Pada 8.2.1956, satu persidangan telah diadakan di London bagi memperoleh kemerdekaan bagi Tanah Melayu. Persidangan yang dikenali sebagai Persidangan Malaya Merdeka berakhir dengan upacara menandatangani perjanjian yang dihasilkan. Perjanjian tersebut digelar Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu (yang juga dikenali sebagai Perjanjian London).
Perjanjian ini ditandatangani di antara Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah (1903-1990), Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu bagi pihak kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dengan Alan Lennox-Boyd (1904-1983), Setiausaha Negara Tanah Jajahan British bagi pihak Kerajaan British.
Antara perkara penting yang dipersetujui di dalam perjanjian tersebut adalah tarikh kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu iaitu pada 31.8.1957, pengekalan institusi Raja Berperlembagaan, pembahagian kuasa antara kerajaan pusat dengan kerajaan negeri diteruskan, dan pelantikan sebuah suruhanjaya bebas untuk menggubal Perlembagaan. Turut dipersetujui adalah bahawa Parti Perikatan tidak akan mengambil alih perniagaan British atau kepentingannya di Tanah Melayu, di mana satu perjanjian dengan British akan ditandatangani bagi menjaga keselamatan Tanah Melayu dan juga menjaga kepentingan ekonomi British di Tanah Melayu.
Rombongan Merdeka ini selamat pulang ke tanah air pada 20.2.1956. Ini diikuti dengan satu perhimpunan besar-besaran di Padang Merdeka, Banda Hilir di Melaka. Ketika itu, Y.T.M Tunku Abdul Rahman mengisytiharkan tarikh kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu.
Susulan daripada itu juga pada 21.3.1956, sebuah suruhanjaya bebas yang dikenali sebagai Suruhanjaya Reid telah dibentuk untuk mengkaji dan menggubal Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu sebagai persediaan mencapai kemerdekaan.
Perjanjian 1957 ini juga telah memansuhkan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948. Berdasarkan Artikel 3 Perjanjian 1957 ini, tarikh penguatkuasaan terma-terma di dalamnya adalah pada 31.8.1957 di mana pada tarikh itu berakhirlah segala naungan dan bidangkuasa Inggeris ke atas 9 Negeri-Negeri Melayu di bawah Persekutuan Tanah Melayu. Dengan termeterainya Perjanjian ini juga kuasa dan kedaulatan Kerajaan Inggeris ke atas Melaka dan Pulau Pinang turut berakhir.
Sumber: Arkib Negara Malaysia, National Film Development Corporation Malaysia (FINAS), British Movietone Pictures, & British Paramount News.
No comments:
Post a Comment