Popular Posts

Showing posts with label PRU Pramerdeka. Show all posts
Showing posts with label PRU Pramerdeka. Show all posts

Sunday 26 July 2020

Pilihan Raya Umum Pramerdeka



Kegagalan British melindungi Tanah Melayu semasa Perang Dunia Kedua telah membuka mata rakyat tempatan untuk menuntut kemerdekaan. Lebih-lebih lagi setelah British kembali dan mencuba nasib dengan penubuhan Malayan Union.

Penentangan terhadap Malayan Union oleh kesatuan-kesatuan Melayu di bawah pimpinan Dato' Onn Jaafar menghasilkan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948. Secara amnya, British tidak beberapa khuatir tentang kehilangan kuasa kerana hampir keseluruhan pengeluaran hasil bumi Tanah Melayu masih dipegang syarikat-syarikat British dan proksinya. Apa yang penting adalah penubuhan sebuah pentadbiran "British friendly" supaya hak perdagangan mereka tidak terjejas.



Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan fasa yang dirangka dibawahnya adalah penting kerana ia memansuhkan pelaksanaan Malayan Union yang hanya sempat bertapak selama 22 bulan. Perjanjian 1948 tersebut juga menyatukan negeri-negeri Melayu dalam sebuah Persekutuan untuk pertama kali di mana kedudukan Raja-Raja Melayu telah dikembalikan.

Dengan itu, melalui Perjanjian 1948 ini, Majlis Penasihat digantikan dengan Majlis Perundangan Persekutuan (Federal Legislative Council) iaitu merupakan langkah permulaan ke arah pentadbiran sendiri.

Pada tahun 1955, Majlis Perundangan Persekutuan tersebut telah dibubarkan bagi membolehkan pilihan raya umum diadakan buat julung kalinya. Pilihan raya umum Persekutuan Tanah Melayu ini diadakan pada 27.7.1955 iaitu dua tahun sebelum Tanah Melayu diisytiharkan merdeka. Hari ini genap 65 tahun peristiwa tersebut yang juga dirakam dalam klip filem pertama simpanan Imperial War Museums ini.

Klip filem pertama


Kilp filem tersebut merakamkan proses berkempen, pengiraan undi, sambutan kemenangan dan pasca pilihan raya. Ianya juga menunjukkan barisan kabinet yang bergambar di hadapan King's House dan mesyuarat pertama yang dipengerusikan oleh YTM Tunku Abdul Rahman selaku Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu.  Juga diulas tentang tugas beberapa orang Menteri dari kalangan rakyat tempatan iaitu Abdul Aziz Ishak (Menteri Pertanian), Sardon Haji Zubir (Menteri Kerja Raya), Ong Yoke Lin (Menteri Pos & Telekom), dan Dato' Abdul Razak (Menteri Pelajaran).

Klip filem kedua pula adalah klip kempen mengundi yang dikeluarkan sempena pilihan raya umum 1955 tersebut.

Klip filem kedua

Terdapat 52 kerusi dipertandingkan di mana parti Perikatan yang terdiri dari parti UMNO, MCA, dan MIC memenangi 51 kerusi dan berjaya membentuk kerajaan. Sebuah lagi kerusi dimenangi oleh parti PAS.

Setelah menerima barisan wakil kabinet parti Perikatan yang diumumkan pada 1.8.1955, Pesuruhjaya Tinggi British, Sir Donald Mac Gillivray mengumumkan kesemua 15 jemaah menteri pada 4.8.1955 di King's House, Kuala Lumpur. Pengumuman ini dibuat setelah Majlis Raja-Raja Melayu mengesahkan barisan kabinet tersebut.



Ahli Majlis Perundangan Persekutuan dengan itu bertambah kepada 98 orang iaitu 52 orang yang dipilih melalui pilihan raya umum (menggantikan 50 orang ahli tidak rasmi), 35 orang ahli yang dilantik mewakili kepentingan-kepentingan tertentu, dan 11 orang lagi terdiri daripada Menteri Besar dan wakil-wakil negeri. 

15 jemaah menteri ini mengangkat sumpah taat setia menjalankan tugas dan akuan rahsia pada 9.8.1955 di hadapan Ketua Hakim iaitu Mr. Prethaser. Kabinet Persekutuan Tanah Melayu ini dibentuk semasa British masih lagi menjajah Tanah Melayu dan dengan itu masih lagi mengandungi pegawai tinggi British yang dilantik bagi portfolio-portfolio penting seperti kewangan, hal-ehwal ekonomi dan pertahanan bagi menjamin hak dan kesinambungan perdagangan British tidak terjejas. Ini mungkin sebab utama rakyat tempatan tidak mengiktirafnya sebagai PRU pertama dan juga persidangan Parlimen pertama. Lihat klip filem ketiga yang dirakam semasa persidangan parlimen selepas pilihan raya umum pramerdeka tersebut.

Klip filem ketiga

Walaubagaimanapun, apa yang tidak dapat disangkal adalah semangat kerjasama dan muhibbah di kalangan anggota parti Perikatan yang telah menjadi pemangkin kepada kejayaan yang diperoleh dalam proses awal pentadbiran sendiri. Seterusnya, kemuafakatan yang sama telah membawa kepada kejayaan dalam memperoleh kemerdekaan negara dua tahun kemudian iaitu pada 31.8.1957.

Ekspedisi Wilkes (1838-1842)

Kapal USS Vincennes, yang memuatkan 190 anak kapal dan merupakan kapal utama Ekspedisi Wilkes. Singapura adalah destinasi terakhir yang dila...