Popular Posts

Showing posts sorted by relevance for query amerika. Sort by date Show all posts
Showing posts sorted by relevance for query amerika. Sort by date Show all posts

Sunday 17 January 2021

Misteri Keris di Kuil Purba India


Gambar 1: Lukisan tahun 1733 bertajuk "Dit beeld, Tempel en Tooren, Hoog zo op het veld op Nagapatnam op de kust op Coromandel". (Patung, Kuil & Menara di sebuah padang di Nagapattinam, di pesisir pantai Coromandel). Sumber: Rijksmuseum, Amsterdam.

Terdapat sebuah lukisan Belanda tahun 1733 yang menggambarkan runtuhan lama sebuah kuil Buddha yang terletak di Nagapattinam, Tamil Nadu, India (Gambar 1). Pengkaji Belanda menyatakan bahawa lukisan tersebut adalah imej kuil Chudamani Vihara yang kemudiannya telah dimusnahkan mubaligh Jesuits sekitar tahun 1867 (Gambar 2).  

Gambar 2: Lakaran menara kuil Chudamani Vihara yang hanya tinggal 3 tingkat sekitar tahun 1846, 21 tahun sebelum ianya dirobohkan mubaligh Jesuits.

Apa yang menarik, sekiranya diteliti bahagian kiri lukisan kuil tahun 1733 tersebut, terdapat sebilah keris yang digenggam tangan kiri patung tersebut (Gambar 3). Keris tersebut kononnya digunakan untuk memenggal kepala dua orang musuh.  Siapakah identiti disebalik patung tersebut? Apakah kaitan kuil purba ini dengan keris? Mungkinkah ia dibina pedagang dari Nusantara?


Gambar 3: Kewujudan sebilah keris digenggaman tangan patung di kuil Chudamani Vihara.

Saya berpendapat prasasti diRaja Rajendra Chola I atau dikenali sebagai 'Leiden Plates' yang kini disimpan di Belanda mungkin dapat memberikan jawapan terhadap persoalan tersebut. (Gambar 4 & 5). 


Gambar 4: Prasasti diRaja Rajendra Chola I atau dikenali sebagai Leiden Plates. Sumber: Leiden University Library, Amsterdam.

Gambar 5: Dua kepingan plat terakhir Prasasti diraja Rajendra Chola I (Leiden Plates).


Prasasti ini diperbuat dari tembaga dan ianya tahan karat. Kepingan plat tembaga diikat dengan lingkaran gangsa yang mempunyai meterai diRaja (Royal Seal). Plat tembaga-nya terbahagi kepada dua bahagian, satu dalam bahasa Sanskrit, satu dalam bahasa Tamil. Bahagian Sanskrit (5 keping plat) menceritakan salasilah dinasti Chola, dimulai dengan pujian-pujian berunsur ketuhanan. Bahagian Tamil (16 keping plat) pula menceritakan pemerintahan Rajaraja Chola I (r. 985-1012), iaitu ayahanda kepada Rajendra Chola I (r. 1012-1044).

Secara khususnya, prasasti seberat 30 kilogram tersebut mencatatkan bahawa pada tahun 1006, Rajaraja Chola I telah memerintahkan supaya keseluruhan kutipan cukai 26 buah kampung bersempadan daerah Anaimangalam disumbangkan kepada seorang raja Melayu dari Srivijaya bernama Sri Maravijayottunggavarman (r. 1008-c.1025). Ianya diberikan khusus kepada raja Melayu dinasti Sailendra tersebut supaya dapat dibangunkan sebuah kuil Buddha (vihara) di Nagapattinam dan dinamakan sempana nama ayahandanya Sri Chulamanivarman (r. 988–1008). Tujuan utama ianya didirikan adalah sebagai tempat ibadat para pedagang Srivijaya yang umumnya beragama Buddha Mahayana & Vajrayana. Mereka terdiri dari pandai besi dan pedagang "Kadaraththu Irumbu" [Eng: Iron from Kadaram / BM: Besi Kadaram].   Selain dari besi Kadaram, pedagang Srivijaya yang ke Chola juga mengekspot "Kidaravan" [Eng: Teakwood from Kidaram / BM: Kayu jati dari Kidaram] yang digunakan kerajaan Chola untuk membina bangunan dan kapal.  Prasasti tersebut juga menerangkan tentang pra-syarat pemilikan tanah kuil, sistem kebersihan kawasan dan perairan yang perlu dipatuhi, dan juga arahan supaya keluarga dan penganut agama Buddha di kawasan tersebut diterima dan dilindungi oleh penduduk tempatan yang beragama Hindu.

Walaubagaimanapun, hubungan baik Srivijaya dengan kerajaan Chola tidak kekal lama. Pada tahun 1025, Rajendra Chola I telah melancarkan perang ke atas Srivijaya dan menakluk hampir kesemua kota-kota di Semenanjung Tanah Melayu dan Sumatera. (Gambar 6).


Gambar 6: Lukisan Siam yang menggambarkan serangan Chola terhadap Kadaram (Kedah Tua) pada tahun 1025. Sumber: Wikipedia.


Serangan kerajaan Chola ini bagaimanapun tidak membawa kepada kelangsungan politik Chola ke atas wilayah-wilayah Nusantara yang diserang. Ini adalah kerana Srivijaya yang berpusat di Kadaram / Kidaram (Kedah Tua) ketika itu telah mempunyai pemerintah baru bernama Sri Deva. Baginda dilantik pada tahun 1028 bagi menggantikan Sri Sangrama Vijayatunggavarman (r. 1017-1025) yang ditawan semasa serangan terhadap Kedah Tua pada tahun 1025.

Selepas kejatuhan dinasti keluarga Sailendra, persahabatan kerajaan Chola dengan kerajaan Srivijaya di Kedah Tua kembali terjalin. Pada tahun 1091, Kedah Tua telah menghantar perutusan dan memulakan kembali aktiviti perdagangan dengan kerajaan Chola.

Dari kajian yang dijalankan sekitar Nagapattinam dan kawasan kuil Chudamani Vihara, sebanyak 350 buah patung Buddha yang diperbuat dari tembaga telah ditemui. Ianya adalah patung-patung tembaga yang dihasilkan sekitar abad ke-11 hingga ke-16.  Sekitar pertengahan abad ke-19, salah sebuah patung Buddha yang dijumpai di kuil tersebut telah diberikan kepada Gabenor Madras iaitu Lord Napier sebagai hadiah.  Menurut Ramachandran, TN (1954), terdapat lebih dari 80 patung Buddha tembaga dan gangsa dari sekitar kuil Chudamani Vihara yang kini disimpan di Muzium Chennai. Manakala satu lagi patung Buddha yang dijumpai kini berada dalam milikan koleksi John D. Rockefeller di Asia Society Museum, New York (Gambar 7).

Gambar 7: Patung Buddha berukuran 69.2cm yang dijumpai sekitar Nagapattinam (c.1090). Sumber: Koleksi John D. Rockefeller, Asia Society Museum, New York.


Patung Buddha di New York tersebut dikatakan diperbuat pada tahun 1090-an. Tertera pada tapaknya bahawa ianya adalah hadiah daripada tukang-tukang besi dari gabungan 18 negeri. Saya petik terjemahan yang dibuat oleh Professor Vidya Dehejia terhadap catatan pada tapak patung tersebut:-

"Well-being [and] prosperity. The nayakar (Buddha), of all of the eighteen countries, of the metalworkers. The procession image, for the sacred festival of the alvar temple, which was caused to be taken in procession by the respected one (utaiyar) endowed of the four gunas from Cirutavur; [in] the perum-palli (great place of worship or great Vihara) of the metalworkers, [in] the perum-palli of Rajendra Chola."

Pada tahun 1936, sebuah patung Bodhisattva Avalokitesvara gangsa yang dianggar dibuat sekitar kurun ke-8 hingga ke-9 dijumpai di Bidor, Perak. Ianya kini disimpan di Muzium Negara (Gambar 8). Sekitar 2011 terdapat catatan beberapa artifak gangsa iaitu pancalogam tembaga dijumpai di Lembah Bujang, Kedah (Mokhtar et. al, 2011).  Ini menunjukkan kehadiran logam tembaga dan kemahiran pandai besi mencampurkan timah untuk menghasilkan gangsa. 

Gambar 8: Patung Bodhisattva Avalokitesvara gangsa yang dijumpai di Bidor, Perak pada tahun 1936. Sumber: Muzium Negara Malaysia.


Menurut kajian Treloar F.E. & Fabris G.J. (1975), terdapat kaitan antara perusahaan pembuatan besi di Sarawak dengan pembuatan besi di Lembah Merbok, Kedah. Secara khususnya Treloar & Fabris merumuskan bahawa logam dan bahan asing seperti tembaga, perak, raksa, arsenik, korundum, berlian, arang batu, dan turmalin yang dijumpai di Chandi Bukit Batu Pahat, Kedah adalah datangnya dari Bau, Sarawak.
 

 
Pada tahun 2015, Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG) Universiti Sains Malaysia (USM) yang diketuai Professor Datuk Dr Mokhtar Saidin mengenalpasti kewujudan 2 juta 'tuyere' (peniup angin), 12 tapak peleburan, dan antara 5 hingga 7 kapal atau tongkang purba di kawasan ekskavasi Sungai Batu, Kedah.  Ini menunjukkan bahawa industri peleburan besi juga pernah dijalankan secara aktif di Kedah Tua. Walaubagaimanapun, pihak PPAG USM tidak menemukan apa-apa bukti berkenaan produk akhir di Sungai Batu tersebut. 


Menurut kajian Ramachandran, TN (1954), campuran logam bagi patung Buddha di Nagapattinam sekitar abad ke-9 hingga ke-13 adalah paling unik. Beliau mengatakan seperti berikut:-

"The finest example of bronzes, however, were made during the Chola period in the South India, between the 9th and 13th century AD. The majority of South Indian metal images are made of copper with a small admixture of alloy and are therefore not "bronze". According to the Silpa Sastrás and tradition they should be made of pancháloha, an alloy of 5 metals (copper, silver, gold, tin and lead)."

Menurut Ramachandran lagi, cara membuat acuan dan melebur logam era kegemilangan Chola tersebut juga adalah berlainan iaitu mengikut cara yang dibuat oleh tukang besi dari Cina dan Yunani di mana cara yang digelar proses "lost wax" digunakan. Cara "lost wax" tersebut dihuraikan seperti berikut:-

"The subject was first modelled, in wax, then coated with clay. Next the wax was melted out leaving the mould behind into which liquid metal was poured to cast a solid image. But if a hollow image was intended, the subject would be first modelled in clay an then the core was coated with wax, and the wax in turn covered with a negative clay. This was used for casting after the wax was drained out by heating. With the former single method have been produced the masterpieces of South Indian bronzes".

Setelah merujuk silang rekod India, Belanda dan Amerika Syarikat, saya berpendapat kemungkinan besar 350 patung tembaga yang ditemui sekitar Nagapattinam dan kuil Chudamani Vihara tersebut adalah diperbuat dari logam-logam campuran dari Kedah Tua. Berdasarkan lokasi penemuan dan catatan yang ada, saya percaya patung Buddha tembaga yang kini berada di New York adalah hadiah dari perutusan yang mewakili 18 negeri dalam kedatuan Srivijaya pada tahun 1091. 

Arahan yang dikeluarkan Rajaraja Chola I berkenaan kebenaran menduduki dan membina kuil kepada raja Melayu dan pengikutnya membuktikan bahawa kepakaran mereka adalah diperlukan dalam proses penghasilan barangan atau produk akhir. Berdasarkan fungsi kuil, penempatan sekitar, penghormatan yang diberikan, dan juga pertalian perdagangan yang wujud, kemungkinan besar hasil logam dari Kedah Tua telah didagangkan di bandar pelabuhan Nagapattinam di India Selatan secara besar-besaran. Selain dari mengekstrak dan melebur logam, dengan kemahiran navigasi dan infrastruktur pelayaran yang ada, Kedah Tua juga sememangnya berpotensi menghantar pandai besi mereka ke negeri pelanggan. Aktiviti pedagang dan pandai besi Melayu di Chola khususnya mungkin termasuk pembinaan acuan (mold making) dan kerja-kerja mencairkan logam dari jongkong-jongkong yang dibawa bagi membentuk produk akhir menurut spesifikasi yang diperlukan.


Berbalik kepada misteri keris dan identiti disebalik patung dalam lukisan Belanda tersebut, tiada maklumat yang dapat saya ketengahkan kecuali andaian semata-mata. Memandangkan ianya dibina diperkarangan kuil yang didirikan raja Melayu dinasti Sailendra atas naungan Rajaraja Chola I, maka kemungkinan besar ia dibina bagi menghormati dan mengagungkan penaungnya. Keris pula mungkin melambangkan peranan raja Melayu dan pengikutnya dalam menyediakan bekalan besi dan logam lain bagi infrastruktur dan kelengkapan senjata dan perisai tentera Rajaraja Chola I. Manakala kepala-kepala yang dipijak dan dipegang patung tersebut melambangkan musuh-musuh yang berjaya ditewaskan dan tumbang ditangan Rajaraja Chola I.


Rujukan:

  1. Asia Society Museum, New York.
  2. Chola Invasion of Srivijaya. Wikipedia. Diekstrak dari https://en.m.wikipedia.org/wiki/Chola_invasion_of_Srivijaya
  3. Chudamani Vihara. Wikipedia. Diekstrak dari https://en.m.wikipedia.org/wiki/Chudamani_Vihara
  4. Leiden University Library, Amsterdam.
  5. Maravijayottunggavarman. Wikipedia. Diekstrak dari https://en.m.wikipedia.org/wiki/Maravijayottunggavarman
  6. Mokthar, N.A.M., Mokhtar, S., Abdullah, J., The Ancient Iron Smelting In Sg. Batu, Bujang Valley, Kedah. January 2011, Conference: Postgraduate Student Forum: Current Asian Anthropology.
  7. Muzium Negara Malaysia.
  8. Nagapattinam – The last citadel of Buddhism in South India. 28 Mei 2019. Way of Bodhi. Diekstrak dari https://www.wayofbodhi.org/buddhism-in-nagapattinam-tamil-nadu/
  9. Rahsia Sungai Batu Yang Belum Terungkai, 15 Julai 2016, The Star, diekstrak dari https://www.mstar.com.my/lain-lain/rencana/2016/07/15/rahsia-sungai-batu
  10. Raksasa Laut Nusantara. 17 April 2020. History Buff. Diekstrak dari https://yusrinfaidz.blogspot.com/2020/04/raksasa-laut-nusantara.html
  11. Ramachandran, TN. 1954. The Nagapattinam and other Buddhist Bronzes in the Chennai Museum.
  12. Rijksmuseum, Amsterdam.
  13. Sri Sangrama Vijayatunggavarman, Wikipedia. Diekstrak dari https://ms.m.wikipedia.org/wiki/Sri_Sangrama_Vijayatunggavarman
  14. Sri Chulamanivarman. Wikipedia. Diekstrak dari https://ms.m.wikipedia.org/wiki/Sri_Chulamanivarman
  15. Sri Deva, Wikipedia. Diekstrak dari https://ms.m.wikipedia.org/wiki/Sri_Deva
  16. Treloar F.E. & Fabris G.J. (1975). Evidence for the Contemporary Existence of Two Kedah Sites. JAMBRAS Vol. 48, No. 1 (227) (1975), pp. 74-77.


Sunday 20 October 2019

Peranan 'Hang Tuah' Dalam Kes Pertikaian Melaka - Annam



Rekod pelayaran Laksamana Cheng Ho dan lawatan oleh negeri ufti dilupus secara sistematik sekitar tahun 1480-an. Ini berlaku apabila Kerajaan Ming mula mengamalkan dasar tutup pintu. Baki rekod yang ada di "Hall of Military Eminence" (Wuyingdian) pula musnah dalam kebakaran bahagian Barat Daya Kota Larangan pada tahun 1869. Antara rekod yang paling rapi dikawal dan diarkibkan adalah rekod hal ehwal dinasti Ming (Ming Shi-lu) (MSL) yang disimpan di "Pavilion of Literary Profundity" (Wenyuange) dan salinannya di "Capital Archives".

Lakaran dalam buku 'The Garden Arbor' (1853) yang menggambarkan gajah-gajah yang dibawa bersama tetamu Maharaja Ming di Kota Larangan. Dibina pada 1406 hingga 1420, struktur Kota Larangan kini mengandungi 980 buah bangunan dan 8,707 buah bilik dan merangkumi kawasan seluas 720,000 meter persegi.



Lukisan pelukis Istana di Kota Larangan sekitar Februari 1485. Ia menggambarkan Maharaja Chenghua (1464-1487) yang sedang menyambut perayaan bersama keluarga di Kota Larangan semasa Festival Tanglung.


Berdasarkan teks terjemahan MSL oleh Geoffrey Wade (1994), terdapat dua orang Laksamana yang pernah diutus Sultan Melaka ke negeri Cina. Laksamana Melaka pertama dicatat sebagai "Duan-ya-ma-la-di-na-da" (端亞媽剌的那大) (pendapat saya: Tuan Laksamana DiRaja) yang bernama 'Wei-zhe-ran-na' (微者然那). Beliau diutus Sultan Mansur Shah (r. 1459-1477) dan tiba di negeri Cina pada 25.4.1469. Setelah mempersembah ufti dan menerima tahfifah balas Maharaja Ming, mereka belayar pulang pada bulan Jun 1469. Akan tetapi kapal mereka dilanda ribut taufan dan terkandas di perairan Annam.

Peristiwa ini hanya diketahui Kerajaan Ming 12 tahun kemudian apabila dimaklum Laksamana Melaka kedua yang tiba di negeri Cina pada 26.8.1481. MSL mencatit Laksamana Melaka kedua tersebut sebagai "Duan-ya-ma-la-di-na-zha" (端亞媽剌的那查) (pendapat saya: Tuan Laksamana DiRaja). Laksamana yang tidak disebut namanya ini diutus Sultan Alauddin Riayat Shah (r.1477-1488). Beliau telah memaklumkan Kerajaan Ming bahawa tatkala berada di perairan Annam, rombongan ufti Melaka terdahulu tersebut telah diserang di mana Laksamana 'Wei-zhe-ran-na' dan 12 pembesar Melaka telah mati dibunuh. Yang lainnya telah dicacah untuk dijadikan hamba. Kanak-kanak lelaki pula dikembiri dan dijadikan sida-sida.

Apa yang terjadi berikutnya boleh disifatkan sebagai suatu persidangan kes di forum keadilan antarabangsa. Untuk mendapat hak merekod aduan, Laksamana Melaka kedua tersebut membawa hadiah pemberian yang baik-baik mutunya termasuk beberapa ekor gajah. Sebagai balasan, Laksamana Melaka kedua tersebut secara spesifik memohon untuk diberikan pakaian khas iaitu topi dan tali pinggang yang selalunya dianugerah kepada Raja-Raja dan pembesar bertaraf Menteri Kerajaan Ming.

Gambar hiasan - titah perkenan Maharaja Ming melantik Menteri Perang Chen Yue bagi mengadili kes Melaka lawan Annam.

Sebulan kemudian, apabila rombongan ufti Annam tiba di Cina, dan dengan adanya persalinan bertaraf Menteri Ming, Laksamana Melaka kedua tersebut menuntut hak keadilan terhadap apa yang berlaku kepada rombongan ufti Laksamana 'Wei-zhe-ran-na'.  Pada 23.9.1481 beliau telah dibenarkan untuk merekodkan aduan terhadap Annam.

Menteri Chen Yue dari Kementerian Perang  dilantik untuk mengadili prosiding tersebut. Selain menceritakan tentang serangan terhadap rombongan ufti Melaka, Laksamana Melaka kedua tersebut turut memaklumkan serangan Annam terhadap Champa dan niat sebenar Annam untuk menaklukki Melaka. Laksamana Melaka kedua tersebut berhujah bahawa Melaka setia mematuhi solidariti sebagai negeri ufti Kerajaan Ming dan tidak membalas tindakan Annam. Saya petik terjemahan hujahan Laksamana Melaka kedua tersebut:-

"In the fifth year of the Cheng-hua reign (1469/70), when our country's envoy Wei-zhe-ran-na was at sea on his journey home after offering tribute [to the Court], he was blown by the wind to the country of Annam. Wei-zhe-ran-na and his attendants were all killed by that country, while the remaining persons were tattooed and made slaves of officials. The younger ones were all made eunuchs. Annam has occupied the cities of Champa and wants to annex Melaka's territory. As we are all ministers of the Emperor, our country has dared not raise troops to engage in war with them."

Setelah mendengar aduan dan hujahan yang dibuat, Menteri Perang Chen Yue menjalankan budibicaranya sebagai Hakim dalam memberikan keputusan dan perintah seperti berikut:-

a) Apa yang berlaku kepada rombongan ufti Tuan Laksamana DiRaja 'Wei-zhe-ran-na' pada 1469 (12 tahun terdahulu) adalah suatu perkara lampau yang tidak harus diperiksa secara terperinci. (Ini sama seperti prinsip undang-undang moden berkenaan hadmasa sesuatu tindakan).

b) Walaubagaimanapun, amaran tegas perlu diberi kepada Annam. Memandangkan rombongan ufti Annam akan pulang, maka mereka diarahkan membawa amaran dan perintah Kerajaan Ming kepada Raja Annam. Perintah amaran tersebut berbunyi seperti berikut:-

"Both your country and Melaka follow the Court's calendar. You should maintain good relations with them and act as a screen for the Court. How can you presume on your own strength to go against the patterns of the state and bring Heaven's calamities upon yourself? The Court does not lightly trust in what the Melakan envoy has memorialized, but you should examine yourself and think about your faults, stand in awe of Heaven, respect the law and guard your own country."

c) Laksamana Melaka kedua tersebut juga berjaya mendapat kebenaran untuk menyerang Annam sekiranya Annam sekali lagi bertindak agresif atau menindas. Perintah Menteri Perang Chen Yue seterusnya berbunyi:-

"Since ancient times, the Sage kings, in exercising control over the yi in the four directions, have not pursued events which occurred in the past. If Annam is again aggressive or oppresses you, you should train soldiers and horses to defend against them."

"Hall of Military Eminence" (Wuyingdian) di bahagian Barat Daya Istana Ming. Ianya merupakan tempat Maharaja Ming bertemu tetamu Istana dan jemaah Menterinya. Pada masa yang sama, ianya juga menjadi tempat bagi Menteri Perang Ming bersidang. Ianya kemudian menjadi pusat pencetakan dan arkib Kerajaan Ming.


Pada pendapat saya, Laksamana Melaka kedua tersebut memahami birokrasi Kerajaan Ming. Beliau bijak dalam mendapatkan hak atau "locus standi" tahap Menteri Kerajaan Ming untuk merekod dan membawa kes tersebut dihadapan pertimbangan dan bidangkuasa Menteri Perang Kerajaan Ming. Beliau juga cekap menggunakan peluang dan ruang yang ada. Secara keseluruhan ini adalah suatu kejayaan yang boleh dibanggakan kerana kes Melaka hanya bermodalkan bukti sekunder atau 'hearsay' tentang satu peristiwa yang berlaku 12 tahun terdahulu.

Saya berpendapat perkara tersebut telah dirancang rapi dengan pengetahuan awal bahawa rombongan ufti Annam akan tiba sekitar tarikh yang sama. Jadi dari segi prinsip keadilan, Annam dikira telah diberi peluang didengari berdasarkan prinsip keadilan semulajadi ('natural justice') walaupun wakil ufti Annam sebenarnya tidak bersedia untuk menjawab aduan Melaka.  Kemudian Laksamana tersebut bijak berhujah dan mengguna taktik 'reverse psychology' dengan mengguna status 'clean hands' bersandarkan fakta bahawa Melaka tidak membalas walau diserang. Dengan itu, keadilan berpihak kepada Melaka sebagai pihak yang beretika menjaga status quo walau ditindas. Dengan itu, Menteri Perang Chen Yue telah dengan seadilnya mengaplikasi prinsip ekuiti dan undang-undang bahawa semua negeri ufti naungan Kerajaan Ming tidak sepatutnya bermusuhan sesama sendiri dan membenarkan Melaka mengumpul dan melatih bala tentera untuk mempertahankan jajahannya sekiranya diserang.

Pada pendapat saya, tujuan sebenar membawa kes tersebut ke muka pengadilan Kerajaan Ming adalah untuk mendapatkan perintah amaran, dan juga lampu hijau untuk menyerang balas Annam tanpa perlu risau tentang tindakbalas Kerajaan Ming. Saya juga percaya kemenangan kes aduan yang diusahakan Laksamana Melaka kedua ini merupakan titik permulaan tindakan Melaka untuk membalas dendam.

Kemenangan dalam prosiding aduan di Cina ini disusuli dengan bantuan bala tentera dan persenjataan dari Melaka bagi menyokong Lanxang (Laos) dalam menewaskan Annam pada tahun 1483. Saya percaya ini dibantu oleh tentera dari negeri-negeri utara Semenanjung Tanah Melayu termasuk Siam yang dimaklumkan tentang perintah Kerajaan Ming ini. Menurut laporan Mao Qiling, seramai 90,000 tentera Annam (salah satu dari 5 ketumbukan tentera) telah bertembung dengan pasukan tentera Melaka di Lanxang. Ketika itu, tentera Annam dikatakan lengkap dengan istinggar dan rentaka yang ditiru dari persenjataan Cina. Dalam pertempuran yang berlaku, tentera Melaka berjaya menewaskan 30,000 tentera Annam. Walaupun tiada bukti, boleh dirumuskan tentera Melaka pada 1483 telah menyerang Annam dengan senjatapi yang setanding atau lebih canggih.

Menurut perbandingan garis masa MSL, kemungkinan besar Laksamana Melaka kedua tersebut dilantik sejurus kematian Laksamana 'Wei-zhe-ran-na' di Annam iaitu sekitar tahun 1469. Ini bermakna beliau telah dilantik di zaman pemerintahan Sultan Mansur Shah.

Dirujuk silang dengan bukti primer Rekidai Hōan pula, Laksamana Melaka dalam garis masa yang sama telah dirujuk sebagai "Lo-Tso-Ma-Na" (Laksamana) dan telah direkodkan berutusan dengan Kerajaan Ryukyu dari tahun 1480 hingga 1481. Dalam garis masa 2 versi Sejarah Melayu (Sulalatus Salatin) pula, termasuk versi Dewan Bahasa & Pustaka, Laksamana Melaka tersebut dikenali sebagai Daeng Mempawah, di mana nama 'Hang Tuah' adalah nama gelaran yang diberikan oleh Sultan Mansur Shah.

Kesimpulannya, rekod MSL ini adalah rekod primer tentang kehebatan Laksamana Melaka kedua yang tiba di negeri Cina pada tahun 1481. Saya percaya, kisah berkenaan kebijaksanaan dan kehebatan Laksamana ini juga telah menjadi asas kepada karekter dan lagenda Laksamana Hang Tuah dalam Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah.  Selain dari mengandungi sebahagian teks hujahan beliau, rekod MSL ini juga menunjukkan bahawa kes 'Melaka vs Annam' dihadapan Menteri Perang Kerajaan Ming ini adalah suatu persidangan Mahkamah keadilan antarabangsa yang terawal di dunia. Malah ianya adalah lebih awal dari sejarah ICJ yang dikatakan bermula dengan kes timbangtara antarabangsa antara England, Perancis dan Amerika Syarikat melalui 'Jay's Treaty' pada tahun 1795.

Rujukan:

1. The Ming Shi-lu (veritable records of the Ming Dynasty) as a source for Southeast Asian history, 14th to 17th centuries, Geoffrey Wade (1994).

2. Ryukyuan Relations with Korea and South Seas Countries: An Annotated Translation of Documents in the Rekidai Hōan. Kobata, Atsushi and Mitsugu Matsuda (1969)

3. Sejarah Melayu diusahakan oleh W.G. Shellabear, Fajar Bakti, (1978).

4. Mao Qiling. Mansi hezhi [A Comprehensive Record of the Aboriginal Chieftains]. Taipei: Guangwen Shuju, (1968).


Monday 15 February 2021

Keris tertua di England?

Gambar 1: Cotehele House di Cornwall, England.
Sumber: Pinterest.


Kebanyakan keris dalam koleksi istana dan muzium di England adalah keris-keris Nusantara yang diperbuat sekitar abad ke-18 dan ke-19.  Akan tetapi, terdapat 4 bilah keris Nusantara yang berada di Cotehele House yang mungkin telah tiba lebih awal di England (Gambar 2-5).

Gambar 2

Gambar 3

Gambar 4

Gambar 5


3 darinya dipamirkan di bahagian dinding belakang tahta dalam ruang utama di Cotehele House. Kerusi tahta tersebut dikatakan diperbuat sekitar tahun 1627 (Gambar 6).

Gambar 6: Imej Cotehele House dari Youtube : Fly'n Brian https://youtu.be/Wl7vJfy45fY 

 



Cotehele House (Gambar 1) adalah sebuah rumah agam yang terletak di Cornwall, England. Rumah tersebut dibina oleh keluarga Edgcumbe sekitar 1490-an setelah merobohkan rumah asal yang wujud di situ.  Tanah seluas 885 ekar di Cornwall tersebut dimiliki keluarga Edgcumbe semenjak tahun 1353. Sebahagian dari kawasan tanah di Edgcumbe tersebut telah dihadiahkan oleh Henry Tudor (Henry VII) (1457-1509) kepada Sir Richard Edgcumbe I (1443-1489) atas khidmat dan sokongan yang diberi oleh beliau kepada House of Lancaster semasa Perang Mawar (War of the Roses) dan Pertempuran Padang Bosworth (Battle of Bosworth Field) pada tahun 1485 (Gambar 7). Dalam pertempuran bersejarah 1485 tersebut King Richard III dari House of York berjaya dikalahkan, di mana Henry VII dari House of Lancaster telah ditabalkan sebagai raja England yang baru. Peristiwa ini menandakan permulaan pemerintahan raja-raja Tudor Inggeris dari 1485 hingga 1603.

Gambar 7: Pertempuran Padang Bosworth (1485), seperti yang digambarkan oleh Philip James de Loutherbourg (1740–1812).


Keluarga Edgcumbe tersebut masih wujud sehingga kini. Walaubagaimanapun sekitar abad ke-17 mereka telah menetap sepenuhnya di Mount Edgcumbe House yang dibina pada tahun 1553. Pemilik terakhir Cotehele House, Kenelm Edgcumbe (Earl Mount Edgcumbe ke-6) (1873-1965), telah menyerahkan Cotehele House bersama-sama koleksi senjata dan perisai zaman pertengahan kepada pihak kerajaan pada tahun 1947.  

Cotehele House kini adalah antara rumah agam dibawah jagaan National Trust yang paling asli keadaannya dari segi struktur arkitektur dan hiasan dalaman. Sehingga kini ianya berterusan tidak dipasang tenaga elektrik demi untuk mengekalkan keadaan dan suasana sebenar bangunan tersebut setakat ianya ditinggalkan keluarga Edgcumbe pada abad ke-17.

Berbalik kepada koleksi keris keluarga Edgcumbe, tiada maklumat tentang bila dan bagaimana keris-keris tersebut boleh berada di situ. Jika dikaji, terdapat 4 tempoh waktu keris-keris ini mungkin tiba di Edgcumbe.

Pertama, sekitar 1555 pewaris Edgcumbe iaitu Sir Richard Edgcumbe II (1499-1562) menjadikan rumah-rumah agam di Edgcumbe sebagai tempat persinggahan dan melayan tetamu yang terdiri dari tentera laut pelbagai negara di Eropah termasuk laksamana-laksamana dari Semenanjung Iberia. Sebagai contoh pengembara Scotland-Perancis bernama Jean Rotz yang pernah belayar ke Nusantara sekitar 1529 pernah berkhidmat dengan tentera Raja Henry VIII pada tahun 1542. Terdapat kemungkinan keris-keris ini adalah hadiah dari pelayar-pelayar yang telah menerokai perjalanan laut ke Nusantara ketika itu.

Kedua, ianya mungkin tiba selepas kembalinya ekspedisi terawal Inggeris ke Nusantara.  Ekspedisi pihak Inggeris ke Nusantara dimulakan oleh Sir James Lancaster (1554-1618) pada tahun 1591 dengan kapal Edward Bonaventure. Pada Jun 1592, Lancaster tiba di Pulau Pinang dan menjalankan aktiviti pelanunan di situ sehingga September 1593. Beliau pulang ke England pada tahun 1594. Lancaster ke Nusantara buat kali kedua pada tahun 1601 dengan kapal Red Dragon. Kali ini misinya adalah sebagai wakil Syarikat Hindia Timur Inggeris atas dasar ekspedisi perdagangan ke Bentan, Aceh dan Maluku. Keris-keris tersebut mungkin telah dihadiahkan oleh Lancaster kepada keluarga Edgcumbe setelah tamat salah satu dari pelayaran awal Inggeris ini.

Ketiga, menurut catatan sebuah majalah sejarah tahun 1833, senjata dan perisai yang berada di ruang utama Cotehele House dicadangkan mungkin wujud sekitar Perang Saudara Inggeris iaitu dari tahun 1642 hingga 1651. Saya petik catatan 1833 tersebut:-

"The interior of the Hall is very interesting. The roof is timber, and arched; and on the walls having various pieces of armour and weapons of considerable antiquity, with complete suit of armour, which, however, is probably not older than the civil wars."

Keempat, ianya mungkin diperoleh melalui usaha ahli keluarga Edgcumbe sendiri. Apabila kita teliti susur-galur keluarga Edgcumbe, terdapat dua ahli keluarga yang berkait rapat dengan aktiviti pelayaran dan mungkin bertanggungjawab dalam mengumpul keris-keris tersebut. Richard Edgcumbe IV, (Baron Edgcumbe Ke-2) (1716-1761) pernah dilantik sebagai Lord of the Admiralty. Akan tetapi tempoh beliau memegang jawatan tersebut agak singkat. Selain peranan pentadbiran di London, beliau tidak pernah menyertai mana-mana ekspedisi pelayaran. Admiral George Edgcumbe, (Earl Mount Edgecumbe Pertama) (1720-1795) pula pernah berkhidmat dengan Royal Navy dari 1739 hingga 1778. Akan tetapi, misi pelayarannya di Western Fleet hanya terhad di Selat Inggeris, Lautan Mediterranean dan juga sekitar Amerika Utara sahaja. Ia tidak melibatkan pelayaran ke Nusantara.

Memandangkan keadaan Cotehele House tidak diubah selepas keluarga Edgcumbe berpindah ke Mount Edgcumbe House pada abad ke-17, kemungkinan besar keris-keris ini adalah antara koleksi yang diterima sebagai hadiah oleh keluarga Edgcumbe sekitar abad ke-16 hingga ke-17. Walaubagaimanapun, ianya hanyalah suatu andaian yang hanya boleh dirungkai melalui pentarikhan radiokarbon terhadap bahagian organik pada keris-keris tersebut.

Rujukan:
  1. Cotehele House. Britain Express. Diekstrak dari https://www.britainexpress.com/counties/cornwall/houses/cotehele.htm
  2. Fuller, T. 1840. The Stories of the Worthies of England.
  3. James Lancaster. Wikipedia. Diekstrak dari https://en.m.wikipedia.org/wiki/James_Lancaster
  4. Lysons, D. & Lysons, S. 1814. Magna Britannia: Being a Concise Topographical Account of the Several Counties of Great Britain. Volume 3. London.
  5. Mount Edgcumbe House. Wikipedia. Diekstrak dari https://en.m.wikipedia.org/wiki/Mount_Edgcumbe_House
  6. The Gentleman's Magazine & Historical Chronicle (July-December 1833), Volume 13, Part 2 , Page 19, Nichols & Sons, London.
  7. Worth, R.N. 1883. Tourist's Guide to South Devon: Rail, Road, River, Coast and Moor. 3rd Ed., Edward Stanford, London.

Ekspedisi Wilkes (1838-1842)

Kapal USS Vincennes, yang memuatkan 190 anak kapal dan merupakan kapal utama Ekspedisi Wilkes. Singapura adalah destinasi terakhir yang dila...