Popular Posts

Thursday 7 November 2019

Peranan Puteri Hang Li Po Dalam Pemilihan Sultan Melaka Ke-7

Gambar 1 - Lukisan bertajuk 'Mehran Setad selects a bride for Anushirvan', oleh Mo‘in Mosavver (1638–1697).

Pada 1.11.2019 saya ada memuatnaik artikel berkenaan Laksamana Melaka di Istana Ryukyu. Lihat: Laksamana Melaka Di Istana Ryukyu.

Sebagai respon kepada artikel tersebut, Tuan Nik Mansor Nik Mustapha, seorang peminat dan pengkaji Sejarah Kesultanan Melayu, ada memberikan pandangan tentang surat Sultan Melaka kepada Raja Ryukyu bertarikh Mac 1480. Beliau menjelaskan bahawa adalah mustahil Sultan Alauddin Riayat Shah berumur 6 tahun semasa surat Mac 1480 tersebut ditulis. Menurut beliau lagi, ini adalah kerana Sultan Alauddin mempunyai 5 orang anak ketika baginda mangkat pada tahun 1488.

Amat tepat sekali pandangan Tuan Nik Mansor  kerana jika dirujuk silang kajian Prof. Abu Talib Ahmad (2015), Sultan Alauddin berumur 30 tahun ketika baginda mangkat pada tahun 1488. Ini bermakna Sultan Alauddin berumur 22 tahun semasa surat Mac 1480 tersebut ditulis.

Jika dikaji, surat Mac 1480 tersebut jelas diterjemah bahawa Sultan Melaka ketika itu berumur 6 tahun dan dalam konteks penulisan telah menganggap Raja Ryukyu iaitu Raja Shō Shin (1465–1527), yang berumur 21 tahun pada 1480, sebagai seorang yang berpangkat bapa.

Apabila diteliti kandungan surat Mac 1480 tersebut, ianya tidak langsung mencatat nama Sultan Melaka dan juga tidak dicatat bahawa ianya ditulis oleh Laksamana Melaka atau Hang Tuah. Jadi fakta bahawa Sultan Alauddin Riayat Shah adalah Sultan Melaka yang dimaksudkan dalam surat dan bahawa ianya ditulis Laksamana Hang Tuah adalah hanya suatu andaian atau kesimpulan akademik pengkaji Jepun tersebut iaitu Kobata Atsushi and Mitsugu Matsuda (1969) yang dicatat dalam nota kaki kajian mereka. Ini mungkin setelah mereka merujuk silang Sulalatus Salatin dan Hikayat Hang Tuah yang disalah anggap sebagai bukti primer.

Jadi kini timbul persoalan siapakah Sultan Melaka yang dirujuk dalam surat Mac 1480 tersebut, dan adakah ianya suatu kesilapan.

Pada pendapat saya, surat tersebut tidak silap. Ini adalah kerana surat Laksamana Melaka yang dihantar pada April 1481 ada menzahirkan identiti Sultan Melaka iaitu dicatat sebagai "Ma-an Shan".

Ini disokong oleh bukti primer dari rekod Kerajaan Ming iaitu Ming Shi-lu (MSL) di mana Sultan Melaka pada sekitar 1481 adalah "Ma-ha-mu Sha"  (馬哈木沙) anak kepada "Su-dan Man-su Sha" (蘇丹茫速沙) iaitu cadangan Geoffrey Wade (1994) sebagai 'Muhammed Shah' anak kepada 'Sultan Mansur Shah' dan bukannya Alauddin Riayat Shah.

Seperti yang berlaku kepada Kesultanan Brunei pada abad ke-15, Sultan yang diiktiraf Kerajaan Ming tidak semestinya sama dengan Sultan yang benar-benar memerintah negeri. Lihat: Hubungan Diplomatik Awal Brunei - Cina.

Mungkin seperti Brunei, Melaka juga bermain politik yang sama dalam berurusan rasmi dengan Kerajaan Ming dan juga sekutunya Kerajaan Ryukyu. Lebih-lebih lagi nama Sultan Alauddin Riayat Shah tidak langsung dicatat dalam MSL. Cuma wujud catatan anak Sultan Mansur Shah bernama Muhammed Shah (Ma-ha-mu Sha) yang ditabalkan Kerajaan Ming sebagai Sultan Melaka pada penghujung tahun 1481. MSL mencatat bahawa rombongan Kerajaan Ming dihantar khusus ke Melaka untuk upacara pertabalan beliau. Saya petik terjemahan catatan MSL bertarikh 23.8.1481:

"Lin Rong, a supervising secretary in the Office of Scrutiny for Rites, was sent as chief envoy and Huang Qian-heng, a Messenger in the Messenger Office, was sent as deputy envoy to proceed and enfeoff Ma-ha-mu Sha, the son of Su-dan Man-su Sha*, the deceased king of the country of Melaka, as the king of the country. * The text erroneously reads "Su-dan su Sha"


Umum maklum bahawa Sultan-Sultan Melayu dilantik dari nasab lelaki iaitu dalam kes ini putera-putera kepada Sultan Mansur Shah. Menurut Sulalatus Salatin, Sultan Mansur Shah mempunyai waris lelaki berikut:-

  1. Raja Muhammad (dijadikan Sultan Pahang) - hasil perkahwinan dengan Puteri Onang Sari;
  2. Raja Ahmad (dijadikan Sultan Pahang) - hasil perkahwinan dengan Puteri Onang Sari;
  3. Raja Husain @ Sultan Alauddin Riayat Shah- hasil perkahwinan dengan Raden Galoh Cendera Kirana; dan
  4. Paduka Mimat / Mamat - hasil perkahwinan dengan Puteri Hang Li Po

Jadi saya berpendapat bahawa Sultan Melaka yang dimaksudkan dalam surat ke Raja Ryukyu pada tahun 1480 dan 1481 adalah tidak lain dan tidak bukan putera hasil perkahwinan Sultan Mansur Shah dengan Puteri Hang Li Po iaitu Paduka Mimat / Mamat. 'Mat' dan 'Mamat' juga diketahui umum sebagai singkatan kepada nama Muhammad / Muhammed.

Pada pendapat saya penamaan Paduka Mimat / Mamat / Ma-an Shan / Ma-ha-mu Sha / Muhammed Shah sebagai Sultan Melaka dalam surat-surat Melaka kepada Raja Ryukyu, dan juga semasa pertabalan oleh Kerajaan Ming tersebut adalah satu helah diplomatik bagi tujuan mengekalkan perlindungan Kerajaan Ming terhadap Melaka. 

Ini adalah jelas kerana Puteri Hang Li Po telah dikahwinkan dengan Sultan Mansur Shah atas dasar perkahwinan kesenangan (marriage of convenience) untuk merapatkan hubungan Kerajaan Ming dengan Kesultanan Melaka. Saya berpendapat bahawa sebagai syarat perkahwinan dan perlindungan, Kerajaan Ming memerlukan waris lelaki hasil perkahwinan Sultan Mansur Shah dan Puteri Hang Li Po dijadikan pewaris tahta Kesultanan Melaka. 

Jadi sebelum Sultan Mansur Shah mangkat, peranan Puteri Hang Li Po yang disokong penuh Kerajaan Ming adalah untuk menentukan terma perjanjian ini dilaksanakan. Perkara ini telah berlaku di mana putera-putera sulung Sultan Mansur Shah telah ditugaskan untuk menjadi Sultan Pahang demi menamatkan legasi mereka dari memerintah Kesultanan Melaka. Jadi apabila Sultan Mansur Shah dan Puteri Hang Li Po mangkat pada tahun 1477, demi menjaga hubungan dengan Cina, Sultan Alauddin Riayat Shah telah mematuhi sebahagian dari terma dan syarat ini iaitu dengan melantik adindanya Paduka Mimat / Mamat untuk dinamakan sebagai Sultan Melaka bagi tujuan istiadat pertabalan dikelola Kerajaan Ming (1481) dan sebagai proksi dalam perutusan rasmi dengan Kerajaan Ming dan Ryukyu (1480-1481).

Perkara ini juga dapat dilihat dalam surat-surat Melaka ke Ryukyu di mana segala kuasa mohor perwakilan dan hak diplomasi diberi kepada Laksamana Melaka yang mewakil Sultan Melaka yang kononnya masih belum dewasa. Seperti yang kita maklum, dalam misi ke Ryukyu dan kemudian ke Cina sekitar 1481, agenda Melaka adalah untuk mendapat sokongan Cina & sekutunya Ryukyu dalam membenarkan Melaka melengkap bala tentera untuk menyerang Annam. Lihat: Peranan 'Hang Tuah' Dalam Kes Pertikaian Melaka - Annam.

Berbalik kepada perkahwinan Puteri Hang Li Po dengan Sultan Mansur Shah, adalah dicatat bahawa dalam meluaskan kuasa dan pengaruh, adalah kebiasaan bagi Kerajaan Cina untuk menjemput raja-raja negeri yang ingin dijadikan sekutu untuk memilih Puteri Raja untuk dijadikan Permaisuri. Lukisan Mo‘in Mosavver (1638–1697) (Gambar 1 & 2) merujuk kepada proses dalam pemilihan tersebut yang berlaku sekitar abad ke-6. Digambarkan bahawa terdapat muslihat dalam proses pemilihan di mana hanya anak-anak gundik disolek dan dihiasi dengan menawan. Manakala Puteri Raja yang sebenar iaitu anak kelahiran Raja Permaisuri tidak disolek dan hanya berpakaian seperti orang kebanyakan. Dalam lukisan ini wakil Raja Anushirvan (531- 578) iaitu Mehran Setad dikatakan berjaya memilih Puteri Raja Cina yang sebenar. Perkara sama mungkin telah berlaku ketika Tun Perpatih Putih dalam memilih Puteri Hang Li Po bagi pihak Sultan Mansur Shah sekitar tahun 1459.

Gambar 2 - Lukisan bertajuk 'Mehran Setad selects a bride for Anushirvan', oleh Mo‘in Mosavver (1638–1697).

Sekiranya dikaji dalam buku sejarah China memang terdapat banyak catatan tentang perkahwinan antara puteri raja-raja China dengan raja negara asing. Akan tetapi catatan tersebut hanya direkod dari abad pertama sebelum masihi hingga ke abad ke-8 Masihi. Perkara ini terjadi kerana pengajaran Neo-Confucianism yang diamalkan Kerajaan Ming sekitar abad ke-14 menganggap bahawa perkahwinan secara amnya tidak perlu diwarwarkan sehingga terdapat anak lelaki. Dengan itu perkahwinan Puteri Hang Li Po dengan Sultan Mansur Shah tidak dicatat secara khusus, dan memandangkan kelahiran Paduka Mimat di Melaka, ianya tidak dicatat dalam MSL kecuali upacara pertabalan beliau di Melaka pada tahun 1481.

Jika dirujuk silang Sulalatus Salatin, Sultan Mansur Shah tidak pergi ke Cina pada 1459 kerana Melaka sedang dalam permusuhan (perang). Justeru itu, Maharaja Cina telah mengarahkan Puteri Hang Li Po bersama dayang-dayangnya untuk mengikuti perjalanan pulang rombongan ufti Tun Perpatih Putih ke Melaka.

Peristiwa ini disokong rekod Maharaja Ming di mana MSL mencatat bahawa rombongan ufti Melaka telah tiba di Cina pada 7.7.1459 tanpa Sultan Mansur Shah. Kunjungan ini dibalas rombongan Kerajaan Ming yang mengikuti perjalanan pulang rombongan ufti Melaka pada 13.9.1459 untuk upacara pertabalan Sultan Mansur Shah yang diketuai "Supervising Secretary Chen Jia-you" sebagai ketua rombongan dan "Messenger Peng Sheng" sebagai timbalan ketua rombongan. Mereka telah membawa kesemua peralatan, hadiah, catatan ucapan rasmi dan ahli-ahli rombongan bagi upacara pertabalan Sultan Mansur Shah di Melaka.

Jika dikaji garis masa salasilah Maharaja Ming, Puteri Hang Li Po adalah mungkin puteri kepada Maharaja Zhu Qizen (1427-1464) iaitu Maharaja Ming ke-6 & ke-8. Beliau memerintah dengan nama Maharaja Zhengthong (r.1435 -1449) dan kemudian dengan nama Maharaja Tianshun (r.1457-1464). Beliau mempunyai seorang permaisuri utama, seorang 'consort', 7 orang putera dan 8 orang puteri. Puteri-puteri beliau bernama Puteri Chongqing, Jiashan, Chun'an, Chongde, Guangde, Yixing, Longqing & Jiaxiang. Maharaja Zhu Qizen (Tianshun) berusia 36 tahun pada 1459 dan puteri sulungnya masih belasan tahun. Beliau juga mempunyai beribu-ribu gundik yang dikategorikan 7 lapisan pangkat/darjat dibawah permaisuri utama. Jadi kemungkinan besar Puteri Hang Li Poh adalah anak hasil dari hubungan gundik dengan Maharaja dan dengan itu masih mempunyai pertalian darah dan boleh digelar sebagai 'puteri raja'.

Dengan itu, sama seperti sosok Laksamana Hang Tuah, ketiadaan bukti primer tidak bermakna Puteri Hang Li Po itu mitos atau tidak pernah wujud. Kajian sejarah adalah gabungan kajian bukti primer dan sekunder. Dari hipotesis yang didapati dari sumber-sumber tersebut, kita seharusnya mencari bukti-bukti lain yang boleh menyokong dan juga menyangkal hipotesis tersebut. Tujuan kajian sejarah adalah bukan untuk membuktikan sesuatu hipotesis secara "beyond reasonable doubt"; akan tetapi ianya adalah untuk membuktikan apakah yang sebenarnya telah berlaku. Sekiranya kita mempunyai sumber-sumber yang boleh dipercayai dan ianya konsisten, maka akan timbul kepastian bahawa sesuatu fakta sejarah itu wujud dan pernah berlaku.


Rujukan:

1. The Ming Shi-lu (veritable records of the Ming Dynasty) as a source for Southeast Asian history, 14th to 17th centuries, Geoffrey Wade (1994).

2. Ryukyuan Relations with Korea and South Seas Countries: An Annotated Translation of Documents in the Rekidai Hōan. Kobata, Atsushi and Mitsugu Matsuda (1969)

3. Sejarah Melayu diusahakan oleh W.G. Shellabear, Fajar Bakti, (1978).

4. Museums, History and Culture in Malaysia, Abu Talib Ahmad (2015).





1 comment:

  1. Rombongan 1481 dari kerajaan Ming untuk memahkotaka mah mu shah tidak pernah sampai ke melaka kerana karam di lautan.. pada 1484, kerajaam Ming sekali lagi menghantar wakilnya utk memahkotakan mah mu shah.

    ReplyDelete

Ekspedisi Wilkes (1838-1842)

Kapal USS Vincennes, yang memuatkan 190 anak kapal dan merupakan kapal utama Ekspedisi Wilkes. Singapura adalah destinasi terakhir yang dila...