Popular Posts

Sunday, 24 November 2019

Keris Gergasi Perlis



Hikayat Merong Mahawangsa (HMM) ada menceritakan tentang kaum gergasi yang diketuai Penghulu Pra’ Chisim di mana beliau dan kaum kerabatnya menjadi pengikut cucu Merong Mahawangsa (anak pertama Raja Merong Mahapudisat) di mana mereka bersama-sama membuka Siam Lanchang. Saya rujuk kandungan HMM yang menyebut seperti berikut :

"Setelah didengarnya oleh Raja Merong Mahapudisat sembah menteri itu,"Jikalau demikian hendaklah saudara kerahkan segala kaum gergasi himpun sekaliannya dan panggil penghulu Pra Chisim dan penghulu Nang Sutaman itu ke mari,kita beri ia pergi bersama-sama anak kita dan orang kita Melayu,setengah kita suroh pergi bersama anak kita yang tua ini kita hantarkan ka hulu di sebelah utara barat laut.Maka tanah bumi itu lanjut jauh jua perjalanannya"

Hikayat Merong Mahawangsa dalam tulisan jawi


Juga pernah diceritakan bahawa tidak lama dahulu sebilah keris gergasi berkaitan HMM pernah menjadi salah satu dari alat kebesaran DiRaja Perlis. Tidak diketahui bilakah ia digunakan dan juga tentang saiz dan dimensi keris tersebut sehingga timbulnya klip filem dari arkib British Pathé ini:



Keris yang dicatat British sebagai "Sword of State" ini dibawa biduanda Istana semasa perarakan pertabalan Raja Perlis iaitu Tuanku Syed Putra ibni al-Marhum Syed Hassan Jamalullail pada tahun 1949. Baginda menaiki takhta kerajaan negeri Perlis pada 4.12.1945 tetapi disebabkan oleh Perang Dunia Kedua, baginda tidak ditabalkan sehingga 12.3.1949.

Perlis adalah asalnya sebuah daerah jajahan Kedah di mana HMM juga adalah relevan dalam konteks dan legasi sejarahnya. Keris tersebut yang dikenali sebagai Keris Kuasa Raja Pemerintah kini telah digantikan dengan keris panjang yang bersaiz biasa. Akan tetapi, tidak diketahui dimanakah keris asal iaitu keris gergasi tersebut kini berada.

Rujukan:


1. Siti Hawa Hj. Salleh (1991). Hikayat Merong Mahawangsa. Universiti Malaya.

2. Arkib British Pathé


No comments:

Post a Comment

Ekspedisi Wilkes (1838-1842)

Kapal USS Vincennes, yang memuatkan 190 anak kapal dan merupakan kapal utama Ekspedisi Wilkes. Singapura adalah destinasi terakhir yang dila...