Popular Posts

Sunday 10 November 2019

Perkhidmatan Lanca di Negeri-Negeri Selat

Gambar 1 - Lanca di Pulau Pinang, sekitar 1900. Sumber: Leiden University Library, Amsterdam.

Sebelum beca roda tiga diperkenalkan di Singapura pada tahun 1914, wujud lanca iaitu kenderaan penumpang dua roda yang ditarik manusia. Lanca dikatakan mula-mula dicipta di Jepun pada tahun 1869 oleh Izumi Yosuke, Suzuki Tokujiro dan Takayama Kosuke. Perkara ini berlaku selepas Kesyogunan Tokugawa / Edo menarik balik larangan terhadap kenderaan beroda. Pembatalan larangan kuno dan penerimaan masuk idea-idea moden merupakan titik permulaan revolusi industri di Jepun.

Lanca mula diekspot oleh Jepun semasa pemerintahan Meiji, dan mula diperkenalkan di Negeri-Negeri Selat sekitar 1880-an. Perkataan Inggeris "Rickshaw" juga dikatakan berasal dari perkataan Jepun "jinrikisha" (人力車, 人 jin = human, 力 riki = power or force, 車 sha = vehicle), yang bermaksud "human-powered vehicle".

Gambar lanca (rickshaw / jinrikisha) model buatan Jepun ini diambil sekitar tahun 1900 di Pulau Pinang (Gambar 1). Model lanca di Jepun boleh dilihat dalam Gambar 2. Lanca dalam bentuk asal dan moden masih lagi digunakan di Jepun sebagai tarikan pelancong (Gambar 3).

Gambar 2
Gambar 3

Selain dari industri perlombongan dan perladangan, perkhidmatan lanca juga memberi peluang pekerjaan bagi buruh-buruh Cina yang tiba di Negeri-Negeri Selat. Perkhidmatan lanca juga telah diperkenalkan ke Negeri-Negeri Melayu Bersekutu sekitar awal 1900. Lihat perkhidmatan lanca yang ditawarkan sekitar Station Road, Ipoh sekitar 1910 (Gambar 4 & 5).

Gambar 4 - 'Station Road te Ipoh' (Station Road at Ipoh) (c. 1910) dirakam oleh Kleingrothe, C.J. (Kleingrothe, Carl Josef, 1864-1925) Sumber: Leiden University Library, Amsterdam.

Gambar 5 - 'Station Road te Ipoh' (Station Road at Ipoh) (c. 1910) dirakam oleh Kleingrothe, C.J. (Kleingrothe, Carl Josef, 1864-1925) Sumber: Leiden University Library, Amsterdam.

Dari segi status sosial, ketika itu pekerjaan menarik lanca & beca dianggap antara pekerjaan paling bawah. Kesukaran hidup penarik beca juga menjadi inspirasi P. Ramlee untuk mempamirkan perbezaan darjat yang wujud dalam masyarakat tempatan melalui filem pertama arahannya yang bertajuk "Penarik Becha" (1955/56) (Gambar 6).

Gambar 6 - Filem Penarik Becha (1955/56) Arahan P. Ramlee


Rujukan: https://en.m.wikipedia.org/wiki/Rickshaw



No comments:

Post a Comment

Ekspedisi Wilkes (1838-1842)

Kapal USS Vincennes, yang memuatkan 190 anak kapal dan merupakan kapal utama Ekspedisi Wilkes. Singapura adalah destinasi terakhir yang dila...