Popular Posts

Wednesday, 31 August 2022

Malaya Merdeka 1957



Pada 8.2.1956, satu persidangan telah diadakan di London bagi memperoleh kemerdekaan bagi Tanah Melayu. Persidangan yang dikenali sebagai Persidangan Malaya Merdeka berakhir dengan upacara menandatangani perjanjian yang dihasilkan.  Perjanjian tersebut digelar Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu (yang juga dikenali sebagai Perjanjian London). 




Perjanjian ini ditandatangani di antara Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah (1903-1990), Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu bagi pihak kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dengan Alan Lennox-Boyd (1904-1983), Setiausaha Negara Tanah Jajahan British bagi pihak Kerajaan British.

Antara perkara penting yang dipersetujui di dalam perjanjian tersebut adalah tarikh kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu iaitu pada 31.8.1957, pengekalan institusi Raja Berperlembagaan, pembahagian kuasa antara kerajaan pusat dengan kerajaan negeri diteruskan, dan pelantikan sebuah suruhanjaya bebas untuk menggubal Perlembagaan. Turut dipersetujui adalah bahawa Parti Perikatan tidak akan mengambil alih perniagaan British atau kepentingannya di Tanah Melayu, di mana satu perjanjian dengan British akan ditandatangani bagi menjaga keselamatan Tanah Melayu dan juga menjaga kepentingan ekonomi British di Tanah Melayu.

Rombongan Merdeka ini selamat pulang ke tanah air pada 20.2.1956. Ini diikuti dengan satu perhimpunan besar-besaran di Padang Merdeka, Banda Hilir di Melaka. Ketika itu, Y.T.M Tunku Abdul Rahman mengisytiharkan tarikh kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu.



Susulan daripada itu juga pada 21.3.1956, sebuah suruhanjaya bebas yang dikenali sebagai Suruhanjaya Reid telah dibentuk untuk mengkaji dan menggubal Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu sebagai persediaan mencapai kemerdekaan.

Pada 5.8.1957 Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu ditandatangani di antara Raja-Raja Melayu dengan pihak Kerajaan British. Upacara menandatangani Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu tersebut telah diadakan di King’s House, Kuala Lumpur.





Perjanjian yang digelar 'Federation of Malaya Agreement 1957' ini ditandatangani di antara 8 Raja-Raja Melayu, Tunku Mahkota Johor, 5 pembesar dari Negeri Sembilan, dengan Pesuruhjaya Tinggi British ke Tanah Melayu iaitu Sir Donald MacGillivray. 

Perjanjian 1957 ini juga telah memansuhkan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948. Berdasarkan Artikel 3 Perjanjian 1957 ini, tarikh penguatkuasaan terma-terma di dalamnya adalah pada 31.8.1957 di mana pada tarikh itu berakhirlah segala naungan dan bidangkuasa Inggeris ke atas 9 Negeri-Negeri Melayu di bawah Persekutuan Tanah Melayu. Dengan termeterainya Perjanjian ini juga kuasa dan kedaulatan Kerajaan Inggeris ke atas Melaka dan Pulau Pinang turut berakhir.



Sumber: Arkib Negara Malaysia, National Film Development Corporation Malaysia (FINAS), British Movietone Pictures, & British Paramount News.



Wednesday, 6 July 2022

Misteri 'Tamil Bell' New Zealand

 

Gambar 1: Tamil Bell yang dijumpai di utara New Zealand.
Sumber: Museum of New Zealand Te Papa Tongarewa.

Pada tahun 1836, mubaligh bernama William Colenso telah menjumpai sebuah loceng yang di panggil ‘Tamil Bell’ yang ketika itu digunakan sebagai periuk merebus kentang oleh seorang wanita Maori di Whangarei, utara New Zealand. Dari segi dimensi, ianya adalah berukuran 13 cm x 9 cm, dan mempunyai ukiran yang dianggap suatu tulisan kuno.


Gambar 2: Gambar terawal 'Tamil Bell'
Sumber: Wikipedia.


Pada tahun 1870, seorang ahli etnografi bernama J. T. Thompson menghantar gambar loceng tersebut ke India. Dua bulan kemudian beliau mendapat jawapan dari Ceylon dan juga Pulau Pinang bahawa ianya adalah tulisan Tamil yang diterjemah sebagai "loceng kapal Mohoyiden Buks".  Mohoyiden / Mohideen /  'محيي الدین' (Muḥyī al-Dīn) adalah perkataan Arab yang membawa maksud 'yang menghidupkan agama'.



Gambar 3: Maklumbalas berkenaan Tamil Bell dari pihak India & Pulau Pinang.
Sumber: Wikipedia.


Terdapat pelbagai teori tentang asal usul loceng ini termasuk teori bahawa orang Tamil Muslim dari Ceylon telah tiba di New Zealand  500 tahun sebelum ia 'dijumpai' Captain Cook.  Ini adalah kerana tulisan yang tertera di atas loceng tersebut dikatakan era Pandya Akhir (abad ke-14). Ada yang mencadangkan kapal dhow Tamil Muslim adalah sebahagian dari armada Laksamana Cheng Ho di mana kapal yang membawanya telah hanyut dari Lautan Hindi dan tersadai di New Zealand (Gambar 4).  Ada yang menyatakan kemungkinan dibawa kapal Portugis kerana pelayarannya termasuk beberapa jajahan Portugis di India hingga ke pelabuhan Melaka dan kepulauan rempah di Nusantara.

Gambar 4: Hipotesis Brett Hilder (1975) bahawa Kapal yang membawa Tamil Bell telah hanyut sekitar Lautan Hindi dan kemudian mengikut arus dan terdampar di utara New Zealand.
Sumber: The Journal of the Polynesian Society.

Teori terkini adalah ianya diperbuat berdasar teknik acuan loceng admiralti Inggeris sekitar abad ke-18 (Gambar 5); dan merupakan bahagian atas (1/3) loceng kapal pedagang Arab-India (Marakkar/Maricar) sekitar Tamil Nadu dan Nagapattinam. Juga loceng-loceng yang sama bentuknya masih lagi dihasilkan di Tamil Nadu (Gambar 6).


Gambar 5: Loceng Kapal 'The London' yang diperbuat sekitar abad ke-18. Sumber: Worthpoint.com


Gambar 6: Pembuatan loceng yang masih dijalankan di Thanjavur, Tamil Nadu, India.
Sumber: Alamy.com


Sekiranya ini benar, maka satu lagi hipotesis yang boleh dikemukakan adalah ianya milik Cauder Mohideen (Kapitan Keling Pulau Pinang) (1759-1834) yang berdagang di pelabuhan-pelabuhan sekitar Semenanjung Koromandel hingga ke Semenanjung Tanah Melayu dari akhir abad ke-18 hingga awal abad ke-19. Selain dari nama pemiliknya yang sama, hipotesis ini mungkin dapat menjelaskan mengapa terdapat maklumbalas spesifik dari Pulau Pinang se awal tahun 1870-an lagi (Gambar 3).  

Seterusnya, menurut akhbar 'Singapore Chronicle and Commercial Register', pada tahun tahun 1828 terdapat kapal milik Cauder Mohideen bernama 'Nasar' yang bertolak dari Singapura ke Palembang pada 13.11.1828. Dari rekod maritim yang berusia hampir 200 tahun ini, adalah didapati bahawa syarikat beliau menggunakan kapal yang berdaftar dibawah bendera Belanda. Jadi kemungkinan besar perkataan 'Buks' yang tertera secara transliterasi pada Tamil Bell tersebut adalah perkataan Belanda yang bermaksud senapang (rifle) iaitu deskripsi kepada kapal bersenjata. Justeru itu, nama Inggeris bagi kapal Cauder Mohideen yang mungkin hanyut dibawa arus ke New Zealand tersebut adalah 'Mohideen Rifle' atau 'Mohideen Gun Ship'.

Kerana kekurangan bukti, kesemua teori adalah merupakan andaian dan spekulasi semata-mata; di mana kehadiran loceng tersebut di utara New Zealand masih menjadi misteri yang belum dapat dirungkai sehingga kini.

Sumber: 

  1. Brett Hilder (1975). The Story of the Tamil Bell. The Journal of the Polynesian Society. Vol. 84, No. 4 (December 1975), pp. 477-483.
  2. Jake Leigh-Howarth (2022). The Age-Old Mystery of New Zealand’s Tamil Bell. Ancient Origins. 13.3.2022. Diekatrak dari https://www.ancient-origins.net/artifacts-other-artifacts/tamil-bell-0016522
  3. Tamil Bell. Wikipedia. Diekstrak dari https://en.m.wikipedia.org/wiki/Tamil_bell
  4. The many mysteries behind a Tamil Bell. Historic Alleys. 9.5.2021. Diekstrak dari https://historicalleys.blogspot.com/2021/05/the-many-mysteries-behind-tamil-bell.html
  5. Singapore Chronicle and Commercial Register, 20.11.1828. National Library of Singapore.




Saturday, 25 June 2022

Kemunculan Mat Kilau



Dalam arkib di London terdapat sebuah klip filem yang menjadi perhatian kerajaan Inggeris ketika ia diterbitkan sekitar awal 1970. Ini adalah kerana pada mereka pahlawan Pahang yang bernama Mat Kilau tersebut telah mati dibunuh. Menurut laporan akhbar, Mat Kilau telah melawan ketika diburu Inggeris. Akibatnya beliau cedera parah di bahagian muka dan di kepalanya. Mat Kilau dilaporkan telah meninggal dunia pada sekitar Oktober 1895 semasa di dalam perjalanan ke hilir Kota Bharu disebabkan kehilangan banyak darah.

Akhbar 'Straits Budget' bertarikh 22.10.1895. Sumber: National Library of Singapore.


Klip filem bertarikh 2.1.1970 tersebut merakamkan seorang lelaki tua yang mengaku dirinya Mat Kilau. Sekiranya benar, maka Inggeris boleh membuka semula kes dan pertuduhan mereka terhadapnya. Ini adalah kerana kes jenayah tidak mempunyai tempoh luput dari segi hadmasa tindakan.  Walaupun kita sudah merdeka, pengaruh Inggeris melalui penjajahan dalaman (internal colonialism) masih berterusan selepas Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan, dan juga berterusan selepas penubuhan Malaysia sehingga sekitar Majlis Privi Inggeris (English Privy Council) dibubarkan pada tahun 1985. Sebagai negara Komanwel, proses ekstradiksi juga mudah dilakukan tanpa banyak halangan.



Dalam klip 1970 tersebut kelihatan lelaki tua yang bergelar Mat Siam tersebut dibawa anak dan cucunya untuk mandi embun. Turut dirakam di bahagian akhir klip tersebut adalah isterinya yang berumur 65 tahun bersama anak cucu Mat Siam.

Menurut sosok yang bergelar Mat Siam tersebut, dengan bantuan Sultan Kelantan iaitu Sultan Mansur (r.1890-1899) (disilap rujuk Mat Siam sebagai Sultan Muhammad Mulut Merah (1836–1886)), kematian beliau pada Oktober 1895 sebenarnya dipalsukan di mana beliau hidup sebagai pelarian di Siam selama 30 tahun. Sejurus kembali ke Pahang pada tahun 1926 beliau telah berikrar dihadapan Sultan Pahang iaitu Sultan Abdullah al-Mu’tassim Billah Shah ibni al-Marhum Sultan Ahmad al-Mu’azzam Shah (r. 1917-1932) bahawa untuk terus menetap di Pahang, beliau tidak akan mendedahkan identitinya.

Sultan Abdullah al-Mu’tassim Billah Shah ibni al-Marhum Sultan Ahmad al-Mu’azzam Shah (r. 1917-1932). Sumber: Wikipedia.


Pada tahun 1948, penyamaran beliau diteruskan dengan menggunakan nama lain pada kad pengenalannya. Nama yang digunakan adalah Muhammad Bin Ibrahim (K/P No. 2044778) tanpa memberikan tarikh lahir kepada Jabatan Pendaftaran.

Setelah mendedahkan namanya yang sebenar di Masjid kampung kelahirannya iaitu di Kampung Pulau Tawar, Jerantut, Pahang, identiti beliau kemudian disahkan sendiri oleh anak sulungnya bernama Inche Omar (78 tahun) yang mengenalpasti beberapa tanda lahir ayahnya tersebut. Rakan sepejuangan seperti Mat Saman bin Sulaiman (Mat Kelantan), Raja Ibrahim bin Tan Kechik (Pak Yim) dan Mek Munah binti Salleh turut mengesahkan identiti beliau.

Atas perkenan Sultan Pahang ketika itu iaitu Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin al-Mu’azzam Shah ibni al-Marhum Sultan Abdullah al-Mu’tassim Billah Shah (r.1932-1974), "Jawatankuasa Menyiasat Munchul-nya Mat Kilau" telah ditubuhkan pada 8.1.1970 untuk menyiasat dakwaan yang dibuat.

Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin al-Mu’azzam Shah ibni al-Marhum Sultan Abdullah al-Mu’tassim Billah Shah (r.1932-1974). Sumber: The National Archives, UK.


Pada 6.8.1970 setelah 20 kali perjumpaan dalam tempoh 7 bulan, Tan Sri Hj. Yahya Mohd Seth, Menteri Besar Pahang, mengisytiharkan bahawa Muhammad Bin Ibrahim @ Mat Siam tersebut adalah Mat Kilau, iaitu anak kepada Imam Rasu bin Shahrum (Tok Gajah) dan Mahda binti Tok Kaut Burau; iaitu pahlawan Melayu yang menentang campur tangan Inggeris di Pahang pada akhir abad ke-19.

Selepas pengakuan dibuat, Mat Kilau semakin lemah dan dilaporkan sukar untuk bertutur kata. Ada yang berpendapat bahawa ianya kesan dari pelanggaran sumpah yang dilafaz. Apa yang jelas kemunculannya seolah-olah dirancang supaya pihak Inggeris tidak dapat membuat apa-apa keputusan lanjut terhadap pengakuan yang dibuat. Ini adalah kerana  kesahihan pengakuan Mat Kilau dianggap tidak jelas disebabkan terdapat beberapa pengkaji sejarah yang musykil dengan kewujudan percanggahan perkara asas seperti tarikh kelahiran yang dituntut Mat Kilau (iaitu pada 1847 dan bukan 1866), identiti Sultan Kelantan yang membantunya, dan juga kenyataan bercanggah beberapa orang saksi. Mungkinkah ketidakpastian ini disengajakan Mat Kilau demi dijadikan pembelaan sekiranya terdapat permohonan ekstradiksi dari pihak Inggeris?

Bak kata pepatah 'harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama'. Mat Kilau telah meninggal dunia pada 16.8.1970 dalam usia 104 tahun, iaitu setelah 10 hari dakwaannya disahkan benar oleh Menteri Besar Pahang. Jenazah Mat Kilau telah disemadikan di Pulau Tawar yang kini dikenali sebagai Makam Pahlawan Mat Kilau. Mungkin itu yang dihasratkan oleh Mat Kilau di penghujung hayatnya; iaitu bukti yang memadai demi menuntut kembali nama dan identitinya, tetapi ditabur sedikit kemusykilan supaya tidak lagi diburu oleh musuhnya.

Sumber:-

  1. Capture of the Pahang Rebels. Straits Budget, 22 October 1895, Page 14. Diekstrak dari https://eresources.nlb.gov.sg/newspapers/Digitised/Article/straitsbudget18951022-1.2.111
  2. J. de Silva (1962). British Relations With Pahang, 1884-1895. JMBRAS, Vol. 35, No. 1 (197) (1962), pp. 1-50.
  3. Mat Kilau. Wikipedia. Diekstrak dari: https://ms.m.wikipedia.org/wiki/Mat_Kilau
  4. Reuters, London.





Ekspedisi Wilkes (1838-1842)

Kapal USS Vincennes, yang memuatkan 190 anak kapal dan merupakan kapal utama Ekspedisi Wilkes. Singapura adalah destinasi terakhir yang dila...