Popular Posts

Showing posts with label Prince Alfred. Show all posts
Showing posts with label Prince Alfred. Show all posts

Saturday, 30 May 2020

Keris Salang Syed Sha'aban


Gambar 1: Keris salang yang dihadiahkan oleh Tunku Besar Tampin kepada Duke of Edinburgh.

Keris salang berukuran 10.2 x 69.5 cm ini  (Gambar 1-3) dihadiahkan Tunku Besar Tampin iaitu YTM Paduka Sri Sultan al-Sharif Sha’aban Muhammad Shah Zillu’llah fi al-‘Alam ibni al-Marhum Ibrahim al-Qadri (17??-1872), kepada Prince Alfred, Duke of Edinburgh (1844-1900).

Lebih dikenali sebagai Syed Sha'aban, baginda dilantik sebagai Yang di-Pertuan Muda Rembau oleh bapa mertuanya, Yamtuan Besar Raja Ali, pada tahun 1832. Syed Sha'aban melarikan diri ke Tampin pada 1833 dan menetap di Melaka dari 1837 hingga 1842. Baginda kemudian dilantik sebagai Tunku Besar Tampin selepas kemangkatan Raja Ali pada tahun 1856.

Gambar 2: Catatan pada sampir keris "Presented by Yam Tuan Sariff Shaban Chief of Kroo and Tampin to H.R.H the Duke of Edinburgh, KG KT. 9 Decr 1869"



Gambar 3: Keris salang yang dihadiahkan oleh Tunku Besar Tampin kepada Duke of Edinburgh.

Menurut arkib British dan berdasarkan catatan yang diukir diatas sampir, keris salang ini dihadiahkan oleh Syed Sha'aban kepada Prince Alfred iaitu anakanda kedua  Queen Victoria pada 9.12.1869. Ketika itu Prince Alfred, yang bertugas sebagai Kapten kapal HMS Galatea (Gambar 4), membuat lawatan rasmi ke Melaka, yang merupakan salah satu destinasi siri kedua jelajah dunia baginda dari 1869 hingga 1871.

Gambar 4: HMS Galatea

Keris ini adalah antara hadiah yang paling dihargai oleh Prince Alfred yang mengetahui kegunaannya iaitu sebagai senjata hukum bunuh, dan juga tentang fakta sejarah bahawa 38 tahun sebelum itu Syed Sha'aban bersama Raja Ali dan Dato' Dol Said pernah mengalahkan tentera British dalam Perang Naning pertama (1831). Melalui diplomasi dan taktik pecah perintah, British telah mengiktiraf Rembau sebagai sebuah negeri berdaulat dan mempunyai kuasa penuh dalam pentadbiran kerajaannya. Sebagai balasan, Syed Sha'aban bersetuju menjadi sekutu British dalam menentang Dato' Dol Said semasa Perang Naning kedua (1832).

Sejurus kembali ke England, Prince Alfred meminjamkan keris ini untuk dipamirkan di Muzium South Kensington (kini Muzium Victoria & Albert). Kemudian ianya disimpan di kediaman baginda di Clarence House, London. Ianya kini disimpan di Grand Vestibule, Windsor Castle.

Rujukan:

1. https://en.m.wikipedia.org/wiki/Alfred,_Duke_of_Saxe-Coburg_and_Gotha

2. https://www.royalark.net/Malaysia/tampin.htm

3. https://ms.m.wikipedia.org/wiki/Perang_Naning

4. https://www.sea.museum/2015/08/27/the-sailor-prince



Ekspedisi Wilkes (1838-1842)

Kapal USS Vincennes, yang memuatkan 190 anak kapal dan merupakan kapal utama Ekspedisi Wilkes. Singapura adalah destinasi terakhir yang dila...