Popular Posts

Showing posts with label Tunku Abdul Rahman. Show all posts
Showing posts with label Tunku Abdul Rahman. Show all posts

Wednesday 31 August 2022

Malaya Merdeka 1957



Pada 8.2.1956, satu persidangan telah diadakan di London bagi memperoleh kemerdekaan bagi Tanah Melayu. Persidangan yang dikenali sebagai Persidangan Malaya Merdeka berakhir dengan upacara menandatangani perjanjian yang dihasilkan.  Perjanjian tersebut digelar Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu (yang juga dikenali sebagai Perjanjian London). 




Perjanjian ini ditandatangani di antara Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah (1903-1990), Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu bagi pihak kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dengan Alan Lennox-Boyd (1904-1983), Setiausaha Negara Tanah Jajahan British bagi pihak Kerajaan British.

Antara perkara penting yang dipersetujui di dalam perjanjian tersebut adalah tarikh kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu iaitu pada 31.8.1957, pengekalan institusi Raja Berperlembagaan, pembahagian kuasa antara kerajaan pusat dengan kerajaan negeri diteruskan, dan pelantikan sebuah suruhanjaya bebas untuk menggubal Perlembagaan. Turut dipersetujui adalah bahawa Parti Perikatan tidak akan mengambil alih perniagaan British atau kepentingannya di Tanah Melayu, di mana satu perjanjian dengan British akan ditandatangani bagi menjaga keselamatan Tanah Melayu dan juga menjaga kepentingan ekonomi British di Tanah Melayu.

Rombongan Merdeka ini selamat pulang ke tanah air pada 20.2.1956. Ini diikuti dengan satu perhimpunan besar-besaran di Padang Merdeka, Banda Hilir di Melaka. Ketika itu, Y.T.M Tunku Abdul Rahman mengisytiharkan tarikh kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu.



Susulan daripada itu juga pada 21.3.1956, sebuah suruhanjaya bebas yang dikenali sebagai Suruhanjaya Reid telah dibentuk untuk mengkaji dan menggubal Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu sebagai persediaan mencapai kemerdekaan.

Pada 5.8.1957 Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu ditandatangani di antara Raja-Raja Melayu dengan pihak Kerajaan British. Upacara menandatangani Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu tersebut telah diadakan di King’s House, Kuala Lumpur.





Perjanjian yang digelar 'Federation of Malaya Agreement 1957' ini ditandatangani di antara 8 Raja-Raja Melayu, Tunku Mahkota Johor, 5 pembesar dari Negeri Sembilan, dengan Pesuruhjaya Tinggi British ke Tanah Melayu iaitu Sir Donald MacGillivray. 

Perjanjian 1957 ini juga telah memansuhkan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948. Berdasarkan Artikel 3 Perjanjian 1957 ini, tarikh penguatkuasaan terma-terma di dalamnya adalah pada 31.8.1957 di mana pada tarikh itu berakhirlah segala naungan dan bidangkuasa Inggeris ke atas 9 Negeri-Negeri Melayu di bawah Persekutuan Tanah Melayu. Dengan termeterainya Perjanjian ini juga kuasa dan kedaulatan Kerajaan Inggeris ke atas Melaka dan Pulau Pinang turut berakhir.



Sumber: Arkib Negara Malaysia, National Film Development Corporation Malaysia (FINAS), British Movietone Pictures, & British Paramount News.



Thursday 20 August 2020

Pemasyhuran Kemerdekaan Tanah Melayu



Klip filem ini adalah dirakam semasa sambutan ketibaan Putera Henry, Duke of Gloucester (1900-1974), ke Tanah Melayu. Duke of Gloucester mewakili anak saudaranya iaitu Ratu Elizabeth untuk hadir di upacara Kemerdekaan Tanah Melayu. Baginda diiringi Princess Alice (1901-2004) dan putera mereka Prince William (1941-1972). Rombongan DiRaja Britain tersebut membawa Pemasyhuran Kemerdekaan Tanah Melayu (ڤمشهوران كمرديكاءن تانه ملايو) ("Instrument / Declaration of Independence").




Rombongan DiRaja Britain ini telah tiba di Pengkalan Udara Kuala Lumpur di Sungai Besi pada pukul 4 petang, 29.8.1957. 

Ketibaan Putera Henry telah disambut oleh Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu, Sir Donald Charles MacGillivray dan Lady MacGillivray, Yang di-Pertuan Agong Tanah Melayu yang pertama, Tuanku Abdul Rahman diiringi Raja Permaisuri Agong dan Perdana Menteri Tanah Melayu yang pertama, Tunku Abdul Rahman.

Pada 30.8.1957 tepat pukul 12.00 tengah malam, upacara menurunkan bendera Union Jack telah diadakan di Padang Kelab Selangor bagi menandakan berakhirnya lebih kurang 170 tahun penjajahan British di Tanah Melayu. Bendera Persekutuan Tanah Melayu telah dinaikkan bagi menggantikan bendera Union Jack.




Pemasyhuran Kemerdekaan Tanah Melayu tersebut diperbuat berdasarkan penguatkuasaan 'Federation of Malaya Independence Act 1957' iaitu sebuah Akta yang diluluskan oleh Parlimen British dan mendapat perkenan Ratu Elizabeth pada 31.7.1957. Ianya adalah kesinambungan dari Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 yang merupakan hasil dari penentangan terhadap Malayan Union oleh kesatuan-kesatuan Melayu di bawah pimpinan Dato' Onn Jaafar. Ianya ditulis dalam dua bahasa iaitu Bahasa Melayu dengan menggunakan tulisan Jawi, dan juga dalam Bahasa Inggeris. 

Pemasyhuran Kemerdekaan Tanah Melayu yang kini dipamirkan di Muzium Negara (Sumber: Wikipedia)

Salinan Permasyhuran Kemerdekaan Tanah Melayu cetakan 1957 milik Tuan Hj. Mohd Azlan bin Dato Mohd Sharif (Rujukan: FB Azlan Sharif)


Disertakan di sini kandungan teks Pemasyhuran Kemerdekaan tersebut:

دڠن نام الله يڠ مها ڤموره لاڬي مڠاسيهاني، سڬالا ڤوجي باڬي الله يڠ مها بركواس دان صلوات دان سلام ك اتس سكالين رسول-ڽ

In the name of Allah, the Compassionate, the Merciful. Praise be to Allah, the Lord of the Universe and may the blessings and peace of Allah be upon His Messengers.

بهاواسڽ كران تله تيباله ماسڽ باڬي اومت ڤرسكوتوان تانه ملايو اين منچاڤأي تارف سواتو بڠسا يڠ مرديك لاڬي بردولت سام ستيمڤل كدودوكنڽ دڠن سڬالا بڠسا سلوروه دنيا

Whereas the time has now arrived when the people of the Persekutuan Tanah Melayu will assume the status of a free independent and sovereign nation among nations of the World.

دان بهاواسڽ كران دڠن ڤرجنجين يڠ دسبوت نامڽ ڤرجنجين تانه ملايو تاهون 1957 يڠ دڤربوات انتارا دولي يڠ مها مليا بڬيندا قوين دڠن دولي-دولي يڠ مها مليا راج-راج ملايو، مك، تله دڤرستوجوي بهاوا نڬري-نڬري ملايو، ايايت جوهر، ڤهڠ، نڬري سمبيلن، سلاڠور، قدح، ڤرليس، كلنتن، ترڠڬانو، دان ڤراق سرتا نڬري يڠ دهولوڽ ديناماكن نڬري سلت، ايايت ملاك دان ڤولاو ڤينڠ، مولاي 31 هاري بولن اوڬوس تاهون 1957، هندقله منجادي سبواه ڤرسكوتوان بهارو باڬي نڬري-نڬري يڠ برنام ڤرسكوتوان تانه ملايو

And whereas by an agreement styled the Federation of Malaya Agreement, 1957, between Her Majesty the Queen and Their Highnesses the Rulers of the Malay States it was agreed that the Malay States of Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Selangor, Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu and Perak and the former Settlements of Malacca and Penang should as from the 31st day of August, 1957, be formed into a new Federation of States by the name of Persekutuan Tanah Melayu.

دان بهاواسڽ كران تله برستوجو ڤولا انتارا كدوا-دوا ڤيهق دالم ڤرجنجين ترسبوت، ايايت ملاك دان ڤولاو ڤينڠ هندقله درڤد تاريخ ترسبوت ايت تمت درڤد منجادي سباهاڬين درڤد ججاهن تعلوق بڬيندا قوين، دان دولي يڠ مها مليا بڬيندا قوين تيدق لاڬي برحق منجالنكن اڤا٢ كدولتن بڬيندا ك اتس كدوا-دوا بواه نڬري يڠ ترسبوت ايت

And whereas it was further agreed between the parties to the said agreement that the Settlements of Malacca and Penang aforesaid should as from the said date cease to form part of Her Majesty’s dominions and that Her Majesty should cease to exercise any sovereignty over them.

دان بهاواسڽ كران تله برستوجو ڤولا انتارا كدوا-دوا ڤيهق يڠ ترسبوت، ايايت ڤرجنجين ڤرسكوتوان تانه ملايو تاهون 1948، دان سڬالا ڤرانجين يڠ لاين يڠ اد سكارڠ انتارا دولي يڠ مها مليا بڬيندا قوين دڠن دولي-دولي يڠ مها مليا راج-راج اتاوڤون ساله سأورڠ درڤد بڬيندا ايت سبلوم تاريخ يڠ ترسبوت هندقله دبطلكن مولاي درڤد تاريخ ايت، دان سموا كوات كواس دان حق دولي يڠ مها مليا بڬيندا قوين اتاوڤون ڤرليمين نڬري اونيتد كيڠدوم دالم نڬري-نڬري سلت اتاوڤون ڤرسكوتوان تانه ملايو سلوروهنڽ اداله تمت دڠن سنديريڽ 

And whereas it was further agreed by the parties aforesaid that the Federation of Malaya Agreement, 1948, and all other agreements subsisting between Her Majesty the Queen and Their Highnesses the Rulers or any one of them immediately before the said date should be revoked as from the date and that all powers and jurisdiction of Her Majesty or of the Parliament of the United Kingdom in or in respect of the Settlements aforesaid or the Malay States or the Federation as a whole should come.

دان بهاواسڽ كران دولي يڠ مها مليا بڬيندا قوين، دولي-دولي يڠ مها مليا راج-راج ملايو، ڤرليمين نڬري اونيتد كيڠدوم دان مجليس-مجليس اوندڠن ڤرسكوتوان دان نڬري-نڬري ملايو تله ملولوسكنڽ، ڤرجنجين ڤرسكوتوان تانه ملايو تاهون 1957 ايت برجالن كوات كواساڽ

And whereas effect has been given to the Federation of Malaya Agreement, 1957, by Her Majesty the Queen, Their Highnesses the Rulers, the Parliament of the United Kingdom and the Legislatures of the Federation and of the Malay States.

دان بهاواسڽ كران سواتو ڤرلمباڬان باڬي كراجأن ڤرسكوتوان تانه ملايو تله دتنتوكن منجادي سواتو كانون يڠ معتمد باڬيڽ

And whereas a constitution for the Government of the Persekutuan Tanah Melayu has been established as the supreme law thereof.

دان بهاواسڽ كران ڤرلمباڬان ڤرسكوتوان يڠ ترسبوت ايت، مك، اد دسدياكن شرط اونتوق منجاڬ كسلامتن حق-حق دان كاوتامأن دولي-دولي يڠ مها مليا راج-راج سرتا حق-حق اساسي دان كبيبسن سكالين رعيت دان اونتوق مماجوكن ڤرسكوتوان تانه ملايو دڠن امان دان داماي سرتا تراتور سباڬاي سبواه كراجأن يڠ ممڤوڽاءي راج يڠ برڤرلمباڬان يڠ برداسركن ديموكراسي چارا ڤرليمين

And whereas by the Federal Constitution aforesaid provision is made to safeguard the rights and prerogatives of Their Highnesses the Rulers and the fundamental rights and liberties of the people and to provide for the peaceful and orderly advancement of the Persekutuan Tanah Melayu as a constitutional monarchy based on Parliamentary democracy.

دان بهاواسڽ كران ڤرلمباڬان ڤرسكوتوان يڠ داداكن اوليه مجليس اوندڠن ڤرسكوتوان يڠ ترسبوت ايت تله دلولوسكن اوليه سواتو اوندڠ-اوندڠ يڠ داداكه اوليه مجليس اوندڠن ڤرسكوتوان سرتا دڠن اوندڠ-اوندڠ يڠ داداكن اوليه نڬري-نڬري ملايو دان دڠن كتتڤن-كتتڤن دالم مجليس اوندڠن نڬري ملاك دان ڤولاو ڤينڠ، دڠن دمكين ڤرلمباڬان ايت تله برجالن كوات كواساڽ ڤد 31 هاري بولن اوڬوس تاهون 1957

And whereas the Federal Constitution aforesaid having been approved by an Ordinance of the Federal Legislatures, by the Enactments of the Malay States and by resolutions of the Legislatures of Malacca and Penang has come into force on the 31st day of August 1957, aforesaid.

مك، دڠن نام الله يڠ مها ڤموره لاڬي مها مڠاسيهاني، ساي تونكو عبدالرحمن ڤوترا ابن المرحوم سلطان عبدالحميد حاليم شه، ڤردان منتري باڬي ڤرسكوتوان تانه ملايو، دڠن ڤرستوجوان دان ڤركنن دولي-دولي يڠ مها مليا راج-راج نڬري-نڬري ملايو دڠن اين ممشهوركن دان مڠيشتهاركن باڬي ڤيهق اومت ڤرسكوتوان تانه ملايو بهاوا مولاي تيڬ ڤولوه ساتو هاري بولن اوڬوس تاهون سريبو سمبيلن راتوس ليما ڤولوه توجوه، مك ڤرسكوتوان تانه ملايو يڠ مڠاندوڠي نڬري جوهر، ڤهڠ، نڬري سمبيلن، سلاڠور، قدح، ڤرليس، كلنتن، ترڠڬانو، ڤراق، ملاك دان ڤولاو ڤينڠ دڠن ليمڤه رحمة الله سبحانه وتعالى اكن ككل منجادي سبواه نڬارا يڠ مرديك دان بردولت سرتا برداسركن كبيبسن دان كعاديلن دان سنتياس منجاڬ دان مڠوتاماكن كسجهترأن دان كسنتوسان رعيتڽ دان مڠكلكن كامانن انتارا سڬالا بڠسا

Now, In the name of Allah the Compassionate, the Merciful, I Tunku Abdul Rahman Putra ibni Al-Marhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah, Prime Minister of the Persekutuan Tanah Melayu, with the concurrence and approval of Their Highnesses the Rulers of the Malay States do hereby proclaim and declare on behalf of the people of the Persekutuan Tanah Melayu that as from the thirty first day of August, nineteen hundred and fifty seven, the Persekutuan Tanah Melayu comprising the States of Johor, Pahang, Negeri Semblian, Selangor, Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu, Perak, Malacca and Penang is and with Allah’s blessing shall be for ever a sovereign democratic and independent State founded upon the principles of liberty and justice and ever seeking the welfare and happiness of its people and the maintenance of a just peace among all nations.


Lihat juga transliterasi Pemasyhuran Kemerdekaan ke dalam Rumi.

Pemasyhuran Kemerdekaan ini telah dibaca oleh YAM Tunku semasa upacara bersejarah yang diadakan di Stadium Merdeka pada pukul 9:30 pagi, 31.8.1957, dihadapan lebih kurang 20,000 rakyat Persekutuan Tanah Melayu, Raja-Raja Melayu, pemimpin-pemimpin luar negara dan dif-dif kehormat yang lain. Secara asasnya, pemasyhuran ini mengesahkan penubuhan Persekutuan Tanah Melayu yang bebas merdeka, berdaulat, dan berasaskan sistem Demokrasi Berparlimen di bawah pentadbiran Raja Berpelembagaan.  Ianya menggantikan pemerintahan British terhadap sembilan negeri-negeri Melayu lindungan British (British Protectorate), dan juga menggantikan pemerintahan kolonial British (British Colony) terhadap dua Negeri-Negeri Selat iaitu Melaka dan Pulau Pinang. 

Di akhir pemasyhuran tersebut, YAM Tunku telah melaungkan ‘MERDEKA’ sebanyak tujuh kali, di mana laungan keramat tersebut telah disambut dengan bergemuruh oleh rakyat yang hadir. Bendera Persekutuan Tanah Melayu telah dinaikkan dengan iringan Lagu Kebangsaan Negaraku yang buat pertama kalinya diperdengarkan secara rasmi. Diikuti pula selepas itu dengan seruan azan sebagai simbolik lahirnya sebuah negara baru dan diikuti tembakan meriam seratus satu das.

3. https://ms.wikipedia.org/wiki/Perjanjian_Persekutuan_Tanah_Melayu_1948

Sunday 26 July 2020

Pilihan Raya Umum Pramerdeka



Kegagalan British melindungi Tanah Melayu semasa Perang Dunia Kedua telah membuka mata rakyat tempatan untuk menuntut kemerdekaan. Lebih-lebih lagi setelah British kembali dan mencuba nasib dengan penubuhan Malayan Union.

Penentangan terhadap Malayan Union oleh kesatuan-kesatuan Melayu di bawah pimpinan Dato' Onn Jaafar menghasilkan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948. Secara amnya, British tidak beberapa khuatir tentang kehilangan kuasa kerana hampir keseluruhan pengeluaran hasil bumi Tanah Melayu masih dipegang syarikat-syarikat British dan proksinya. Apa yang penting adalah penubuhan sebuah pentadbiran "British friendly" supaya hak perdagangan mereka tidak terjejas.



Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan fasa yang dirangka dibawahnya adalah penting kerana ia memansuhkan pelaksanaan Malayan Union yang hanya sempat bertapak selama 22 bulan. Perjanjian 1948 tersebut juga menyatukan negeri-negeri Melayu dalam sebuah Persekutuan untuk pertama kali di mana kedudukan Raja-Raja Melayu telah dikembalikan.

Dengan itu, melalui Perjanjian 1948 ini, Majlis Penasihat digantikan dengan Majlis Perundangan Persekutuan (Federal Legislative Council) iaitu merupakan langkah permulaan ke arah pentadbiran sendiri.

Pada tahun 1955, Majlis Perundangan Persekutuan tersebut telah dibubarkan bagi membolehkan pilihan raya umum diadakan buat julung kalinya. Pilihan raya umum Persekutuan Tanah Melayu ini diadakan pada 27.7.1955 iaitu dua tahun sebelum Tanah Melayu diisytiharkan merdeka. Hari ini genap 65 tahun peristiwa tersebut yang juga dirakam dalam klip filem pertama simpanan Imperial War Museums ini.

Klip filem pertama


Kilp filem tersebut merakamkan proses berkempen, pengiraan undi, sambutan kemenangan dan pasca pilihan raya. Ianya juga menunjukkan barisan kabinet yang bergambar di hadapan King's House dan mesyuarat pertama yang dipengerusikan oleh YTM Tunku Abdul Rahman selaku Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu.  Juga diulas tentang tugas beberapa orang Menteri dari kalangan rakyat tempatan iaitu Abdul Aziz Ishak (Menteri Pertanian), Sardon Haji Zubir (Menteri Kerja Raya), Ong Yoke Lin (Menteri Pos & Telekom), dan Dato' Abdul Razak (Menteri Pelajaran).

Klip filem kedua pula adalah klip kempen mengundi yang dikeluarkan sempena pilihan raya umum 1955 tersebut.

Klip filem kedua

Terdapat 52 kerusi dipertandingkan di mana parti Perikatan yang terdiri dari parti UMNO, MCA, dan MIC memenangi 51 kerusi dan berjaya membentuk kerajaan. Sebuah lagi kerusi dimenangi oleh parti PAS.

Setelah menerima barisan wakil kabinet parti Perikatan yang diumumkan pada 1.8.1955, Pesuruhjaya Tinggi British, Sir Donald Mac Gillivray mengumumkan kesemua 15 jemaah menteri pada 4.8.1955 di King's House, Kuala Lumpur. Pengumuman ini dibuat setelah Majlis Raja-Raja Melayu mengesahkan barisan kabinet tersebut.



Ahli Majlis Perundangan Persekutuan dengan itu bertambah kepada 98 orang iaitu 52 orang yang dipilih melalui pilihan raya umum (menggantikan 50 orang ahli tidak rasmi), 35 orang ahli yang dilantik mewakili kepentingan-kepentingan tertentu, dan 11 orang lagi terdiri daripada Menteri Besar dan wakil-wakil negeri. 

15 jemaah menteri ini mengangkat sumpah taat setia menjalankan tugas dan akuan rahsia pada 9.8.1955 di hadapan Ketua Hakim iaitu Mr. Prethaser. Kabinet Persekutuan Tanah Melayu ini dibentuk semasa British masih lagi menjajah Tanah Melayu dan dengan itu masih lagi mengandungi pegawai tinggi British yang dilantik bagi portfolio-portfolio penting seperti kewangan, hal-ehwal ekonomi dan pertahanan bagi menjamin hak dan kesinambungan perdagangan British tidak terjejas. Ini mungkin sebab utama rakyat tempatan tidak mengiktirafnya sebagai PRU pertama dan juga persidangan Parlimen pertama. Lihat klip filem ketiga yang dirakam semasa persidangan parlimen selepas pilihan raya umum pramerdeka tersebut.

Klip filem ketiga

Walaubagaimanapun, apa yang tidak dapat disangkal adalah semangat kerjasama dan muhibbah di kalangan anggota parti Perikatan yang telah menjadi pemangkin kepada kejayaan yang diperoleh dalam proses awal pentadbiran sendiri. Seterusnya, kemuafakatan yang sama telah membawa kepada kejayaan dalam memperoleh kemerdekaan negara dua tahun kemudian iaitu pada 31.8.1957.

Ekspedisi Wilkes (1838-1842)

Kapal USS Vincennes, yang memuatkan 190 anak kapal dan merupakan kapal utama Ekspedisi Wilkes. Singapura adalah destinasi terakhir yang dila...