Popular Posts

Wednesday, 8 April 2020

Pengepungan Melaka 1568


Gambar 1: Lakaran pengepungan Kota Melaka 1568 yang disimpan di Biblioteca Nacional do Brasil.



Di Perpustakaan Negara Brazil atau Biblioteca Nacional do Brasil (BNB) tersimpan sebuah artifak dalam bentuk pelan kartografi era Portugis Melaka. Ianya adalah lakaran "bird's eye view" paling realistik tentang keadaan kota Melaka pada abad ke-16 (Gambar 1).

Pada tahun 1988, Pierre-Yves Manguin  membuat kajian terhadap salinan negatif lakaran tahun 1568 tersebut yang tidak beberapa jelas resolusinya. Kini, lakaran tersebut telah diimbas secara digital oleh BNB dalam fail bersaiz 32.4MB di mana kita berpeluang untuk melihat imejnya yang lebih jelas dan terperinci.

Gambar 2: Penandaan struktur bangunan dalam kota Melaka di zaman Portugis

Dalam Gambar 2, saya senaraikan struktur bangunan kota Melaka yang dikenal-pasti dari imbasan digital lakaran 1568 tersebut:-

1) Bastion São Domingos,
2) Bastion Madre de Deos,
3) Bastion São Tiago (Bastion Onze Mil Virgens terlindung dibelakang Bukit St Paul),
4) Jambatan merentasi Sungai Melaka,
5) Ribeira (waterfront / tempat penurunan kargo, iaitu bekas tapak Pelabuhan Kesultanan Melayu Melaka),
a) Menara Famosa (bekas tapak Masjid Raya dan Balai Mendapa Istana Kesultanan Melaka)
b) Gereja São Domingos dan Konven,
c) Alfândega (Gudang Kastam),
d) Palacio do Bispo (Istana Uskop) (bekas tapak Balai Penanggahan Istana Kesultanan Melaka)
e) Katedral Nossa Senhora da Asumpção,
f) Câmara (Majlis Perbandaran) & Aljube (Penjara),
g) Hospital untuk rakyat miskin,
h) Miserićordia (Gereja & penempatan Confraternity of Mercy),
i) Menara loceng,
j) Gereja Nossa Senhora da Annunciada & Jesuit College (Gereja St Paul),
k) Hospital diRaja.

Juga didapati lebih jelas adalah imbasan digital berkenaan teks deskripsi lakaran 1568 tersebut (Gambar 3).

Gambar 3: Teks deskripsi bagi lakaran berkenaan pengepungan kota Melaka pada tahun 1568.

Saya petik terjemahan yang dibuat oleh Pierre-Yves Manguin (1988) tentang teks tersebut:-

"During King dom Sabastiaõ's Reign, with Vice-Roy Dom Antão de Noronha as the Governor of the Estado da India, Sultan 'Ala ad-Din [Ri'ayat Syah alKahar], King of Aceh and other Kingdoms came to Melaka and laid siege to this city, when Dom Lionis Pereira was her Captain. [The Captain] defended the city with two hundred Portuguese, whilst the enemy brought three hundred sails and fifteen thousand soldiers, amongst whom were many Turks and Renegades and other people of various nations and ten thousand attendants.  And the Captain forced [the Sultan] to abandon the siege, after killing his eldest son the King of Aru, four thousand men and the paramount Captains and soldiers of his army, and taking a few pieces of artillery from him. In the year of 1568."

Lakaran dakwat hitam bersaiz 44 x 81.5 inci tersebut dipercayai dihasilkan seorang pakar kartografi yang menetap di kota Melaka. Beliau dapat menerapkan pengetahuan tempatan tentang mukabumi dan keadaan sekeliling kota Melaka semasa pengepungan kota tersebut pada tahun 1568. Rumah-rumah di Upeh yang dilakar mengandungi bangunan batu 2 tingkat.  Walaupun ada kawasan yang agak tidak realistik keluasannya, dari sudut senibina, lakaran 1568 ini adalah lebih teliti dari lakaran dan catatan Manuel Godinho de Erédia (1613) yang gagal menunjukkan kepelbagaian struktur bangunan di Upeh dan kota Melaka.

Secara amnya, lakaran 1568 ini menggambarkan keberkesanan rangkaian tembok batu yang ketika itu hampir siap dibina mengelilingi kota Melaka. Tembok batu tersebut mula dibina pada tahun 1564. Pengepungan terakhir kota Melaka oleh tentera Johor, Perak dan Jawa pada tahun 1551 banyak memberi pengajaran kepada Portugis di mana mereka telah menambah bilangan meriam dan memperkukuh kota Melaka dengan dinding batu.

Serangan tahun 1568 ini terjadi ekoran kesepakatan yang diatur oleh Empayar Turki Uthmaniyyah yang cuba mengusir Portugis keluar dari Melaka dan juga dari penempatan-penempatan lain di pesisir India. Ketika itu, tindakan pemangsa kapal-kapal Portugis menjadikan perairan Selat Melaka tidak selamat bagi pedagang Islam. Menurut Charles Truxillo (2012), Kesultanan Aceh menghantar 15,000 orang bala tentera. Bercanggah dengan teks lakaran 1568 ini, tentera Portugis sebenarnya berjumlah 1,500 orang. Jumlah 200 darinya adalah berbangsa Portugis, manakala baki 1,300 adalah terdiri dari pekerja dan hamba abdi.

Dikatakan tentera Aceh dibantu oleh 400 orang juru meriam dari Turki Uthmaniyyah yang ditugas untuk mengendalikan 200 laras meriam. Kesemuanya dibawa dari Aceh ke Melaka dengan menggunakan 300 buah kapal jenis ghali.  Menurut catatan Diogo de Cauto (1542-1616), jumlah kapal yang sebenar adalah 346 buah yang terdiri dari 3 ghali besar dari Malabar (Calicut), 3 ghali jenis 'bastardas', 60 ghali kecil jenis 'fustas' dan 'galeotas', 60 perahu Melayu jenis balang, 2 sampan besar Melayu yang memuatkan senjata dan bahan letupan, dan juga lebih dari 200 perahu Melayu jenis lancaran. Menurut Encyclopedia of Islam (1960), Sultan Selim II (1524-1574) dari Turki Uthmaniyyah telah menghantar 2 buah kapal ghali bersama tentera dan peralatan perang yang berkemungkinan besar telah digunakan semasa serangan 1568 tersebut.

Dari lakaran 1568 tersebut saya fokus kepada kawasan pendaratan kapal-kapal ghali iaitu di sebelah selatan kota Melaka. Adalah dicatatkan tentera Aceh tiba di perairan Melaka pada 20.1.1568. (Gambar 4).

Gambar 4: Tempat pendaratan tentera Aceh dan Turki Uthmaniyyah di bahagian selatan kota Melaka pada 20.1.1568.

Juga dilukis adalah kapal ghali yang dihantar bagi mengepung kawasan Upeh (Gambar 5).  Walaubagaimanapun, nisbah tentera dan meriam tidak setinggi di sebelah Hilir.


Gambar 5: Serangan Aceh di sebelah utara.

Kapal jenis ghali digunakan kerana ianya boleh didayung untuk menghampiri daratan walaupun di perairan cetek. Tentera dapat dikerahkan dengan pantas dan berjaya mengepung bahagian selatan hingga timur kota Melaka. Saya rujuk kepada lakaran pengepungan oleh infantri Aceh tersebut (Gambar 6, 7 & 8). Kapal ghali juga memudahkan meriam-meriam bombard diturunkan untuk membedil kota Melaka dari daratan. Dalam Gambar 1 jarak pembedilan meriam dari kubu Aceh di Hilir juga digambarkan iaitu dalam jarak sasaran lebih kurang 3 hingga 4 kilometer.

Gambar 6: Tentera Aceh & Turki Uthmaniyyah menyerang bahagian selatan kota Melaka.

Gambar 7: Tentera Aceh & Turki Uthmaniyyah mengepung bahagian tenggara kota Melaka.

Gambar 8: Tentera Aceh & Turki Uthmaniyyah mengepung bahagian timur kota Melaka.

Sejurus mendarat, pihak Aceh membina 3 buah kubu. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, kubu pertama adalah di Hilir. Kubu kedua berdekatan bastion Madre de Deus. Manakala kubu ketiga di sepanjang sungai Melaka berhampiran bastion São Domingos. Dikatakan pihak Portugis sempat memecahkan struktur rumah di Kampung Hilir untuk mendapatkan kayu bagi perlindungan tambahan kepada struktur kubu kota Melaka. Kampung Hilir kemudian telah dibakar oleh pihak Portugis.  Taktik yang sama telah digunakan Portugis iaitu dengan membakar sebahagian dari kampung Jawa dan meletakkan struktur kayu merentasi sungai Melaka berhampiran bastion São Domingos. Kayu-kayu tersebut kemudian dibakar bagi menghalang kemaraan tentera Aceh dari arah hulu sungai Melaka. Turut terbakar adalah penempatan di Bukit Cina yang dikenali sebagai São Francisco. Akan tetapi, tidak dapat dipastikan samada ia dibakar oleh pihak Portugis ataupun Aceh.

Sultan Aceh iaitu Sultan Alauddin Ri'ayat Syah al-Kahar (r.1537-1571) dikatakan memberi arahan peperangan dari puncak berhampiran São Francisco (Bukit Cina) tersebut. Kubu Aceh di tenggara kota Melaka menunjukkan kewujudan sistem komunikasi secara menggunakan bendera panjang yang dipanggil 'merawal'.  Lukisan ini mungkin merupakan satu-satunya bukti yang dapat mengesahkan penggunaan bendera ketenteraan (battle ensigns) seperti "tunggul", "panji-panji", "merawal", dan "ambul-ambul" yang dicatat dalam Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu).   Serangan darat Aceh bermula pada 15.2.1568 di sekitar pantai berhampiran bastion São Tiago ketika air surut. Malangnya, anakanda Sultan Aceh iaitu Sultan Aru dikatakan telah terbunuh apabila Portugis menyerang kubu Aceh berdekatan bastion Madre de Deus sebelum Aceh sempat memulakan serangan.

Kesan pembedilan meriam digambarkan melalui kebakaran dan kepulan asap yang berlaku di kota Melaka dan Upeh. Walaubagaimanapun, dinding kubu di kota Melaka gagal ditembusi tembakan meriam tersebut. Selain dari faktor tembok batu yang kukuh, pertahanan Melaka yang diketuai oleh Dom Leonis Pereira juga dibuat dengan merobohkan bahagian tengah jambatan Melaka, dan dengan mendirikan tembok merentangi jalan masuk ke bandar Melaka. Juga ketika itu Portugis mendapat bantuan ketenteraan dari Kesultanan Johor. Dari segi persenjataan, meriam-meriam Portugis yang baru diperoleh dari markas mereka di India adalah lebih berkesan.  Manakala jumlah juru meriam yang dihantar Turki Uthmaniyyah pula dikatakan tidak mencukupi disebabkan peperangan yang sedang berlangsung pada masa yang sama di Cyprus dan juga rusuhan yang meletus di Aden.

Jadi akhirnya kota Melaka berjaya dipertahankan oleh Portugis. Tentera Aceh berundur pada 25.2.1568 setelah 3,500 hingga 4,000 dari mereka terkorban. Pengkaji sejarah berpendapat bahawa kematian Sultan Aru telah melemahkan semangat tentera Aceh di mana Sultan Aceh telah mengarahkan pengunduran awal bagi mengurangkan korban dan juga bagi menyelamatkan senjata dari dirampas Portugis. Kemenangan kota Melaka disambut Portugis dan nama Dom Leonis Pereira menjadi sebutan rakyat diseluruh jajahannya sehingga terdapat sebuah sajak yang dikarang penyair Portugis terkemuka, Luís Vaz de Camões, berkenaan kejayaan Dom Leonis Pereira tersebut yang diibaratkan setanding dengan Leonidas semasa melawan tentera Parsi dalam Pertempuran Thermopylae.

Menurut rekod sejarah, Kesultanan Aceh dengan bantuan Empayar Turki Uthmaniyyah telah menyerang kota Melaka sebanyak lebih kurang 14 kali iaitu dari tahun 1537 sehingga 1629.  Serangan-serangan ini, walaupun tidak berhasil, telah melemahkan kota Melaka dan kekuasaan Portugis di Kepulauan Melayu. Akhirnya, gabungan Kesultanan Johor dengan Belanda berjaya mengalahkan Portugis di Melaka pada tahun 1641.

Pada pendapat saya, banyak perkara boleh dipelajari dari lakaran 1568 ini. Kajian lanjut boleh dibuat berkenaan kedudukan dan jenis bangunan pada zaman tersebut. Juga terdapat satu perkara yang masih menimbulkan tanda tanya: Mengapakah mereka perlu memindahkan lakaran 1568 ini dari Portugal ke Brazil?

Jika dikaji, lakaran tahun 1568 ini telah dipindahkan ke Brazil sekitar 1807. Ketika itu, tampok pemerintahan Empayar Portugis terpaksa dipindahkan ke Brazil apabila Portugal ditakluk Perancis dan Sepanyol semasa Perang Napoleon. Dari tahun 1807 hingga 1820, Brazil menjadi pusat pentadbiran bagi Empayar Portugis. Setelah tamat Perang Napoleon, Brazil menerima kemerdekaan dan lakaran 1568 ini menjadi hakmilik Brazil yang merupakan sebuah negara merdeka dan berdaulat.

Jawapannya mungkin dapat dilihat dalam catatan oleh sang pelukis disekitar imej tiang kapal di perairan selatan Pulau Jawa (Gambar 9). Ianya menyatakan bahawa Dom Leonis Pereira telah dengan sengaja menenggelamkan kapal beliau berhampiran pulau tersebut supaya muatannya tidak dapat dirampas pihak lawan. Apa yang sengaja ditenggelamkan di dalam kapal tersebut mungkin sesuatu yang berharga bagi Dom Leonis Pereira yang ketika itu tidak yakin Melaka dapat menangkis serangan Aceh dengan jumlah askar Portugis yang sedikit dan tembok batu kota Melaka yang belum siap dibina.

Gambar 9: Catatan teks disekitar kapal Portugis yang sengaja ditenggelamkan semasa serangan Aceh 1568.

Diterjemah ke dalam Bahasa Inggeris, teks tersebut menyatakan seperti berikut:-

"Dom Leonis Pereira ordered his nao to be sent to the bottom with all its cargo, so that the enemy would not get hold of it"

Ini bercanggah dengan catatan Diogo de Cauto (1542-1616) yang menyatakan muatan kapal tersebut sempat dikeluarkan sebelum ianya ditenggelamkan. Mungkinkah Cauto sengaja berbuat demikian untuk mengalih perhatian tentang muatan dalam kapal tersebut? Saya percaya bahawa adalah mustahil muatan kapal tersebut dikeluarkan semasa peperangan sedang berlaku. Seperti dalam lakaran tersebut, ghali pihak Aceh juga berada disekitar Pulau Jawa. Juga terdapat catatan lain yang menyatakan bahawa pihak Aceh telah meletakkan meriam di pulau tersebut untuk membedil kota Melaka (lihat Kubu Pulau Melaka). Jadi saya percaya kemungkinan besar kapal Portugis tersebut telah karam bersama muatannya seperti yang dicatat dalam teks lakaran 1568 tersebut.

Memandangkan tiada rekod Portugis tentang tindakan salvaj, dan kota Melaka kemudian diserang bertubi-tubi hingga jatuh ke tangan Belanda pada tahun 1641, saya percaya kapal tersebut bersama muatannya masih berada di kawasan sama yang kini telah ditambak dan dikenali sebagai Taman Pulau Melaka. Jadi lakaran 1568 ini adalah amat berharga kepada Raja Portugal, John VI, sehingga dibawa baginda ke Brazil kerana ia adalah satu-satunya peta yang menunjukkan di mana terletaknya harta yang tidak sempat diambil semula selepas pengepungan 1568 tersebut. Juga, untuk menyimpan rahsia koordinat lokasi harta yang sebenar, nama sang pelukis dengan sengaja tidak dicatatkan di atas hasil karyanya.


Rujukan:

1. Manguin, P., 1988, 'Of Fortresses and Galleys the 1568 Acehnese Siege of Melaka, after a Contemporary Bird's-eye View', Modern Asian Studies Journal, Vol. 22, Issue 3, pp 607-628, Cambridge University Press.

2. Truxillo, C.A., 2012, 'Crusaders in the Far East: The Moro Wars in the Philippines in the Context of the Ibero-Islamic World War', Jain Publishing Co., California.

3. Cauto, Da Asia, Década VIII, xxi and xxii.

4. "Eredia's Description of Malacca, Meridional India, and Cathay Translated from the Portuguese, with Notes", by JV Mills, JMBRAS, Vol VIII, 1930.

5. Encyclopedia of Islam (1960), Vol. 1, p. 743.

6. https://en.m.wikipedia.org/wiki/Siege_of_Malacca_(1568)

7. https://en.m.wikipedia.org/wiki/Ottoman_expedition_to_Aceh


Wednesday, 1 April 2020

Lawatan Willem Schouten ke Pulau Pinang

Antara pedagang Eropah yang paling awal menemui Pulau Pinang ialah Kapten James Lancaster. Kapal beliau, Edward Bonaventure, adalah di antara tiga kapal yang dihantar oleh Britain dalam misi perdagangan ke Hindia Timur pada tahun 1591. Beliau telah dicatatkan tiba di Pulau Pinang pada bulan Jun 1593.  Catatan Lancaster adalah bukti utama pihak Inggeris yang menyatakan bahawa ketika itu Pulau Pinang tidak berpenghuni.

Terdapat seorang lagi pelayar Eropah bernama Willem Cornelisz Schouten (1567–1625) yang telah tiba di Pulau Pinang pada tahun 1616 (Lihat Gambar 1 & 2).  Schouten adalah pelayar berbangsa Belanda dan telah belayar dengan kapal Syarikat Hindia Timur Belanda ke Nusantara melalui Cape Horn dan lautan Pasifik.


Gambar 1: Lakaran ketibaan Schouten di Pulau Pinang yang direkod sebagai "Schouten at Penang ca.1616 Plague of flies" iaitu sebahagian dari "Journal, oder Beschreibung der wunderbaren Reise W. Schouten auss Hollandt, im Jahr 1615–17"  (1619).

Gambar 2: Willem Cornelisz Schouten (1567-1625)

Schouten telah merekodkan pelayarannya dalam sebuah jurnal yang telah diterbitkan di Amsterdam pada tahun 1618. Selain dari Bahasa Belanda, ianya juga telah dicetak dalam versi Bahasa Inggeris, Perancis, Jerman, dan Latin.  Setelah dikaji, illustrasi dalam versi Belanda, Perancis, Jerman dan Latin mempunyai 9 lakaran tambahan yang tidak wujud dalam versi Bahasa Inggeris jurnal tersebut.  Salah satu dari lakaran tersebut (Gambar 1) menggambarkan ketibaan Schouten di Pulau Pinang. 

Dalam lakaran tersebut, kapal Schouten yang dinamakan Eendraght dan Hoorn berlabuh diperairan Pulau Pinang di mana Pulau Pinang direkodkan mempunyai penghuni. Malah seorang pahlawan yang memegang busur panah digambarkan dalam jurnal beliau (Lihat Gambar 3).

Gambar 3: Penduduk awal Pulau Pinang sekitar tahun 1616 dalam lakaran jurnal Schouten.

Juga terdapat sebuah perahu layar tempatan yang mempunyai lambang ayam pada layarnya (Lihat gambar 4). Perahu tersebut yang dinaiki wanita dan kanak-kanak sedang terbakar mungkin akibat sedang diserang oleh pelayar-pelayar Belanda tersebut. Juga direkodkan kehadiran serangga yang banyak, samada jenis lalat atau agas, yang mengerumuni salah sebuah kapal Belanda tersebut.

Gambar 4: Perahu layar penduduk tempatan sedang terbakar.

Selain dari lakaran, versi Bahasa Jerman jurnal tersebut memberi sedikit deskripsi tentang kejadian tersebut yang mungkin dapat dikaji lebih lanjut (Lihat Gambar 5).

Gambar 5: Teks dari "Journal, oder Beschreibung der wunderbaren Reise W. Schouten auss Hollandt, im Jahr 1615–17"  (1619)

Jurnal Schouten ini adalah mungkin lakaran dan deskripsi terawal tentang kewujudan penduduk dan keadaan mukabumi di Pulau Pinang. Saya berpendapat terdapat usaha pihak Inggeris untuk menutup fakta yang ditemui Schouten tentang penduduk awal Pulau Pinang. Ini adalah kerana di dalam versi Inggeris, pelayaran Schouten hanya dicatat setakat ke kepulauan Jawa sahaja dan tidak pernah sampai ke Selat Melaka dan Pulau Pinang.


Rujukan:

1. Royal Museums Greenwich

2. Journal, oder Beschreibung der wunderbaren Reise W. Schouten auss Hollandt, im Jahr 1615–17 (1619).

3. https://en.m.wikipedia.org/wiki/Willem_Schouten



Saturday, 21 March 2020

Kerajaan Awal Di Terengganu

Gambar 1: Pantai Paka di Terengganu


Ptolemy (90-168 M) seorang ahli kaji bintang Greek telah mencatatkan dua buah Pelabuhan di Pantai Timur Semenanjung Tanah Melayu iaitu Perimula dan Kole. Perimula dipercayai di Kuala Terengganu dan Kole di Kemaman. (Gambar 2).

Gambar 2: Peta yang menunjukkan Golden Chersonese (Semenanjung Emas) yang dilukis semula oleh Nicolaus Germanus (1467) berdasarkan peta Ptolemy.

Catatan penulis zaman Dinasti Sui (581-618 M) menyebut tentang sebuah negeri yang dinamakan ’Tan Tan’ yang menghantar ufti ke Cina. Pakaian dan adat istiadat Raja Tan Tan yang bergelar 'Sha Li' / 'Shih ling chia' juga direkodkan. Raja Tan Tan mempunyai mahkota, perhiasan berharga, jubah, dan capal yang diperbuat daripada kulit. Baginda gemar memakai bedak dan minyak wangi. Apabila ingin berangkat ke satu-satu tempat baginda akan menaiki pedati ataupun menunggang gajah. Ibu Kota Tan Tan mempunyai 20,000 keluarga dan rajanya agak sibuk kerana setiap hari baginda mempunyai dua sesi bertemu dengan rakyat iaitu pada waktu pagi dan petang. Baginda mempunyai 8 orang menteri yang dikenali sebagai 'Pa Tso' yang terdiri daripada Brahman. Hasil negeri ini adalah emas, perak, kayu putih, kayu sapan dan buah pinang. Tanaman ruji adalah padi, manakala haiwan peliharaan adalah rusa, kambing, babi, gagak, angsa, itik, musang dan kijang. Burungnya pula terdiri daripada burung kenyalang dan merak. Paul Wheatley (1961) yang menterjemah rekod Cina oleh Tung Tien dan Hsin Tang Shu merumuskan negeri yang dimaksudkan di dalam catatan itu mungkin berkerajaan di Kuala Besut atau Kuala Terengganu.

Perkataan ’Teng Ya Nu’ ada disebut dalam buku sejarah Cina seperti ’Ling Wai Tai Ta’ karangan Cao Cu Fei tahun 1178. Buku ’Cu fan Cih’ karangan Chao Ju Kua pada tahun 1225 yang menyebut ’Teng Ya Nong‘ atau Terengganu sebagai sebuah pelabuhan perdagangan yang penting di persisiran pantai timur Tanah Melayu yang ketika itu dibawah jajahan takluk San-fo-tsi (Kerajaan Dharmasraya / Malayu / Melayu / Jambi) yang berpusat di Palembang (Lihat peta di Gambar 3).

Gambar 3: Peta jajahan Kerajaan Dharmasraya. Sumber: Wikipedia.

Pada Batu Bersurat Terengganu, yang dianggar ditulis pada tahun 1303, terdapat pula catatan nama Raja Mandalika. "Negarakartagama", tulisan Prapanca dari Jawa pada tahun 1365, menyatakan bahawa Kuala Terengganu, Paka dan Dungun adalah di bawah jajah takluk Majapahit.

Geoffrey Wade (1994) mencadangkan kemungkinan Paka (Gambar 1) pernah diiktitaf Kerajaan Ming sebagai sebuah kerajaan berdaulat sekitar 1378. Ianya menghantar rombongan ufti kepada Maharaja Hong-wu dari 1378 hingga 1390. Menurut Wade, rombongan dari "Bai-hua" (百花), yang dicadangkan sebagai Paka, diketuai Ba-zhi Ya-tan (Wade: Patih ..?) yang diutus seorang Raja dari Paka iaitu La-ding La-zhe-wang-shi (Wade: Raden Rajawangsa?) telah ke Cina bersama-sama wakil ufti dari Pahang. Hipotesis ini disokong catatan dalam Negarakartagama di mana nama-nama Patih dan Raden menunjukkan ketika itu Terengganu adalah dibawah jajahan takluk Majapahit. Saya sertakan petikan MSL bertarikh 29.12.1378 berkenaan lawatan tersebut:-

"The minister Dan-wang Ma-du and others who had been sent by Ma-ha-la-re Da-rao, the king of the country of Pahang, presented a memorial of gold and offered as tribute six fan slaves, 2,000 jin of pepper, 4,000 jin of sapan-wood as well as aromatics and medicines, including sandalwood, frankincense and camphor. Also, the envoy Ba-zhi Ya-tan and others who had been sent by La-ding La-zhe-wang-shi, the king of the country of Bai-hua, presented a gold memorial and offered as tribute white deer, red monkeys, turtle shells and tortoise-shell, peacocks, parrots, talking birds (?哇哇倒掛), pepper, aromatics, bees-wax and other products. It was Imperially commanded that patterned fine silks and silk gauzes interwoven with gold thread and clothing, as appropriate, be conferred upon the kings of the two countries and their envoys."

Sekitar penghujung abad ke-14 hingga awal abad ke-15, Terengganu adalah dibawah taklukan Siam (Lihat peta oleh Georg Westermann di Gambar 4). Ianya kemudian berada dibawah jajahan takluk Kesultanan Melayu Melaka (Lihat peta di Gambar 5).


Gambar 4: Peta Kerajaan-Kerajaan lama sekitar awal abad ke-15 oleh Georg Westermann.

Gambar 5: Peta kawasan jajahan Kesultanan Melayu Melaka. Sumber: Wikipedia.


Rujukan:

1. The Ming Shi-lu (veritable records of the Ming Dynasty) as a source for Southeast Asian history, 14th to 17th centuries, Geoffrey Wade (1994).

2. The Golden Khersonese: Studies in the Historical Geography of the Malay Peninsula before AD 1500, Paul Wheatly (1961).

3. https://en.m.wikipedia.org/wiki/Golden_Chersonese

4. https://ms.m.wikipedia.org/wiki/Sejarah_Terengganu

5. https://ms.m.wikipedia.org/wiki/Orang_Cina_di_Terengganu




Ekspedisi Wilkes (1838-1842)

Kapal USS Vincennes, yang memuatkan 190 anak kapal dan merupakan kapal utama Ekspedisi Wilkes. Singapura adalah destinasi terakhir yang dila...