Popular Posts

Friday 22 November 2019

Kapal-Kapal Tradisional Terengganu


Menurut Paul Johnstone dalam 'The Seacraft of Prehistory' (1980), pada kurun ke-3 sebelum masihi perahu-perahu dari Semenanjung Tanah Melayu mula berdagang dengan penduduk pesisir pantai di Cina. Layar jenis 'batten sail' atau 'junk rig' orang-orang Melayu diadaptasi oleh orang-orang Cina dan kemudian menjadi sinonim dengan rekabentuk layar bagi jong-jong Cina. Sekitar kurun ke-10, orang-orang Cina yang mempelajari teknik pembuatan kapal dari pelayar-pelayar Nusantara mula mempunyai kapal-kapal besar untuk mengharungi laut dalam. Dipercayai bahawa Terengganu adalah salah sebuah pelabuhan Melayu yang membekalkan tukang-tukang perahu laut dalam tersebut.

Sekitar abad ke-17, saiz kapal Melayu yang ingin berdagang dengan pelabuhan-pelabuhan dibawah kekuasaan dan naungan Belanda perlu mematuhi undang-undang Belanda tentang saiz maksima yang ditetapkan. Maka kapal-kapal Melayu termasuk di Terengganu mula dibuat dalam saiz yang lebih kecil. Sekitar abad ke-18 hingga ke-19, pengangkutan barang dagangan di Teluk Siam dimonopoli kapal layar kargo dari Terengganu. Malah semasa penjajahan British, salah satu sebab jalan kereta api tidak dibina melalui Terengganu adalah kerana dibimbangi ia akan menggugat perdagangan kapal layar Terengganu. Semasa perang dunia Ke-2 malang menimpa pemilik perahu-perahu dan kapal layar Terengganu kerana perahu dan anak kapal mereka digunakan tentera Jepun untuk meledak periuk api British yang bertaburan di sekitar perairan pantai timur. Jumlah kapal layar Terengganu merosot selepas peristiwa tersebut.

Perahu dan kapal layar Terengganu ini kini lebih dikenali oleh orang-orang luar berbanding orang-orang tempatan yang kurang berminat mempelajari warisan zaman-berzaman ini. Sehingga kini, pembuatan bot kayu buatan tangan yang terkenal di seluruh dunia berada di Pulau Duyong, Terengganu. Pelbagai bentuk perahu telah dihasilkan, tetapi kebanyakannya hanya kita dapat lihat di Muzium Terengganu. 

Gambar Hiasan : Diagram perahu dan kapal layar tradisional Terengganu, cetakan digital di atas kanvas berasaskan lukisan Taib Aur. (Saiz: 21.25in (53.6cm) x 15in (38.1cm)). 

Usaha-usaha mengekalkan pembuatan kapal tradisional Terengganu kini masih dijalankan walau di skala lebih kecil. Pembuat-pembuat perahu tradisional ada yang telah beralih ke pembuatan bot nelayan moden dan juga perahu dan bot replika. Seperti dalam gambar-gambar ini, ada juga usaha untuk menjadikan perahu-perahu tradisional ini sebagai sumber inspirasi bagi menghasilkan lukisan dan cetakan.

Sesiapa yang berminat boleh Whatsapp tuan pelukis di Pulau Duyong ini di: +60177193599



4 comments:

Ekspedisi Wilkes (1838-1842)

Kapal USS Vincennes, yang memuatkan 190 anak kapal dan merupakan kapal utama Ekspedisi Wilkes. Singapura adalah destinasi terakhir yang dila...