Popular Posts

Showing posts with label Broadhurst. Show all posts
Showing posts with label Broadhurst. Show all posts

Tuesday, 3 March 2020

'Walga Rock Ship' Lukisan Orang Melayu?


Gambar 1 : Imej sebuah kapal di kalangan lukisan-lukisan batu purba di Walga Rock, Australia Barat.

Lukisan batu atau 'rock art' yang tertua di Australia dianggar dilukis lebih kurang 40,000 tahun dahulu. Di Walga Rock, Australia Barat, terdapat lukisan batu yang agak pelik kerana ia menggambarkan kapal layar bersama 6 baris ayat yang mengandungi huruf seakan-akan askara Jawi (Gambar 1). Pada mulanya pakar arkeologi merumuskan lukisan ini dibuat orang Aborigin yang menyaksikan kehadiran kapal-kapal Syarikat Hindia Timur Belanda sekitar kurun ke 17.
Akan tetapi, menurut kajian Dr Ian Crawford dan Stan Gratte, terdapat kemungkinan ianya adalah lukisan kapal SS Xanthos (Gambar 2) oleh penyelam dan pelaut Melayu bernama Sammy Hassan (juga dikenali sebagai Sammy Malay).

Gambar 2 : Perbandingan struktur SS Xanthos sengan lukisan batu 'Walga Rock Ship'.

Sammy Hassan adalah salah seorang dari 140 hingga 200 kanak-kanak Melayu yang berumur antara 12-14 tahun yang dikerah sebagai penyelam tiram, buruh am, dan pembantu kapal dibawah skim penghambaan buruh "indentured" seorang usahawan dan ahli politik Australia bernama Charles Edward Broadhurst (Gambar 3).

Gambar 3 : Keluarga Broadhurst bersama salah seorang pekerja Melayu mereka.

Broadhurst mula mengambil pekerja dari kalangan penduduk di kepulauan Melayu setelah ramai buruh Aborigin beliau mati akibat wabak penyakit.

Sekitar 1872, kapal yang dinaiki buruh kanak-kanak Melayu iaitu SS Xanthos karam di perairan Port Gregory, Australia Barat. Lebih kurang 140 kanak-kanak Melayu yang berasal dari Tanah Melayu, Singapura, Kepulauan Jawa dan Sumatera tersebut kemudian dibawa ke Shark Bay untuk menyambung tempoh "kontrak" mereka.

Kewangan Broadhurst merundum selepas insiden di Port Gregory dan beliau terpaksa menutup operasi perniagaannya pada tahun 1875. Kanak-kanak Melayu yang bekerja dengan Broadhurst tiada arah tuju dan terkandas di Shark Bay. Mereka tidak diberi pertolongan untuk pulang ke tanahair mereka. Tiada seorang pun yang berjaya pulang ke pangkuan ibubapa mereka, malah dilaporkan ramai di antara mereka yang mati kebuluran di situ. 

Kerjaya politik Broadhurst tergugat akibat laporan layanan buruk terhadap kanak-kanak Melayu tersebut yang mengakibatkan beliau dituduh di Mahkamah. Akibat pertuduhan tersebut, Broadhurst terpaksa meletakkan jawatan beliau sebagai Ahli Majlis Perundangan Australia Barat. Walaubagaimanapun, pada tahun 1876, Broadhurst berjaya membersihkan namanya setelah Mahkamah membenarkan permohonannya untuk membatalkan pertuduhan-pertuduhan tersebut.

Lukisan yang dikenali sebagai "Walga Rock Ship" tersebut dianggar dilukis sekitar tahun 1917 iaitu ketika Sammy Hassan tinggal bersama masyarakat Aborigin setelah tamat berkhidmat dengan keluarga Broadhurst. Sammy Hassan dilaporkan telah berkahwin dengan wanita dari puak Wajarri iaitu suku Aborigin Australia Barat.  Beliau telah meninggal dunia pada tahun 1920 dalam lingkungan usia 60an. Terdapat dua versi tentang punca kematian Sammy Hassan. Pertama, akibat luka setelah tertembak kakinya sendiri; dan kedua, akibat kakinya putus dibaham ikan jerung.

Rujukan:

1. https://en.m.wikipedia.org/wiki/Walga_Rock

2. https://en.m.wikipedia.org/wiki/Charles_Edward_Broadhurst



Ekspedisi Wilkes (1838-1842)

Kapal USS Vincennes, yang memuatkan 190 anak kapal dan merupakan kapal utama Ekspedisi Wilkes. Singapura adalah destinasi terakhir yang dila...