Popular Posts

Friday 1 November 2019

Laksamana Melaka di Istana Ryukyu

Gambar Hiasan - Poster Filem "Melanchong Ka Tokyo" (1964).


Pada tahun 2002 sebilah keris 9 lok telah dijumpai ditanam di dalam tembikar bersama artifak-artifak lain di Jepun (Gambar 1).

Gambar 1
Ia dipercayai digunakan sebagai suatu persembahan dalam suatu upacara pemujaan di kuil Engaku-ji iaitu di bahagian utara kompleks Istana Shuri di Okinawa (dulu Ryukyu) (Gambar 2).

Gambar 2
Professor Kurayoshi Takara dari University of the Ryukyus secara peribadi berpendapat bahawa keris tersebut mungkin berasal dari Melaka kerana menurut catatan Rekidai Hōan orang-orang Ryukyu telah berlayar sebanyak 10 kali pelayaran ke Melaka dari 1463-1511.


Istana Shuri (Gambar 3) adalah istana bagi Kerajaan Ryukyu yang diasaskan oleh Raja Shō Hashi yang telah mengabungkan 3 wilayah utama Ryukyu iaitu Chūzan, Hokuzan, dan Nanzan.

Gambar 3

Istana Shuri ini digunakan sebagai tempat kediaman dan juga pusat pentadbiran bagi Dinasti Shô pertama dari tahun 1429 hingga 1469, dan kemudian bagi Dinasti Shô kedua dari tahun 1470 sehingga 1879.  Kuil Engaku-ji pula adalah kuil keluarga Dinasti Shô kedua yang dibina pada tahun 1492 oleh Raja Shō Shin (1465–1527) (Gambar 4).

Gambar 4

Struktur asal kuil Engaku-ji dan Istana Shuri sebenarnya telah musnah semasa perang dunia kedua dalam 'Battle of Okinawa' sekitar tahun 1945. Kedua-dua bangunan ini telah dibina semula berdasarkan rekod-rekod dan gambar lama. Istana Shuri telah dijadikan kampus bagi Okinawa Prefectural University of Arts dan kemudian diangkat sebagai 'World Heritage Site' oleh UNESCO. Manakala kuil Engaku-ji masih didalam proses restorasi.

Dari rekod Portugis, apabila mereka tiba di Melaka sekitar awal abad ke-16, mereka dapat menyaksikan orang-orang Ryukyu yang digelar "Gores" yang menjalankan urusan perdagangan di pelabuhan Melaka. Portugis amat kagum dengan disiplin dan kejujuran orang Ryukyu. Cara mereka berpakaian juga dicatat dan sama seperti yang direkod dalam Gambar 5 yang diambil sekitar era Meiji.

Gambar 5 - Lima orang lelaki Ryukyu zaman Meiji

Dicatat juga ketika itu Ryukyu menghantar 2 hingga 3 kapal setiap tahun. Kapal-kapal Ryukyu akan bertolak pada setiap bulan Januari, dan pulang ke Ryukyu pada bulan Ogos ke September. Barang dagangan yang dibawa mereka adalah terdiri dari jagung, kain sutera, tenunan emas, porselin, tawas, tembaga, ketulan emas, serbuk emas dan perak.

Melalui catatan Ryukyu pula, orang-orang Melaka juga telah sampai ke Ryukyu. Ini dibuktikan catatan dalam Rekidai Hōan seperti berikut:-

a) Mac 1480 : Seorang "Lo-Hsi-Ma-Na" (Laksamana) Melaka telah menulis sepucuk surat bagi pihak Sultan Melaka (Sultan Alauddin Riayat Shah? yang berumur 6 tahun) kepada Raja Shō Shin pada Mac 1480. (Tahun Cina: 16/2/?). Lihat catatan berkait.

b) April 1480 : "Lo-Hsi-Ma-Na" (Laksamana) Melaka berada di Ryukyu di mana beliau telah menulis surat bagi pihak Sultan Melaka kepada Raja Shō Shin pada 11.4.1480. (Tahun Cina: 16/3/2). Juga ditulis tentang risikan Melaka berkenaan sebuah kapal Ryukyu yang terdampar di utara Annam dan kemudian diserang oleh tentera Annam di mana 2 orang sahaja yang terselamat.

c) April 1481 -  "Lo-Hsi-Ma-Na" (Laksamana) Melaka berada di Ryukyu di mana beliau telah menulis surat bagi pihak Sultan Melaka kepada Raja Ryukyu pada April 1481. (Tahun Cina: 17/3/?)

Menurut rekod Dinasti Ming (Ming Shi-lu) pula, Laksamana Melaka berada di Istana Ming dari bulan Ogos - September 1481 untuk menghantar ufti, membuat aduan terhadap Annam dan mendapat perintah kebenaran melengkap & melatih bala tentera dan membalas jika diserang Annam. Lihat: Peranan 'Hang Tuah' Dalam Kes Pertikaian Melaka - Annam

Nota: Sebelum artikel ini siap ditulis, malangnya Istana Shuri telah musnah dalam satu kebakaran pada awal pagi 31.10.2019.



Rujukan:

1. The Ming Shi-lu (veritable records of the Ming Dynasty) as a source for Southeast Asian history, 14th to 17th centuries, Geoffrey Wade (1994).

2. Ryukyuan Relations with Korea and South Seas Countries: An Annotated Translation of Documents in the Rekidai Hōan. Kobata, Atsushi and Mitsugu Matsuda (1969)

3. Comentários de Afonso de Albuquerque, (1557), t. A Bailo, Combra (1923).



Tuesday 29 October 2019

Keris Bugis di London


Gambar ini adalah gambar keris-keris Bugis abad ke-18 yang dilelong oleh Sotheby's di London pada 7.10.2009. Dipercayai 2 keris panjang bersarung perak dalam gambar ini digunakan untuk menyalang iaitu hukuman bunuh di zaman pemerintahan Daeng Chelak (r. 1728-1745) dan Daeng Kemboja (r. 1745-1777); di mana pesalah yang dijatuhkan dengan hukuman mati akan ditikam dari bahagian lekuk bahu kiri ke bahagian jantung.

Keris panjang sebelah kanan dalam gambar ini dipercayai digunakan di zaman pemerintahan Daeng Chelak (Yang Dipertuan Muda (YDM) Johor-Riau II). Ini adalah kerana ada dicatat tahunnya iaitu "1155" Hijrah (1742-1743 Masihi) di atas tulang keris.

Manakala keris panjang sebelah kiri dalam gambar mengandungi ukiran nama "Raja Fatimah" dan tahun "1178" Hijrah (1764-1765 Masihi) di bahagian sampir keris. Raja Fatimah (Srikandi Riau) adalah anak kepada Daeng Marewah (YDM Johor-Riau I) (mangkat 1728). Raja Fatimah juga adalah isteri kepada Daeng Kemboja (YDM Johor-Riau III) (mangkat 1777). Semasa pemerintahan Daeng Kemboja jawatan Engku Kelana (Timbalan YDM) telah diwujudkan dan sepupu mereka, Raja Haji Fisabillilah (1727-1784), telah dilantik sebagai Engku Kelana yang pertama.


Apa yang menarik, sampir keris panjang dengan catatan nama "Raja Fatimah" tersebut juga diukir dengan kalimah Basmallah, kalimah Tauhid, dan sepotong ayat Al-Quran iaitu:
"كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ"
yang bermaksud "Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati". Potongan ayat ini boleh didapati dalam 3 surah iaitu Surah Al-'Imran (III), di permulaan Ayat 185; Surah al-Anbiya (XXI), di permulaan Ayat 35; dan Surah al-'Ankabut (XXIX), di permulaan Ayat 57.

Keris di bahagian tengah pula terdapat tulisan Jawi yang mungkin menyatakan nama dan asal usul pemiliknya iaitu "Tengku Isa Kuala Berang Tringkanu". Mungkinkah beliau pemilik terakhir keris-keris ini sebelum kesemuanya dibawa ke England?


Semasa katalog lelongan dikeluarkan pada tahun 2009, tiada penerangan tentang kaitan keris-keris ini dengan pemerintahan Daeng Chelak dan Daeng Kemboja. Keturunan putera-putera Bugis dari Sulawesi ini adalah suatu kuasa de facto yang paling berpengaruh dalam penubuhan beberapa Kesultanan di Nusantara. Juga dalam penerangan lelongan nama Raja Fatimah telah disalah transliterasi sebagai "Raj Fatma" dan keris beliau telah diberi tahun yang salah iaitu 1278H (1861-62M).  Ini mungkin telah menyebabkan nilai ketiga-tiga keris ini hanya dianggar dari GBP4,000 hingga GBP5,000 oleh pihak pelelong.

Menurut rekod Sotheby's lagi, keris-keris ini iaitu Lot 160 tidak berpindah tangan semasa lelongan pada 7.10.2009. Tidak beberapa jelas tentangnya kecuali dicatat 3 kemungkinan iaitu samada lelongan ditarik balik atas arahan pemilik, tidak jadi dilelong atas arahan pelelong, atau tiada pembida.

Kemaskini:

Penulis dimaklumkan bahawa dua bilah keris salang tersebut berada dalam koleksi Tuan Muhamad Halid Bani dari Singapura.

Kredit foto: Tuan Muhamad Halid Bani.



Monday 28 October 2019

San Francisco Melaka

Sebelum wujudnya bandar San Francisco di California, USA (1776), Melaka telah terlebih dahulu mempunyai penempatan yang dinamakan sempena nama 'St Francis of Assisi' ini iaitu di Bukit Cina (Gambar 1).

Gambar 1: Lakaran keadaan sekitar kota Melaka dalam "Livro das Plantas de todas as fortalezas, cidades e povoaçoens do Estado da Índia Oriental" oleh António de Bocarro, Goa, 1635.

Perkara ini dibuktikan dalam laporan Balthasar Bort (1678) iaitu Gabenor Belanda Melaka ke-6, di mana beliau menyatakan orang-orang Portugis menamakan Bukit Cina sebagai 'St Francisco'. (Gambar 2 & 3). Menurut Balthasar Bort, Bukit Cina sebelum itu adalah penempatan bagi masyarakat Cina semenjak kurun ke-15.

Gambar 2

Gambar 3


Bukit Cina mempunyai keluasan 26 hektar dan mengandungi 5 buah bukit, iaitu Bukit Tempurung, Bukit Cina, Bukit Tinggi, Bukit Tengah dan Bukit Gedong. Menurut Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu), Puteri Hang Li Po dengan 500 orang dayang telah dihantar oleh Maharaja Ming ke Melaka untuk dikahwinkan dengan Sultan Mansur Shah (1459-1477). Kerana keperluan menempatkan rombongan yang besar, kawasan bukit di Timur Laut Istana Melaka dipilih untuk dijadikan kediaman Puteri Hang Li Po bersama dayang-dayangnya.

70 tahun selepas menakluk Melaka, Portugis membina kubu dan gereja Katolik yang dinamakan Madre De Deus (Mother of God) dan juga sebuah biara sekitar tahun 1581. Selain gereja dan biara di puncak Bukit Cina, terdapat penempatan berkubu di lereng St Francisco Melaka ini (Gambar 1). Lukisan (Gambar 4) pula menunjukkan terdapat struktur bangunan lebih awal yang sedang terbakar di puncak Bukit Cina iaitu semasa Portugis Melaka diserang Kesultanan Aceh Darussalam sekitar 1568.

Gambar 4: Lakaran Pengepungan Melaka 1568. Sumber: Brazil National Library.

Sama seperti St Francisco Melaka, sejarah awal penerokaan San Francisco USA dimulakan penjajah dari Semenanjung Iberia dengan pembinaan kubu, penempatan kecil dan Gereja Katolik Francis Asisi. Sama seperti St Francisco Melaka, San Francisco USA juga terletak dikawasan bukit yang beralun. Penempatan penduduk Cina di kedua-dua kawasan ini juga adalah penempatan masyarakat Cina yang terawal dalam sejarah kedua-dua negara. Juga secara kebetulan mukabumi, infrastruktur dan perancangan bandar San Francisco USA dikatakan banyak mempunyai persamaan dengan apa yang wujud di ibu negeri Portugal iaitu Lisbon. (Gambar 5).

Gambar 5

Berbalik ke Melaka, gereja & biara di puncak St Francisco ini musnah dalam serangan tentera Kesultanan Aceh Darussalam pada tahun 1629 dan ianya kemudian telah dibina semula. Selepas Portugis Melaka jatuh ke tangan Belanda, Gabenor-Gabenor Belanda, khususnya semasa pentadbiran Balthasar Bort, telah secara sistematik menutup gereja dan menghalang aktiviti Jesuit dan ajaran Katolik.

Apa yang mencorakkan perancangan bandar Melaka selanjutnya adalah pendirian Belanda yang tidak berminat untuk memajukan penempatan di kawasan Bukit Cina yang dianggap berisiko tinggi dan sukar dipertahankan apabila diserang musuh. Belanda hanya menumpukan usaha untuk memperbesarkan dan menaik-taraf Kota Melaka.

Dengan itu pada tahun 1685 Belanda membuat keputusan untuk menjual Bukit Cina kepada Kapitan Lee Wei King. Maka bermulalah haluan sejarah yang berbeza bagi 'St Francisco Melaka' ini yang dijadikan kawasan khusus bagi tujuan tanah perkuburan di bawah tadbir urus Tokong Cheng Hoon Teng. Kini selain dari kawasan perkuburan, tiada lagi kesan peninggalan penempatan mahupun bangunan gereja atau biara di Bukit Cina.

Sumber:

1. "Report of Governor Balthazar Bort on Malacca (1678)", JMBRAS, August 1927.

2. "Eredia's Description of Malacca, Meridional India, and Cathay Translated from the Portuguese, with Notes", by JV Mills, JMBRAS, Vol VIII, 1930.

3. The fortress of Malacca by Antonio Boccaro (1635), in Decadas 13 da Historia da India (1876).



Ekspedisi Wilkes (1838-1842)

Kapal USS Vincennes, yang memuatkan 190 anak kapal dan merupakan kapal utama Ekspedisi Wilkes. Singapura adalah destinasi terakhir yang dila...