Popular Posts

Wednesday, 6 November 2019

Hubungan Diplomatik Awal Brunei - Cina

Seperti kebanyakan kerajaan lama di Nusantara, orang-orang Bo-ni (Brunei) juga telah berdagang dengan Cina semenjak Dinasti Han (206BC-220AD).  Utusan rasmi Bo-ni ke Cina pula direkod wujud semenjak zaman Dinasti Liang (502-557). Catatan utusan terawal adalah pada tahun 517, dan diikuti oleh utusan pada tahun 521 dan 631.

Semasa zaman Dinasti Ming, Sultan Brunei pertama iaitu Sultan Mohammed Shah (r. 1363-1402) (Awang Alak Betatar) [Catatan Ming Shi-lu (MSL): 馬合謨沙 /Ma-he-mo-sha] telah menghantar utusan melalui Menteri beliau yang bernama Ismail (MSL: 亦思麻逸 / Yi-si-ma-yi) pada 22.9.1371. Ini diikuti dengan satu lagi utusan pada 1394.

Sultan Brunei berikutnya iaitu Sultan Abdul Majid Hasan (MSL:  麻那惹加那乃 / Ma-na-re-jia-na-nai) & (MSL: 麻那惹加那Ma-na-re-jia-na) (r. 1402-1408) telah menghantar utusan melalui Sang Arya (MSL:  生阿烈伯成 / Sheng A-lie Bo-cheng) pada 5.12.1405 dan 6.2.1406.

Sultan Abdul Majid Hasan sendiri telah berangkat ke Cina pada 1408 ketika berumur 28 tahun. Malangnya, baginda telah mangkat di Nanjing pada 19.10.1408. Untuk menghormati baginda, Maharaja Yongle telah mengarahkan majlis mengadap di Istana Ming ditangguh selama 3 hari untuk berkabung dan juga telah mengarahkan pemakaman dibuat menurut istiadat Raja. Maharaja Yongle telah menganugerahkan darjah kehormat gelaran "Gong-shun" (Respectful and According) secara anumerta.

Maharaja Yongle juga memerintahkan Putera Awang (MSL: 遐旺 / Xia-wang) yang ketika itu berumur 4 tahun untuk menggantikan ayahandanya sebagai Sultan Brunei. Putera Awang kemudian telah pulang diiringi bondanya, bapa saudaranya, Shi-li Nan-na-na-nuo (施里難那那喏), dan 150 orang delegasi Brunei.

Rekod MSL berkenaan utusan ufti Brunei ke Cina semasa pemerintahan Putera Awang adalah seperti berikut:

  1. 13.10.1410 - mengantar bapa saudaranya, Bendahara (MSL: 蔓的里哈盧 / Man-da-li-ha-lu) sebagai ketua utusan ke Cina;
  2. 16.10.1411 - menghantar Ban Yang-la (板羊覽) sebagai ketua utusan ke Cina;
  3. 30.10.1412 - Putera Awang telah ke Cina ketika berusia 8 tahun;
  4. 15.3.1413 - Putera Awang telah ke Cina ketika berusia 9 tahun;
  5. 31.3.1415 - menghantar Sheng A-lie Wei-nuo-ye-sha-ban ( 生阿烈微喏耶沙扮 ) sebagai ketua utusan ke Cina;
  6. 6.12.1417 - menghantar nenda saudaranya, Mahmud (MSL: 麻木 / Ma-mu) sebagai ketua utusan ke Cina;
  7. 11.1.1426 - menghantar bapa saudaranya Sha-na-wan-nuo-ye (沙那萬喏耶) sebagai wakil utusan ke Cina.

Utusan Brunei terputus dalam rekod MSL dengan utusan terakhir yang diwakil Sha-na-wan-nuo-ye pada 1426. Antara hadiah yang diberikan oleh Maharaja Ming iaitu 'Kucing Emas' menjadi alat kebesaran Kesultanan Brunei sehingga kini. (Lihat Gambar 1).

Gambar 1

Walaupun Brunei diperintah oleh nenda saudara Putera Awang iaitu Sultan Ahmad (Pateh Berbai) (r. 1408-1425), dan kemudian oleh menantu Sultan Ahmad iaitu Sultan Sharif Ali (r. 1425-1432), Maharaja Ming Yongle, Hongxi dan Xuande hanya mengiktiraf Putera Awang sebagai pemerintah Brunei di mana nama Putera Awang disebut sebagai "Xia-Wang the King of Bo-ni" didalam rekod MSL.

Jika dikaji sumber MSL dan dibanding dengan sejarah Brunei, nama Sultan Abdul Majid Hasan dan juga nama Putera Awang tidak wujud di dalam Salasilah Raja-Raja Brunei yang tercatat di Batu Tarsilah yang diukir oleh Khatib Haji Abdul Latif sekitar 1795-1807. (Lihat Gambar 2)

Gambar 2

Pada tahun 1958, dua batu bersurat telah dijumpai di Bukit Shizi, Andemen, Nanjing. Ianya mengandungi catatan bahawa kawasan tersebut adalah adalah Makam Raja Bo-ni bernama Ma-na-re-jia-na iaitu Makam Sultan Abdul Majid Hasan.

Kompleks Makam yang terletak dikawasan seluas 17 hektar tersebut telah dibaikpulih (Lihat gambar 3-5). Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, iaitu kakanda Sultan Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, telah membuat lawatan rasmi ke Makam tersebut pada tahun 2006 & 2008 sebagai tanda pengiktirafan kewujudan penemuan leluhur sebenar yang telah dibuktikan oleh MSL dan catatan pada batu bersurat yang dijumpai.

Gambar 3


Gambar 4

Gambar 5

Rujukan:

1. The Ming Shi-lu (veritable records of the Ming Dynasty) as a source for Southeast Asian history, 14th to 17th centuries, Geoffrey Wade (1994).

2. http://www.adat-istiadat.gov.bn/SitePages/Alat-Alat%20Kebesaran%20Diraja.aspx

3. http://virtual-bruneidarussalam.blogspot.com/2017/08/batu-tarsilah-brunei.html

4. http://bruneiresources.blogspot.com/2016/08/bruneis-sultan-abdul-majid-and-chinese.html



Tuesday, 5 November 2019

Syair Melaka oleh Camões

Luís de Camões (1524-1580) (Gambar 1) adalah seorang penulis dan dianggap penyair terulung Portugis. Semasa kecil beliau pernah mengikut bapanya ke India dan kemudian menyertai tentera dan berkhidmat di jajahan Portugis dari Afrika hingga ke Macau.

Gambar 1

Dalam karyanya bertajuk 'Os Lusíadas' (The Lusiads), 1572 (Gambar 2) beliau menceritakan sebuah epik tentang dewa Tethys (mitologi Yunani) yang telah meramalkan perjalanan Vasco da Gama ke Melaka.

Gambar 2
Gambar 3

Karya agung Portugis ini yang juga dikenali sebagai 'The Discovery of India: An Epic Poem' dirujuk dalam buku 'Comentários de Afonso de Albuquerque' versi terjemahan Walter de Gray Birch (1875) (Gambar 3) di mana ramalan dewa Tethys tentang lokasi Melaka diterjemahkan ke dalam Bahasa Inggeris seperti berikut:-

"MALACCA, see before where ye shall pitch
Your great Emporium, and your Magazins :
The Rendezvouz of all that Ocean round
For Merchandizes rich that there abound.
"From this ('tis said) the Waves' impetuous course,
Breaking a passage through, from Main to Main,
SAMATRA's noble Isle of old did force,
Which then a Neck of Land therewith did chain :
That this was CHERSONESE till that divorce,
And from the wealthy mines, that there remain,
"But at that Point doth CINGAPUR appear :
Where the pincht Streight leaves Ships no room to play.
Heer the Coast, winding to the Northerne Beare,
Faces the fair Aurora all the way.
See PAN, PATANE (ancient Realms that were),
And long SYAN, which These, and more, obey!
The copious River of MENAM behold,
And the great Lake Chiamay from whence 'tis roll'd!"

Apa yang boleh dipelajari di sini ialah teks primer Portugis merujuk silang syair-syair, hikayat fantastik, mitos dan legenda yang ditokok tambah dalam menceritakan sejarah mereka. Jadi tidak salah sekiranya karya-karya seperti Sulalatus Salatin dan Hikayat Hang Tuah dirujuk silang dalam konteks dan cara yang sama bagi mengkaji sejarah Melayu.

Rujukan:

1. Comentários de Afonso de Albuquerque', Bras de Albuquerque (1557), Walter de Gray Birch (1875)

2. The Lusiad: Or, the Discovery of India: An Epic Poem: Luis de Camões (1572, 1778)

3. https://en.m.wikipedia.org/wiki/Lu%C3%ADs_de_Cam%C3%B5es

4. https://en.m.wikipedia.org/wiki/Os_Lus%C3%ADadas



Monday, 4 November 2019

Peranan Pelaut Melayu Dalam Tamadun Cina

Paul Johnstone dalam 'The Seacraft of Prehistory' (1980), mencatatkan bahawa pada kurun ke-3 SM, orang-orang Cina mula belajar membuat layar jenis "batten sail" dari pelaut-pelaut Melayu (K'un-lun po). Layar tikar anyaman diperkukuh buluh ini kemudian menjadi sinonim dengan rekabentuk layar bagi jong-jong Cina. Menurut Johnstone lagi, orang-orang Cina mula mempunyai kapal-kapal besar untuk mengharungi laut dalam sekitar kurun ke-10.

'Perahu Besar Pinis Dogol' oleh Taib Aur (2017). Lukisan ini menggambarkan sebuah Perahu Besar Muzium Terengganu (Sabar T.82) yang belayar keluar dari muara Kuala Terengganu ke arah Laut Cina Selatan.

M. Klaproth dalam penulisannya yang bertajuk 'On The Names of China'  (dalam Asiatic Journal, Vol XXIII, 1827), merumuskan bahawa perkataan "Cina" dan "China" itu sendiri berasal dari panggilan dan gelaran orang Melayu terhadap orang-orang dinasti Tsin (Qin) ( "چين" ) dibawah pemerintahan Maharaja Tsin-che-hwang-te yang dikatakan mula berdagang dengan pelaut-pelaut Melayu sekitar kurun ke-3 SM. Lihat catatan M. Klaproth:


Malah menurut Wei Djao dalam 'Being Chinese - Voices from the Diaspora' (2003), kewujudan cengkerang kura-kura & tulang tapir dari Semenanjung Tanah Melayu yang dijumpai di makam Maharaja Wuding zaman dinasti Shang (1328-1263 SM) menunjukkan hubungan pelaut-pelaut Melayu dengan penduduk pesisir di Cina berlaku pada era yang lebih awal lagi.

Menurut Sarah Zhang dalam artikel 'Why Mandarin does not come from Chinese', The Atlantic, (2019), perkataan "Mandarin" pula berasal dari penggunaan perkataan "menteri" oleh pelaut-pelaut Melayu yang bermaksud pentadbir atau penasihat. Perkataan tersebut berasal dari perkataan Sanskrit "मन्त्रि" ("mantrī") yang digunapakai orang Melayu bermula kurun ke-7.

Gelaran-gelaran oleh pelaut Melayu ini kemudian digunakan penjajah dari Semenanjung Iberia yang mula menjelajah Asia Timur pada kurun ke-16; iaitu pada waktu yang sama mereka menakluk Melaka. Pelayar Portugis khususnya menggunakan pelaut-pelaut dari Melaka sebagai jurupandu kerana pelaut-pelaut ini mahir tentang selok belok pelayaran, cara navigasi cakerawala, cara mengelak karang, mengesan ribut, daratan, dan mengenalpasti lokasi pelabuhan-pelabuhan berpandukan bentuk mukabumi. Selain dari membantu navigasi, pelaut-pelaut Melayu juga dijadikan agen dan orang perantaraan semasa Portugis berdagang di Asia Timur.

Pada dasarnya, kata nama "Cina", "China" dan "Mandarin" adalah terdiri dari kategori nama luaran atau "exonym" iaitu asal usul nama yang diberi oleh orang luar.  Dengan itu, dari aspek sejarah, pelaut-pelaut Melayu sebagai pengaruh luar, telah banyak menyumbang kepada asas tamadun Cina itu sendiri. Ini termasuk ilmu pengetahuan pelayaran laut dalam, penamaan bangsa, jawatan pembesar, nama bahasa, dan nama negara. 

Ironinya, memandangkan perkataan dan gelaran ini telah diterima Eropah dan kemudiannya digunapakai secara universal di seluruh dunia, maka ianya tidak dianggap sebagai suatu yang datang dari orang-orang Melayu. Akan tetapi ia diklasifikasi sebagai suatu proses permodenan atau 'Westernisasi' yang tidak pula dianggap menjejaskan jati diri.

Rujukan:

1.   M. Klaproth, 'On The Names of China',  Asiatic Journal, Vol XXIII, January-June 1827, pp. 815-819.

2. Johnstone, Paul (1980), 'The Seacraft of Prehistory'. Cambridge: Harvard University Press. pp. 93–94.

3. Djao, Wei, 'Being Chinese - Voices from the Diaspora', The University of Arizona Press, Tucson, 2003.

4. Zhang, Sarah. 'Why Mandarin does not come from Chinese', The Atlantic, 4.1.2019. https://www.theatlantic.com/science/archive/2019/01/where-does-mandarin-come/579073/


Ekspedisi Wilkes (1838-1842)

Kapal USS Vincennes, yang memuatkan 190 anak kapal dan merupakan kapal utama Ekspedisi Wilkes. Singapura adalah destinasi terakhir yang dila...