Gambar 1: Tamil Bell yang dijumpai di utara New Zealand. Sumber: Museum of New Zealand Te Papa Tongarewa. |
Pada tahun 1836, mubaligh bernama William Colenso telah menjumpai sebuah loceng yang di panggil ‘Tamil Bell’ yang ketika itu digunakan sebagai periuk merebus kentang oleh seorang wanita Maori di Whangarei, utara New Zealand. Dari segi dimensi, ianya adalah berukuran 13 cm x 9 cm, dan mempunyai ukiran yang dianggap suatu tulisan kuno.
Gambar 2: Gambar terawal 'Tamil Bell' Sumber: Wikipedia. |
Gambar 3: Maklumbalas berkenaan Tamil Bell dari pihak India & Pulau Pinang. Sumber: Wikipedia. |
Terdapat pelbagai teori tentang asal usul loceng ini termasuk teori bahawa orang Tamil Muslim dari Ceylon telah tiba di New Zealand 500 tahun sebelum ia 'dijumpai' Captain Cook. Ini adalah kerana tulisan yang tertera di atas loceng tersebut dikatakan era Pandya Akhir (abad ke-14). Ada yang mencadangkan kapal dhow Tamil Muslim adalah sebahagian dari armada Laksamana Cheng Ho di mana kapal yang membawanya telah hanyut dari Lautan Hindi dan tersadai di New Zealand (Gambar 4). Ada yang menyatakan kemungkinan dibawa kapal Portugis kerana pelayarannya termasuk beberapa jajahan Portugis di India hingga ke pelabuhan Melaka dan kepulauan rempah di Nusantara.
Teori terkini adalah ianya diperbuat berdasar teknik acuan loceng admiralti Inggeris sekitar abad ke-18 (Gambar 5); dan merupakan bahagian atas (1/3) loceng kapal pedagang Arab-India (Marakkar/Maricar) sekitar Tamil Nadu dan Nagapattinam. Juga loceng-loceng yang sama bentuknya masih lagi dihasilkan di Tamil Nadu (Gambar 6).
Gambar 5: Loceng Kapal 'The London' yang diperbuat sekitar abad ke-18. Sumber: Worthpoint.com |
Gambar 6: Pembuatan loceng yang masih dijalankan di Thanjavur, Tamil Nadu, India. Sumber: Alamy.com |
Sekiranya ini benar, maka satu lagi hipotesis yang boleh dikemukakan adalah ianya milik Cauder Mohideen (Kapitan Keling Pulau Pinang) (1759-1834) yang berdagang di pelabuhan-pelabuhan sekitar Semenanjung Koromandel hingga ke Semenanjung Tanah Melayu dari akhir abad ke-18 hingga awal abad ke-19. Selain dari nama pemiliknya yang sama, hipotesis ini mungkin dapat menjelaskan mengapa terdapat maklumbalas spesifik dari Pulau Pinang se awal tahun 1870-an lagi (Gambar 3).
Seterusnya, menurut akhbar 'Singapore Chronicle and Commercial Register', pada tahun tahun 1828 terdapat kapal milik Cauder Mohideen bernama 'Nasar' yang bertolak dari Singapura ke Palembang pada 13.11.1828. Dari rekod maritim yang berusia hampir 200 tahun ini, adalah didapati bahawa syarikat beliau menggunakan kapal yang berdaftar dibawah bendera Belanda. Jadi kemungkinan besar perkataan 'Buks' yang tertera secara transliterasi pada Tamil Bell tersebut adalah perkataan Belanda yang bermaksud senapang (rifle) iaitu deskripsi kepada kapal bersenjata. Justeru itu, nama Inggeris bagi kapal Cauder Mohideen yang mungkin hanyut dibawa arus ke New Zealand tersebut adalah 'Mohideen Rifle' atau 'Mohideen Gun Ship'.
Kerana kekurangan bukti, kesemua teori adalah merupakan andaian dan spekulasi semata-mata; di mana kehadiran loceng tersebut di utara New Zealand masih menjadi misteri yang belum dapat dirungkai sehingga kini.
Sumber:
- Brett Hilder (1975). The Story of the Tamil Bell. The Journal of the Polynesian Society. Vol. 84, No. 4 (December 1975), pp. 477-483.
- Jake Leigh-Howarth (2022). The Age-Old Mystery of New Zealand’s Tamil Bell. Ancient Origins. 13.3.2022. Diekatrak dari https://www.ancient-origins.net/artifacts-other-artifacts/tamil-bell-0016522
- Tamil Bell. Wikipedia. Diekstrak dari https://en.m.wikipedia.org/wiki/Tamil_bell
- The many mysteries behind a Tamil Bell. Historic Alleys. 9.5.2021. Diekstrak dari https://historicalleys.blogspot.com/2021/05/the-many-mysteries-behind-tamil-bell.html
- Singapore Chronicle and Commercial Register, 20.11.1828. National Library of Singapore.
No comments:
Post a Comment