Popular Posts

Monday 11 November 2019

Hadiah Raja Portugal Kepada Pope Leo X

Pada tahun 1962, pekerja-pekerja penyelenggaraan menjumpai beberapa tulang besar yang mereka sangkakan tulang dinosaur semasa menggali kawasan lapang di Belvedere Courtyard, Vatican City (Gambar 1).

Gambar 1

Apabila dikaji oleh pihak berkuasa Vatican, didapati ianya adalah tulang-tulang gajah dan bukannya fosil dinosaur. Setelah membuat kajian lanjut, Silvio Bedin (1997) berjaya mengenalpasti asal usul gajah tersebut (buku beliau di Gambar 2). Ia dikatakan berasal dari India dan merupakan hadiah Raja Manuel I (1469-1521) kepada Pope Leo X (1475-1521).

Gambar 2

Gajah albino ini diberi nama Hanno dan berumur 4 tahun ketika tiba di Rome pada 1514. Ianya telah menjadi binatang kesayangan Pope Leo X dan menjadi inspirasi kepada lukisan, mural, ukiran dan sajak di Itali (Gambar 3-6).

Gambar 3

Gambar 4

Gambar 5

Gambar 6

Atas arahan Pope Leo X, Hanno menyertai perarakan dan sentiasa dibawa ke upacara-upacara penting. Ini telah mendatangkan kontroversi apabila Pope Leo X tersebut dikritik kerana terlalu mengagung-agungkan Hanno. Apabila Hanno mati pada tahun 1516, Pope Leo X yang berada disisinya mengarahkan supaya ia ditanam di laman Belvedere.

Ada pengkaji yang berpendapat bahawa kewujudan Hanno di Rome menjadi pemangkin kemarahan puak Protestan untuk mengusulkan reformasi dalam membantah perbuatan Pope Leo X dan juga gereja Katolik yang ketika itu dikatakan korup, mementingkan kebendaan, dan sifat berlebih-lebihan.

Sekiranya dirujuk silang dengan catatan-catatan Portugis semasa penjajahan Melaka, gajah putih ini sebenarnya berasal dari Siam dan bukannya India. Sejurus mengalahkan Melaka, Alfonso de Albuquerque telah menghantar Duarte Fernandes yang fasih berbahasa Melayu ke Ayutthaya pada Julai 1511 untuk menjalin hubungan diplomatik dan perdagangan. Kerajaan Ayutthaya yang bermusuh dengan Kesultanan Melaka bersetuju menjadi sekutu Portugis. Atas tanda persahabatan, Raja Ramathibodi II telah menghadiahkan cincin delima, pedang dan mahkota emas, dan juga seekor gajah putih kepada Raja Manuel I.

Saya percaya gajah putih bersama hadiah-hadiah dari Raja Ramathibodi II ini tiba di Melaka sekitar penghujung tahun 1511 dan kemudian dimuatkan ke dalam kapal-kapal konvoi Portugis untuk pulang ke India pada 20.1.1512. Semasa insiden ribut, kapal Flor de la Mar telah tersadai di "boixos de capacia" dan pecah dipukul ombak pada 26.1.1512. Cincin delima, pedang dan mahkota emas Raja Ayutthaya dapat diselamatkan dari Flor de la Mar. Manakala Hanno yang mungkin telah dimuatkan dalam kapal Trindade atau Enxobregas telah selamat sampai di Cochin, India, pada 28.2.1512. Hadiah-hadiah Raja Ayutthaya bersama harta-harta yang dijarah dari Melaka kemudian tiba di Portugal.  Raja Portugal iaitu Raja Manuel I kemudian menghantar Hanno bersama beberapa barangan lain dan sepucuk surat (Gambar 7) ke Rome pada tahun 1514. Perutusan tersebut adalah sebagai hadiah kepada Pope Leo X dan atas tanda terima kasih kepada gereja Katolik yang menyokong usaha Portugal dalam meluaskan jajahan dan penyebaran agama Kristian.

Gambar 7

Istilah atau perumpamaan Inggeris "White elephant" dan "White elephant gift" mungkin berasal dari gajah putih Ayutthaya ini dan khususnya Hanno. Gajah putih sukar dijumpai, dan amat mahal untuk dijaga kerana memerlukan perhatian dan makanan khas. Ianya juga mendatangkan masalah kepada penerimanya kerana tidak mendatangkan apa-apa hasil kerana tidak boleh membuat kerja-kerja berat. Terhadap Pope Leo X, ianya menjadi lambang berlebih-lebihan & korupsi gereja Katlolik, sumber kritikan umum, dan kemudian pemangkin reformasi dan pepecahan dalam agama Kristian.

Rujukan:

1. https://www.atlasobscura.com/articles/a-16th-century-pope-buried-his-pet-elephant-under-the-vatican

2. https://en.m.wikipedia.org/wiki/Capture_of_Malacca_(1511)

3. https://en.m.wikipedia.org/wiki/Hanno_(elephant)

4. https://en.m.wikipedia.org/wiki/White_elephant

\

No comments:

Post a Comment

Ekspedisi Wilkes (1838-1842)

Kapal USS Vincennes, yang memuatkan 190 anak kapal dan merupakan kapal utama Ekspedisi Wilkes. Singapura adalah destinasi terakhir yang dila...