Popular Posts

Friday, 4 June 2021

Victoria & Abu Bakar





Gambar 1: Sultan Abu Bakar ibni Almarhum Temenggong Daeng Ibrahim (1833-1895). 
Sumber: Facebook Media Johor. 28.7.2018

Terdapat sekeping gambar DYMM Sultan Johor, Sultan Abu Bakar ibni Almarhum Temenggong Daeng Ibrahim (1833-1895) yang menggayakan pakaian tradisi Scottish Highland (Gambar 1). Corak Tartan pada kilt yang dipakai mirip corak Tartan yang dihadiahkan oleh Ratu Victoria.  Berdasarkan rekod Scottish Register of Tartans, terdapat dua corak Tartan yang berkaitan dengan Kesultanan Johor. Pertama, corak Tartan warna hijau & kuning (tahun 1880) di bawah nama "Johore" No. 1309, rekaan Thomas Gordon & Sons, Glasgow (Gambar 2). 

Gambar 2: Corak Tartan "Johore" no. 1309 tahun 1880.
Sumber: Scottish Register of Tartans.


Ianya dihadiahkan oleh Ratu Victoria (1819-1901) (Gambar 3) kepada Sultan (Maharaja) Abu Bakar ketika baginda melawat Ratu England tersebut di Istana Balmoral di Scotland pada tahun 1880. 


Gambar 3: Potret Ratu Victoria (1819-1901) sekitar tahun 1866.

Corak Tartan kedua Kesultanan Johor didaftarkan di zaman pemerintahan Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar (1873-1959). Ianya berwarna biru dan kuning di bawah nama "Johore Regiment" No. 260, tahun 1930 (Gambar 4), dan direka oleh William Anderson dari Kinloch Anderson Ltd., Edinburgh.

Gambar 4: Corak Tartan "Johore Regiment" No. 260 tahun 1930.
Sumber: Scottish Register of Tartans.


Berbalik kepada kisah Sultan Abu Bakar, dalam perutusan Ratu Victoria kepada Sultan Abu Bakar, Ratu England tersebut membahasakan dirinya sebagai "your affectionate friend". Persahabatan ini bermula semenjak lawatan Sultan Abu Bakar ke England pada tahun 1866. Menurut rekod Istana Windsor, pada tahun 1887, Sultan Abu Bakar menghadiahkan Ratu Victoria sebuah replika Albert Memorial yang diperbuat dari emas dan perak (Gambar 5), bagi mengenang kematian suami Ratu Victoria, iaitu Putera Albert, pada 1861.

Gambar 5: Model replika Albert Memorial yang diperbuat dari emas dan perak, c. 1887.
Sumber: Royal Collection Trust, UK.


Jika dikaji Sultan Abu Bakar adalah sebenarnya sahabat akrab pertama Ratu Victoria dari Asia. Ini berlaku sebelum Ratu Victoria bertemu Mohammed Abdul Karim (the Munshi) yang menjadi inspirasi kepada filem 2017 bertajuk "Victoria & Abdul". Watak sebenar Abdul tersebut yang berasal dari India telah diperkenalkan oleh Dr. John Tyler kepada Ratu Victoria pada tahun 1887 (Gambar 6 & 7) untuk membiasakan Ratu Victoria dengan peranannya sebagai "Empress of India", gelaran yang disandangnya semenjak 1876.

Gambar 6: Mohammed Abdul Karim (the Munshi) bersama Ratu Victoria di Istana Balmoral sekitar 1890an yang menjadi inspirasi kepada filem "Victoria & Abdul", 2017.

Gambar 7: Poster filem "Victoria & Abdul", 2017.

Apa yang menarik, dalam album gambar Dr. John Tyler yang dihadiahkan kepada Ratu Victoria pada tahun 1887 terdapat gambar Sultan Abu Bakar (Gambar 8) yang diklasifikasi sebagai "Indian Prince's & Rulers" seolah-olah mengaitkan Sultan Abu Bakar sebagai Raja kepada pengawal-pengawal dari India yang dibawa Dr. John Tyler pada tahun 1887.  

Gambar 8: Gambar Sultan Abu Bakar ibni Almarhum Temenggong Daeng Ibrahim (1833-1895) c. 1887 yang dihadiahkan kepada Ratu Victoria oleh Dr. John Tyler.
Sumber: Royal Collection Trust, UK.

Gambar-gambar No. 9 (1886), dan No. 10 (1891) pula adalah gambar-gambar Sultan Abu Bakar dalam simpanan peribadi Ratu Victoria yang kini berada di arkib Istana Windsor. Adalah dipercayai gambar-gambar ini dikirimkan melalui warkah perutusan Sultan Abu Bakar kepada Ratu Victoria. Selain dari gambar-gambar ini terdapat juga lukisan karikatur baginda Sultan Johor tersebut yang hasilkan oleh Robert Wallace Glen Lee Braddell sekitar 1891. Lukisan ini pernah menghiasi halaman majalah Vanity Fair di UK keluaran 17.10.1891 yang dilihat sebagai pengiktirafan status "public figure" Sultan Johor tersebut dari kaca mata bangsawan Inggeris (Gambar 11). Dari rekod-rekod kontemporari ini boleh dirumuskan bahawa keterbukaan Ratu Victoria kepada masyarakat berbilang agama dan budaya dari Asia bertitik tolak dari persahabatannya dengan Sultan Abu Bakar.

 
Gambar 8: Gambar Sultan Abu Bakar ibni Almarhum Temenggong Daeng Ibrahim (1833-1895) c. 1886 dalam simpanan peribadi Ratu Victoria.
Sumber: Royal Collection Trust, UK.

Gambar 9: Gambar Sultan Abu Bakar ibni Almarhum Temenggong Daeng Ibrahim (1833-1895) c. 1891 dalam simpanan peribadi Ratu Victoria.
Sumber: Royal Collection Trust, UK.

Gambar 11: Karikatur "The Sultan of Johore" yang hasilkan oleh Robert Wallace Glen Lee Braddell sekitar 1891.
Sumber: Vanity Fair, UK. 17.10.1891 

Hubungan persahabatan antara Sultan Abu Bakar dengan Ratu Victoria ini sedikit sebanyak membantu proses permodenan Johor. Ianya juga menjadikan Johor agak bebas pentadbirannya jika dibanding dengan negeri-negeri lain di Tanah Melayu yang ketika itu terpaksa menerima campurtangan Inggeris melalui sistem Residen.

Pada lawatan terakhirnya ke London, Sultan Abu Bakar jatuh gering akibat komplikasi buah pinggang. Mendengar berita itu, Ratu Victoria menghantar doktor peribadinya Dr. Douglas Powell untuk merawat baginda. Malangnya baginda Sultan mangkat pada 4.6.1895.  Upacara memandikan dan mengkafankan jenazah telah dikendalikan oleh Mufti dari Turki Uthmaniyah. Manakala Sultan Abdul Hamid II (Sultan Turki Uthmaniyah) telah menguruskan proses membawa pulang jenazah Almarhum baginda ke Johor. Jenazah Almarhum baginda dimakamkan di Makam Diraja Mahmoodiah, Johor Bahru, Johor pada 7.9.1895.
 
Sumber:
  1. 6 Intersting things about British colonists in Malaya during the Victorian era. Cilisos.my, 23.6.2017.
  2. Facebook Media Johor. 28.7.2018.
  3. Scottish Register of Tartans.
  4. Royal Collection Trust, UK.
  5. National Portrait Gallery, UK.
  6. Vanity Fair (1868-1914). 


Sunday, 16 May 2021

Peta Nusantara Diciplak Eropah?


Gambar 1: Replika globe abad ke-16 pihak Eropah yang mengandungi peta Asia & Nusantara.


Setibanya Portugis di Selat Melaka mereka telah mendapatkan bantuan dari pelayar-pelayar tempatan untuk memudahkan perjalanan laut mereka ke serata Nusantara dan kemudian ke Cina. Secara khususnya, rekod Portugis memberikan gambaran mengenai peta besar yang diperoleh dari seorang jurumudi Jawa. Peta ini diperoleh selepas tumpasnya Kesultanan Melayu Melaka pada tahun 1511. Ia menunjukkan sebahagian besar lakaran kedudukan kepulauan Nusantara. Apa yang meranjatkan Portugis adalah jurumudi Jawa tersebut juga memiliki carta nautika yang menggambarkan arah angin, garis rhumb, dan laluan pelayaran bagi ke Cina, Korea, dan Ryukyu. Selain dari itu, terdapat peta-peta lain yang menggambarkan Tanjung Pengharapan, Brazil, Laut Merah, Laut Parsi, dan juga Portugal.

Dirujuk silang catatan pengembara Itali bernama Ludovico di Varthema peta serupa pernah digunakan seorang nakhoda Melayu ketika membawa Varthema dari Borneo ke pulau Jawa sekitar tahun 1505. Varthema adalah merupakan orang Eropah pertama yang tiba di Melaka ketika itu. Menurut Varthema nakhoda Melayu tersebut belayar berpandukan carta nautika yang mempunyai garisan rhumb dan dibaca dengan kompas magnet. Nakhoda Melayu tersebut juga dikatakan mempamir kemahiran dalam belayar dengan menggunakan buruj bintang. Juga dikatakan carta nautika nakhoda Melayu tersebut merujuk kepada kewujudan pulau paling selatan yang kini diketahui sebagai pantai utara Australia.

Berbalik kepada peta jurumudi Jawa, menurut Alfonso de Albuquerque, peta yang dirampas di Melaka tersebut tenggelam bersama Flor de la Mar lebih kurang 480 batu jaraknya dari pelabuhan Melaka setelah 6 hari pelayaran. Selain dari peta, sebuah Jong juga dibawa dari Melaka. Jong tersebut dinaiki 60 orang tukang kayu dan pandai kapal Jawa bersama keluarga mereka. Jong yang juga membawa harta rampasan dari Istana Sultan Melaka tersebut selamat dilarikan ke Pasai ketika kesemua kapal Portugis menumpukan perhatian kepada usaha menyelamatkan Flor de la Mar.

Sebelum tenggelam bersama-sama Flor de la Mar, peta besar jurumudi Jawa tersebut telah disalin oleh jurumudi Portugis bernama Francisco Rodrigues dan dipecah-bahagi kepada 178 folio. Peta-peta ini dianggar disalin di dalam beberapa naskah di Melaka sekitar Ogos-Disember 1511. (Gambar 2-4). Saya percaya peta inilah yang telah dijadikan panduan nakhoda kapal Flor de la Mar untuk pulang ke Goa melalui Selat Sunda.

Gambar 2: Peta folio No. 34 yang dilukis semula oleh Francisco Rodrigues berdasarkan peta jurumudi Jawa dari Melaka.
Sumber: Library of the French National Assembly, Paris.

Gambar 3: Peta folio No. 38 yang dilukis semula oleh Francisco Rodrigues berdasarkan peta jurumudi Jawa dari Melaka.
Sumber: Library of the French National Assembly, Paris.

Gambar 4: Peta Kepulauan Nusantara hasil gabungan folio No. 33 hingga 39 yang dilukis semula oleh Francisco Rodrigues berdasarkan peta jurumudi Jawa dari Melaka.
Sumber: J.H.F Sollewlin Gelpke (1995).

Rekod tentang kewujudan peta besar jurumudi Jawa tersebut juga dibuktikan dalam surat dari Alfonso de Albuquerque kepada rajanya, Dom Manuel, bertarikh 1.4.1512. Saya petik sebahagian dari kandungan surat tersebut:-

"I also send you a piece of a chart taken from a large map of a Javanese pilot, containing the Cape of Good Hope, Portugal and the land of Brazil, the Red Sea and the Sea of Persia, the Clove Islands, the navigation of the Chinese and the Gores, with their rhumbs and direct routes followed by the ships, and the hinterland, and how the kingdoms border on each other. It seems to me, Sire, that it was the best thing I have ever seen, and  Your Highness will be very pleased to see it; it had the names in Javanese writing, but I had with me a Javanese who could read and write. I send this piece to Your Highness, that Francisco Rodrigues traced from the other, in which  Your Highness can truly see where the Chinese and Gores come from, and the course your ships must take to the Clove Islands, and where the gold mines lie, and the islands of Java and Banda, of nutmeg and maces, and the land of the King of Siam, and also the end of the navigation of the Chinese, the direction it takes, and how they do not navigate further. The main map was lost with Frol de la Mar. With the pilot and Pêro de Alpoim, I discussed the meaning of this map, in order that they could explain it to Your Highness; you can take this piece of map as very accurate and ascertained thing, because it is the real navigation, whence and whither they return. The archipelago of the islands called Celates,  which lie between Java and Malacca, is missing."

Pada dasarnya peta jurumudi Jawa dari Melaka ini menjadi asas kepada kemahiran navigasi Portugis ke kepulauan Maluku, Siam, New Guinea, Kemboja, Taiwan, Cina, dan Jepun. Malah tidak disangkal bahawa peta-peta awal Nusantara ini diciplak untuk menaiktaraf rekod peta-peta Portugis seperti peta Lopo Homem-Reineis / Atlas Miller (1519), yang kemudian diadaptasi kepada rekod pemetaan kuasa-kuasa Eropah yang lain seperti peta Willem Lodewijcksz (1595), peta Petrus Plancius (1596) dan peta Theodor de Bry (1598).

484 tahun kemudian iaitu pada tahun 1995 seorang pengkaji bernama J.H.F Sollewlin Gelpke membuat cadangan pembetulan terhadap carta-carta Francisco Rodrigues yang ditiru dari jurumudi Jawa tersebut. Setelah diperbetulkan, didapati deskripsi dan kedudukan yang lebih jelas wujud tentang Semenanjung Tanah Melayu, Sumatera, Siam, Vietnam, Kemboja dan selatan Cina (Gambar 5).

Gambar 5: Cadangan pembetulan terhadap peta folio 34 & 38 Francisco Rodrigues oleh J.H.F Sollewlin Gelpke (1995).

Apa yang menarik, setelah diperbetulkan, terdapat lakaran sebuah kota yang wujud di Semenanjung Tanah Melayu.  Gelpke mencadangkan bahawa ianya mungkin kota Melaka; akan tetapi beliau juga menyatakan ianya lebih ke arah timur laut.  Memandangkan nama Melaka tidak dicatat dalam peta tersebut, kemungkinan salinan asal peta ini dibuat sebelum kota Melaka ditubuhkan. Dari mata kasar, ianya lebih ke arah sekitar kawasan hutan simpan Endau-Rompin. Mungkinkah ianya Kota Gelanggi (Klang Gio) atau "perbendaharaan permata" yang dicatat dalam Sulalatus Salatin? Apa yang jelas adalah kota ini kelihatan boleh diakses melalui Rio Fermoso iaitu gelaran Portugis bagi Sungai Batu Pahat.

Walaupun dirumus Gelpke peta jurumudi Jawa ini kononnya dipelajari dari ahli navigasi Cina, namun pada pandangan saya apa yang diciplak Francisco Rodrigues langsung tidak sama dengan peta-peta Cina zaman Ming iaitu peta Da Ming Hunyi Tu (c.1390), peta navigasi Zheng He (c. 1421-1430), peta Luo Hongxian (c. 1579), dan peta Mao Kun (c. 1628).

Gelpke juga secara amnya merumuskan peta jurumudi Jawa adalah sebenarnya lebih terperinci tetapi gagal disalin dengan sempurna oleh Francisco Rodrigues. Dari segi lojik, dua kesimpulan boleh dibuat disini. Pertama, ianya memang gagal disalin dengan sempurna oleh Francisco Rodrigues. Kedua, dan yang lebih berkemungkinan adalah peta asal jurumudi Jawa sengaja dilakar dalam keadaan tidak lengkap dan mengelirukan demi menyembunyikan lokasi-lokasi strategik dari dikenalpasti musuh.

Seperti yang dirumus Mo Razzi (2016), Tun Seri Lanang dalam menulis Sulalatus Salatin mungkin telah dengan sengaja menyembunyikan jalan penarikan yang sebenar. Ini adalah kerana Pulau Keban (kini Pulau Aceh) yang dirujuk Sulalatus Salatin adalah lebih berdekatan dengan Sungai Endau. Perairan Pulau Keban ini adalah tempat Laksamana Hang Nadim dikatakan bertempur dengan tentera Sultan Pahang semasa Laksamana Hang Nadim melarikan Tun Teja. Dalam Hikayat Hang Tuah (HHT) pula, Laksamana Hang Tuah lah dikatakan melarikan Tun Teja, dan pertempuran dalam HHT pula dicatat berlaku di Pulau Tinggi. Mo Razzi merumuskan bahawa Tun Teja dilarikan dari Pahang ke Melaka melalui jalan penarikan yang menghubungkan Sungai Endau, Sungai Sembrong, dan keluar ke Selat Melaka melalui Sungai Batu Pahat (Rio Fermoso).

Menurut Mohd Azlan Sharif (2017) pula terdapat banyak peninggalan Batu Aceh di pinggir Sungai Batu Pahat yang menunjukkan kepentingan sungai tersebut sebagai laluan pintas dari Selat Melaka ke pantai timur Semenanjung Tanah Melayu.  Sebagai contoh, Batu Aceh yang ditemui di Bukit Inas dipercayai berusia 600 tahun (Gambar 6).

Gambar 6: Batu Aceh di Bukit Inas, Batu Pahat.
Sumber: Johorkini


Melalui temubual, Mohd Azlan Sharif juga menyatakan terdapat catatan dalam peta Barent Langenes & Cornelis Claesz (c. 1600) yang memberi deskripsi kepada sebuah penempatan yang dipanggil Padram. (Gambar 7). Beliau merumuskan nama tersebut diabadikan sebagai nama Bandar Penggaram, Batu Pahat. Apa yang menarik  seperti yang dikaji oleh Gelpke, kedudukan Padram dalam peta tahun 1600 tersebut juga kelihatan boleh diakses dari Sungai Batu Pahat.

Gambar 7: Peta Melaka oleh Barent Langenes & Cornelis Claesz. c. 1600 


Selain dari menjadi sumber utama kepada pemetaan kepulauan Nusantara oleh penjajah Eropah, saya percaya peta jurumudi Jawa yang diperoleh Alfonso de Albuquerque pada 1511 ini adalah bukti yang menunjukkan kemahiran dan amalan pelaut-pelaut Nusantara dalam menyembunyikan penempatan dan laluan strategik melalui peta yang sengaja dikelirukan. Secara amnya, peta-peta ini perlu dirungkai (decoded) sebelum dapat dibaca dengan sempurna. Juga dari apa yang diciplak oleh Francisco Rodrigues, peta-peta asal adalah sepenuhnya hasil rekaan dan kepandaian jurumudi dan nakhoda Nusantara dan bukannya berasaskan peta dari Cina. 

Rujukan:

  1. Badger, GP & Jones, JW. (1863). The Travels of Ludovico Di Varthema.
  2. 'Comentários de Afonso de Albuquerque' versi terjemahan Walter de Gray Birch (1875).
  3. Gelpke, JHF Sollewlin (1995), ‘Afonso de Albuquerque’s Pre-Portuguese “Javanese Map”, partially reconstructed from Francisco Rodrigues’  Book’. Bijdragen tot de Taal-, Land-en Volkenkunde 151-1, pp 76-99.
  4. Hikayat Hang Tuah, Kassim Ahmad (ed.), Dewan Bahasa dan Pustaka, 1975.
  5. Iltizam Iman (2020). Batu Aceh, laluan purba sungai dari barat ke timur Semenanjung ada di Bukit Inas, Batu Pahat. Johorkini. Ogos 2020. Diekstrak dari https://www.johorkini.my/rencana-batu-aceh-laluan-purba-sungai-dari-barat-ke-timur-semenanjung-ada-di-bukit-inas-batu-pahat/
  6. Ivo Carneiro de Sousa (2013). The First Portuguese Maps of China in Francisco Rodrigues’ Book and Atlas (c.1512). East West Institute for Advanced Studies. City University of Macau.
  7. Mohamad Athir Ismail (2017). Rio Fermoso, Portugis di Batu Pahat. Utusan Malaysia. 4.2.2017.
  8. Mohd Azlan Sharif (2017). Rio Fermoso: Kenapa saya sahaja yang tahu? Malaysiakini. 2.2.2017 diekstrak dari https://m.malaysiakini.com/news/371128
  9. Mo Razzi (2016). Untold History: Unchartered Route of Pulau Johor. 22.2.2016. Diekstrak dari http://untoldhistoriesofmalaya.blogspot.com/2016/02/untold-history-unchartered-route-of.html
  10. Sejarah Melayu diusahakan oleh W.G. Shellabear, Fajar Bakti, (1978).
  11. Sejarah Mersing. Wikipedia. Diekstrak dari https://ms.m.wikipedia.org/wiki/Mersing
  12. Yusrin Faidz Yusoff (2019). Peta Rahsia Kepulauan Melayu. Historybuff. 26.10.2019. Diekstrak dari https://yusrinfaidz.blogspot.com/2019/10/peta-rahsia-kepulauan-melayu_26.html
  13. Yusrin Faidz Yusoff (2020). Raksasa Laut Nusantara. Historybuff. 17.4.2020. Diekstrak dari https://yusrinfaidz.blogspot.com/2020/04/raksasa-laut-nusantara.html



Friday, 16 April 2021

Kerajaan Melaka bermula 1160M?

 

Gambar 1: Illustrasi Kota Melaka di bawah jajahan Belanda.
Sumber: 'Oud en Nieuw Oost-Indiën', François Valentijn (1724).

Berdasarkan catatan Belanda dalam 'Oud en Nieuw Oost-Indiën' (Old and New East India) (1724) oleh François Valentijn (1666-1727), penubuhan Melaka sebagai sebuah kerajaan maritim 'thalassocracy' dikatakan bermula pada tahun 1160 dan berpusat di Singapura (Gambar 2). Ini adalah 242 tahun lebih awal dari tarikh penubuhan kerajaan Melaka yang diketahui umum.  Valentijn menyatakan bahawa kerajaan ini kemudian berpindah ke kota Melaka pada tahun 1252, dan kemudian ke Johor bermula tahun 1511 iaitu setelah kota Melaka jatuh ke tangan Portugis. 

Gambar 2: Catatan senarai 22 Raja dan Sultan Melaka dari 1160 sehingga 1708.
Sumber: 'Oud en Nieuw Oost-Indiën', François Valentijn (1724).


Seperti kerajaan-kerajaan maritim sebelumnya, pusat pentadbiran dan ibu negerinya sentiasa berpindah-pindah. Jadi, setakat tahun 1708 iaitu semasa catatan tersebut dibuat, Valentjin (Gambar 3) merumuskan bahawa usia kumulatif kerajaan berdaulat dibawah pemerintahan Raja-Raja Kesultanan Melaka adalah 547 tahun 11 bulan (dan berterusan). 

 

Gambar 3: Lakaran François Valentijn (1666-1727).
Sumber: 'Oud en Nieuw Oost-Indiën', François Valentijn (1724).


Mungkin berdasarkan lojik ini sesetengah negara barat seperti Belanda, Perancis dan Turki menggelar Semenanjung Tanah Melayu sebagai "Melaka" sehingga abad ke-19 (Lihat Peta Semenanjung Tanah Melayu tahun 1803 oleh Turki dalam Gambar 4). Pada mereka, entiti Melaka sebagai sebuah kerajaan berdaulat adalah berterusan selagi ianya diperintah kerajaan yang berkesinambungan pemerintahannya dengan Raja-Raja dari Kesultanan Melaka.

Gambar 4: Cedid Atlas (1803) iaitu Peta Kerajaan Turki Uthmaniyyah dibawah Sultan Selim III, yang dibuat dan diterjemah oleh Mahmud Raif Efendi berasaskan peta William Faden.


Bagi Belanda, walaupun mereka menjajah dan menjarah hasil bumi di Semenanjung Tanah Melayu, serangan awal ke atas kapal Portugis dan penaklukan yang dilakukan terhadap Portugis di kota Melaka adalah di atas justifikasi mengembalikan kota Melaka tersebut kepada waris sebenar Kesultanan Melaka (Lihat Peranan Johor Dalam Membentuk Undang-Undang Antarabangsa Moden). Bagi British pula, walaupun mereka mengurangkan kuasa Raja-Raja Melayu melalui sistem residen, ianya dilakukan atas "persetujuan" yang diberikan oleh Raja-Raja Melayu itu sendiri. Pada kesemua masa yang material, walaupun kuasa dan peranan Raja-Raja Melayu dihadkan, ianya tidak pernah terbatal secara keseluruhan.

Gambar 4: Tajuk bagi catatan berkenaan Melaka.
Sumber: 'Oud en Nieuw Oost-Indiën', François Valentijn (1724).


Sekiranya dikaji, catatan Belanda ini lebih kurang sama dengan tarikh dalam 29 versi Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) yang menyatakan Melaka diasaskan pada 1262. Catatan Belanda ini mempunyai dua fakta tambahan iaitu ianya menyatakan perpindahan dari Singapura ke Melaka berlaku pada 1252, dan Raja-nya memeluk Islam pada 1276.

Walaubagaimanpun, seperti kita maklum rekod Portugis menyatakan tarikh-tarikh yang berbeza. Melaka dikatakan ditubuhkan putera Srivijaya iaitu Parameswara pada tahun 1402. Rekod Portugis ini adalah lebih probatif kerana ianya selari dengan rekod Cina. Melalui rekod hal ehwal Dinasti Ming (Ming Shi-lu), lawatan terakhir Srivijaya (San Fo Qi) ke Cina adalah pada 30.11.1377.  Manakala lawatan terakhir Majapahit (Java) adalah pada 3.10.1402. Terbukti bahawa tiada catatan berkenaan Melaka sebelum itu. 

Rekod berkenaan Melaka di Cina hanya wujud bermula pada 28.10.1403 iaitu rekod tentang Yi Qing yang dihantar sebagai utusan ke Melaka. Apa yang menarik adalah rekod Cina ada mencatat nama-nama Raja dan Sultan Melaka dan juga tarikh lawatan yang dibuat. Secara ringkasnya, rekod Ming Shi-lu tersebut mencatat bahawa terdapat 4 Raja-Raja Melaka berikut telah tiba di Kota Larangan:-

  1. Bai-li-mi-su-la (拜里迷蘇剌) (Parameswara) pada tahun 1405 dan 1411;
  2. Mu-wo Sa-yu-di-er Sha / Mu-gan Sa-yu(gan)-di-er Sha (Megat Iskandar Shah) pada tahun 1414;
  3. Xi-li Ma-ha-la-zhe (西哩麻哈剌者) (Sri Maharaja / Sultan Muhammad Shah) pada tahun 1424, 1433 & 1434; dan
  4. Su-dan Mang-su Sha (蘇丹茫速沙)(Sultan Mansur Shah) pada tahun 1459.

Tarikh-tarikh lawatan Raja-Raja Melaka ke Cina ini selari dengan rekod dan susunan tarikh pemerintahan rasmi Raja-Raja Melaka tersebut yang diketahui umum. Ianya juga ternyata bercanggah dengan tarikh pemerintahan dalam catatan Belanda dan Sejarah Melayu.  Dengan itu, boleh dirumuskan bahawa catatan Belanda tersebut adalah tidak berapa tepat dan mungkin dibuat oleh Valentijn berdasarkan teks-teks awal Sejarah Melayu.


Rujukan: 

  1. 'Oud en Nieuw Oost-Indiën' (Old and New East India), Vol. 5, oleh François Valentijn (1724).
  2. Peranan Johor Dalam Membentuk Undang-Undang Antarabangsa Moden. 10 Mei 2020. History Buff. Diekstrak dari https://yusrinfaidz.blogspot.com/2020/05/peranan-johor-dalam-membentuk-undang.html
  3. Sejarah Melayu versi Raja Bongsu (MS18 Stamford Raffles).
  4. Suma Oriental que trata do Mar Roxo até aos Chins (Summa of the East, from the Red Sea up to the Chinese), Tome Pires, 1512-1515.
  5. The Ming Shi-lu (veritable records of the Ming Dynasty) as a source for Southeast Asian history, 14th to 17th centuries, Geoffrey Wade (1994).



Ekspedisi Wilkes (1838-1842)

Kapal USS Vincennes, yang memuatkan 190 anak kapal dan merupakan kapal utama Ekspedisi Wilkes. Singapura adalah destinasi terakhir yang dila...