Popular Posts

Sunday, 10 November 2019

Perkhidmatan Lanca di Negeri-Negeri Selat

Gambar 1 - Lanca di Pulau Pinang, sekitar 1900. Sumber: Leiden University Library, Amsterdam.

Sebelum beca roda tiga diperkenalkan di Singapura pada tahun 1914, wujud lanca iaitu kenderaan penumpang dua roda yang ditarik manusia. Lanca dikatakan mula-mula dicipta di Jepun pada tahun 1869 oleh Izumi Yosuke, Suzuki Tokujiro dan Takayama Kosuke. Perkara ini berlaku selepas Kesyogunan Tokugawa / Edo menarik balik larangan terhadap kenderaan beroda. Pembatalan larangan kuno dan penerimaan masuk idea-idea moden merupakan titik permulaan revolusi industri di Jepun.

Lanca mula diekspot oleh Jepun semasa pemerintahan Meiji, dan mula diperkenalkan di Negeri-Negeri Selat sekitar 1880-an. Perkataan Inggeris "Rickshaw" juga dikatakan berasal dari perkataan Jepun "jinrikisha" (人力車, 人 jin = human, 力 riki = power or force, 車 sha = vehicle), yang bermaksud "human-powered vehicle".

Gambar lanca (rickshaw / jinrikisha) model buatan Jepun ini diambil sekitar tahun 1900 di Pulau Pinang (Gambar 1). Model lanca di Jepun boleh dilihat dalam Gambar 2. Lanca dalam bentuk asal dan moden masih lagi digunakan di Jepun sebagai tarikan pelancong (Gambar 3).

Gambar 2
Gambar 3

Selain dari industri perlombongan dan perladangan, perkhidmatan lanca juga memberi peluang pekerjaan bagi buruh-buruh Cina yang tiba di Negeri-Negeri Selat. Perkhidmatan lanca juga telah diperkenalkan ke Negeri-Negeri Melayu Bersekutu sekitar awal 1900. Lihat perkhidmatan lanca yang ditawarkan sekitar Station Road, Ipoh sekitar 1910 (Gambar 4 & 5).

Gambar 4 - 'Station Road te Ipoh' (Station Road at Ipoh) (c. 1910) dirakam oleh Kleingrothe, C.J. (Kleingrothe, Carl Josef, 1864-1925) Sumber: Leiden University Library, Amsterdam.

Gambar 5 - 'Station Road te Ipoh' (Station Road at Ipoh) (c. 1910) dirakam oleh Kleingrothe, C.J. (Kleingrothe, Carl Josef, 1864-1925) Sumber: Leiden University Library, Amsterdam.

Dari segi status sosial, ketika itu pekerjaan menarik lanca & beca dianggap antara pekerjaan paling bawah. Kesukaran hidup penarik beca juga menjadi inspirasi P. Ramlee untuk mempamirkan perbezaan darjat yang wujud dalam masyarakat tempatan melalui filem pertama arahannya yang bertajuk "Penarik Becha" (1955/56) (Gambar 6).

Gambar 6 - Filem Penarik Becha (1955/56) Arahan P. Ramlee


Rujukan: https://en.m.wikipedia.org/wiki/Rickshaw



Saturday, 9 November 2019

Meriam Kesultanan Melayu Singora Di London

Meriam abad ke-17 ini telah beberapa kali berpindah tangan sebagai rampasan perang. Pada mulanya, dari Kesultanan Melayu Singora ke tangan Siam sekitar tahun 1680; dari Siam ke tangan Burma pada tahun 1767; dan akhirnya sekali dari Burma ke tangan British pada tahun 1887. Ianya kini berada di perkarangan pusat penjagaan dan rumah orang-orang tua tentera British iaitu Royal Hospital Chelsea di London. (Gambar 1).

Gambar 1


Dari kajian dan terjemahan C.O. Blagden kita dapat kenalpasti keseluruhan catatan di permukaan meriam Singora ini (Gambar 2, 3 & 4).

Gambar 2

Gambar 3

Gambar 4

Secara ringkas, seperti catatan pada meriam-meriam zaman pertengahan Parsi dan Turki Uthmaniyyah, ianya mencatat ayat-ayat memuji Allah SWT, mengingkatkan kematian dan hari pembalasan, kemuliaan dan pahala berjihad, nama dan cap mohor pemerintah berdaulat yang memiliki meriam tersebut, dan juga tarikh ianya diperbuat.

Walaubagaimanapun, seperti yang dicatat dalam penulisannya, ketika terjemahan dibuat pada tahun 1941, Blagden tidak dapat kepastian tentang siapakah Sultan Sulaiman Shah yang dicatat sebagai pemilik meriam tersebut.

Kini kita boleh dapat kepastian yang agak sahih bahawa pemilik asal meriam tembaga tahun 1623  ini adalah Sultan Sulaiman Shah yang memerintah Singora dari 1620 hingga 1668. Selain dari penerangan orang-orang tempatan, terdapat juga sebuah lukisan yang menggambarkan wajah Sultan Sulaiman Shah di makam beliau yang berada di wilayah Songkhla di selatan Thailand (Gambar 5).

Gambar 5

Juga dengan terjemahan yang terdapat di meriam ini yang merujuk kepada Imam Ahmad ibn Hanbal ("Hadzrat Ahmad" / "Lord Ahmad"), dapat dipastikan bahawa Sultan Sulaiman Shah dan keluarganya yang berasal dari Parsi adalah pengikut Mahzab Hambali dan bukannya Syiah seperti yang difitnah selama ini.


Rujukan:

1. Journal of the Malayan Branch of the Royal Asiatic Society, Vol XIX, Part 1, 1941, p. 122-124

2. https://en.m.wikipedia.org/wiki/Sultanate_of_Singora

3. https://en.m.wikipedia.org/wiki/Royal_Hospital_Chelsea



Friday, 8 November 2019

Skuner Baginda Omar

Skuner rekabentuk Eropah milik Sultan Omar ibni al-Marhum Sultan Ahmad Muazzam Shah I atau Baginda Omar (1806-1876) dibina di Kuala Terengganu sekitar 1840an oleh beberapa orang tentera Perancis yang diketuai Martin Perrot. Seawal 1850an, tukang-tukang perahu Melayu berjaya menghasilkan perahu besar mirip skuner DiRaja Terengganu tersebut.

Gambar 1

Walaupun kita tiada rekod tentang rekabentuk dan dimensi skuner Baginda Omar, contoh terdekat mungkin boleh dilihat dalam lakaran Warington Smyth ini yang dihasilkan sekitar tahun 1906 (Gambar 1), skuner-skuner bentuk Eropah yang berlabuh di Singapura pada tahun 1938 (Gambar 2), dan lukisan skuner oleh pelukis2 Eropah (Gambar 3).



Gambar 2

Gambar 3


Skuner Melayu yang mencontohi skuner Baginda Omar ini dikenali sebagai Perahu Pinas, Pinis atau Pinisi yang berasal dari perkataan Perancis "pinasse" yang bermaksud bot atau kapal ringan. Jika ukiran tradisi diletak dibahagian hadapan kapal, ianya dipanggil Perahu Pinis Gobel. Sekiranya tiada ukiran tersebut, ianya dipanggil Perahu Pinis Dogol.


Selain dari kulit kapal (hull) berbentuk skuner Eropah dengan bahagian belakang yang bulat, ianya juga mencontohi sistem layar "gaff schooner" yang lengkap dengan "main sail", "top-sail", "fore staysail", "inner jib" & "outer jib". Lama kelamaan, struktur layar skuner Eropah ini ditukar kepada layar tikar struktur "batten sail" atau "junk rig" yang merupakan layar tradisi perahu-perahu Terengganu kerana ianya lebih murah, praktikal dan mudah dikendali (Lihat Gambar 4).

Gambar 4 - 'Perahu Besar Pinis Dogol' oleh Taib Aur (2017). Lukisan ini menggambarkan sebuah Perahu Besar Muzium Terengganu (Sabar T.82) yang belayar keluar dari muara Kuala Terengganu ke arah Laut Cina Selatan.



Ekspedisi Wilkes (1838-1842)

Kapal USS Vincennes, yang memuatkan 190 anak kapal dan merupakan kapal utama Ekspedisi Wilkes. Singapura adalah destinasi terakhir yang dila...