Popular Posts

Thursday, 21 May 2020

Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Pertama

Keberangkatan tiba DYMM SPB Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong ke Majlis Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong pada 2.9.1957 (Sumber: Warisanpermaisuri)

Jawatan Yang di-Pertuan Agong diwujudkan hasil daripada Suruhanjaya Reid yang merangka Perlembagaan Persekutuan. Ianya adalah salah satu dari fasa penting yang dirangka berdasarkan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948.
Cadangan jawatan Yang Di-pertuan Agong timbul berikutan tentangan orang-orang Melayu terhadap penubuhan Malayan Union yang dilihat ingin menghapuskan Institusi Raja-raja Melayu.

Istiadat Pertabalan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang pertama iaitu Tuanku Abdul Rahman ibni al-Marhum Tuanku Muhammad (1895-1960) telah diadakan pada 2.9.1957. Akan tetapi rekod tentang lokasinya tidak beberapa jelas. Kebanyakan rekod menyatakan ianya telah diadakan di Dewan Tunku Abdul Rahman, Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Ini adalah berdasarkan pendapat beberapa pengkaji bahawa Istiadat Pertabalan di Istana Negara hanya bermula dengan pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-7 iaitu pada 10.7.1980.

Walaubagaimanapun, terdapat klip filem dari arkib Imperial War Museums, London, yang membuktikan bahawa Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong pertama telah diadakan di Istana Negara dan bukannya di Dewan Tunku Abdul Rahman. Lihat klip filem yang disertakan disini.


Istiadat Pertabalan pada 2.9.1957 tersebut sebenarnya telah diadakan di Balairong Seri sementara yang dibina di perkarangan Istana Negara di Lornie Drive (Jalan Syed Putra) Kuala Lumpur pada harga RM170,000.00. Balairong Seri sementara tersebut kemudiannya telah dimusnahkan pada penghujung tahun 1957.  Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-2 hingga ke-6 telah diadakan di Dewan Tunku Abdul Rahman, Jalan Ampang. Balairong Seri yang lebih besar telah didirikan di Istana Negara pada tahun 1980 dan menjadi tempat Istiadat Pertabalan bagi Yang di-Pertuan Agong ke-7 hingga ke-13. Pertabalan bagi Yang di-Pertuan Agong ke-14 hingga kini diadakan di Balairong Seri Istana Negara yang baharu di Jalan Duta.

Dalam klip filem ini, kita dapat melihat istiadat yang julung kali diadakan tersebut. Ianya menjadi asas dan tradisi kepada setiap permulaan pemerintahan DYMM SPB Yang di-Pertuan Agong yang dilantik dari kalangan Raja-Raja Melayu setiap 5 tahun sekali.

Alunan tiupan nafiri dan paluan nobat jelas kedengaran memainkan lagu ‘Raja Berangkat’ bagi mengiringi keberangkatan masuk pasangan Diraja itu didahului Datuk Paduka Maharaja Lela Tuan Haji Mustapha Albakri Bin Haji Hasan yang diapit panglima-panglima yang membawa Cogan Alam dan Cogan Agama selain panglima-panglima lain yang membawa alat-alat kebesaran Diraja.

Apa yang menarik, diulas dalam klip filem ini bahawa panglima yang membawa alat kebesaran Diraja terdiri dari pelbagai kaum masyarakat dalam Persekutuan Tanah Melayu iaitu bangsa Melayu, Cina, India dan Serani. Fakta ini disokong akhbar The Straits Times yang merekodkan bahawa pembawa alat kebesaran ini adalah dari kalangan kaum-kaum utama di Tanah Melayu yang dipilih dari anggota Pasukan Tentera Darat, Tentera Laut dan Tentera Udara Persekutuan Tanah Melayu. Lihat potongan akhbar The Straits Times bertarikh 3.9.1957 disini.



Dicatatkan seramai 700 orang jemputan telah hadir di Balairong Seri semasa upacara tersebut. Ianya terdiri dari Raja-Raja Melayu, Duke & Duchess of Gloucester yang mewakili Ratu England, ketua-ketua Kerajaan, Perdana Menteri dan Menteri-Menteri Kabinet, duta-duta, dan jemputan kenamaan yang lain.

Setelah Seri Paduka berdua bersemayam di atas Singgahsana, Datuk Paduka Maharaja Lela kemudiannya memohon perkenan Seri Paduka untuk menzahirkan istiadat pertabalan dengan membawa masuk naskhah al-Quran serta baki alat-alat kebesaran Istiadat Pertabalan ke Balairong Seri termasuk Keris Kerajaan, Surat Pengisytiharan dan Warkah Ikrar yang diiringi paluan nobat lagu ‘Menjunjung Duli’.

Seri Paduka, yang menerima keris dari Datuk Paduka Maharaja Lela, menghunus dan mengucupnya sebagai simbolik kebesaran dan kekuasaan kepada Seri Paduka, sebelum menyarungkan semula keris itu.

Ini disusuli dengan bacaan lafaz ikrar oleh Seri Paduka sebagai Yang di-Pertuan Agong untuk menjalankan pemerintahan seadil-adilnya, mengikut undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan serta memelihara dengan sempurna agama Islam dan berdiri teguh di atas pemerintahan yang adil dan aman.

Sempurna sahaja ikrar dilafazkan, nobat dipalu memainkan lagu 'Raja Bertabal', diikuti laungan 'Daulat Tuanku' sebanyak tiga kali oleh Datuk Paduka Maharaja Lela yang disusuli para hadirin.

Sejurus selepas itu, lagu Negaraku dimainkan dan serentak dengan itu tembakan meriam sebanyak 21 das dilepaskan. Seri Paduka kemudian berkenan menyampaikan Titah Diraja. Upacara kemudian disusuli doa oleh Kadi Besar Negeri Sembilan dan Kadi Besar Perak.  Datuk Paduka Maharaja Lela kemudian menyembahkan maklum bahawa Istiadat Pertabalan DYMM SPB Yang di-Pertuan Agong selamat disempurnakan.

Seterusnya, Balairong Seri sekali lagi bergema dengan tiupan nafiri dan paluan nobat lagu 'Raja Berangkat' mengiringi Seri Paduka meninggalkan istiadat yang didahului Datuk Paduka Maharaja Lela serta diiringi panglima-panglima yang membawa alat-alat Kebesaran Diraja.


Rujukan:

1. Imperial War Museums, London.

2. The Straits Times, 3.9.1957, Diakses dari National Library of Singapore.

3. Istana Negara. Dalam Wikipedia. Diekses pada 21 Mei 2020 dari https://ms.m.wikipedia.org/wiki/Istana_Negara,_Jalan_Istana

4. Pertabalan Yang di-Pertuan Agong. Dalam Wikipedia. Diekses pada 21 Mei 2020 dari https://ms.m.wikipedia.org/wiki/Pertabalan_Yang_di-Pertuan_Agong



No comments:

Post a Comment

Ekspedisi Wilkes (1838-1842)

Kapal USS Vincennes, yang memuatkan 190 anak kapal dan merupakan kapal utama Ekspedisi Wilkes. Singapura adalah destinasi terakhir yang dila...