Popular Posts

Showing posts with label Pelaut Melayu. Show all posts
Showing posts with label Pelaut Melayu. Show all posts

Monday, 4 November 2019

Peranan Pelaut Melayu Dalam Tamadun Cina

Paul Johnstone dalam 'The Seacraft of Prehistory' (1980), mencatatkan bahawa pada kurun ke-3 SM, orang-orang Cina mula belajar membuat layar jenis "batten sail" dari pelaut-pelaut Melayu (K'un-lun po). Layar tikar anyaman diperkukuh buluh ini kemudian menjadi sinonim dengan rekabentuk layar bagi jong-jong Cina. Menurut Johnstone lagi, orang-orang Cina mula mempunyai kapal-kapal besar untuk mengharungi laut dalam sekitar kurun ke-10.

'Perahu Besar Pinis Dogol' oleh Taib Aur (2017). Lukisan ini menggambarkan sebuah Perahu Besar Muzium Terengganu (Sabar T.82) yang belayar keluar dari muara Kuala Terengganu ke arah Laut Cina Selatan.

M. Klaproth dalam penulisannya yang bertajuk 'On The Names of China'  (dalam Asiatic Journal, Vol XXIII, 1827), merumuskan bahawa perkataan "Cina" dan "China" itu sendiri berasal dari panggilan dan gelaran orang Melayu terhadap orang-orang dinasti Tsin (Qin) ( "چين" ) dibawah pemerintahan Maharaja Tsin-che-hwang-te yang dikatakan mula berdagang dengan pelaut-pelaut Melayu sekitar kurun ke-3 SM. Lihat catatan M. Klaproth:


Malah menurut Wei Djao dalam 'Being Chinese - Voices from the Diaspora' (2003), kewujudan cengkerang kura-kura & tulang tapir dari Semenanjung Tanah Melayu yang dijumpai di makam Maharaja Wuding zaman dinasti Shang (1328-1263 SM) menunjukkan hubungan pelaut-pelaut Melayu dengan penduduk pesisir di Cina berlaku pada era yang lebih awal lagi.

Menurut Sarah Zhang dalam artikel 'Why Mandarin does not come from Chinese', The Atlantic, (2019), perkataan "Mandarin" pula berasal dari penggunaan perkataan "menteri" oleh pelaut-pelaut Melayu yang bermaksud pentadbir atau penasihat. Perkataan tersebut berasal dari perkataan Sanskrit "मन्त्रि" ("mantrī") yang digunapakai orang Melayu bermula kurun ke-7.

Gelaran-gelaran oleh pelaut Melayu ini kemudian digunakan penjajah dari Semenanjung Iberia yang mula menjelajah Asia Timur pada kurun ke-16; iaitu pada waktu yang sama mereka menakluk Melaka. Pelayar Portugis khususnya menggunakan pelaut-pelaut dari Melaka sebagai jurupandu kerana pelaut-pelaut ini mahir tentang selok belok pelayaran, cara navigasi cakerawala, cara mengelak karang, mengesan ribut, daratan, dan mengenalpasti lokasi pelabuhan-pelabuhan berpandukan bentuk mukabumi. Selain dari membantu navigasi, pelaut-pelaut Melayu juga dijadikan agen dan orang perantaraan semasa Portugis berdagang di Asia Timur.

Pada dasarnya, kata nama "Cina", "China" dan "Mandarin" adalah terdiri dari kategori nama luaran atau "exonym" iaitu asal usul nama yang diberi oleh orang luar.  Dengan itu, dari aspek sejarah, pelaut-pelaut Melayu sebagai pengaruh luar, telah banyak menyumbang kepada asas tamadun Cina itu sendiri. Ini termasuk ilmu pengetahuan pelayaran laut dalam, penamaan bangsa, jawatan pembesar, nama bahasa, dan nama negara. 

Ironinya, memandangkan perkataan dan gelaran ini telah diterima Eropah dan kemudiannya digunapakai secara universal di seluruh dunia, maka ianya tidak dianggap sebagai suatu yang datang dari orang-orang Melayu. Akan tetapi ia diklasifikasi sebagai suatu proses permodenan atau 'Westernisasi' yang tidak pula dianggap menjejaskan jati diri.

Rujukan:

1.   M. Klaproth, 'On The Names of China',  Asiatic Journal, Vol XXIII, January-June 1827, pp. 815-819.

2. Johnstone, Paul (1980), 'The Seacraft of Prehistory'. Cambridge: Harvard University Press. pp. 93–94.

3. Djao, Wei, 'Being Chinese - Voices from the Diaspora', The University of Arizona Press, Tucson, 2003.

4. Zhang, Sarah. 'Why Mandarin does not come from Chinese', The Atlantic, 4.1.2019. https://www.theatlantic.com/science/archive/2019/01/where-does-mandarin-come/579073/


Ekspedisi Wilkes (1838-1842)

Kapal USS Vincennes, yang memuatkan 190 anak kapal dan merupakan kapal utama Ekspedisi Wilkes. Singapura adalah destinasi terakhir yang dila...