Popular Posts

Thursday 21 May 2020

Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Pertama

Keberangkatan tiba DYMM SPB Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong ke Majlis Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong pada 2.9.1957 (Sumber: Warisanpermaisuri)

Jawatan Yang di-Pertuan Agong diwujudkan hasil daripada Suruhanjaya Reid yang merangka Perlembagaan Persekutuan. Ianya adalah salah satu dari fasa penting yang dirangka berdasarkan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948.
Cadangan jawatan Yang Di-pertuan Agong timbul berikutan tentangan orang-orang Melayu terhadap penubuhan Malayan Union yang dilihat ingin menghapuskan Institusi Raja-raja Melayu.

Istiadat Pertabalan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang pertama iaitu Tuanku Abdul Rahman ibni al-Marhum Tuanku Muhammad (1895-1960) telah diadakan pada 2.9.1957. Akan tetapi rekod tentang lokasinya tidak beberapa jelas. Kebanyakan rekod menyatakan ianya telah diadakan di Dewan Tunku Abdul Rahman, Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Ini adalah berdasarkan pendapat beberapa pengkaji bahawa Istiadat Pertabalan di Istana Negara hanya bermula dengan pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-7 iaitu pada 10.7.1980.

Walaubagaimanapun, terdapat klip filem dari arkib Imperial War Museums, London, yang membuktikan bahawa Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong pertama telah diadakan di Istana Negara dan bukannya di Dewan Tunku Abdul Rahman. Lihat klip filem yang disertakan disini.


Istiadat Pertabalan pada 2.9.1957 tersebut sebenarnya telah diadakan di Balairong Seri sementara yang dibina di perkarangan Istana Negara di Lornie Drive (Jalan Syed Putra) Kuala Lumpur pada harga RM170,000.00. Balairong Seri sementara tersebut kemudiannya telah dimusnahkan pada penghujung tahun 1957.  Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-2 hingga ke-6 telah diadakan di Dewan Tunku Abdul Rahman, Jalan Ampang. Balairong Seri yang lebih besar telah didirikan di Istana Negara pada tahun 1980 dan menjadi tempat Istiadat Pertabalan bagi Yang di-Pertuan Agong ke-7 hingga ke-13. Pertabalan bagi Yang di-Pertuan Agong ke-14 hingga kini diadakan di Balairong Seri Istana Negara yang baharu di Jalan Duta.

Dalam klip filem ini, kita dapat melihat istiadat yang julung kali diadakan tersebut. Ianya menjadi asas dan tradisi kepada setiap permulaan pemerintahan DYMM SPB Yang di-Pertuan Agong yang dilantik dari kalangan Raja-Raja Melayu setiap 5 tahun sekali.

Alunan tiupan nafiri dan paluan nobat jelas kedengaran memainkan lagu ‘Raja Berangkat’ bagi mengiringi keberangkatan masuk pasangan Diraja itu didahului Datuk Paduka Maharaja Lela Tuan Haji Mustapha Albakri Bin Haji Hasan yang diapit panglima-panglima yang membawa Cogan Alam dan Cogan Agama selain panglima-panglima lain yang membawa alat-alat kebesaran Diraja.

Apa yang menarik, diulas dalam klip filem ini bahawa panglima yang membawa alat kebesaran Diraja terdiri dari pelbagai kaum masyarakat dalam Persekutuan Tanah Melayu iaitu bangsa Melayu, Cina, India dan Serani. Fakta ini disokong akhbar The Straits Times yang merekodkan bahawa pembawa alat kebesaran ini adalah dari kalangan kaum-kaum utama di Tanah Melayu yang dipilih dari anggota Pasukan Tentera Darat, Tentera Laut dan Tentera Udara Persekutuan Tanah Melayu. Lihat potongan akhbar The Straits Times bertarikh 3.9.1957 disini.



Dicatatkan seramai 700 orang jemputan telah hadir di Balairong Seri semasa upacara tersebut. Ianya terdiri dari Raja-Raja Melayu, Duke & Duchess of Gloucester yang mewakili Ratu England, ketua-ketua Kerajaan, Perdana Menteri dan Menteri-Menteri Kabinet, duta-duta, dan jemputan kenamaan yang lain.

Setelah Seri Paduka berdua bersemayam di atas Singgahsana, Datuk Paduka Maharaja Lela kemudiannya memohon perkenan Seri Paduka untuk menzahirkan istiadat pertabalan dengan membawa masuk naskhah al-Quran serta baki alat-alat kebesaran Istiadat Pertabalan ke Balairong Seri termasuk Keris Kerajaan, Surat Pengisytiharan dan Warkah Ikrar yang diiringi paluan nobat lagu ‘Menjunjung Duli’.

Seri Paduka, yang menerima keris dari Datuk Paduka Maharaja Lela, menghunus dan mengucupnya sebagai simbolik kebesaran dan kekuasaan kepada Seri Paduka, sebelum menyarungkan semula keris itu.

Ini disusuli dengan bacaan lafaz ikrar oleh Seri Paduka sebagai Yang di-Pertuan Agong untuk menjalankan pemerintahan seadil-adilnya, mengikut undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan serta memelihara dengan sempurna agama Islam dan berdiri teguh di atas pemerintahan yang adil dan aman.

Sempurna sahaja ikrar dilafazkan, nobat dipalu memainkan lagu 'Raja Bertabal', diikuti laungan 'Daulat Tuanku' sebanyak tiga kali oleh Datuk Paduka Maharaja Lela yang disusuli para hadirin.

Sejurus selepas itu, lagu Negaraku dimainkan dan serentak dengan itu tembakan meriam sebanyak 21 das dilepaskan. Seri Paduka kemudian berkenan menyampaikan Titah Diraja. Upacara kemudian disusuli doa oleh Kadi Besar Negeri Sembilan dan Kadi Besar Perak.  Datuk Paduka Maharaja Lela kemudian menyembahkan maklum bahawa Istiadat Pertabalan DYMM SPB Yang di-Pertuan Agong selamat disempurnakan.

Seterusnya, Balairong Seri sekali lagi bergema dengan tiupan nafiri dan paluan nobat lagu 'Raja Berangkat' mengiringi Seri Paduka meninggalkan istiadat yang didahului Datuk Paduka Maharaja Lela serta diiringi panglima-panglima yang membawa alat-alat Kebesaran Diraja.


Rujukan:

1. Imperial War Museums, London.

2. The Straits Times, 3.9.1957, Diakses dari National Library of Singapore.

3. Istana Negara. Dalam Wikipedia. Diekses pada 21 Mei 2020 dari https://ms.m.wikipedia.org/wiki/Istana_Negara,_Jalan_Istana

4. Pertabalan Yang di-Pertuan Agong. Dalam Wikipedia. Diekses pada 21 Mei 2020 dari https://ms.m.wikipedia.org/wiki/Pertabalan_Yang_di-Pertuan_Agong



Sunday 17 May 2020

Persidangan Parlimen Tanah Melayu Yang Pertama



Istiadat Pembukaan Penggal Majlis Parlimen Persekutuan Tanah Melayu yang pertama pada 11 September 1959 telah dirasmikan oleh Tuanku Abdul Rahman ibni al-Marhum Tuanku Muhammad (1895-1960) iaitu Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang merupakan Yang di-Pertuan Agong Pertama Persekutuan Tanah Melayu.




Persidangan Parlimen tersebut telah diadakan di Dewan Tunku Abdul Rahman yang sekarang ini dikenali sebagai Kompleks Penerangan Pelancongan Malaysia (MATIC).  Dewan ini terletak di Jalan Ampang dan dibina pada tahun 1935. Pada asalnya dewan ini merupakan kediaman En. Eu Tong Sen, seorang pelombong dan pengusaha ladang getah yang kaya dan terkenal di Kuala Lumpur.


Parlimen Pertama Persekutuan Tanah Melayu di Dewan Tunku Abdul Rahman, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Sistem Parlimen Persekutuan Tanah Melayu ini adalah berdasarkan sistem Parlimen Westminster iaitu berasaskan konsep Raja Berperlembagaan. Di Parlimen Westminster, Ratu England akan membahasakan Kerajaannya sebagai "My Government". Seperti yang dapat disaksikan di dalam klip filem ini, Yang di-Pertuan Agong juga membahasakan Kerajaan yang dibentuk sebagai "My Government" iaitu "Kerajaan Beta".

Persidangan Parlimen 11 September 1959

Parlimen Persekutuan Tanah Melayu (kemudian Malaysia) terdiri daripada Dewan Rakyat dan Dewan Negara (atau Senat). Ahli Dewan Rakyat dikenali sebagai ahli Parlimen, manakala ahli Dewan Negara diberi gelaran Senator.

Aturan Urusan Mesyuarat yang pertama ialah pemilihan Yang di-Pertua bagi kedua-dua dewan tersebut. Ini diikuti oleh majlis mengangkat sumpah oleh kesemua 38 Ahli Dewan Negara dan 104 Ahli Dewan Rakyat.

Sumber:

1. Imperial War Museums, London.
2. Parlimen Malaysia


Friday 15 May 2020

Penerbangan Penumpang Pertama Di Tanah Melayu



Pada tahun 1911, seorang warga Denmark bernama Gijsbertus Peter Küller (GP Küller) membuat pertunjukan udara di Semenanjung Tanah Melayu dengan pesawat Perancis jenis Antoinette VII monoplane (Gambar 1). Pertunjukan udara tersebut telah diadakan di Pulau Pinang dari 1 hingga 3 Jun 1911, di Kuala Lumpur dari 16 hingga 18 Jun 1911, dan di Ipoh dari 1 hingga 3 Julai 1911. Penerbangan di Kuala Lumpur iaitu di padang lumba kuda Jalan Ampang dicatatkan dalam sejarah sebagai penerbangan pertama di Semenanjung Tanah Melayu. Ia juga dilaporkan sebagai penerbangan paling tinggi di mana pesawat GP Küller berjaya diterbangkan setinggi 1,500 hingga 1,600 kaki. Secara kebetulan, Menara Berkembar Petronas (Menara KLCC) yang mempunyai 88 bilangan tingkat, siap dibina 88 tahun selepas penerbangan GP Küller di lokasi yang sama. Aras tertinggi penerbangan GP Küller pada tahun 1911 pula sama dengan aras ketinggian Menara KLCC yang dirasmikan pada tahun 1999.

Gambar 1: Gijsbertus Peter Küller (1911) (Sumber: Quora.com)

Penerbangan antarabangsa pertama yang mendarat di Tanah Melayu pula adalah pesawat kargo KLM jenis Fokker F.VII pada 21.11.1924 di Kedah (Gambar 2). Ia bertolak dari Amsterdam pada 1.10.1924 dan tiba di Kepala Batas, Alor Setar pada 21.11.1924. (Lihat: Penerbangan Antarabangsa Pertama di Tanah Melayu)

Gambar 2: Pesawat KLM Foker F.VII bersama muatan kargo dan 3 anak kapal yang pernah tiba di Kepala Batas, Alor Setar pada 21.11.1924.

Singapura pula mempunyai rekod penerbangan yang lebih awal iaitu pada 16.3.1911 oleh seorang warga Belgium bernama Josef Christiaens dengan pesawat British iaitu Bristol Boxkite biplane (Gambar 3). Penerbangan antarabangsa yang tiba di Singapura juga direkodkan berlaku lebih awal iaitu melalui pesawat Vickers Vimy yang dipandu Kapten Ross Smith pada 4.12.1919 (Gambar 4).
Gambar 3: Josef Christiaens dengan pesawat British Bristol Boxkite biplane di Farrer Park, Singapura (Sumber: The Straits Times © Singapore Press Holdings Limited)

eToro urges Malaysians to make side income in the digital age


Gambar 4: Pesawat Vickers Vimy yang singgah di Farrer Park, Singapura pada 4.12.1919 dalam perjalanan dari London ke Darwin (Sumber: Roots.sg & National Archives of Singapore )

Walaubagaimanapun, pesawat-pesawat awal ini tidak membawa penumpang berbayar. Jika dikaji, penerbangan penumpang berbayar pertama di Semenanjung Tanah Melayu dan Singapura telah dilakukan pada tahun 1924 iaitu semasa pertunjukan udara yang dibuat oleh Pierre Chanteloup (1890-1976) dengan menggunakan pesawat Perancis jenis Caudron biplane (Gambar 5).
Gambar 5: Pierre Chanteloup dengan pesawat Caudron biplane (Sumber: Wikipedia)

Pertunjukan udara oleh warga Perancis ini dibuat di beberapa buah tempat termasuk di Hindia Timur Belanda, Singapura dan juga Semenanjung Tanah Melayu. Kapal terbang beliau dibawa dari Perancis ke Hindia Timur Belanda dan kemudian ke Singapura melalui kapal laut. Menurut laporan akhbar Singapura, Pierre Chanteloup telah membuat pertunjukan udara pada 24 hingga 26 April 1924 di padang Balestier, Singapura. Ia direkodkan sebagai penerbangan penumpang berbayar pertama di Singapura (Gambar 6 & 7).
Gambar 6: Akhbar The Singapore Free Press and Mercantile Advertiser bertarikh 24.4.1924 (Sumber: National Library of Singapore)

Gambar 7: Akhbar The Singapore Free Press and Mercantile Advertiser bertarikh 25.4.1924 (Sumber: National Library of Singapore)

Menurut informasi dari laman web Artcurial.com pula, terdapat pertunjukan udara pada 3 hingga 5 Mei 1924 yang diadakan di "Malaka, Kuala Lumpur". Dari informasi ini, tidak dapat dipastikan samada ianya di Melaka ataupun di Kuala Lumpur, atau di kedua-dua tempat. Rekod arkib Perancis selalunya didapati mengelirukan kerana menyebut Malaya dan Tanah Melayu sebagai Malaka (Melaka). Ada pula rekod Perancis yang menyatakan Kuala Lumpur sebagai sebuah negara. Laman web Artcurial.com juga turut mempamirkan poster iklan dalam Bahasa Melayu tentang penerbangan 1924 tersebut (Gambar 8). Akan tetapi, lokasi pertunjukan udara oleh Pierre Chanteloup tersebut tidak dinyatakan di dalam iklan tersebut.
Gambar 8: Poster Iklan Penerbangan Pierre Chanteloup (1924) (Sumber: Artcurial.com). Poster 41x21 cm ini dicetak oleh Kie Sheng Press (Singapore) dan dianggar berharga antara RM5,000 hingga RM7,000.

Kekeliruan ini dirungkai dan dijawab oleh Encik Muhammad Zaidee Daut dari Perbadanan Perpustakaan Awam Melaka. Dalam satu temubual, beliau memaklumkan bahawa wujud sekeping gambar yang dapat membuktikan bahawa kapal terbang tersebut telah mendarat di Melaka (Gambar 9). Menurutnya lagi, penerbangan tersebut adalah merupakan penerbangan paling awal di negeri Melaka di mana gambar tersebut menunjukkan Pierre Chanteloup sedang berdiri di hadapan kapal terbangnya bersama beberapa orang penduduk Melaka. Salah seorang darinya adalah paderi Katolik berbangsa Perancis bernama Reverend Father René Edouard Cardon (1877-1948) yang ketika itu bertugas di Gereja St. Francis Xavier Melaka. Father Cardon tersebut adalah pengasas Muzium Melaka yang ditubuhkan pada tahun 1935, dan juga penulis buku bertajuk 'A Tercentenary - The Fall of Portuguese Malacca to the Dutch (1641-1941)'.
Gambar 9: Pierre Chanteloup bersama beberapa orang dari Melaka. Reverend Father René Edouard Cardon di sebelah kiri bahagian hadapan kapal terbang (Sumber: Muhammad Zaidee Daut, Perbadanan Perpustakaan Awam Melaka)

Dirujuk silang dengan poster iklan yang dilelong Artcurial.com (Gambar 8), saya percaya bahawa peristiwa penerbangan di Melaka yang dirumuskan oleh Muhammad Zaidee juga adalah penerbangan penumpang berbayar yang pertama di Semenanjung Tanah Melayu. Ini adalah kerana setiap penerbangan dikenakan caj bayaran sebanyak $25 bagi seorang penumpang, dan $40 bagi 2 orang penumpang. Dirujuk silang akhbar The Singapore Free Press and Mercantile Advertiser bertarikh 25.4.1924 (Gambar 7) pula, kita boleh dapati bahawa semasa pertunjukan udara di Singapura, setiap penerbangan berbayar telah mengelilingi ruang udara kawasan pertunjukan selama 10 minit. Dipercayai modus operandi yang sama terpakai semasa pertunjukan udara di Melaka.

Menurut butiran dalam poster iklan tersebut lagi, selain dari penerbangan bebayar, caj 20 sen dikenakan kepada setiap pelawat yang hadir di pertunjukan udara di Melaka di mana Pierre Chanteloup membuat beberapa aksi penerbangan aerobatik termasuk mematikan enjin di aras 3,000 kaki, dan menangkap 50 belon yang dilepaskan ke udara.  Sebagai tarikan, penerbangan percuma juga diberikan kepada 5 pemegang tiket pertunjukan udara yang bertuah.


Rujukan:

1. Pierre Chanteloup. Dalam Wikipedia. Diekses pada 17 April 2020 dari https://fr.m.wikipedia.org/wiki/Pierre_Chanteloup

2. The Singapore Free Press and Mercantile Advertiser, 24 April 1924, Diakses dari National Library of Singapore.

3. The Singapore Free Press and Mercantile Advertiser, 25 April 1924, Diakses dari National Library of Singapore.

4. Lot 237, Exhibition de Voltige Aérienne de Pierre Canteloup à Malaka, Kuala Lumpur, du 3 au 5 mai 1924. Diakses pada 17 April 2020 dari: https://www.artcurial.com/en/lot-exhibition-de-voltige-aerienne-de-pierre-canteloup-malaka-kuala-lumpur-du-3-au-5-mai-1924-1912

5. Daut, Muhammad Zaidee (2020, April 17-19). Temubual melalui telefon dan whatsapp.



Ekspedisi Wilkes (1838-1842)

Kapal USS Vincennes, yang memuatkan 190 anak kapal dan merupakan kapal utama Ekspedisi Wilkes. Singapura adalah destinasi terakhir yang dila...