejarah Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim Yang Digelapkan British?' bertarikh 6.12.2019. Sememangnya rekod-rekod lama ada mencatat landasan (airstrip) dan penerbangan antarabangsa di Alor Setar. Tetapi ianya adalah dari iklan & KLM 'sponsored articles' dalam akhbar tempatan sekitar 1930an. Boleh dirumuskan fokus British ketika itu hanya pada Sungai Besi sebagai lapangan terbang Tanah Melayu pertama yang menerima pesawat komersial. Kesannya kita boleh lihat kini dalam laman wikipedia BM dan Inggeris tentang Lapangan Terbang Alor Setar yang langsung tidak menceritakan sejarahnya. Juga boleh dilihat laman web tidak rasmi KLIA2 yang hanya mengiktiraf pendaratan pesawat British iaitu penerbangan Imperial Airways pada tahun 1933 sebagai pendaratan pesawat komersial pertama di Tanah Melayu.  Walhal, Belanda melalui KLM telah mendarat lebih awal di Alor Setar iaitu pada tahun 1924, dan mempunyai penerbangan berjadual ke situ semenjak tahun 1928. Juga menurut sumber USA sudah ada bangunan lapangan terbang dibina di Alor Setar sekitar tahun 1931.



Ekspedisi Wilkes (1838-1842)

Kapal USS Vincennes, yang memuatkan 190 anak kapal dan merupakan kapal utama Ekspedisi Wilkes. Singapura adalah destinasi terakhir yang dila...