Popular Posts

Friday, 13 March 2020

Perahu Melayu Abad Ke-19

Dari tahun 1826 hingga 1841, Kapten François-Edmond Pâris telah mengembara serata dunia dengan menaiki kapal Astrolabe (1826-1829), La Favorite (1829-1833) & Artemise (1837-1841). Sekitar 1830 beliau tiba di Melaka dan menghasilkan beberapa lukisan termasuk perahu Melayu seperti Sampan Pukat (Gambar 1), Penjajap (Gambar 2) & Lanchara (Gambar 3 & 4).

Gambar 1. Litograf berdasarkan lukisan karya Kapten François-Edmond Pâris bertajuk 'Ancre Malaise & Sampann Poucatt au mouillage at a la voile' iaitu sauh Melayu dan sampan pukat yang berlabuh dan sedang belayar. (c. 1830, Melaka)

Gambar 2. Litograf berdasarkan lukisan karya Kapten François-Edmond Pâris bertajuk 'Pindjajap au mouillage et appareillan' iaitu Penjajap sedang berlabuh. (c. 1830, Melaka)

Gambar 3. Litograf berdasarkan lukisan karya Kapten François-Edmond Pâris bertajuk 'Caboteur Malais nomme Lantcha' iaitu perahu Melayu yang dinamakan Lantcha (Lancharan). (c. 1830, Melaka)

Gambar 4. Litograf berdasarkan lukisan karya Kapten François-Edmond Pâris bertajuk 'Caboteurs Malais au plus pres du vent' iaitu perahu Melayu ditiup angin. (c. 1830, Melaka)


Secara amnya, perahu-perahu Melayu ini bersaiz sederhana iaitu 40 hingga 80 kaki panjangnya, dan menggunakan kombinasi layar dan juga pendayung. Dibanding dengan lukisan-lukisan awal oleh Portugis pada abad ke-16 & 17, didapati tiada banyak perbezaan dari segi rekabentuk. Dari segi layar pula ada yang menggunakan layar tambahan tipikal Barat.  Manakala dari segi saiz, perahu Melayu abad ke-19 adalah jauh lebih kecil dari perahu-perahu yang ditemui oleh Portugis pada awal abad ke-16. Ini adalah kesan undang-undang penjajah yang menghadkan saiz maksima kapal. Khususnya, peraturan Belanda yang melarang penduduk tempatan dari membina kapal dengan muatan lebih daripada 50 tan.

Saiz dan dimensi dalam gambar-gambar ini juga jauh lebih kecil dari saiz binaan dan keupayaan sebenar tukang-tukang kapal Nusantara yang dikatakan boleh membina perahu besar jenis Jong, Penjajap gergasi dan Ghali yang boleh memuatkan 700 orang dan membawa muatan sehingga 1000 tan.

Rujukan:

Essai sur la Construction Navale des Peuples Extra-Européens (Essay on Non-European Naval Architecture) (1841)


Tuesday, 3 March 2020

'Walga Rock Ship' Lukisan Orang Melayu?


Gambar 1 : Imej sebuah kapal di kalangan lukisan-lukisan batu purba di Walga Rock, Australia Barat.

Lukisan batu atau 'rock art' yang tertua di Australia dianggar dilukis lebih kurang 40,000 tahun dahulu. Di Walga Rock, Australia Barat, terdapat lukisan batu yang agak pelik kerana ia menggambarkan kapal layar bersama 6 baris ayat yang mengandungi huruf seakan-akan askara Jawi (Gambar 1). Pada mulanya pakar arkeologi merumuskan lukisan ini dibuat orang Aborigin yang menyaksikan kehadiran kapal-kapal Syarikat Hindia Timur Belanda sekitar kurun ke 17.
Akan tetapi, menurut kajian Dr Ian Crawford dan Stan Gratte, terdapat kemungkinan ianya adalah lukisan kapal SS Xanthos (Gambar 2) oleh penyelam dan pelaut Melayu bernama Sammy Hassan (juga dikenali sebagai Sammy Malay).

Gambar 2 : Perbandingan struktur SS Xanthos sengan lukisan batu 'Walga Rock Ship'.

Sammy Hassan adalah salah seorang dari 140 hingga 200 kanak-kanak Melayu yang berumur antara 12-14 tahun yang dikerah sebagai penyelam tiram, buruh am, dan pembantu kapal dibawah skim penghambaan buruh "indentured" seorang usahawan dan ahli politik Australia bernama Charles Edward Broadhurst (Gambar 3).

Gambar 3 : Keluarga Broadhurst bersama salah seorang pekerja Melayu mereka.

Broadhurst mula mengambil pekerja dari kalangan penduduk di kepulauan Melayu setelah ramai buruh Aborigin beliau mati akibat wabak penyakit.

Sekitar 1872, kapal yang dinaiki buruh kanak-kanak Melayu iaitu SS Xanthos karam di perairan Port Gregory, Australia Barat. Lebih kurang 140 kanak-kanak Melayu yang berasal dari Tanah Melayu, Singapura, Kepulauan Jawa dan Sumatera tersebut kemudian dibawa ke Shark Bay untuk menyambung tempoh "kontrak" mereka.

Kewangan Broadhurst merundum selepas insiden di Port Gregory dan beliau terpaksa menutup operasi perniagaannya pada tahun 1875. Kanak-kanak Melayu yang bekerja dengan Broadhurst tiada arah tuju dan terkandas di Shark Bay. Mereka tidak diberi pertolongan untuk pulang ke tanahair mereka. Tiada seorang pun yang berjaya pulang ke pangkuan ibubapa mereka, malah dilaporkan ramai di antara mereka yang mati kebuluran di situ. 

Kerjaya politik Broadhurst tergugat akibat laporan layanan buruk terhadap kanak-kanak Melayu tersebut yang mengakibatkan beliau dituduh di Mahkamah. Akibat pertuduhan tersebut, Broadhurst terpaksa meletakkan jawatan beliau sebagai Ahli Majlis Perundangan Australia Barat. Walaubagaimanapun, pada tahun 1876, Broadhurst berjaya membersihkan namanya setelah Mahkamah membenarkan permohonannya untuk membatalkan pertuduhan-pertuduhan tersebut.

Lukisan yang dikenali sebagai "Walga Rock Ship" tersebut dianggar dilukis sekitar tahun 1917 iaitu ketika Sammy Hassan tinggal bersama masyarakat Aborigin setelah tamat berkhidmat dengan keluarga Broadhurst. Sammy Hassan dilaporkan telah berkahwin dengan wanita dari puak Wajarri iaitu suku Aborigin Australia Barat.  Beliau telah meninggal dunia pada tahun 1920 dalam lingkungan usia 60an. Terdapat dua versi tentang punca kematian Sammy Hassan. Pertama, akibat luka setelah tertembak kakinya sendiri; dan kedua, akibat kakinya putus dibaham ikan jerung.

Rujukan:

1. https://en.m.wikipedia.org/wiki/Walga_Rock

2. https://en.m.wikipedia.org/wiki/Charles_Edward_Broadhurst



Sunday, 1 March 2020

Malay Boat Song



Adela Florence Nicolson (1865-1904) (Gambar 1) adalah seorang penyair Inggeris yang menulis dibawah nama pena Laurence Hope. Beliau menetap di Madras dan bekerja sebagai penolong editor di syarikat akhbar Sind Gazette milik bapanya. Pada tahun 1889, beliau berkahwin dengan Malcolm Hassels Nicolson iaitu seorang General tentera Syarikat Hindia Timur Inggeris.

Gambar 1 : Adela Florence Nicholson (Laurence Hope).

Karya-karya Laurence Hope menceritakan kisah cinta tidak dibalas, cinta terhalang, dan juga cinta antara kaum, yang kesemuanya agak radikal ketika itu sehingga suaminya tidak membenarkan nama keluarga mereka digunakan sebagai nama penulis dalam buku-buku yang diterbitkannya. Pada tahun 1904 beliau membunuh diri akibat kemurungan dua bulan selepas kematian suaminya. 

Pada tahun 1915, seorang komposer Amerika bernama H.T. Burleigh dari New York menggubah 5 buah lagu berdasarkan puisi karangan Laurence Hope. Kompilasi lagu yang dinamakan "Five songs of Laurence Hope" tersebut terdiri dari senikata dari puisi-puisi berikut:

1. Worth While
2. The Jungle Flower
3. Kashmiri Song
4. Among the Fuchsias
5. Till I Wake

Kesemua lagu-lagu ini mengandungi puisi berlatar-belakangkan kisah pelayaran, keindahan bunga champa, dan cinta terhalang.

Dalam koleksi Library of Congress, USA, terdapat sebuah lagi puisi Laurence Hope yang lebih awal dijadikan lirik lagu oleh HT Burleigh iaitu pada sekitar 1906. Akan tetapi puisi dan lagu yang diberi nama "Malay Boat Song" ini tidak dimasukkan kedalam kompilasi 5 lagu di atas pada tahun 1915. Tidak diketahui tentang motif H.T. Burleigh mengeluarkan lagu ini dari kompilasi lagu yang digubah olehnya. Saya petik lirik "Malay Boat Song" disini:

The Stars await, serene and white,
  The unarisen moon;
Oh, come and stay with me to-night,
  Beside the salt Lagoon!
My hut is small, but as you lie,
  You see the lighted shore,
And hear the rippling water sigh
  Beneath the pile-raised floor. 
No gift have I of jewels or flowers,
  My room is poor and bare:
But all the silver sea is ours,
  And all the scented air
Blown from the mainland, where there grows
  Th' "Intriguer of the Night,"
The flower that you have named Tube rose,
  Sweet scented, slim, and white.
The flower that, when the air is still
  And no land breezes blow,
From its pale petals can distil
  A phosphorescent glow.
I see your ship at anchor ride;
  Her "captive lightning" shine.
Before she takes to-morrow's tide,
  Let this one night be mine!
Though in the language of your land
  My words are poor and few,
Oh, read my eyes, and understand,
  I give my youth to you!

Lihat skor muzik "Malay Boat Song" di gambar 2 - 6. Mungkinkah lagu ini dapat melengkapkan jalan cerita cinta terhalang karya Laurence Hope?

Gambar 2

Gambar 3

Gambar 4

Gambar 5

Gambar 6


Sekiranya dikaji, kekaguman barat tentang ketangkasan, keberanian, dan simbol adiwira pelayar Melayu bermula lebih awal lagi. Akhbar The New York Mirror pada tahun 1838 mencatat kewujudan sebuah lagu dengan tajuk yang sama iaitu "The Malay Boat Song".  Ianya digubah oleh Samuel Woodworth Esq. untuk Malay Boat Club of New York. Lihat keratan akhbar The New York Mirror di gambar 7 & 8.

Gambar 7 : The New York Mirror, 1838


Gambar 8 : The New York Mirror, 1838.


Pelayar Melayu dicatat akhbar The New York Mirror sebagai "those Malays are, we assure you, a very gentlemanly and fine-looking set of savages, and, as you will see by the song, not any means deficient in gallantry". Kemungkinan nama "Malay" diguna-pakai sebagai suatu penghormatan (hommage) oleh ahli kelab tersebut terhadap warisan pelayar Melayu sama seperti penggunaan nama 'Washington Redskins' bagi kelab bola sepak Amerika, dan 'Cleaveland Indians' bagi sukan besbol mereka. Atau mungkinkah terdapat sesuatu yang lebih berharga telah dipelajari dari warisan dan tradisi pelayar Melayu tersebut?

Rujukan:

1. Library of Congress, USA.

2. Library of Prinston University.

3. https://en.m.wikipedia.org/wiki/Adela_Florence_Nicolson

4. https://salute.co.in/fascinating-life-and-times-of-an-army-wife-in-india/

5. https://songofamerica.net/song/five-songs-of-laurence-hope/



Ekspedisi Wilkes (1838-1842)

Kapal USS Vincennes, yang memuatkan 190 anak kapal dan merupakan kapal utama Ekspedisi Wilkes. Singapura adalah destinasi terakhir yang dila...