Pelabuhan Melaka sekitar tahun 1480. Pelukis: Ismail Embong (1987). Koleksi lukisan di Hang Tuah Centre, Melaka. |
Setelah pelabuhan Melaka jatuh ke tangan Portugis pada Ogos 1511, Sultan Mahmud Shah (memerintah 1488-1511) terpaksa berundur ke Bertam, Batu Hampar, Pagoh and seterusnya ke Pahang di mana beliau gagal dalam percubaannya mendapat pertolongan daripada Kerajaan Ming.
Walaupun terdapat bukti bahawa Maharaja Zheng-de murka dengan serangan Portugis dan telah mengambil tindakan untuk menghukum pedagang dan mubaligh Portugis yang berada di Cina ketika itu, Kerajaan Ming tidak memainkan peranan lebih efektif yang diharap Sultan Mahmud Shah. Mengapakah ini terjadi walhal hubungan Cina dan Melaka dikatakan seperti abang-adik?
Pada pendapat saya terdapat rekod dalam Sejarah Ming iaitu Ming Shi-lu (MSL) yang boleh menggambarkan pendirian Maharaja-Maharaja Ming iaitu Hong-zhi (1487-1505) dan Zheng-de (1505-1521) tentang Sultan Mahmud Shah yang menjadi sebab mengapa Kerajaan Ming secara amnya enggan memberi bantuan dalam menawan pelabuhan Melaka untuk diperintah semula Kesultanan Melayu Melaka khusus dibawah Sultan Mahmud Shah. Saya petik catatan MSL bertarikh 17.7.1505 tersebut:
"..when formerly the Supervising Secretary Lin Xiao went as envoy to Melaka, the ruler refused to face North on his knees. Xiao was then secluded and died of hunger. We were unable to go and punish the ruler's crime. The Emperor's orders and the state's dignity must be valued. It seems that in the countries across the seas, when they are without troubles they dispense with sending tribute to the Court and enthrone themselves. When they experience troubles, they use tribute missions to come and request enfeoffment. "
Menurut rekod MSL, lawatan ufti terakhir pembesar Melaka ke Cina sebelum rekod catatan 1505 ini dibuat adalah pada tahun 1481 iaitu lawatan Tuan Laksamana DiRaja Melaka yang bertujuan untuk membuat aduan terhadap Annam. (Lihat: Peranan 'Hang Tuah' Dalam Kes Pertikaian Melaka - Annam)
Walaupun terdapat rombongan Kerajaan Ming ke Melaka, ianya hanya untuk proses pertabalan di mana tiada lawatan balas dibuat. Hanya pada 1508 Melaka menghantar rombongan ufti di mana 21 orang pembesar Melaka dalam rombongan berikutnya iaitu pada tahun 1509 telah dibunuh akibat tindakan khianat bekas jurubahasa Cina ke Melaka yang berpakat dengan tentera Kerajaan Ming di 'Postal Relay Station' Guangdong. (Lihat: Di Manakah Hang Tuah Ketika Melaka Diserang Portugis?)
Dari catatan MSL ini, ketiadaan bantuan ketenteraan Kerajaan Ming pada 1511 adalah mungkin suatu hukuman akibat salah-laku terdahulu Sultan Mahmud Shah dalam keengganan baginda untuk mematuhi jadual ufti, keengganan berlutut menghadap arah utara dalam ritual pertabalan, dan tindakan baginda terhadap Supervising Secretary Lin Xiao yang dibiarkan mati kebuluran dalam kurungan. Tidak mustahil "hukuman" terhadap Melaka ini didahului oleh tragedi pembunuhan 21 orang pembesar Melaka di Guangdong pada tahun 1509 iaitu lawatan ufti kedua setelah ia dipraktikkan semula oleh Melaka pada tahun 1508. Tindakan ini dirancang rapi untuk menunda perjalanan pulang armada laut Melaka dan dengan itu melemahkan pertahanan Melaka ketika ianya diserang Portugis.
Rujukan:
The Ming Shi-lu (veritable records of the Ming Dynasty) as a source for Southeast Asian history, 14th to 17th centuries, Geoffrey Wade (1994).