Popular Posts

Showing posts with label Khazanah Kraton Jogjakarta. Show all posts
Showing posts with label Khazanah Kraton Jogjakarta. Show all posts

Friday, 12 June 2020

Koleksi Keris Stamford Raffles Di Istana Windsor



Terdapat dua bilah keris yang dikatakan "Malaysian kris" yang dipersembahkan oleh Sir Thomas Stamford Raffles (1781-1826) pada 17.7.1813 sebagai hadiah kepada Prince Regent (1762-1830) (kemudian King George IV of England). Ia kini di simpan di Istana Windsor di bawah jagaan Royal Collection Trust.

Keris pertama (Gambar 1) berukuran 14 x 51cm dan diperbuat dari besi, tembaga dan emas. Arkib Istana Windsor merekodkan seperti berikut:-
"Malaysian kris with a carved brown wood handle and gold beaded ferrule. Double-edged watered steel blade decorated with gold scrolling foliage at the top in relief, ending in a tiny Singa, a mythical beast combining features of the buffalo, elephant and serpent. The sheath of brown wood encased in part with copper and with a flared mouthpiece. Recorded in the Armoury at Carlton House with the note, 'A fine Serpant [sic] Shaped Blade, the Blade poisoned. N.B. These Daggers came Packed in a Mahogany Box inlaid with King wood, Silver Lock and Hinges, a Division in the Centre, with Silver Handle to it.'.."

Gambar 1: Keris yang dihadiahkan Stamford Raffles kepada Prince Regent

Keris kedua (Gambar 2) berukuran 15.3 x 51.5 cm dan diperbuat dari besi dan salutan emas, dan rekod Istana Windsor menyatakan seperti berikut:-

"A Malaysian kris, the hardwood handle carved as a grotesque figure, the gilt ferrule decorated with floral filigree. The two-edged wavy watered steel blade ridged at the base. The hardwood sheath with a wide mouthpiece, the haft encased in chased gilt with scrolling foliage and peacocks."

Gambar 2: Keris yang dihadiahkan Stamford Raffles kepada Prince Regent

Dari rekabentuknya, kedua-dua keris ini adalah bukan bentuk keris Semenanjung Tanah Melayu atau Sumatera. Ianya adalah rekabentuk keris Jawa. Sekiranya diteliti, keris pertama adalah keris Gayaman gaya rekabentuk Jogjakarta. Manakala keris kedua adalah keris Bragah atau Ladrang yang juga gaya rekebentuk Jogjakarta.

Pada pendapat saya, kemungkinan besar keris-keris ini adalah hasil penjarahan dan rampasan perang semasa British menyerang Belanda di pulau Jawa pada Ogos 1811.  Serangan tersebut dicadang oleh Raffles kepada Gabenor British India iaitu Lord Minto. Hasil cadangan tersebut, Lord Minto telah menghantar seramai 12,000 orang tentera dengan menaiki 25 buah kapal yang berjaya menawan pulau Jawa bagi pihak British. Dalam penjarahan yang sama, John Leyden iaitu penterjemah Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) versi Bahasa Inggeris dilaporkan meninggal dunia pada 28.8.1811 iaitu 3 hari selepas menyelongkar sebuah arkib penyimpanan manuskrip lama di pulau Jawa.

Selepas berjaya menawan kubu Belanda di Bangkahulu (Bencoolen), Raffles telah meluaskan kuasa menyerang beberapa Kraton di pulau Jawa termasuk kompleks Istana Kesultanan Ngayogyakarta Hadiningrat (Kraton Jogjakarta) pada 21.6.1812.  Dilaporkan bahawa dalam proses tersebut banyak khazanah dari pulau Jawa dan khususnya Kraton Jogjakarta dirampas dan dibawa ke India dan kemudian ke England.

Seterusnya, sebagai ganjaran, Raffles telah dilantik sebagai Leftenan Gabenor bagi pulau Jawa dan telah bertugas di sana dari tahun 1811 hingga pulau Jawa dikembalikan kepada Belanda pada tahun 1816, iaitu selepas tamat perang Napolean. Jadi, peristiwa pemberian keris kepada Prince Regent iaitu pada 1813 berlaku ketika Raffles memerintah pulau Jawa.

Juga menurut rekod sejarah, kebanyakan koleksi Raffles dari Jawa telah sampai ke England dan kini dipamirkan di British Museum dan juga British Library. Manakala koleksi dari Sumatera dan Semenanjung Tanah Melayu kebanyakannya telah musnah dalam kebakaran kapal 'The Fame' pada Februari 1824.  Dengan itu, kemungkinan besar keris-keris ini adalah dari pulau Jawa dan bukannya Semenanjung Tanah Melayu atau Sumatera.

Terdapat dua lagi keris hadiah Raffles kepada Prince Regent. Ianya mempunyai rekod sumber yang betul iaitu sebilah keris dari Sumatera (Gambar 3), dan sebilah keris dari Jawa (Gambar 4). Keris Sumatera dihadiahkan pada 10.5.1817. Manakala keris Jawa dihadiahkan pada 17.7.1813 iaitu pada masa yang sama "Malaysian kris" dihadiahkan.

Gambar 3: Keris Sumatera


Gambar 4: Keris Jawa


Rujukan:

1. https://www.bl.uk/collection-guides/the-raffles-collection

2. https://berita.mediacorp.sg/mobilem/singapura/pelbagai-perwajahan-stamford-raffles-yang-kompleks-dirungkai/4231044.html

3. https://en.wikipedia.org/wiki/Invasion_of_Java_(1811)

4. https://en.wikipedia.org/wiki/French_and_British_interregnum_in_the_Dutch_East_Indies

5. https://en.m.wikipedia.org/wiki/Stamford_Raffles



Ekspedisi Wilkes (1838-1842)

Kapal USS Vincennes, yang memuatkan 190 anak kapal dan merupakan kapal utama Ekspedisi Wilkes. Singapura adalah destinasi terakhir yang dila...