Popular Posts

Showing posts with label Malaya. Show all posts
Showing posts with label Malaya. Show all posts

Wednesday, 31 August 2022

Malaya Merdeka 1957



Pada 8.2.1956, satu persidangan telah diadakan di London bagi memperoleh kemerdekaan bagi Tanah Melayu. Persidangan yang dikenali sebagai Persidangan Malaya Merdeka berakhir dengan upacara menandatangani perjanjian yang dihasilkan.  Perjanjian tersebut digelar Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu (yang juga dikenali sebagai Perjanjian London). 




Perjanjian ini ditandatangani di antara Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah (1903-1990), Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu bagi pihak kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dengan Alan Lennox-Boyd (1904-1983), Setiausaha Negara Tanah Jajahan British bagi pihak Kerajaan British.

Antara perkara penting yang dipersetujui di dalam perjanjian tersebut adalah tarikh kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu iaitu pada 31.8.1957, pengekalan institusi Raja Berperlembagaan, pembahagian kuasa antara kerajaan pusat dengan kerajaan negeri diteruskan, dan pelantikan sebuah suruhanjaya bebas untuk menggubal Perlembagaan. Turut dipersetujui adalah bahawa Parti Perikatan tidak akan mengambil alih perniagaan British atau kepentingannya di Tanah Melayu, di mana satu perjanjian dengan British akan ditandatangani bagi menjaga keselamatan Tanah Melayu dan juga menjaga kepentingan ekonomi British di Tanah Melayu.

Rombongan Merdeka ini selamat pulang ke tanah air pada 20.2.1956. Ini diikuti dengan satu perhimpunan besar-besaran di Padang Merdeka, Banda Hilir di Melaka. Ketika itu, Y.T.M Tunku Abdul Rahman mengisytiharkan tarikh kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu.



Susulan daripada itu juga pada 21.3.1956, sebuah suruhanjaya bebas yang dikenali sebagai Suruhanjaya Reid telah dibentuk untuk mengkaji dan menggubal Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu sebagai persediaan mencapai kemerdekaan.

Pada 5.8.1957 Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu ditandatangani di antara Raja-Raja Melayu dengan pihak Kerajaan British. Upacara menandatangani Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu tersebut telah diadakan di King’s House, Kuala Lumpur.





Perjanjian yang digelar 'Federation of Malaya Agreement 1957' ini ditandatangani di antara 8 Raja-Raja Melayu, Tunku Mahkota Johor, 5 pembesar dari Negeri Sembilan, dengan Pesuruhjaya Tinggi British ke Tanah Melayu iaitu Sir Donald MacGillivray. 

Perjanjian 1957 ini juga telah memansuhkan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948. Berdasarkan Artikel 3 Perjanjian 1957 ini, tarikh penguatkuasaan terma-terma di dalamnya adalah pada 31.8.1957 di mana pada tarikh itu berakhirlah segala naungan dan bidangkuasa Inggeris ke atas 9 Negeri-Negeri Melayu di bawah Persekutuan Tanah Melayu. Dengan termeterainya Perjanjian ini juga kuasa dan kedaulatan Kerajaan Inggeris ke atas Melaka dan Pulau Pinang turut berakhir.



Sumber: Arkib Negara Malaysia, National Film Development Corporation Malaysia (FINAS), British Movietone Pictures, & British Paramount News.



Saturday, 24 July 2021

Pelayar Melaka ke Amerika sebelum Columbus?


Gambar 1: Lukisan Jong Jawa. Sumber: Kaskus.co.id


Menurut kajian Howard Barraclough Fell (1917-1994) atau Barry Fell dalam bukunya 'Saga America' (1980) (Gambar 2), terdapat prasasti yang dijumpai dalam sebuah gua di wilayah Corinto di El Salvador, Amerika Tengah yang membuktikan bahawa Christopher Columbus adalah bukan orang pertama yang "menjumpai" benua Amerika.

Gambar 2: Barry Fell dan penulisannya dalam America BC Series. Sumber: Youtube Emperor Tigerstar.

Prasasti tersebut dikatakan ditulis dalam aksara Arab (Jawi) pada sekeping batu yang mencatat perkataan "Khatib Melaka Haji Mi Malaya" (Gambar 3).  Menurut Fell (1980), Yucel (2007) dan Hassan (2018) ukiran pada sekeping batu ini dibuat sekitar kurun ke-13, dan bukti kukuh bahawa pedagang Islam Nusantara yang telahpun mengerjakan haji berjaya sampai ke benua Amerika sebelum kedatangan Christopher Columbus.


Gambar 3: Tulisan Jawi yang dikatakan wujud pada sekeping batu di El Salvador, Amerika Selatan. Sumber: Saga America (1980).


Gambar 4: Tapak arkeologi Tazumal di El Salvador. Sumber: Wikipedia.


Apa yang menjadi sandaran utama kesahihan hipotesis Barry Fell ini adalah beliau seorang pengkaji dari universiti terulung di Amerika Syarikat iaitu Harvard. Berdasarkan logik ini, mungkin ramai yang berpendapat beliau tidak mungkin terkhilaf dalam hipotesis yang dibuat. 

Persoalannya adakah kita perlu terima bulat-bulat hipotesis beliau tanpa meneliti pandangan dan penyelidikan lain tentang hasil kajian dari Harvard ini?

Pertamanya, Barry Fell ini adalah seorang ahli biologi marin dan bukannya seorang ahli arkeologi mahupun sejarah. Kajian asas beliau adalah dalam bidang zoologi invertebrata. Sememangnya kelainan bidang kajian tidak semestinya membuat sesuatu rumusan akademik itu lemah atau dangkal.  Akan tetapi dalam kes Barry Fell ini, kelemahan kajiannya dikatakan amat ketara.  Pakar arkeologi terkemuka bernama David H Kelley (1990) mencatat pandangan berikut tentang penulisan Barry Fell berkenaan arkeologi dan kajian prasasti:-

 "Fell's work [contains] major academic sins, the three worst being distortion of data, inadequate acknowledgment of predecessors, and lack of presentation of alternative views."

Williams (1991) dan Feder (1996) merumuskan bahawa teori dan dapatan Barry Fell berkenaan kajian prasasti adalah tidak diterima umum. Kajian empirikal yang dibuat oleh Feder (1984) berdasarkan sampel 340 orang tenaga pengajar dalam bidang arkeologi merumuskan bahawa 95.7% darinya mempunyai pandangan negatif terhadap hipotesis Barry Fell dan mengklasifikasikannya sebagai "pseudo-archaeology". Lihat juga kritikan yang dibuat terhadap Barry Fell dalam "Bad History - The America BC Series by Barry Fell":-



Secara spesifik, Lesser (1983) iaitu seorang ahli sejarah dan arkeologi menyatakan rumusan dan dapatan Barry Fell tentang prasasti yang kononnya membuktikan 'Brendan of Clonfert' (c. AD 484 – c. 577) dari Ireland telah sampai ke West Virginia, Amerika Utara, pada abad ke-6 dalam bukunya 'Saga America' adalah pseudo-saintifik dan tidak boleh dipercayai.
 
Berdasarkan dapatan yang sama, Oppenheimer dan Wirtz (1989) dalam mengkaji 'Saga America' merumuskan bahawa hipotesis Barry Fell tentang prasasti di West Virginia tersebut adalah suatu "deliberate fraud" iaitu penipuan yang disengajakan.

Berbalik kepada catatan Barry Fell berkenaan tulisan Jawi yang kononnya wujud di zaman Maya dan Aztec di El Salvador, tiada maklumat tentang lokasi tepat prasasti tersebut dan juga tiada bukti fizikal mahupun fotografi dirakamkan. 

Seterusnya, hipotesis Barry Fell ini juga bercanggah dengan garis masa penubuhan Kesultanan Melayu Melaka itu sendiri. Melaka dirumuskan beliau sudah wujud pada kurun ke-13, walhal sumber primer membuktikan bahawa ianya ditubuhkan Parameswara pada awal kurun ke-15.

Manakala perkataan "Malaya" pula adalah suatu "exonym" iaitu perkataan nama tempat yang berasal atau disebut oleh pihak luar, khususnya pihak Inggeris yang tiba ke Semenanjung Tanah Melayu pada kurun ke-18. Semenanjung Tanah Melayu dibawah kedatuan Srivijaya pada kurun ke-13 tidak mungkin disebut "Malaya" oleh rakyatnya. 

Kemungkinan besar Barry Fell ingin mereka-cipta individu seperti dalam catatan Shih-pi iaitu pengembara semasa Dinasti Yuan / Mongol (1271–1368) yang pernah mencatat kewujudan "Ha-ji-ka-ta-na-ka-la". W. George Maxwell (1909) merumuskan "Ha-ji-ka-ta-na-ka-la" adalah transliterasi dari nama Haji Kadir Nakhoda. Ha-ji-ka-ta-na-ka-la dari kepulauan Jawa dikatakan telah mengutus watikah yang ditulis dalam dakwat emas kepada Maharaja Mongol sekitar 1292. Rumusan W. George Maxwell ini adalah tidak tepat kerana Jawa (Singhasari) ketika itu diperintah Sri Kertanegara yang beragama Hindu-Buddha. Jadi "Ha-ji-ka-ta-na-ka-la" mungkin adalah transliterasi bagi nama Sri Kertanegara dan bukannya Haji Kadir Nakhoda.

Dengan itu, sama dengan dapatan prasasti West Virginia dalam 'Saga America', rumusan Barry Fell tentang kewujudan pengembara bernama Khatib Melaka Haji Mi Malaya di Amerika Tengah pada kurun ke-13 adalah dangkal dan juga berkemungkinan hasil dari penipuan arkeologi yang disengajakan. Sejarah tentang kemahiran pelayaran masyarakat Nusantara sememangnya kukuh dan tidak perlu ditokok tambah dengan bukti-bukti yang tidak sahih dan menjurus kepada penipuan.

Sumber: 

  1. Feder, Kenneth L. (1984). "Irrationality and Popular Archaeology". American Antiquity, Vol. 49, No. 3, pp. 525-541.
  2. Feder, Kenneth L. (1996). Frauds, Myths, and Mysteries: Science and Pseudoscience in Archaeology. Mountain View: Mayfield. pp. 101–107.
  3. Fell, Barry (1980). Saga America. Time Books, New York.
  4. Hassan, Syed Ali (2018). Muslim Roots of America, Murray State University.
  5. Kelley, D. H. (Spring 1990). "Proto-Tifinagh and Proto-Ogham in the Americas: Review of Fell; Fell and Farley; Fell and Reinert; Johannessen, et al.; McGlone and Leonard; Totten". The Review of Archaeology.
  6. Lesser, W. Hunter (1983). "Cult Archaeology Strikes Again: A Case for Pre-Columbian Irishmen in the Mountain State?"
  7. Maxwell W.G. (1909). Groeneveldt's Notes on the Malay Archipelago and Malacca. Journal of the Straits Branch of the Royal Asiatic Society. No. 52 (March, 1909), pp. 105-110.
  8. Oppenheimer, Monroe; Wirtz, Willard (1989). "A Linguistic Analysis of Some West Virginia Petroglyphs"
  9. Williams, Stephen (1991). Fantastic Archaeology. Philadelphia: University of Pennsylvania Press. pp. 264–273.
  10. Yucel, Salih (2007).  Islam & Muslims in America before Columbus, Fountain Magazine.




Wednesday, 26 February 2020

Skuadron 205 "Pertama Di-Malaya"



Seperti yang kita maklum kawasan lautan 120 batu nautika timur laut Kota Bharu adalah tempat di mana pesawat Malaysia Airlines MH370 mula terputus hubungan dengan menara kawalan pada 8.3.2014. Tapi tahukah anda lebih kurang 72 tahun sebelum tragedi MH370 tersebut terdapat sebuah pesawat yang pernah terputus hubungan radio dan kemudian hilang di lokasi yang sama?




Peristiwa ini berlaku kepada sebuah pesawat dari Skuadron 205 British Royal Air Force (RAF) yang berpengkalan di RAF Seletar Airbase, Singapura. Skuadron 205 tersebut ditubuhkan pada tahun 1915 di Dover, England, dan kemudian ditugaskan untuk menjaga jajahan British di Semenanjung Tanah Melayu dari tahun 1929 hingga 1941, dan dari 1949 hingga 1971. Lihat Seletar Airbase dari sekitar 1920an (Gambar 1 & 2) dan sekitar 1930an (Gambar 3).

Gambar 1 : RAF Seletar Airbase, Singapura (1920an). Sumber: Imperial War Museums.

Gambar 2 : RAF Seletar Airbase, Singapura (1920an). Sumber: Imperial War Museums.


Gambar 3 : RAF Seletar Airbase, Singapura (1930an)

Memandangkan ianya skuadron udara RAF pertama bagi pentadbiran British di Tanah Melayu, slogan yang digunakan sekitar tahun 1929 adalah dalam Bahasa Melayu iaitu "Pertama Di-Malaya", dan logonya pula mengangungi imej keris yang melambangkan Tanah Melayu dan imej trident yang melambangkan dewa lautan Poseidon atau Neptune (Gambar 4).

Gambar 4 : Jata Skuadron 205 Royal Air Force.

Rujukan kepada dewa lautan mungkin dibuat kerana pesawat yang digunakan oleh Skuadron 205 terdiri dari pesawat-pesawat yang boleh mendarat di permukaan air iaitu jenis Supermarine Southamton (1929-35), Short Singapore (1935-41), Consolidated Catalina (1941-45), dan Short Sunderland (1945-59) (Gambar 5-8).

Gambar 5: Pesawat jenis Supermarine Southamton.

Gambar 6 : Pesawat jenis Short Singapore.

Gambar 7: Dua pesawat Skuadron 205 Royal Air Force jenis Consolidated Catalina di sekitar ruang udara Semenanjung Tanah Melayu pada tahun 1941.

Gambar 8 : Pesawat jenis Short Sunderland.

Berbalik kepada persamaanya dengan tragedi MH370, pada 7.12.1941, sebuah pesawat jenis Consolidated Catalina No. siri W8417 dengan panggilan "FY-W" telah terputus hubungan radio dengan menara kawalan mereka di Singapura. Pesawat yang sedang menjalankan tinjauan di perairan pantai timur tersebut kemudian tidak dapat dikesan kedudukannya. Nasib malang yang menimpa pesawat tersebut bersama 8 anak kapalnya hanya diketahui dari rekod dan arkib Jepun selepas berakhirnya Perang Dunia Kedua.

Menurut rekod Jepun, pesawat dari Skuadron 205 ini sebenarnya adalah pesawat tentera Kuasa Bersekutu pertama yang ditembak jatuh oleh tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua. Pesawat FY-W tersebut sebenarnya dapat mengesan pergerakan dan lokasi kapal Jepun 'Kamikawa Maru' iaitu sekitar 100 batu nautika timur laut Kota Bharu. Untuk mengekalkan "element of surprise" mereka, beberapa pesawat tentera Jepun telah dikerah untuk menyerang. Pesawat FY-W tersebut direkodkan meletup 400 meter di ruang udara antarabangsa Laut Cina Selatan iaitu dalam kedudukan jarak sekitar 120 batu nautika arah timur laut Kota Bharu.  Bangkai pesawat FY-W yang jatuh di lautan berjaya dikesan oleh Jepun dan dilaporkan tiada yang terselamat. Kejayaan serangan tersebut dilaporkan kepada General Yamashita yang berada di kapal Ryujo Maru.

Jika dikaji, kejadian yang menimpa pesawat FY-W tersebut berlaku pada 7.12.1941 jam 8:20 pagi (waktu Tokyo) iaitu 18 jam sebelum tentera Jepun mendarat di Kota Bharu pada 8.12.1941 jam 2:00 pagi (waktu Tokyo), dan 19 jam sebelum serangan ke atas Pearl Harbour yang berlaku pada 8.12.1941 pada jam 3:23 pagi (waktu Tokyo). Secara amnya, "element of surprise" dalam serangan-serangan awal tentera Jepun berjaya dikekalkan kerana juruterbang RAF dalam pesawat FY-W tersebut tidak sempat menghubungi menara kawalan mereka walaupun 4 pesawat tentera Jepun mengambil masa 30 minit untuk mengejar dan menewaskan mereka. Dikatakan sistem radio pesawat FY-W mungkin tidak lagi berfungsi akibat terkena tembakan awal dari pesawat Jepun. Juga terdapat spekulasi bahawa mungkin juruterbang dan krew pesawat FY-W tersebut telah mati lebih awal akibat terkena tembakan dan/atau akibat kebakaran dalam kokpit di mana pesawat tersebut bergerak dengan sendiri hampir 30 minit sebelum meletup akibat tembakan susulan oleh pesawat tentera Jepun.

Rujukan:

1. https://en.m.wikipedia.org/wiki/No._205_Squadron_RAF

2. https://en.m.wikipedia.org/wiki/Japanese_invasion_of_Malaya


Wednesday, 13 November 2019

Malaya Pavilion Di Wembley Park

Malaya Pavilion, Wembley Park

'British Empire Exhibition' ialah suatu pameran jajahan takluk Inggeris yang telah diadakan di Wembley Park, Wembley, England dari 23.4.1924 hingga 31.10.1925. Ianya dibahagikan kepada dua sessi dan telah dikunjungi seramai 25 juta orang pelawat.



Peta Pameran British Empire Exhibition

Sultan Perak ke-30 iaitu Sultan Sir Iskandar Shah Ibni Al-Marhum Sultan Sir Idris Murshidul Azzam Shah (1876-1938) bersama Tengku Permaisuri Perak ketika melawat 'British Empire Exhibition', 1924.


Ekshibit dari Negeri-Negeri Selat, Negeri Melayu Bersekutu dan Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu dipamirkan di sebuah bangunan yang didirikan khas di Wembley Park dan dinamakan Malay atau Malaya Pavilion. Lihat gambar:






Juga terdapat Sarawak Pavilion yang didirikan bersebelahan Malaya Pavilion. Lihat Malaya Pavilion di 4:03 dan Sarawak Pavilion di 4:21 dalam rakaman dibawah:



Sebuah stadium juga telah didirikan khusus untuk upacara pembukaan ekspo ini dan dinamakan Empire Stadium. Lihat video upacara pembukaan yang dirasmikan oleh King George V:


Pembinaan tapak ekspo dan stadium di kawasan seluas 220 ekar tersebut mengambil masa 10 bulan dengan menggunakan 2,000 orang pekerja. Ianya direka oleh arkitek bernama John William Simpson dan Maxwell Ayrton; dan dibina oleh syarikat pembinaan Sir Robert McAlpine & Sons Ltd.

Apa yang menarik adalah Empire Stadium ini mempunyai rekabentuk sama dengan Malaya Pavilion iaitu kedua-duanya mempunyai pengaruh arkitektur Roman bercampur Mughal. Bentuk rekaan sebegini boleh kita lihat di bangunan-bangunan era Empayar Mughal di India, dan juga dalam rekabentuk Bangunan Sultan Abdul Samad, Masjid Jamek, dan Bangunan Stesyen Keretapi di Kuala Lumpur.

Setelah tamat ekspo, Malaya Pavilion bersama-sama Pavilion jajahan British lain telah dirobohkan. Atas cadangan ahli exco penganjur British Empire Exhibition iaitu Sir James Stevenson, dan juga campurtangan Arthur Elvin yang ditugas untuk kerja-kerja meroboh, perintah untuk meroboh Empire Stadium telah dibatalkan. Ianya kemudian ditukar nama kepada Wembley Stadium, iaitu stadium bagi pasukan bolasepak England, dan bagi perlawanan FA Cup Final dari 1923 sehingga ianya dirobohkan 80 tahun kemudian iaitu pada tahun 2003.

Wembley Stadium
(c.1937)
The Old vs The New Wembley Stadium

Juga diselamatkan adalah bangunan Palace of Engineering, British Government Pavilion, Palace of Industry dan sebahagian dari Palace of Arts. Kawasan bangunan Malaya Pavilion tersebut kini menjadi tapak bagi bangunan apartmen Quadrant Court Wembley.

Palace of Engineering
British Government Pavilion
Palace of Industry
Palace of Arts


Rujukan:

1. https://en.m.wikipedia.org/wiki/British_Empire_Exhibition

2. https://en.m.wikipedia.org/wiki/Wembley_Stadium_(1923)

3. Clendinning, Anne. “On The British Empire Exhibition, 1924-25.” BRANCH: Britain, Representation and Nineteenth-Century History. Ed. Dino Franco Felluga. Extension of Romanticism and Victorianism on the Net. Web accessed on 13.11.2019.

4. British Pathé and the Reuters historical collection.


Ekspedisi Wilkes (1838-1842)

Kapal USS Vincennes, yang memuatkan 190 anak kapal dan merupakan kapal utama Ekspedisi Wilkes. Singapura adalah destinasi terakhir yang dila...