Popular Posts

Showing posts with label Leornado da Vinci. Show all posts
Showing posts with label Leornado da Vinci. Show all posts

Sunday, 8 December 2019

Laksamana Hang Tuah Bertemu Leonardo Da Vinci?

Jambatan Ponte Vecchio di Florence dibina pada tahun 1345. Ia menyeberangi Sungai Arno dan mempunyai beberapa buah kedai, tempat kawalan dan kubu pertahanan di atasnya. Lihat lakaran bandar Florence sekitar 1493 (Gambar 1 dan video).

Gambar 1: Florence pada tahun 1493. Sumber: Hartmann Schedel's Nuremberg Chronicle.


Berukuran 285 kaki panjang dan 105 kaki lebar, ianya boleh diakses pelayar yang tiba di pelabuhan Pisa, Tuscany, yang berdekatan muara Sungai Arno.  Lihat gambar jambatan Ponte Vecchio tersebut yang masih kukuh hingga kini (Gambar 2).

Gambar 2: Jambatan Ponte Vecchio, Florence, Itali.


Untuk ke Kota Florence melalui Sungai Arno, pelayar akan bertemu dengan Kota Pisa yang juga ketika itu mempunyai jambatan kubu (Gambar 3).

Gambar 3: Pisa pada tahun 1493. Sumber: Hartmann Schedel's Nuremberg Chronicle.

Kota Florence adalah tempat Leornado da Vinci (1452-1519) dilahirkan (Gambar 4). Beliau juga menetap dan berkarya di Florence sebelum berpindah ke Milan sekitar tahun 1482 untuk berkhidmat sebagai Jurutera Tentera dibawah Duke of Milan iaitu Ludovico Sforza. Setelah tamat berkhidmat dengan Duke of Milan, beliau pulang ke Florence pada tahun 1500. Florence juga dikatakan sebagai tempat beliau menghasilkan lukisan Mona Lisa sekitar 1503-1506 (Gambar 5 & video).

Gambar 4: Leornado da Vinci.

Gambar 5: Mona Lisa



Sekiranya benar rombongan pembesar Kesultanan Melayu Melaka bersama 1,600 orang bala tentera pernah membeli bedil di Rum (Turki Uthmaniyyah) sekitar 1482, (Lihat Artikel), maka Kota Florence hanya lebih kurang 1,800 km jaraknya dari Constantinople iaitu ibu negeri Turki Uthmaniyyah. Ianya adalah 90-100 hari perjalanan darat, atau 15-20 hari melalui jalan laut. Lihat lakaran grafik keadaan bandar Constantinople ketika itu (Gambar 6).

Gambar 6: Bandar Constantinople yang dikuasai Turki Seljuk (Kesultanan Seljuk Rum) pada abad ke-13, dan kemudian dikuasai Empayar Turki Uthmaniyyah pada 1453.

Mungkinkah rombongan Melaka ini telah sampai ke Itali? Mungkinkah persenjataan Eropah dan jambatan-jambatan kubu dari Pisa ke Florence telah menjadi sumber ilham kepada seorang "Malaccan Noble" yang dikatakan bertemu Leonardo da Vinci dalam misi memperkukuh pertahanan Melaka ketika itu?

Setakat ini tiada bukti yang sahih berkenaan butiran perjumpaan tersebut dan tentang siapakah "Malaccan Noble" yang dikatakan bertemu dengan Leornado da Vinci tersebut. Juga tidak pasti apa yang dipelajari "Malaccan Noble" tersebut dari Leornado da Vinci yang juga merupakan pereka pelbagai peralatan senjata dan kubu pertahanan. (Lihat Artikel The Vintage News).

Tetapi apa yang kita pasti, dari laporan Mao Qiling, 30,000 tentera Annam (Dai Viet) yang lengkap dengan istinggar dan rentaka telah dikalahkan oleh tentera Melaka sekitar 1483. Melalui catatan Portugis pula, pada 1511 Melaka dikatakan mempunyai 8,000 senjatapi pelbagai jenis termasuk meriam bombard, bedil dan istinggar di mana 3,000 darinya dijumpai Alfonso de Albuquerque di Melaka. Senjatapi ini ada yang dikatakan canggih setanding buatan Eropah, dan ada yang lebih baik dari buatan Portugis sendiri.

Seterusnya kawasan pantai berhampiran muara sungai Melaka dipasang perangkap besi tajam ("caltrops") dan diletak periuk api ("gunpowder mines"). Portugis juga menjumpai rumah bergerak saiz 23 x 90 kaki yang menakjubkan mereka di mana ia mempunyai 30 roda setiap satu sebesar tong wain.

Melalui catatan Alfonso de Albuquerque, Portugis juga mengalami kesukaran dalam menawan Jambatan Melaka yang dikatakan diperkukuh "stockades", dipertahan oleh pemanah, istinggar dan meriam. Jambatan Melaka tersebut juga dikatakan agak tinggi kedudukannya dari paras air. Akibatnya, ianya sukar dicerobohi melalui jong yang digunakan Portugis untuk menghampiri dan menawan kedudukan strategik jambatan tersebut.

Apa yang menarik adalah menurut catatan Manuel Godinho de Erédia (1613), walaupun Forteleza dan A'famosa dikatakan dibina Portugis dari batu yang diperoleh dari kawasan masjid dan makam DiRaja, tiada butiran tentang pembuatan jambatan Melaka oleh Portugis. Erédia hanya mengelarnya jambatan batu besar apabila merujuk tentang jambatan yang menyeberangi Sungai Melaka tersebut.  Juga di dalam lukisan Portugis sekitar 1563 (Gambar 7 & 8) jambatan tersebut adalah lebih panjang dan mempunyai beberapa tiang dan bahagian (segment) di mana Kota A'famosa telah dibina disebelah jambatan tersebut bagi tujuan menyokong fungsi asal jambatan tersebut sebagai jambatan kubu yang diperkukuh pertahanan. Kemungkinan besar Portugis hanya membaik pulih jambatan sediada yang dibina di zaman Kesultanan Melayu Melaka.

Gambar 7: Lakaran pengepungan Kota Portugis Melaka 1568 oleh Aceh yang disimpan di Biblioteca Nacional do Brasil.


Gambar 8: Fokus bahagian Jambatan dalam Lakaran pengepungan Kota Portugis Melaka 1568 oleh Aceh.


Dari rekod zaman Belanda pula, kawasan sungai Melaka telah dikecilkan dan aliran sungai telah diubah untuk tujuan pertanian, mengelak hakisan sekitar Bastion Victoria (St Domingo), dan pengairan sistem kunci air bagi 'moat' sekeliling Kota Melaka. Jambatan Melaka ketika itu telah ditukar kepada jambatan gantung yang lebih pendek bagi mengawal ketat kemasukan kapal dan perahu kedalam Kota Melaka (Gambar 9 & 10).  Juga lihat kajian seorang peminat dan pengkaji sejarah Aabirissabeel Wayfarer berkenaan pengubahan aliran dan pengecilan Sungai Melaka semasa pemerintahan Belanda (Gambar 11).

Gambar 9: Cetakan George Cooke berdasarkan lukisan E. H. Locker bertajuk "Draw-bridge at Malacca" (1807).

Gambar 10: Jambatan Melaka yang digambarkan dalam lukisan bertajuk 'Aanzicht Malakka' (Pemandangan Melaka) oleh Jan Keldermans (1764).
Sumber: Rijksmuseum, Amsterdam.


Gambar 11: Kajian Aabirissabeel Wayfarer berkenaan pengubahan aliran dan pengecilan Sungai Melaka semasa pemerintahan Belanda.

Masalah utama yang mungkin timbul dalam hipotesis tentang lawatan ini adalah pemusuhan yang sedang berlaku antara Turki Uthmaniyyah dan Eropah dan khususnya Itali sekitar 1480an. Ketika itu, peperangan Oranto di selatan Itali baru sahaja berlaku antara Turki Uthmaniyyah dengan Kingdom of Naples. Jadi mungkin boleh dipersoalkan lojik disebalik perjalanan rombongan pembesar Melaka dari Turki yang dibenarkan masuk ke Republik Florence tanpa apa-apa tentangan di zaman Perang Uthmaniyyah tersebut. 

Pada saya ianya tidak mustahil sekiranya rombongan Melaka tersebut menggunakan status Kesultanan Melayu Melaka sebagai negeri-negeri dibawah lindungan Kerajaan Ming yang ketika itu mempunyai jalinan diplomatik dengan Papal States, Republik Venice dan Kerajaan-Kerajaan lain di semenanjung Itali secara amnya. Berbekal dengan suratcara formal bersama pakaian khas yang menunjukkan pangkat taraf Menteri Ming yang diperoleh Laksamana Melaka pada tahun 1481 (Lihat Artikel), saya rasa tidak mustahil Kerajaan-Kerajaan Itali menerima baik rombongan pembesar Melaka sepertimana rombongan diplomatik mereka diterima baik oleh Kerajaan Ming.

Pada pendapat saya, selain dari memperoleh senjatapi dari luar, tujuan utama rombongan Kesultanan Melayu Melaka ke Turki Uthmaniyyah (dan mungkin kemudian ke Itali) adalah untuk mempelajari dan melatih 1,600 tentera Melaka untuk mempertingkat kecekapan dan memodenkan barisan tentera dan teknologi pertahanan.


Rujukan:

1. Comentários de Afonso de Albuquerque, (1557), t. A Bailo, Combra (1923).

2. Report of Governor Balthasar Bort on Malacca 1678, M. J. Bremner and C. O. Blagden, Journal of the Malayan Branch of the Royal Asiatic Society, Vol. 5, No. 1 (99) (AUGUST 1927), pp. 1-232.

3. Sejarah Melayu diusahakan oleh W.G. Shellabear, Fajar Bakti, (1978).

4. Hikayat Hang Tuah, Kassim Ahmad (ed.), Dewan Bahasa dan Pustaka, 1975.

5. Description of Malaca, Meridonal India, and Cathay (1613), Manuel Godinho de Erédia.

6. Mao Qiling. Mansi hezhi [A Comprehensive Record of the Aboriginal Chieftains]. Taipei: Guangwen Shuju, (1968).

7. https://www.thevintagenews.com/2018/09/01/da-vinci-weapons/

8. https://www.nst.com.my/node/115660/amp

9. https://en.m.wikipedia.org/wiki/Leonardo_da_Vinci

10. https://en.m.wikipedia.org/wiki/Ponte_Vecchio




Ekspedisi Wilkes (1838-1842)

Kapal USS Vincennes, yang memuatkan 190 anak kapal dan merupakan kapal utama Ekspedisi Wilkes. Singapura adalah destinasi terakhir yang dila...