Popular Posts

Tuesday, 2 March 2021

Tembikar 'Johore' di Scotland

Gambar 1: Pinggan tembikar 'Johore' di Muzium Scotland.
Sumber: National Museum of Scotland.


Di National Museum of Scotland terdapat 6 biji pinggan tembikar abad ke-19 yang diberi nama 'Johore' (Gambar 1). Ia adalah sebahagian dari koleksi artifak yang membuktikan kemahiran dan keusahawanan lebih dari 40 syarikat Scotland dalam industri pembuatan tembikar dan seramik berkualiti tinggi dari abad ke-19 hingga ke-20. Hunterian Museum & Art Gallery di Glasgow, Scotland juga menyimpan koleksi tembikar-tembikar ini. Ianya diwasiatkan kepada muzium tersebut oleh Henry E Kelly, seorang pakar seramik, yang telah meninggal dunia pada tahun 2008.

Dari segi rekabentuk lukisan, corak pada pinggan 'Johore' ini memaparkan seni lukisan chinoiserie iaitu lukisan Barat yang menggunakan motif Cina. Terdapat lakaran bentuk kipas yang mengandungi pemandangan kapal dagang dan pagoda. Bahagian sisi sempadan pinggan memaparkan sampan, kapal-kapal dagang, pemandangan pelabuhan, rama-rama, dan burung-burung eksotik. Apa yang menarik, ianya lengkap dengan cop atau deskripsi dalam tulisan Jawi "جوهر" di setiap bahagian belakang pinggan corak bernama 'Johore' tersebut (Gambar 2).

Gambar 2: Pinggan tembikar 'Johore'  tahun 1887 yang berjaya dilelong dengan harga GBP813 (RM4,600). Di sebelah  belakang dicetak logo Glasgow (Bells) Pottery, catatan Rd. No. 83485, bersama deskripsi corak pinggan dalam tulisan Rumi & Jawi.
Sumber: Christie's International PLC.

Jika dirujuk silang aktiviti jual-beli barangan antik, pihak pelelong Christie's International PLC (Christie's) didapati pernah melelong beberapa biji pinggan 'Johore' ini sekitar tahun 2007 dengan harga antara GBP125 hingga GBP813 setiap satu.  Ianya adalah sebahagian dari koleksi 700 pinggan-pinggan tembikar milik Edwin Robertson yang diperoleh semasa beliau bertugas di Palembang, Sumatera sekitar tahun 1970-an. 

Minat pengkaji Scotland terhadap tembikar corak gabungan Asia Timur dan Nusantara ini mula timbul apabila John Fisher dari persatuan sejarah Motherwell menjumpai serpihan tembikar di Springburn, Glasgow sekitar Julai 1975 (Gambar 3). Dari kajian pihak Scottish Pottery Society, ianya dapat disahkan bahawa serpihan tembikar tersebut berkait dengan syarikat tembikar bernama J. & M.P. Bell & Company Limited ("Bells") yang memulakan industri pembuatan tembikar di Glasgow pada tahun 1841. Apa yang menarik, lukisan pada tembikar yang ditemui berbentuk seperti lukisan dari Cina; manakala nama coraknya ditulis dengan huruf Jawi. 

Gambar 3: Serpihan tembikar yang dijumpai pada tahun 1975 di Springburn, Glasgow, Scotland.
Sumber: Cruickshank (1978) & Scottish Pottery Society.


Pada mulanya pihak pengkaji menyangka ianya adalah tulisan aksara Burma. Setelah dirujuk silang senarai produk Bells, ianya adalah tulisan Jawi yang dicetak di belakang pinggan corak 'Woosung' (Wusong) iaitu corak yang dinamakan sempena nama sebuah bandar pelabuhan di utara Shanghai (Gambar 4).


Gambar 4: Pinggan tembikar 'Woosung'.
Di sebelah belakang dicetak logo Glasgow (Bells) Pottery, bersama deskripsi corak pinggan dalam tulisan Rumi & Jawi.
Sumber: National Museum of Scotland.


Melalui rekod pihak berkuasa tempatan, syarikat Bells tersebut dikenalpasti telah menjalankan perusahaan tembikar di Glasgow pada pertengahan abad ke-19. Lokasi kilang mereka yang digelar 'Glasgow Pottery' terletak berhampiran terusan Clyde (Gambar 5).

Gambar 5: Peta lokasi syarikat Bells
Sumber: Scottish Pottery Society


Kajian dan ekskavasi oleh Glasgow University Archaeological Research Department pada tahun 1996 membuktikan tapak kilang Bells atau Glasgow Pottery tersebut telah digunakan untuk membuat tembikar secara besar-besaran seawal tahun 1852 (lihat Gambar 6). 

Gambar 6: Peninggalan klin pemanasan tembikar di tapak ekskavasi Glasgow (Bells) Pottery, 1996.
Sumber: Glasgow University Archaeological Research Department.

Gambar-gambar arkib yang disimpan pihak muzium juga membuktikan aktiviti pembuatan tembikar ditempat yang sama. Lihat pekerja-pekerja syarikat Bells pada tahun 1901 dalam Gambar 7, 8 & 9.

Gambar 7: Pekerja "Pressing & Jolly Shop" di  J. & M.P. Bell & Company Limited pada tahun 1901.
Sumber: National Museum of Scotland. 

Gambar 8: Pelukis & penghias Tembikar di  J. & M.P. Bell & Company Limited pada tahun 1901
Sumber: National Museum of Scotland.


Gambar 9: Pekerja "Hollowware Pressers" di  J. & M.P. Bell & Company Limited pada tahun 1901.
Sumber: National Museum of Scotland.


Menurut National Museum of Scotland, syarikat Bells bersama pesaing-pesaing dari Scotland mula mengekspot produk tembikar mereka ke Asia Tenggara dan Asia Timur sekitar tahun 1850-an. Produk-produk awal Bells dan pesaing-pesaingnya ke Asia Tenggara dikatakan tidak mempunyai deskripsi dalam tulisan Jawi.

Kajian menunjukkan bahawa selepas kematian pewaris terakhir Bells pada tahun 1880, terdapat sekumpulan pedagang yang telah membeli kilang Bells dan mula menghasilkan pinggan-pinggan dengan teknik "transfer printing" terhadap tembikar "earthenware".  Memandangkan sepan digunakan untuk menekap dan memindah corak, pinggan-pinggan ini juga digelar "spongeware" dan "transferware". Imej-imej tekapan yang digunakan bersekitar imej pemandangan landskap, pagoda, rumah, kapal, haiwan, unggas dan buah-buahan. Manakala nama-nama corak yang diberikan adakah berkait dengan nama-nama pelabuhan dan negeri di Semenanjung Tanah Melayu, Borneo, Siam, Burma, Hindia Timur (Indonesia), Taiwan, Jepun dan Cina. 

Kajian Henry E Kelly (2001) mendapati syarikat Bells tersebut telah mendaftarkan corak 'Johore' dengan pendaftaran rekabentuk Rd. No. 83485 pada tahun 1887. Pendaftaran ini dibuat di United Kingdom Patent Office (UKPO) yang mewujudkan sistem pendaftaran rekabentuk, di mana nombor "Registered Design" (Rd.) yang didaftarkan akan dicetak dibahagian belakang setiap pinggan sebagai pengiktirafan ketulenan produk.

Menurut Henry E Kelly lagi berdasar rujuk-silang pendaftaran di UKPO, corak 'Johore' tersebut merupakan pendaftaran terawal syarikat Bells. Ianya memberi perlindungan hakcipta rekabentuk lukisan, penamaan corak, dan tulisan Jawi ("جوهر" ) selama 25 tahun. Melalui rekod perkapalan dan pengiklanan pula adalah didapati bahawa produk tembikar Bells tersebut telah diekspot ke Asia Tenggara dan Asia Timur melalui agen-agen di Pulau Pinang, Singapura, Batavia (Jakarta), Surabaya, Manila dan Cina. Kesemuanya terdapat 37 jenis corak yang berkaitan pelanggan-pelanggan Bells dari Asia Tenggara dan Asia Timur yang memesan produk tembikar buatan Scotland tersebut dari tahun 1887 sehingga 1906. 

Tulisan Jawi dipercayai digunakan syarikat Bells bermula dengan produk pinggan corak 'Johore' untuk memperoleh kelebihan daya saing melalui strategi penyetempatan produk. Strategi ekspot sebegini penting memandangkan terdapat banyak syarikat Eropah lain yang memasarkan produk tembikar seni chinoiserie mereka ke Asia Tenggara. Ketika itu syarikat Bells juga perlu bersaing dengan pembuat tembikar dari Siam, Kemboja, Vietnam dan Cina.

Selain dari 'Johore', corak dengan nama objek dan lokasi alam Melayu yang didaftarkan oleh syarikat Bells di UKPO termasuk 'Kembang Bintang' (Rd. No. 87393 tahun 1887), 'Burung Kupu' (Rd. No. 87394 tahun 1887), 'Malayesque (Rd. No. 88780 tahun 1887)', 'Tarlalu Bagus' (Rd. No. 102258 tahun 1888), 'Kalantan' (Rd. No. 112878 tahun 1888), 'Buah Nanas' (Rd. No. 115580 tahun 1888), 'Ikan China' (Rd. No. 1?8769 tahun 1889), 'Burong Supan' (Rd. No. 128553 tahun 1889), 'Buah Buah' (Rd. No. 131572 tahun 1889), 'Banda' (Rd. No. 131849 tahun 1889), 'Dhurian and Nanas' (Rd. No. 136522 tahun 1889), 'Makassar' (Rd. No. 143766 tahun 1890), 'Celebes' (Rd. No. 158409 tahun 1890), Sumatra' (Rd. No. 164182 tahun 1891), 'Ayam Jantan' (Rd. No. 174294 tahun 1891), dan 'Kapal Basar' (Rd. No. 192115 tahun 1892).  Pada masa yang sama, terdapat beberapa corak pinggan Bells yang berkait dengan Bahasa Melayu dan nama-nama tempat di Asia Tenggara yang tidak didaftarkan di UKPO. Ini termasuk 'Burong Merak', 'Pahang', 'Malacca', 'Singapore', 'Borneo', 'Sarawak', 'Bangkok', 'Palembang', 'Amboina', 'Batavia', dan 'Mollucas'. Dipercayai kebanyakan corak-corak yang tidak didaftar di UKPO ini adalah corak-corak yang dihasilkan sebelum tahun 1887.

Produk-produk tembikar yang didaftar di UKPO bermula tahun 1887 juga didapati kebanyakannya menggunakan tulisan Jawi sebagai deskripsi nama corak yang dicatat di belakang setiap pinggan (lihat Gambar 10 hingga 13). Seperti dalam Gambar 3 & 4, ada juga corak berkait dengan pelabuhan di Cina ('Woosung') yang mempunyai deskripsi corak dalam tulisan Jawi. Selain teknik penyetempatan produk melalui tulisan Jawi dan corak kesenian Nusantara, chinoiserie dan Asia Timur, terdapat juga penggunaan corak berunsur kesenian Islam iaitu bintang 8 penjuru al-Quds pada pinggan 'Kembang Bintang' (Gambar 10), dan imej bulan sabit pada pinggan 'Buah Nanas' (Gambar 13).

Gambar 10: Pinggan tembikar 'Kembang Bintang'.
Di sebelah belakang dicetak logo Glasgow (Bells) Pottery, catatan Rd. No. 87393 (tahun 1887), bersama deskripsi corak pinggan dalam tulisan Rumi & Jawi.
Sumber: Christie's International PLC.


Gambar 11: Pinggan tembikar 'Tarlalu Bagus'.
Di sebelah  belakang dicetak logo Glasgow (Bells) Pottery, catatan Rd. No. 102258 (tahun 1888), bersama deskripsi corak pinggan dalam tulisan Rumi & Jawi.
Sumber: National Museum of Scotland.


Gambar 12: Pinggan tembikar 'Kalantan'. Di sebelah  belakang dicetak logo Glasgow (Bells), catatan Rd. No. 112878 (tahun 1888), bersama deskripsi corak pinggan dalam tulisan Rumi & Jawi.
Sumber: Christie's International PLC.

Gambar 13: Pinggan tembikar 'Buah Nanas' yang dihiasi bulan sabit. Di sebelah belakang dicetak logo Glasgow (Bells) Pottery, catatan Rd. No. 115580 (tahun 1888), bersama deskripsi corak pinggan dalam tulisan Rumi & Jawi.
Sumber: Christie's International PLC.


Akan tetapi memandangkan ketiadaan rekod dan data kontemporari tentang pekerja dan sumber asal lukisan, pihak-pihak pengkaji dari Scotland tidak dapat memastikan samada syarikat Bells tersebut telah menggunakan kepakaran pelukis dan pereka dari Asia Tenggara dan Asia Timur. Walaubagaimanapun, kebarangkalian wujudnya orang-orang Scotland yang mahir menghasilkan lukisan-lukisan kesenian Asia Timur dan menulis dalam tulisan Jawi ketika itu agak tipis. Adalah dipercayai bahawa kemungkinan besar terdapat pertukaran idea dan kepakaran antara pihak Scotland dan negeri-negeri Nusantara dan Asia Timur dalam usaha penghasilan produk tembikar syarikat Bells tersebut.

Rujukan:

1. Christie's International PLC.
2. Cruickshank, G., 1978, 'Scottish Pottery Historical Review' No. 3 of 1978, pp. 22-23.
3. Cruickshank, G., 1982, 'Scottish Pottery Historical Review' No. 7 of 1982, pp. 38-41.
4. Cruickshank, G., , 'Southeast Asia: A Major Export Destination for British Transferware'.
5. Fleming, J.A. 1973, Scottish Pottery. E.P Publishing.
6. Kelly, H.E., 1999, 'Scottish Pottery'. Schiffer Publications Limited.
7. Kelly, H.E., 2006, 'The Glasgow Pottery of John and Matthew Preston Bell'. Douglas A Leishman, Revised July 2006.
8. Kelly, H.E., Kowalsky, A.A., & Kowalsky, D.E., 2001, 'Spongeware: 1835-1935, Makers, Marks and Patterns'. Schiffer Publications Limited.
9. National Museum of Scotland.
10. Scottish Pottery Society.


Ekspedisi Wilkes (1838-1842)

Kapal USS Vincennes, yang memuatkan 190 anak kapal dan merupakan kapal utama Ekspedisi Wilkes. Singapura adalah destinasi terakhir yang dila...