Popular Posts

Sunday, 16 May 2021

Peta Nusantara Diciplak Eropah?


Gambar 1: Replika globe abad ke-16 pihak Eropah yang mengandungi peta Asia & Nusantara.


Setibanya Portugis di Selat Melaka mereka telah mendapatkan bantuan dari pelayar-pelayar tempatan untuk memudahkan perjalanan laut mereka ke serata Nusantara dan kemudian ke Cina. Secara khususnya, rekod Portugis memberikan gambaran mengenai peta besar yang diperoleh dari seorang jurumudi Jawa. Peta ini diperoleh selepas tumpasnya Kesultanan Melayu Melaka pada tahun 1511. Ia menunjukkan sebahagian besar lakaran kedudukan kepulauan Nusantara. Apa yang meranjatkan Portugis adalah jurumudi Jawa tersebut juga memiliki carta nautika yang menggambarkan arah angin, garis rhumb, dan laluan pelayaran bagi ke Cina, Korea, dan Ryukyu. Selain dari itu, terdapat peta-peta lain yang menggambarkan Tanjung Pengharapan, Brazil, Laut Merah, Laut Parsi, dan juga Portugal.

Dirujuk silang catatan pengembara Itali bernama Ludovico di Varthema peta serupa pernah digunakan seorang nakhoda Melayu ketika membawa Varthema dari Borneo ke pulau Jawa sekitar tahun 1505. Varthema adalah merupakan orang Eropah pertama yang tiba di Melaka ketika itu. Menurut Varthema nakhoda Melayu tersebut belayar berpandukan carta nautika yang mempunyai garisan rhumb dan dibaca dengan kompas magnet. Nakhoda Melayu tersebut juga dikatakan mempamir kemahiran dalam belayar dengan menggunakan buruj bintang. Juga dikatakan carta nautika nakhoda Melayu tersebut merujuk kepada kewujudan pulau paling selatan yang kini diketahui sebagai pantai utara Australia.

Berbalik kepada peta jurumudi Jawa, menurut Alfonso de Albuquerque, peta yang dirampas di Melaka tersebut tenggelam bersama Flor de la Mar lebih kurang 480 batu jaraknya dari pelabuhan Melaka setelah 6 hari pelayaran. Selain dari peta, sebuah Jong juga dibawa dari Melaka. Jong tersebut dinaiki 60 orang tukang kayu dan pandai kapal Jawa bersama keluarga mereka. Jong yang juga membawa harta rampasan dari Istana Sultan Melaka tersebut selamat dilarikan ke Pasai ketika kesemua kapal Portugis menumpukan perhatian kepada usaha menyelamatkan Flor de la Mar.

Sebelum tenggelam bersama-sama Flor de la Mar, peta besar jurumudi Jawa tersebut telah disalin oleh jurumudi Portugis bernama Francisco Rodrigues dan dipecah-bahagi kepada 178 folio. Peta-peta ini dianggar disalin di dalam beberapa naskah di Melaka sekitar Ogos-Disember 1511. (Gambar 2-4). Saya percaya peta inilah yang telah dijadikan panduan nakhoda kapal Flor de la Mar untuk pulang ke Goa melalui Selat Sunda.

Gambar 2: Peta folio No. 34 yang dilukis semula oleh Francisco Rodrigues berdasarkan peta jurumudi Jawa dari Melaka.
Sumber: Library of the French National Assembly, Paris.

Gambar 3: Peta folio No. 38 yang dilukis semula oleh Francisco Rodrigues berdasarkan peta jurumudi Jawa dari Melaka.
Sumber: Library of the French National Assembly, Paris.

Gambar 4: Peta Kepulauan Nusantara hasil gabungan folio No. 33 hingga 39 yang dilukis semula oleh Francisco Rodrigues berdasarkan peta jurumudi Jawa dari Melaka.
Sumber: J.H.F Sollewlin Gelpke (1995).

Rekod tentang kewujudan peta besar jurumudi Jawa tersebut juga dibuktikan dalam surat dari Alfonso de Albuquerque kepada rajanya, Dom Manuel, bertarikh 1.4.1512. Saya petik sebahagian dari kandungan surat tersebut:-

"I also send you a piece of a chart taken from a large map of a Javanese pilot, containing the Cape of Good Hope, Portugal and the land of Brazil, the Red Sea and the Sea of Persia, the Clove Islands, the navigation of the Chinese and the Gores, with their rhumbs and direct routes followed by the ships, and the hinterland, and how the kingdoms border on each other. It seems to me, Sire, that it was the best thing I have ever seen, and  Your Highness will be very pleased to see it; it had the names in Javanese writing, but I had with me a Javanese who could read and write. I send this piece to Your Highness, that Francisco Rodrigues traced from the other, in which  Your Highness can truly see where the Chinese and Gores come from, and the course your ships must take to the Clove Islands, and where the gold mines lie, and the islands of Java and Banda, of nutmeg and maces, and the land of the King of Siam, and also the end of the navigation of the Chinese, the direction it takes, and how they do not navigate further. The main map was lost with Frol de la Mar. With the pilot and Pêro de Alpoim, I discussed the meaning of this map, in order that they could explain it to Your Highness; you can take this piece of map as very accurate and ascertained thing, because it is the real navigation, whence and whither they return. The archipelago of the islands called Celates,  which lie between Java and Malacca, is missing."

Pada dasarnya peta jurumudi Jawa dari Melaka ini menjadi asas kepada kemahiran navigasi Portugis ke kepulauan Maluku, Siam, New Guinea, Kemboja, Taiwan, Cina, dan Jepun. Malah tidak disangkal bahawa peta-peta awal Nusantara ini diciplak untuk menaiktaraf rekod peta-peta Portugis seperti peta Lopo Homem-Reineis / Atlas Miller (1519), yang kemudian diadaptasi kepada rekod pemetaan kuasa-kuasa Eropah yang lain seperti peta Willem Lodewijcksz (1595), peta Petrus Plancius (1596) dan peta Theodor de Bry (1598).

484 tahun kemudian iaitu pada tahun 1995 seorang pengkaji bernama J.H.F Sollewlin Gelpke membuat cadangan pembetulan terhadap carta-carta Francisco Rodrigues yang ditiru dari jurumudi Jawa tersebut. Setelah diperbetulkan, didapati deskripsi dan kedudukan yang lebih jelas wujud tentang Semenanjung Tanah Melayu, Sumatera, Siam, Vietnam, Kemboja dan selatan Cina (Gambar 5).

Gambar 5: Cadangan pembetulan terhadap peta folio 34 & 38 Francisco Rodrigues oleh J.H.F Sollewlin Gelpke (1995).

Apa yang menarik, setelah diperbetulkan, terdapat lakaran sebuah kota yang wujud di Semenanjung Tanah Melayu.  Gelpke mencadangkan bahawa ianya mungkin kota Melaka; akan tetapi beliau juga menyatakan ianya lebih ke arah timur laut.  Memandangkan nama Melaka tidak dicatat dalam peta tersebut, kemungkinan salinan asal peta ini dibuat sebelum kota Melaka ditubuhkan. Dari mata kasar, ianya lebih ke arah sekitar kawasan hutan simpan Endau-Rompin. Mungkinkah ianya Kota Gelanggi (Klang Gio) atau "perbendaharaan permata" yang dicatat dalam Sulalatus Salatin? Apa yang jelas adalah kota ini kelihatan boleh diakses melalui Rio Fermoso iaitu gelaran Portugis bagi Sungai Batu Pahat.

Walaupun dirumus Gelpke peta jurumudi Jawa ini kononnya dipelajari dari ahli navigasi Cina, namun pada pandangan saya apa yang diciplak Francisco Rodrigues langsung tidak sama dengan peta-peta Cina zaman Ming iaitu peta Da Ming Hunyi Tu (c.1390), peta navigasi Zheng He (c. 1421-1430), peta Luo Hongxian (c. 1579), dan peta Mao Kun (c. 1628).

Gelpke juga secara amnya merumuskan peta jurumudi Jawa adalah sebenarnya lebih terperinci tetapi gagal disalin dengan sempurna oleh Francisco Rodrigues. Dari segi lojik, dua kesimpulan boleh dibuat disini. Pertama, ianya memang gagal disalin dengan sempurna oleh Francisco Rodrigues. Kedua, dan yang lebih berkemungkinan adalah peta asal jurumudi Jawa sengaja dilakar dalam keadaan tidak lengkap dan mengelirukan demi menyembunyikan lokasi-lokasi strategik dari dikenalpasti musuh.

Seperti yang dirumus Mo Razzi (2016), Tun Seri Lanang dalam menulis Sulalatus Salatin mungkin telah dengan sengaja menyembunyikan jalan penarikan yang sebenar. Ini adalah kerana Pulau Keban (kini Pulau Aceh) yang dirujuk Sulalatus Salatin adalah lebih berdekatan dengan Sungai Endau. Perairan Pulau Keban ini adalah tempat Laksamana Hang Nadim dikatakan bertempur dengan tentera Sultan Pahang semasa Laksamana Hang Nadim melarikan Tun Teja. Dalam Hikayat Hang Tuah (HHT) pula, Laksamana Hang Tuah lah dikatakan melarikan Tun Teja, dan pertempuran dalam HHT pula dicatat berlaku di Pulau Tinggi. Mo Razzi merumuskan bahawa Tun Teja dilarikan dari Pahang ke Melaka melalui jalan penarikan yang menghubungkan Sungai Endau, Sungai Sembrong, dan keluar ke Selat Melaka melalui Sungai Batu Pahat (Rio Fermoso).

Menurut Mohd Azlan Sharif (2017) pula terdapat banyak peninggalan Batu Aceh di pinggir Sungai Batu Pahat yang menunjukkan kepentingan sungai tersebut sebagai laluan pintas dari Selat Melaka ke pantai timur Semenanjung Tanah Melayu.  Sebagai contoh, Batu Aceh yang ditemui di Bukit Inas dipercayai berusia 600 tahun (Gambar 6).

Gambar 6: Batu Aceh di Bukit Inas, Batu Pahat.
Sumber: Johorkini


Melalui temubual, Mohd Azlan Sharif juga menyatakan terdapat catatan dalam peta Barent Langenes & Cornelis Claesz (c. 1600) yang memberi deskripsi kepada sebuah penempatan yang dipanggil Padram. (Gambar 7). Beliau merumuskan nama tersebut diabadikan sebagai nama Bandar Penggaram, Batu Pahat. Apa yang menarik  seperti yang dikaji oleh Gelpke, kedudukan Padram dalam peta tahun 1600 tersebut juga kelihatan boleh diakses dari Sungai Batu Pahat.

Gambar 7: Peta Melaka oleh Barent Langenes & Cornelis Claesz. c. 1600 


Selain dari menjadi sumber utama kepada pemetaan kepulauan Nusantara oleh penjajah Eropah, saya percaya peta jurumudi Jawa yang diperoleh Alfonso de Albuquerque pada 1511 ini adalah bukti yang menunjukkan kemahiran dan amalan pelaut-pelaut Nusantara dalam menyembunyikan penempatan dan laluan strategik melalui peta yang sengaja dikelirukan. Secara amnya, peta-peta ini perlu dirungkai (decoded) sebelum dapat dibaca dengan sempurna. Juga dari apa yang diciplak oleh Francisco Rodrigues, peta-peta asal adalah sepenuhnya hasil rekaan dan kepandaian jurumudi dan nakhoda Nusantara dan bukannya berasaskan peta dari Cina. 

Rujukan:

  1. Badger, GP & Jones, JW. (1863). The Travels of Ludovico Di Varthema.
  2. 'Comentários de Afonso de Albuquerque' versi terjemahan Walter de Gray Birch (1875).
  3. Gelpke, JHF Sollewlin (1995), ‘Afonso de Albuquerque’s Pre-Portuguese “Javanese Map”, partially reconstructed from Francisco Rodrigues’  Book’. Bijdragen tot de Taal-, Land-en Volkenkunde 151-1, pp 76-99.
  4. Hikayat Hang Tuah, Kassim Ahmad (ed.), Dewan Bahasa dan Pustaka, 1975.
  5. Iltizam Iman (2020). Batu Aceh, laluan purba sungai dari barat ke timur Semenanjung ada di Bukit Inas, Batu Pahat. Johorkini. Ogos 2020. Diekstrak dari https://www.johorkini.my/rencana-batu-aceh-laluan-purba-sungai-dari-barat-ke-timur-semenanjung-ada-di-bukit-inas-batu-pahat/
  6. Ivo Carneiro de Sousa (2013). The First Portuguese Maps of China in Francisco Rodrigues’ Book and Atlas (c.1512). East West Institute for Advanced Studies. City University of Macau.
  7. Mohamad Athir Ismail (2017). Rio Fermoso, Portugis di Batu Pahat. Utusan Malaysia. 4.2.2017.
  8. Mohd Azlan Sharif (2017). Rio Fermoso: Kenapa saya sahaja yang tahu? Malaysiakini. 2.2.2017 diekstrak dari https://m.malaysiakini.com/news/371128
  9. Mo Razzi (2016). Untold History: Unchartered Route of Pulau Johor. 22.2.2016. Diekstrak dari http://untoldhistoriesofmalaya.blogspot.com/2016/02/untold-history-unchartered-route-of.html
  10. Sejarah Melayu diusahakan oleh W.G. Shellabear, Fajar Bakti, (1978).
  11. Sejarah Mersing. Wikipedia. Diekstrak dari https://ms.m.wikipedia.org/wiki/Mersing
  12. Yusrin Faidz Yusoff (2019). Peta Rahsia Kepulauan Melayu. Historybuff. 26.10.2019. Diekstrak dari https://yusrinfaidz.blogspot.com/2019/10/peta-rahsia-kepulauan-melayu_26.html
  13. Yusrin Faidz Yusoff (2020). Raksasa Laut Nusantara. Historybuff. 17.4.2020. Diekstrak dari https://yusrinfaidz.blogspot.com/2020/04/raksasa-laut-nusantara.html



No comments:

Post a Comment

Ekspedisi Wilkes (1838-1842)

Kapal USS Vincennes, yang memuatkan 190 anak kapal dan merupakan kapal utama Ekspedisi Wilkes. Singapura adalah destinasi terakhir yang dila...